Manfaatkan waktu memandu dengan mengaji. Inilah rahsia Johan Qariah Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2022, Sofizah Mousin yang turut merupakan seorang Guru Geografi, isteri dan ibu dalam satu masa.
Alunan bacaan suci Al-Quran bergema di seluruh Dewan Besar, Pusat Islam Iskandar Johor sempena Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1443H/2022M bermula 12 hingga 17 Jun lalu.
Pada acara final Jumaat lepas, piala Johan Qariah menjadi milik Guru Geografi Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Sea, Petaling Jaya iaitu Sofizah Mousin dari Selangor.
Berusia 33 tahun, isteri kepada Ahmad Asrol Saidi itu sering menjadikan sokongan dan kata-kata semangat keluarganya sebagai kekuatan untuk menyertai pertandingan tilawah.
Biarpun kebanyakan peserta lain kebanyakannya muda-muda, namun wanita berkulit putih ini tidak menjadikan usia sebagai faktor halangan.
Ads
Kelunakan taranum, ketepatan tajwid dan ketenangan Sofizah menjadi faktor kemenangan
Qari dari Perak, Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan dan qariah dari Selangor, Sofizah Mousin dinobat sebagai johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1443H/2022M
Sebagai seorang guru, beliau juga berdepan banyak halangan dari segi latihan kerana kekangan masa. Antaranya terpaksa membuat latihan suara sambil memandu.
Ads
“Biasanya saya buat latihan taranum dalam kereta, semasa memandu. Saya memang akan buat latihan suara sendiri setiap hari.” Sofizah Mousin
Malah kebetulan pula dua minggu sebelum pertandingan bermula, anaknya mengalami masalah kesihatan. Ini menambah lagi kesukaran beliau membuat persiapan rapi.
Ads
Suami dan anak-anak turut gembira meraikan kemenangan Sofizah
Dengan semua kekangan yang dihadapinya, Sofizah Mousin langsung tidak menyangka menjadi Johan Qariah setelah tiga kali menyertai pertandingan ini di peringkat kebangsaan.
Berkat kelunakan taranum, tajwid dan fasahah yang tepat serta ketenangan Sofizah Mousin mengalunkan bacaan berjaya menambat hati juri pertandingan.
Beliau menerima wang tunai RM15,000 dan tambahan RM10,000 untuk menunaikan haji, cenderamata dan sijil penyertaan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Masuk tahun ini, sudah sepuluh tahun Sharifah Aminah Syed Mohssain bergelar ibu kepada lima orang anak. Secara luaran, tiada apa yang membezakan wanita berusia 39 tahun ini dengan ibu-ibu lain yang mempunyai anak kecil dan dalam masa sama sibuk dengan kerjaya masing-masing. Naluri keibuan yang terpancar pada wajah Sharifah Aminah menutupi segala kekurangan diri.
Realitinya, lima anak yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang itu bukan berasal dari darah daging Sharifah Aminah. Sebaliknya, mereka adalah anak angkat yang telah dijaga dengan sempurna oleh Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Bandar Tun Razak itu sejak kecil lagi.
Dialah ibu dan dia jugalah bapa kepada lima anak bertuah Muhammad Mukhlis Daniel, 10 tahun; Muhammad Mohssain Danish, 9 tahun; Mysarah Aqeelah Wafaa dan kembarnya, Muhammad Aqeel Wafiyy, 8 tahun; dan Muhammad Aqmal Wafeeq, 3 tahun. Bayangkan tanpa bantuan insan bergelar suami dan menguruskan segala keperluan seorang diri Sharifah Aminah teguh mendepani hari mendatang.
Baginya, itu adalah kepuasan yang dicari selama ini. Berkongsi kasih bersama anak kecil yang memerlukan. Sungguh mulia!
Namun, tanggal 25 Disember tahun lalu… tugas yang digalas Sharifah Aminah selama ini dikongsi bersama lelaki bergelar suami. Selamat mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan keluarga, Muhamad Anizan Kadir… wanita berjiwa penyayang ini mengakui hidupnya lebih sempurna sekarang.
“Niat untuk ambil anak angkat ini bermula secara kebetulan waktu hari jadi saya yang ke-29. Masa tu tahun 2008 apabila seorang sahabat baik datang ke rumah saya dan membawa bayi lelaki yang baru berusia 53 hari.
Memandangkan dia belum berkahwin dan tak ada rumah yang sesuai, saya bersetuju membiarkan bayi tersebut tinggal di rumah sementara menunggu dia cari rumah. Diam tak diam, enam tahun juga saya jaga bayi tersebut dan kemudian baru kawan jaga sepenuhnya.
