Di sebalik rupa paras cantik dan perwatakan happy go lucky, Suzana Zainan atau lebih dikenali sebagai Ana yang merupakan peserta Top 9 Program Realiti Digital Pencarian Make Up Artist Fabulous MUA Nona x FCC ini rupa-rupanya sudah pun bergelar nenek. Kelu lidah penulis saat mengetahui status sebenar Ana ditambah pula kisah hidupnya yang pernah menjadi ibu tunggal selama lebih sedekad! Ya Tuhan, sungguh kental jiwa dan semangat wanita ini.
Merupakan peserta paling berusia, tidak keterlaluan jika penulis mengatakan dia juga peserta paling ceria sepanjang pertandingan ini berlangsung. Bahkan sejak dari sesi ujibakat, Top 30 dan Top 9… Ana antara individu yang berjaya menarik perhatian juri serta menjadi pencabar utama kepada peserta-peserta lain. Mungkin kerana kematangan yang dimiliki selain pengalaman Ana yang sudah menceburi bidang kosmetik dan solekan lebih 13 tahun lalu.
Berkesempatan mendekati sisi peribadi Ana, wanita berusia 42 tahun ini nyata cukup terbuka berkongsi pengalaman hidup. Sambil tersenyum dan dengan nada tenang, dia menyusun bicara, “Saya ada empat orang anak. Tiga perempuan dan satu lelaki. Yang sulung dan kedua perempuan umur 25 dan 24 tahun, anak ketiga lelaki; lapan tahun, sementara anak paling kecil, perempuan… umur tujuh tahun.
Ana di samping anak perempuannyaAnak ketiga dan keempat Suzana Zainan
Jarak umur anak pertama dan kedua tu jauh daripada anak ketiga sebab lepas berkahwin kali kedua, baru saya dapat anak lelaki. Sebelum perkahwinan kedua, saya dah jadi ibu tunggal selama 12 tahun. Pada saya, dunia solekan ni memang cukup dekat dengan jiwa saya sebab dengan kerjaya inilah saya besarkan anak-anak sepanjang bergelar ibu tunggal dulu.
Saya kahwin umur 17 tahun dan bercerai ketika 21 tahun. Iyalah, orang perempuan ni cepat rasa serik… jadi saya takut untuk kahwin semula lepas bercerai. Lagipun waktu itu dua anak perempuan saya masih kecil. Saya nekad untuk membesarkan mereka seorang diri sampailah usia 15 tahun. Bila mereka dah pandai bawa diri baru saya fikir untuk kahwin kali kedua. Alhamdulillah untuk perkahwinan kali kedua ini saya dikurniakan dua orang anak dan usia perkahwinan pun masuk tahun ke-10.”
Ads
Tambah Ana lagi, “Perancangan Allah SWT sememangnya yang terbaik. Lepas kahwin semula, saya dapat mak mertua yang baik dan sokong apa juga yang saya buat. Hinggakan hendak masuk pertandingan ini pun dia support… fully support. Dan saya juga berterima kasih dengan mak saya sebab dia yang tolong jaga anak-anak bila saya pergi kerja. Masa tu, dua anak perempuan saya baru umur tiga tahun.
Bersama suami tercintaAna di samping cucu sulung yang kini berusia 10 bulan
Alhamdulillah, kedua-dua anak perempuan saya tamat belajar sampai degree. Seorang bekerja dalam bidang retail, seorang lagi kerja perbankan. Oh, saya juga ada cucu seorang! Anak perempuan kedua saya dah kahwin dan sekarang cucu saya dah 10 bulan. Saya bersyukur sebab diberikan kehidupan yang penuh warna-warni. Orang tengok saya seorang yang fun, tapi dalaman… hanya Allah yang tahu sebab saya lebih selesa tak tunjuk suka duka yang pernah saya lalui dekat orang.”
Pernah berkhidmat dengan syarikat jenama kosmetik terkenal tidak lama dulu, Ana juga mempunyai Diploma dalam lulusan solekan dan dandanan. Sebaik diajukan pertanyaan mengenai harapannya dalam bidang ini, Ana dengan lantang menitipkan pesanan berikut.
