Tepat jam 10 malam, kebanyakan masjid dan surau yang ada di seluruh negara akan ditutup dan dikunci. Bagi yang mahu bersolat, terpaksa singgah di hentian ‘Rawat dan Rehat’ (R&R) atau stesen minyak untuk menunaikan kewajipan itu.
Berbeza dengan impian Pengarah Urusan Murtadha Dakwah Centre, Ustaz Mohammad Yaakub Yusra Mohd Yusof, 32, beliau mahu menjadikan Murtadha Dakwah Centre (MADAD) seperti Madinah yang dikunjungi orang ramai 24 jam tanpa henti.
“Di sekeliling Madinah, ada perniagaan dan pada masa yang sama, orang ramai beribadah di sana. Jadi saya juga mahu jadikan MADAD sebagai pilihan orang ramai yang mahu lakukan pelbagai aktiviti, bukan hanya sekadar solat semata.
“Alhamdulillah, fasa-fasa pembangunan seperti Masjid Darul Murthada, Rumah Kucing, Homestay, Stadium E-Sport, Hotel, Rumah Warga Emas dan beberapa projek lain sudah siap 60%. InsyaAllah menjelang Jun 2024, semua fasiliti ini siap sepenuhnya dan boleh digunakan orang ramai secara percuma dan dibuka 24 jam tanpa henti.
“Tak perlu bayar apa pun bila berkunjung ke MADAD. Nak naik kuda, kami ada berbelas ekor kuda. Naik percuma saja. Nak masuk rumah kucing pun kami ada lebih 800 ekor kucing di mana saya tubuhkan Pusat Pendidikan Kucing. Nak menginap di hotel, ada 32 buah bilik. Duduklah, bermalam sehari dua. Tak perlu bayar apa-apa, semuanya percuma.
“Kalau anak-anak nak bermain e-sport, kami ada stadium bagi tournament e-sport. Paling utama, kami akan pesan pada anak-anak, bila masuk waktu solat, wajib solat jemaah dulu. Kemudian baru sambung main.
“Kami juga ada gym di masjid, jadi tak adalah pakcik makcik melepak lepas balik dari masjid. Nak zumba ke semua ada. Tempat kami asingkan, lelaki dan perempuan. Ada memanah juga. Pendek kata, apa saja keperluan dunia, semuanya kami satukan di bawah MADAD ini,” kata Ustaz Yaacob ketika ditemui.
Tidak hanya keperluan duniawi dan ukhrawi, hartanah seluas tiga hektar yang dibangunkan sejak 2018 itu sudah menjadi pusat komuniti Islam pertama bertaraf antarabangsa dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM35 juta.
Ustaz Yaacob turut mewujudkan pusat perkahwinan terendah pada harga di bawah RM10,000 namun dewannya umpama hotel 5 bintang bagi memastikan urusan anak-anak muda yang ingin berumah tangga dipermudahkan.
Ads
“Tiap hari di MADAD, kami sediakan makan minum percuma. Kalau hujung minggu, berbas-bas datang ke sini. Hujung minggu mencecah 10,000 orang mengunjungi MADAD dan semua kami sediakan makan minum secara percuma kepada tetamu,” jemputnya dengan mesra.
AMALAN
Ditebak mengapa berhasrat melakukan amal kebajikan sebegini hebat, jelas Ustaz Yaacob, beliau ingin meneladani Nabi Muhammad SAW yang tersenarai sebagai Tokoh Paling Berpengaruh Di Dunia (The 100 – The Most Influential Person In History).
“Nabi jadi jutawan pada usia 18 tahun. Nabi solat hingga bengkak-bengkak kaki. Nabi masih belajar dengan Malaikat Jibrail di akhir usianya. Nabi juga tak malu menimba ilmu daripada sahabat walaupun dirinya lebih hebat. Nabi buat apa saja untuk menyatukan ummah termasuk hadapi cabaran ketika berdakwah dulu.
“Jadi semua kehebatan Nabi Muhammad ini perlu kita tiru dan sebarkan kasih sayangnya. Bagi saya, kenapa saya pilih lakukan amal kebajikan begini (memberi segalanya percuma) adalah kerana saya mahu menggunakan rezeki yang Allah kurniakan ke jalan sebaiknya.