Bila sudah selalu bersama dan tiba-tiba terpaksa berpisah, memang saya rasa sedih. Kalau dulu, setiap hari dia ada bersama tapi selepas kawan turut jaga anak pertama saya, Mukhlis, kami bergilir-gilir jaga. Sebab sedih tak dapat selalu jumpa, adik perempuan saya pergi carikan anak angkat yang baru pula untuk saya secara sah. Dari situlah, saya mula ambil anak angkat kedua dan seterusnya.
Masa anak ketiga sebenarnya majikan saya yang mahu mengambil anak angkat sebab dia belum dapat anak lagi. Tapi bila bayi sudah lahir, lain pula jadinya dan dia beritahu belum bersedia lagi. Tak mahu hampakan keluarga bayi tersebut, saya yang ambil dan jaga anak kembar mereka.
Ingatkan sampai situ saja, tapi rupanya ada lagi anak kelima yang kawan saya bawa seorang wanita sarat mengandung ke rumah pukul 2 pagi. Seminggu kemudian dia bersalin dan sama seperti kes sebelum ini, pasangan yang mahu ambil anak angkat mungkir janji. Jadi, saya ambil juga anak ini dan ibunya sekali untuk tinggal bersama.
Ambil anak angkat ini bukan mudah sebab banyak proses yang perlu dilakukan. Kita kena berurusan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memaklumkan kita telah mengambil anak angkat, berurusan dengan Jabatan Pendaftaran Negara dan menandatangani beberapa dokumen oleh ibu bayi terbabit sebelum diserahkan kepada kita. Selepas 2 tahun menjaga anak, baru secara rasminya proses pengambilan anak angkat berlaku.”
Membahasakan diri dengan gelaran Umi di hadapan anak-anak, Sharifah Aminah juga tidak terlepas daripada persepsi negatif masyarakat yang menganggap usaha murninya itu adalah semata-mata untuk melindungi status diri. Meskipun terkadang timbul sekelumit rasa benci dengan tohmahan khalayak, wanita cekal ini membulatkan hati untuk terus memperjuangkan nasib lima anaknya.
“Tak dinafikan saya terima banyak sangat feedback orang ramai. Ada yang menyokong dan tidak kurang juga yang mengata serta menjaja cerita. Kononnya saya yang melahirkan anak ini dan terpaksa menyorokkan mereka kerana saya sudah berkahwin dan menjadi isteri kedua.
Saya tak mahu ambil peduli dengan cakap-cakap orang luar. Cukuplah ahli keluarga sokong dan menerima anak saya seperti darah daging sendiri. Alhamdulillah, semua anak saya disusukan adik perempuan saya. Jadi kepada wanita yang ada keinginan mengambil anak angkat; jaga, sayangi dan lindungilah mereka macam anak sendiri.
Jangan sesekali abaikan kerana mereka adalah amanah Allah untuk kita walaupun realitinya kita bukan insan yang melahirkan mereka ke dunia. Paling penting, ambil anak ini dengan prosedur yang betul dan sah di sisi undang-undang supaya nasib mereka terbela kelak,” pesannya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sentuhan fesyen Dato’ Sri Bernard Chandran memang serba eksklusif dan unik! Tak hairanlah beliau sering menjadi rebutan dalam kalangan VVIP dan pilihan utama keluarga diraja Brunei untuk rekaan busana. Meniti usia 55 tahun, bakat dan sense of fashion pereka fesyen ulung negara ini ternyata mendapat perhatian peminat fesyen dunia.
Dilahirkan pada 27 Februari 1968, Dato’ Sri Bernard yang sudah mula menceburi industri fesyen seawal usia belasan tahun kini lebih dikenali sebagai ‘King of Fashion’ Malaysia! Beliau mempunyai darah keturunan India daripada bapanya iaitu P Ramachandran. Manakala keturunan Cina daripada ibunya, Chow Yook Lin.
Mendapat pendidikan dari Paris American Academy, Dato’ Sri Bernard yang diberi tanggungjawab sebagai pereka baju pengantin diraja Brunei sepanjang Majlis Istiadat Perkahwinan Diraja YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah iaitu anakanda kesembilan Sultan Brunei meraih tumpuan meluas.
Difahamkan beliau mengambil masa enam bulan untuk mengilhamkan busana dan baki tiga bulan lagi untuk menyiapkan persalinan indah pasangan Raja Sehari itu. Dato’ Sri Bernard juga terlibat memastikan semua busana yang dikenakan oleh mempelai diraja sepanjang majlis perkahwinan diraja berlangsung bermula 16 hingga 25 Januari lalu sentiasa memukau mata serta penuh adat istiadat.
