Pelakon era 80-an Indonesia, Ira Wibowo masih kekal jelita walaupun usianya sudah mencecah 55 tahun. Ira Wibowo, bekas isteri penyanyi yang popular dengan lagu Dinda Di Mana, Katon Bagaskara ini mempunyai cara tersendiri untuk kekal aktif dan cantik.
Memetik Kapan Lagi.Com, sejak kebelakangan ini, dirinya aktif melakukan aktiviti pilates memandangkan adiknya, Ari Wibowo baharu sahaja membuka sebuah pusat senaman pilates iaitu Pilates Re Bar di Kemang, Jakarta Selatan.
Selain itu, melalui perkongsian Ira di laman Instagram miliknya, ibu kepada dua cahayamata ini juga rajin melakukan aktiviti fizikal yang lasak antaranya termasuklah mendaki gunung, berbasikal dan menyertai acara larian yang dianjurkan di Jakarta.
Melihat gaya hidup pelakon berketurunan Jawa dan Jerman ini yang mementingkan aspek kesihatan, tidak hairanlah mengapa dia dilantik sebagai Duta oleh Yayasan Kanser Indonesia di mana Ira bertindak sebagai suara menyampaikan informasi mengenai bahaya kanser serviks dan pencegahannya.
Ibu kepada Andhika Radya Bagaskara dan Mario Arya Bagaskara ini lebih tenang menjalani hidup sebagai ibu tunggal selepas bercerai dengan pelantun lagu Dinda Di Mana, Katon Bagaskara. Walaupun telah lama bercerai, pasangan ini dilihat sering mengutamakan anak-anak dalam kehidupan seharian mereka.
Pasangan ini rasmi berpisah pada 18 Desember 2012. Pasangan ini sempat menikmati kehidupan sebagai suami isteri selama 16 tahun sebelum memilih untuk membawa haluan masing-masing.
Mana tidaknya, baik Ira mahupun Katon Bagaskara akan memastikan mereka hadir di setiap majlis yang melibatkan dua anak hasil perkahwinan mereka serta anak perempuan, Chika Putri Bagaskara hasil perkahwinan terdahulu Katon bersama bekas isterinya, Monica Tri Mei Suciati.
Selain itu, walaupun berlainan agama di mana Katon Bagaskara menganut agama Kristian manakala Ira Wibowo beragama Islam, mereka tetap bersama-sama keluarga meraikan sambutan tersebut memandangkan Katon Bagaskara masih mempunyai ibu. Ira juga menganggap bekas ibu mentuanya itu seperti ibunya sendiri.
Selain aktif bersenam, wanita yang dilahirkan di German ini memilih gaya hidup yang aktif dan mengambil pendekatan untuk hidup tenang di samping keluarga dan rakan-rakan. Malah, Ira turut mempunyai hubungan akrab dengan bapanya, Wibowo Wirjodiprojo yang kini mencecah usia 93 tahun dan masih kekal sihat. Mungkin Ira mewarisi gaya hidup bapanya untuk kekal sihat dan bersemangat!