“Percaya tak, saya tak ada kereta sendiri pun. Saya lebih suka naik Grab. Saya tak ada pun Lamborghini walaupun mampu membelinya. Tapi saya ada banyak van jenazah yang orang gunakan setiap hari. Saya beli van jenazah melebihi nilai sejuta ringgit dan bagi saya itulah kehebatan seorang manusia apabila dirinya mampu berbakti kepada orang lain.
Ads
“Kita semua akan mati dan akan menaiki van jenazah itu. Jadi saya persiapkan diri menjadi orang dikenali di akhirat kelak. Kalau beli Lamborghini, berdua saja boleh naik. Kemudian apa? Pose gambar kereta di media sosial biar orang puji dan kagum? Tapi apa kita dapat melaluinya? Hanya kebaikan untuk diri sendiri, bukan kepada ummah,” katanya yang kini berusaha menarik minat anak muda ke arah kebaikan.
“Kata Nabi, didik dan dekati seseorang termasuk anak menurut zamannya. Kita tak boleh fikir zaman kita dibesarkan kerana ketika itu tak sama dengan apa ada hari ini. Sebab itu, saya saja suka sedekah RM5 pada anak-anak yang datang solat jemaah ke Masjid MADAD. Bila anak datang, mak ayahnya mesti datang kerana takkan anak nak datang seorang. Bila kita semakin faham ilmu agama itu, institusi kekeluargaan akan lebih harmoni,” kongsinya.
Kata Ustaz Yaacob Yusra, demi mempersiapkan soal perjalanan akhir manusia iaitu kematian, dirinya turut menubuhkan Skuad Hang Cangkul dan Hang Cuci.
“Fungsi Hang Cangkul ini, bila ada kematian kita akan urus secara percuma dan semua ini anak muda yang lakukan. Tang Hang Cuci pula kami pergi bersihkan masjid-masjid yang ada termasuk masjid di MADAD yang saya jadikan bilik airnya seperti hotel lima bintang.
“Saya yang reka sendiri dalamannya. Macam hotel mewah. Sebabnya saya nak buang persepsi orang ramai tandas di masjid busuk dan tak terjaga. Jadi Skuad Hang Cuci inilah yang pergi bersihkan masjid-masjid sekaligus anak muda berukhwah di dalamnya,” katanya dalam nada bersemangat.
Ads
UJIAN
Pasti ramai tertanya-tanya di sebalik pelaburan besar dilakukan pada MADAD demi kelestarian dan ummah sejagat pasti kita tertanya-tanya dari mana sumber kewangan MADAD dijana.
Mengulas isu ini, Ustaz Yaacob mengakui pada awal penubuhan MADAD dahulu yang merupakan inspirasi dari arwah abangnya, Allahyarham Ustaz Murtadha yang meninggal dalam kemalangan jalan raya pada Januari 2018 dan Ustaz Wadi antara yang terselamat dalam kemalangan ngeri itu, beliau hanya meneruskan kesinambungan yang arwah abangnya impikan.
“Jujurnya pada awal penubuhan MADAD dulu, ia dijana daripada sumbangan duit orang ramai untuk pembangunan dan pembelajaran anak-anak tahfiz. Tapi saya berimpian lebih besar dari itu. Saya persiapkan diri dengan ilmu termasuk ambil double Master dan dah daftar pun buat PhD tahun depan.
“Saya belajar ilmu saham hingga dapat jolokan Ustaz Saham walau pun saya tak faham apa pun masa masuk kelas itu. Tapi dalam tahun itu, saya berjaya buat duit RM1 juta. Dari keuntungan inilah, saya mula merancang termasuk menubuhkan team yang membuat pelaburan dalam dunia saham.
“Alhamdulillah, di bawah MADAD ada 14 buah anak syarikat. Dari keuntungan-keuntungan inilah kita salurkan ke MADAD Care untuk orang ramai menikmati pelbagai kemudahan secara percuma. Alhamdulillah, saya dapat pasukan yang bagus. Dan masih ada yang bersedekah dan berwakaf kepada MADAD. Sikit sama sikit dirasai. Orang kaya berbakti, orang miskin berteduh.”
Jelasnya lagi, di sebalik kejayaan itu, terselit kepahitan bila mana ada laporan polis dibuat hingga perlu bersoal jawab dengan SPRM. Turun naik mahkamah juga ada. “Tapi syukur, kami mempersiapkan diri dengan buat audit. Jadi semua itu jadi bukti akaun syarikat. Turun naik mahkamah 4 kali pun kami menang. Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan perjalanan MADAD.”