Ads
“Harapan saya kepada semua yang ada niat nak jadi seorang make up artist… persiapkan diri anda dengan semua segi termasuk ilmu. Bila buat make up, bukan fikir tentang duit semata-mata. Paling utama kena ada minat, lepas tu kena tahu yang solekan ini melibatkan seni dan keyakinan orang terhadap diri kita sendiri.
Mahu atau tak, make up artist kena ada pengetahuan dari segi tentang macam mana hendak faham sikap dan gelagat orang yang kita mekap. Bukan dari sudut mekap saja tapi kena tahu bagaimana untuk handle emosi mereka. Kerjaya ini bukan main-main. Perbetul niat dan inshaAllah kita bukan saja dapat jana pendapatan tapi juga dapat penghormatan dari orang lain.”
Saksikan Ana dan lapan lagi peserta yang bertanding dalam Fabulous MUA Nona x FCC bagi merebut gelaran juara program realiti digital pencarian make up artist pertama di Malaysia ini. Fabulous MUA Nona x FCC bakal bersiaran menerusi platform digital Majalah Nona. Antaranya di Youtube, Facebook dan laman web rasmi Majalah Nona bermula 1 November ini, jam 8 malam. Pertandingan ini dihoskan oleh Fiza Frizzy manakala Pengarah Urusan FCC, Ili Zawani Ismail dan Editor Pengurusan Majalah Nona, Kiffy Razak selaku juri tetap.
Ads
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pesona Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor sudah mula menyerlah ketika baginda masih bertugas sebagai Penyampai Berita lagi. Kecantikan wajah dan butir bicara yang jelas tatkala menyampaikan berita membuatkan penonton tidak jemu dan terus ‘melekat’ di kaca televisyen.
Tidak hairanlah, Tengku Permaisuri Norashikin berjaya menggondol Anugerah Penyampai Berita TV Terbaik di Anugerah Seri Angkasa 2005 kerana bakat yang dimiliki. Lahir sebagai seorang rakyat jelata, kompas hidup Tengku Permaisuri Norashikin berubah sepenuhnya apabila baginda berkahwin dengan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada penghujung bulan Ogos 2016.
Kini selepas lebih tiga tahun bergelar DYMM Tengku Permaisuri Selangor, baginda akhirnya berkenan berkongsi sisi peribadi kepada umum menerusi naskhah ‘My First Year Journey – From TV News Anchor to Tengku Permaisuri Selangor – An Anecdotal Experience’. Buku eksklusif cetakan terhad ini baru sahaja dilancarkan pada 16 Disember lalu di Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam. DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan berangkat ke majlis pelancaran buku berkenaan.
Menariknya, buku ini memuatkan gambar-gambar eksklusif baginda yang belum pernah disiarkan sebelum ini dan buku ‘My First Year Journey’ ditulis oleh kakak DYMM Tengku Permaisuri Norashikin iaitu Yang Berbahagia Datin Dr Norely Abdul Rahman.
Pada majlis pelancaran, Tengku Permaisuri Selangor bertitah, “Saya ingin memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT di atas majlis pelancaran buku pada petang yang berbahagia ini. Sesungguhnya saya berasa amat berbesar hati dan teruja dengan penerbitan buku “My First Year Journey” ini walaupun pada masa sama perasaan saya bercampur baur dan kadangkala berbelah-bahagi, apatah lagi saya seorang yang tidak gemar untuk berkongsi kisah kehidupan dan peribadi saya sejak dahulu lagi.
Jadi penerbitan buku ini sebenarnya mengambil masa yang agak lama kerana setiap kali ditanya oleh penulis buku ini iaitu kakak saya sendiri, Yang Berbahagia Datin Dr. Norely Abdul Rahman, saya seringkali menangguhkan permintaan beliau itu. Oleh kerana saya juga seorang yang teliti, jadi saya mahu setiap penceritaan itu ditulis secara terperinci tanpa ditokok tambah dan berdasarkan peristiwa-peristiwa yang benar-benar berlaku. Alhamdulillah selepas hampir 3 tahun buku ini berjaya disiapkan.