Atas kreativiti dan rekaan memukau itu, beliau sekali lagi bertanggungjawab menjadi pereka baju pengantin anakanda Sultan Brunei pada 12 Januari lepas iaitu YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah dengan Yang Amat Mulia (YAM) Pengiran Muda Bahar.
Bukan calang-calang ‘klien’ ya yang diterima Dato’ Sri Bernard.
Bahkan sebelum ini juga rekaan Dato’ Sri Bernard pernah digayakan selebriti kelas A antarabangsa termasuklah penyanyi rap Estelle, Lady Gaga, Rihanna dan Tori Amos!
Dato’ Sri Bernard pernah menjadi juri rancangan Project Runway Malaysia pada tahun 2007. Selain juri jemputan bagi Britain’s Next Top Model.
Menelusuri latar belakang Dato’ Sri Bernard, beliau mendirikan rumah tangga dengan bekas model berketurunan India iaitu Datin Sri Mary Lourdes Chandran. Datin Sri Mary ialah bekas peragawati antarabangsa dan model berjaya Malaysia sekitar tahun 1980an. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan lima orang cahaya mata iaitu Tanestrran, Tanzanite, Terimunite, Trunan dan Thanyakumari.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Naluri keibuan begitu tinggi dalam diri wanita ini sehingga sanggup melakukan apa sahaja demi memperjuangkan hak anak-anak. Rita Rudaini seorang wanita yang berhati waja dan cekal menempuh dugaan hidup yang tertulis dalam kanvas hidupnya.
Anak kelahiran Kangar, Perlis ini antara pelakon yang masih mampu bertahan dan sering dilamar syarikat produksi untuk menjayakan drama Melayu tempatan.
Menyelongkar perkembangan terbaharu, Rita Rudaini yang tetap ramah seperti dahulu tetap sibuk seperti biasa menjalan tugas sebagai anak seni, ibu dan juga usahawan. “Seperti biasa saya sibuk dengan persekolahan anak-anak.
Kini saya lebih selektif dalam memilih naskhah dan watak lakonan kerana anak-anak. Mereka sedang membesar dan memerlukan pantauan daripada ibu mereka. Berlakon pun sekarang kena tengok masa saya dengan jadual anak-anak.
Saya tidak lagi boleh tinggal mereka selalu kerana mereka makin membesar dan perlukan saya untuk kerja-kerja sekolah dan aktiviti sek yang lain. Jadi saya hadkan masa saya,” terang Rita Rudaini panjang lebar.
Bukan sahaja Rita Rudaini malah setiap ibu di luar sana mahu yang terbaik untuk anak-anak mereka. Tidak ada seorang pun sanggup spoil anak mereka. Pengaruh media sosial yang berleluasa telah menggugat tugas ibu sebagai pendidik terhadap anak-anak mereka.
Rita Rudaini juga salah seorang ibu yang gerun dengan pengaruh media sosial terhadap anak-anak yang masih kecil dan memerlukan panduan serta tunjuk ajar.
“Ancaman media sosial terhadap anak-anak yang masih kecil memang saya pandang serius. Sebab itu saya tidak dedahkan anak-anak untuk menguruskan sendiri akuan Instagram mereka. Akaun Instagram mereka pun wujud atas permintaan kawan-kawan tetapi saya tetapkan syarat untuk menjadi admin mereka.
Secara jujurnya anak-anak pun sebenarnya tidak berminat ke arah tu. Penggunaan gajet seperti telefon bimbit memang saya tidak benarkan kecuali apabila cuti persekolahan sahaja. Quality time dengan keluarga lebih penting dan itu yang saya terapkan pada anak-anak.
Saya dan anak-anak sebenarnya suka menghabiskan masa di rumah sahaja. Mungkin anak-anak mengikut perangai saya yang suka memerap di rumah sahaja berbanding bersantai di luar. Kami jenis suka duduk rumah dan menonton filem bersama-sama. Kadang-kadang jika ada masa terluang kami akan keluar menonton di panggung wayang.
Saya lebih suka mengikut kesukaan anak-anak. Saya tidak pernah mengatur itu ini dan memaksa mereka buat ikut kemahuan dan kesukaan saya” tutur Rita Rudaini yang pernah menyertai pertandingan Dewi Remaja 98/99, dan berjaya menjadi finalis.
Rita juga pernah berkongsi di laman media sosialnya tentang rasa syukurnya dikurniakan anak yang baik dan mendengar kata. “Alhamdulillah, terima kasih Allah SWT kerana pilih aku menjadi ibu untuk dua lelaki hebat ini. Jadi peneman di hari tua mommy,” coret Rita.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Marisha Friska Halauwet membuktikan wanita mampu berjaya sebagai doktor pakar bedah dan penyanyi terkenal, inspirasi wanita moden dalam dua dunia berbeza.