Terpilih menerima anugerah sempena Nona Superhero 2023 di bawah kategori Nona Best Community Dakwah Centre Award, jelas Ustaz Yaacob ia satu penghargaan buat semua. “Bagi saya berkongsi rezeki dengan semua ia adalah usaha patut diteruskan. Agama pun jadi sanjungan dan masyarakat juga menikmatinya,” katanya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Melihat gaya hidup mewah Jinkee Pacquiao hari ini pasti membuatkan ramai yang berasa cemburu. Mana tidaknya, selain dilimpahi dengan kesenangan wang ringgit isteri kepada salah seorang senator popular di Filipina yang juga atlet tinju terkemuka dunia ini juga cukup bertuah kerana dikurniakan ‘harta’ paling bernilai iaitu lima orang cahaya mata mereka. Mengintai kehidupan Jinkee, wanita cantik ini memiliki apa yang diimpikan setiap wanita. Kebahagiaan berkeluarga, kaya, ternama dan berjaya!
Namun di sebalik kemewahan yang dinikmati hari ini, Jinkee dan suaminya Manny Pacquiao pernah melalui liku hidup yang sukar. Mereka pernah hidup sengsara kerana selain kerjaya tinju suami yang kurang bersinar, Pacquiao juga dikhabarkan seorang suami yang gemar berfoya-foya, kuat merokok, kaki judi, kaki minum dan suka cari gaduh.
Dek kerana sikap negatif suami, Jinkee pernah terfikir untuk bercerai namun kerana sayangkan ikatan yang telah terbina dia sanggup bersusah-payah membantu membina semula kerjaya suami sehingga berjaya seperti sekarang. Menurut GMA News, pasangan ini kembali menghangatkan hubungan yang kian retak menanti belah dengan menikmati bulan madu kali kedua mereka.
Dan buat pertama kalinya, Jinkee yang juga penerbit filem dan personaliti media Filipina ini hadir menemani suami tercinta ke pusat latihan tinju di Los Angeles. Dari situlah bermulanya perubahan positif Pacquiao hingga melonjakkan namanya selaku ahli tinju terkemuka dunia yang dikecapi hari ini. Berkat sokongan Jinkee dan usaha keras, Pacquiao atau lebih dikenali dengan gelaran PacMan di gelanggang tinju telah dianugerahkan Fighter of the Decade pada 27 Julai 2009.
Sehingga ke saat ini, Manny Pacquiao tersenarai dalam The 20 Richest Boxers In The World 2019 dan dia menduduki tangga keenam dengan meraih pendapatan setinggi USD190
juta. Memetik laporan Forbes pula Pacquiao antara 2019 The World’s Highest-Paid Athletes Earnings dengan pendapatan berjumlah sekitar USD26 Juta bagi setiap perlawanan yang dimenanginya.
Menurut Post Magazine, ahli tinju berkenaan dilaporkan membeli rumah agam di Beverly Hills bernilai USD12 juta yang dahulunya pernah didiami rapper Sean Combs. Pada 2010 Pacquiao dicalonkan sebagai Philippine House of Representatives dan bergelar Senator pada tahun 2016.
Menerusi perkongsian di Instagram wanita berusia 41 tahun ini, Jinkee turut memperlihatkan gaya hidup mewah dengan berkongsi kediaman mereka yang besar dan eksklusif serta cita rasa fesyennya. Gemar bergaya dengan jenama mahal dari hujung rambut ke hujung kaki… Jinkee turut mempunyai koleksi beg tangan Hermes pelbagai saiz dan jenis.
Bahkan dia juga merupakan penggemar jenama Christian Dior, Chanel, Louis Vuitton dan banyak lagi. Itu belum lagi kira kasut, jam tangan, baju, cermin mata hitam dan bermacam-macam aksesori lain yang ada dalam simpanannya.
Bukan hanya Jinkee bahkan kelima-lima anak mereka turut mengenakan persalinan mewah dan eksklusif dari label terkemuka. Disebabkan status suami sebagai senator dan antara ahli tinju terkaya di dunia, keluarga ini dikawal dengan beberapa pengawal peribadi yang mengiringi percutian mereka tidak kira di dalam mahupun luar negara.
Selain mempunyai rumah agam di Filipina, mereka juga dikhabarkan memiliki kediaman elit di Los Angeles.