Buku ini sebenarnya bertujuan untuk berkongsi pengalaman saya menempuhi pelbagai pengalaman baharu buat pertama kali, khususnya membabitkan protokol istana dan adat istiadat di dalam Balairung Seri. Namun lebih menarik, tujuan saya adalah untuk turut membawa pembaca merasai pengalaman yang saya lalui dan memperoleh pengetahuan baharu mengenai adat istiadat, bahasa istana dan susur galur sejarah Kesultanan Selangor.
Saya juga amat terharu dan berbesar hati dengan sokongan dan input yang diberikan oleh DYMM Tuanku Sultan khususnya yang membabitkan hal-hal berkaitan adat istiadat istana. Menjunjung kasih Tuanku.
Life is about learning. I am happy to share with everybody the learning curve that I had to go through, while settling in this new role of mine. This book is intended to spread positivity and to emphasize that I am only human and in no way, shape or form, perfect. I hope this book will be well received by everyone and I am happy to announce that part of the proceeds from the sales of this book will go to the charity that is closest to my heart, SPCA Selangor.”
Buku kisah perjalanan hidup Tengku Permaisuri Norashikin, seorang Permaisuri yang lahirnya sebagai seorang rakyat jelata adalah sebuah naskhah yang pastinya dapat memberi inspirasi kepada semua pembaca. Buku ini berharga RM160 senaskhah dan sebahagian hasil jualan daripada buku ini akan disumbangkan untuk tujuan kebajikan kepada SPCA Selangor.
Sumber: Selangor Royal Official
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Rezeki Farhatul Fairuzah! Muda-muda lagi dah berjaya memperoleh tauliah untuk mengajar Agama Islam dan berceramah. Bersandarkan kejayaan Farhatul yang merupakan Johan Qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa pada tahun 2019, tidak hairanlah dia diberi kepercayaan daripada Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.
Berkongsi berita gembira itu di media sosial, Farhatul atau nama sebenarnya Nor Farhatul Fairuzah Panut melahirkan rasa syukur kerana memenuhi kehendak Jawatankuasa untuk mengajar di Wilayah-Wilayah Persekutuan dalam bidang Al-Quran bagi kategori Kanak-Kanak dan Dewasa.
Ujarnya, “Alhamdulillah baru sempat menghadiri Muzakarah Tauliah Mengajar, setelah beberapa kali tertunda disebabkan hal-hal yang tidak dapat dielakkan. Terima kasih para penceramah-penceramah yang hebat. Dan juga Timbalan-Timbalan Pengarah Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.
Dengan adanya majlis dan tauliah sebegini, ajaran Agama Islam tu dapat dipantau dan diiktiraf.
Semoga usaha ini sentiasa diberkati dan dapat melahirkan lebih ramai pendakwah-pendakwah untuk meluaskan dan menyebarkan lagi ilmu Agama Islam. Sama-sama kita belajar dan menyampaikan walaupun satu ayat.”
Tumpang bangga dan gembira melihat kejayaan Farhatul. Atas jasa dan dakwah memartabatkan Al-Quran, dia juga dikurniakan Darjah dan Kebesaran Negeri Selangor iaitu Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S) daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada 11 Disember 2022.
Rezeki Farhatul Fairuzah, meniti usia 24 tahun dia mewakili suara anak muda berusaha menarik minat golongan ini mencintai Al-Quran melalui media sosial memandangkan kebanyakan mereka aktif dan gemar menggunakan platfrom berkenaan.
Farha yang juga pelajar Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan membahagikan masa dengan sebaiknya selepas menerima perlantikan sebagai Ikon Dakwah YADIM 2021 dan Tokoh Belia Negara 2019.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Melihat gaya hidup mewah Jinkee Pacquiao hari ini pasti membuatkan ramai yang berasa cemburu. Mana tidaknya, selain dilimpahi dengan kesenangan wang ringgit… isteri kepada salah seorang senator popular di Filipina yang juga atlet tinju terkemuka dunia ini juga cukup bertuah kerana dikurniakan ‘harta’ paling bernilai iaitu lima orang cahaya mata mereka. Yang pasti, Jinkee memiliki apa yang diimpikan setiap wanita. Kebahagiaan berkeluarga, kaya, ternama dan berjaya!
Namun di sebalik kemewahan yang dinikmati hari ini, Jinkee dan suaminya Manny Pacquiao pernah melalui liku hidup yang sukar. Mereka pernah hidup sengsara kerana selain kerjaya tinju suami yang kurang bersinar, Pacquiao juga dikhabarkan seorang suami yang gemar berfoya-foya, kuat merokok, kaki judi, kaki minum serta suka cari gaduh.
Dek kerana sikap negatif suami, Jinkee pernah terfikir untuk bercerai namun kerana sayangkan ikatan yang telah terbina… dia sanggup bersusah-payah membantu membina semula kerjaya suami sehingga berjaya seperti sekarang. Menurut GMA News, pasangan ini kembali menghangatkan hubungan yang kian retak menanti belah dengan menikmati bulan madu kali kedua mereka.
Dan buat pertama kalinya, Jinkee yang juga penerbit filem dan personaliti media Filipina ini hadir menemani suami tercinta ke pusat latihan tinju di Los Angeles. Dari situlah bermulanya perubahan positif Pacquiao hingga melonjakkan namanya selaku ahli tinju terkemuka dunia yang dikecapi hari ini. Berkat sokongan Jinkee dan usaha keras, Pacquiao atau lebih dikenali dengan gelaran PacMan di gelanggang tinju telah dianugerahkan Fighter of the Decade pada 27 Julai 2009.
Sehingga ke saat ini, Manny Pacquiao tersenarai dalam The 20 Richest Boxers In The World 2019 dan dia menduduki tangga keenam dengan meraih pendapatan setinggi USD190 Juta. Memetik laporan Forbes pula Pacquiao antara 2019 The World’s Highest-Paid Athletes Earnings dengan pendapatan berjumlah sekitar USD26 Juta bagi setiap perlawanan yang dimenanginya.
Berdasarkan Post Magazine… ahli tinju berkenaan dilaporkan membeli rumah agam di Beverly Hills bernilai USD12 Juta yang dahulunya pernah didiami rapper Sean Combs. Pada 2010 Pacquiao dicalonkan sebagai Philippine House of Representatives dan bergelar Senator pada tahun 2016.
Jinkee yang kini berada di Los Angeles dilihat cukup gembira dengan apa yang dimilikinya hari ini dan meluangkan masa di samping anak-anak dan keluarga dengan mengunjungi taman tema popular, membeli-belah di butik mewah selain beriadah bersama lima anaknya di kediaman elit mereka di sana.
Mengintai Instagram wanita berusia 40 tahun ini, Jinkee turut memperlihatkan gaya hidup mewah dengan berkongsi kediaman mereka yang besar dan eksklusif serta cita rasa fesyennya. Gemar bergaya dengan jenama mahal dari hujung rambut ke hujung kaki… Jinkee turut mempunyai koleksi beg tangan Hermes pelbagai saiz dan jenis.
Bahkan dia juga merupakan penggemar jenama Christian Dior, Chanel, Louis Vuitton dan banyak lagi. Itu belum lagi kira kasut, jam tangan, baju, cermin mata hitam dan bermacam-macam aksesori lain yang ada dalam simpanannya.
Bukan hanya Jinkee bahkan kelima-lima anak mereka turut mengenakan persalinan mewah dan eksklusif dari label terkemuka. Disebabkan status suami sebagai senator dan antara ahli tinju terkaya di dunia… keluarga ini dikawal dengan beberapa pengawal peribadi yang mengiringi percutian mereka tidak kira di dalam mahupun luar negara.
Sumber: Post Magazine & Forbes / Foto: Instagram Jinkee Pacquiao
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!