Sumber: Post Magazine & Forbes / Foto: Instagram Jinkee Pacquiao
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Luar biasa penangan masakan Cef Ammar! Saban tahun apabila tibanya Ramadan, pasti nama Cef Ammar meniti di bibir penggemar makanan. Semuanya kerana kelazatan juadah Nasi Arab dan Lamb Shank air tangan cef selebriti ini.
Seperti kebiasaan, gerai jualan Cef Ammar menjadi viral dan bualan hangat di media sosial. Hinggakan pelanggan sanggup beratur panjang di Bazar Ramadan Stadium Shah Alam, Seksyen 13 dan USJ 4 semata-mata mahu menjamu menu istimewa tersebut. Tahun ini juga Cef Ammar menjual jus mangga keluarannya sendiri.
Khabarnya, gerai belum buka pun dah ramai yang berbaris. Melimpah ruah betul rezeki Cef Ammar bulan Ramadan ni. Alhamdulilah.
Credit Facebook https://www.facebook.com/MasakDariHatiMasakWithImanCredit Facebook https://www.facebook.com/MasakDariHatiMasakWithImanCredit Facebook MasakDariHatiMasakWithIman / Cef Ammar di Bazar Ramadan Stadium Shah Alam, Seksyen 13Credit Facebook MasakDariHatiMasakWithIman / Cef Ammar di Bazar Ramadan Stadium Shah Alam, Seksyen 13
Di sebalik kemeriahan Cef Ammar berniaga di Bazar Ramadan dan menerima pujian pelanggan yang berpuas hati dengan masakannya, pemilik nama Ammar Al Ali ini turut tidak terlepas menerima kritikan.
Terbaharu, dia melahirkan rasa terkilan apabila ada segelintir pihak yang mengeluarkan kenyataan mengatakan harga makanan Cef Ammar tidak munasabah sampai dilabel harga Tel Aviv.
Perkara tersebut tentunya menyinggung perasaan cef kelahiran Palestin ini kerana sebagai penjual, dia merasakan harga yang dijual adalah berpatutan dan setanding dengan portion serta kualiti bahan-bahan yang digunakan.
Enggan omong kosong, Cef Ammar menerusi media sosial miliknya semalam mendedahkan kepada umum mengenai ramuan premium dan berkualiti yang digunakan untuk menyediakan hidangan tersebut.
Berkongsi live di media sosial semalam di Bazar Ramadan Seksyen 13, Shah Alam, rakaman video siaran langsung berkenaan meraih hampir sejuta tontonan dan rata-rata pelanggan berpuas hati dengan masakan Cef Ammar.
Menerusi video live tersebut juga kelihatan Cef Ammar tidak menang tangan membungkus jualan sambil menyaksikan barisan pelanggan yang setia menanti untuk membeli juadahnya.
Malah, personaliti televisyen yang pernah popular melalui program ‘Masak Dari Hati, Masak With Iman’ ini ceria melayan para pelanggan dan mesra bergambar bersama mereka.
Nona sebelum ini pernah menemu bual Cef Ammar dan sememangnya dia memiliki peribadi yang menyenangkan. Masih ingat lagi amalan tip memasak yang dikongsikan Cef Ammar kepada Nona. Antaranya, berselawat dan menyediakan masakan dalam keadaan bersih. Tidak hairanlah, air tangan cef ini menjadi pilihan ramai.
Cukup bersahaja memasak dalam portion yang besar, Cef Ammar disifatkan seorang suami dan bapa yang penyayang.
Sepanjang lebih dua dekad di negara ini, Cef Ammar mempunyai studio masakan di Subang Jaya. Difahamkan, Cef Ammar menyediakan ratusan pek jualan makanan setiap hari untuk memenuhi permintaan pelanggan ketika Ramadan.
Kredit: Facebook Masak With Hati Masak With Iman
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Setiap dari kita sudah pasti mengharapkan syurga apabila berada di Negara Abadi. Namun, kita sebagai umat Islam, kita telah diingatkan untuk menyediakan bekalan menuju ke akhirat kelak. Salah satu cara untuk membersihkan diri adalah dengan bertaubat kepada Yang Maha Esa. Melalui ceramah agama oleh Ustazah Asma’ Harun, beliau menegaskan terdapat talian hayat yang boleh membantu ke syurga. Apakah talian hayat tersebut?
“Ciri-ciri orang yang bertaubat adalah hatinya mencintai selawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Sebab dia takut sangat di akhirat kelak, dia tak ada jalan lain nak ke syurga.
Bila kita sebut nama Nabi Muhammad SAW dalam selawat ke atas Nabi SAW merupakan talian hayat kita nak masuk syurga. Nabi Muhammad SAW berkata sangat rugi jika umat Islam tidak berselawat sebab itu adalah talian hayat kita nak masuk syurga.
Mungkin ketika di akhirat kelak, nauzubillah, bila kita tengok pahala solat kita ditolak, tak dapat satu pun, ketika kita melihat tak ada satu pun pahala puasa kita diterima Allah SWT semuanya ditolak sebab ini disebutkan dalam hadis Nabi Muhammad SAW, Nabi bersabda “Betapa ramai orang yang berpuasa tak dapat apa-apa pahala daripada puasa Ramadannya selain lapar dan dahaga semata-mata,”.
Kita yang hidup 60 tahun mungkin dah 50 kali jumpa bulan Ramadan. Nauzubillah, bila dihisab di akhirat kelak, bakinya adalah kosong. Ramadan pertama kosong, Ramadan kedua kosong dan seterusnya. Betapanya ramainya maksud hadis tersebut bermakna hanya sedikit sahaja pahala umatNya yang diterima pahala puasanya.
Sama juga dengan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, “Betapa ramai orang yang solat malam, tapi tidak ada apa-apa pahala baginya melainkan letih dan mengantuk,”.
Ini bukan tahap solat lima waktu, ini tahap solat malam seperti tahajjud, taubat dan sebagainya. Dia tak tinggal solat lima waktu tetapi bangun malam untuk qiamullail.
Sebab itu kita tidak boleh menerima amalan kita sendiri. Sudah beramal, yakin Allah SWT terima segala amalan kita, nauzubillahiminzalik.
Begitu juga dengan amalan sedekah kita. Apabila dihisab kelak segala amalan sedekah kita tak diterima oleh Allah SWT mungkin sebab ada unsur riak, takabbur dan ujub. Kita buat baik tetapi tak diterima oleh Allah SWT.
Ketika itu satu-satunya TALIAN HAYAT kita untuk masuk ke syurga Allah SWT adalah melalui jalan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Sebab para ulama mengatakan, satu amalan yang tidak akan ditolak oleh Allah SWT walaupun dilakukan tanpa khusyuk, terpaksa, lalai ataupun tanpa ikhlas adalah berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW.
Mungkin sebab dia dipaksa datang oleh majikan untuk menyertai perarakan Maulidur Rasul, dalam perarakan disuruh untuk berselawat, maka dia pun berselawat juga. Walaupun secara terpaksa tetapi tetap pahala.
Sebab itu, kalau amalan kita semua ditolak oleh Allah SWT, kita ada satu talian hayat dengan syarat orang yang sangat mencintai selawat. Bukan sekadar selawat, membilang selawat tapi hatinya mencintai selawat bahkan kalau ada satu hari dia tertinggal selawat yang telah dijadikan amalan membuatkan dia tak boleh tidur malam, hati tak tenang kerana sudah sampai masa dia mencintai selawat.
Siapa yang ada ciri-ciri mencintai selawat ini yang mana dia ada rutin selawat, jumlah yang tertentu yang dia tak pernah lalai setiap hari mesti konsisten. Kita ada tak sampai tahap itu?
Kalau kita baca kisah seorang Sultan yang bernama Sultan Abdul Hamid, dia punya amalan sebelum tidur setiap malam 1000 kali selawat ke atas Nabi SAW. Ada satu malam dia tertinggal untuk selawat, Rasulullah SAW muncul dalam mimpi orang lain pergi minta hutang dengan dia.
Dia tanya apa sebab kamu minta hutang dengan aku sebab aku tak pernah berhutang dengan kamu, jawabnya, malam tadi Rasulullah SAW muncul dalam mimpi aku, Rasulullah SAW berkata engkau telah terhutang dengan Rasulullah SAW, dia terus menangis.
Sebab dia kata malam tadi aku terlalu penat sehingga aku tertidur tanpa aku melunaskan amalan aku yang biasa iaitu berselawat ke atas Nabi SAW 1000 kali. Sampaikan Nabi SAW merindukan, mencari dan menanti selawat. Agak-agak Nabi SAW tunggu tak selawat dari kita?,” akhirinya.