Usahawan dan pemilik bersama salun ChezKamya Professional, Erna Elliyana Rosli tidak menyangka apabila video aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dijalankan di Rumah Jagaan Dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas, Puchong, Selangor baru-baru ini tular di media sosial.
Lebih mengejutkan, video yang dimuat naik seorang pengguna Twitter meraih lebih 90,000 tontonan dan ratusan komen di platform terbabit.
Teruja dengan maklum balas positif yang diterima orang ramai, Erna yang juga penerima NONA Beauty & Health Brand Award NONA SUPERWOMAN 2022 memuat naik video di Instagram bagi berkongsi rasa terharunya.
“Tempoh hari saya ada berkongsi video ‘snippet’ Setia Hingga Akhir Hayat yang mengandungi klip temu bual bersama penghuni di Rumah Jagaan Dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas.
“Apa khabar agaknya pakcik Omar, pakcik Ayud, cikgu Maimunah, makcik Kiah dan seluruh penghuni-pengguna berkenaan? Saya doakan semoga semua dalam keadaan sihat.
“Tanpa disangka video yang dikongsi itu mendapat perhatian warganet di mana video tersebut dikongsikan oleh pengguna Twitter. Terima kasih banyak saya ucapkan. Semoga video itu menyebarkan kebaikan kepada pengikut-pengikut anda.
“Pelbagai reaksi diberikan, rata-rata meluahkan rasa sayu dan sedih. Saya juga merasakan hal yang sama. Namun saya sembunyikan perasaan sedih kerana tujuan saya bersama rakan kongsi Chez Hamdan dan pasukan ke sana untuk bertanya khabar dan menghiburkan hati mereka,” katanya.
Ads
Menurut Erna, kali ini dia dan pasukan ChezKamya Professional tampil dengan idea baharu iaitu menyantuni dan memberi pengalaman baru kepada warga emas di rumah kebajikan itu.
“Objektif kami adalah untuk memberi pengalaman baharu kepada mereka untuk merasai sentuhan dandanan rambut dari ChezKamya Professional.
“Selalunya Chez Hamdan menata rias rambut selebriti seperti Nad Zainal, Norman Hakim, Hairul Azreen, Shiha Zikir dan ramai lagi, tapi kali ini kita makeover warga emas pula. Sekurang-kurangya ada kelainan berbanding kebiasaan aktiviti yang kita dilakukan di ChezKamya Professional,”katanya.
Mengaku kehadirannya di pusat kebajikan itu menjentik emosi dan hampir mengalirkan air mata, namun Erna cuba mengawal perasaan dan bersikap profesional.
“Kalau ikutkan saya seorang yang mudah tersentuh. Orang kata hati tisu kerana saya sudah kehilangan ibu sewaktu berusia enam tahun. Ketika itu saya berlakon dalam filem Suami Isteri dan … . Pertengahan penggambaran filem itu, ibu saya meninggal dunia iaitu Allahyarham Hasnah Ibrahim.
Ads
“Saya selalu merindui ibu saya kerana dah lama (meninggal dunia). Sekarang usia saya 34 tahun. Sewaktu kehilangan ibu, saya baru nak memasuki darjah satu, tapi apa yang saya lakukan adalah selalu positif kerana saya selalu mengingatkan diri setiap apa yang berlaku pasti ada hikmah.
“Saya kini menjadi seorang yang dewasa, matang dan goal-oriented selain selalu doakan Allahyarham ibu sentiasa di dalam rahmat dan di sisi Allah SWT. Justeru apabila saya melihat keadaan mereka di pusat jagaan itu, ada antara meraka yang ditinggalkan anak sedangkan mereka sepatutnya berada bersama keluarga untuk bergembira, selalu berkongsi masalah, sebaliknya pula yang berlaku dan ia sangat meruntum jiwa saya.
“Namun begitu, tidaklah semua kisah itu kisah yang menyedihkan seperti yang dikongsikan oleh pakcik Omar yang tidak pernah berkahwin dan pilihan menetap di rumah jagaan orang tua adalah sangat menyeronokkan sebab boleh melakukan macam-macam aktiviti dengan rakan-rakan,”katanya.
Berkat berkongsi rezeki dengan insan yang memerlukan, Erna turut menerima berita gembira di awal tahun apabila menerima pengiktirafan NONA Beauty & Health Brand Award di majlis NONA SUPERWOMAN 2022 baru-baru ini.
Dalam masa sama, Erna turut berkongsi beberapa pengalaman menarik ketika bertemu dengan beberapa warga emas yang sangat positif dan bersikap terbuka.
Ads
“Selain itu, saya berjumpa dengan Cikgu Maimunah yang merupakan seorang balu tapi tidak mempunyai anak. Masa dia dihantar oleh anak saudaranya, dia berada dalam keadaan lumpuh dan perlu dapatkan terapi serta makan ubat. Alhamdulillah dengan kuasa Allah dan berkat usahanya serta tawakal kepada Allah dia sihat.
“Di Rumah Jagaan Dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas ini selain ada bekalan perubatan yang di subsidari dari kerajaan dan ada kakitangan terlatih untuk menjaga mereka, mungkin itu salah satu sebab saya rasa ada segelintir anak-anak menghantar ibu bapa mereka ke sini suapaya kesihatan dan aktivti seharian dapat dipantau.
“Itu dari sudut positif yang diceritakan namun saya percaya ada juga kisah sebaliknya di mana segelintir penghuni yang dibuang anak-anak oleh kerana faktor keuzuran, harta atau kisah itu tidak diceritakan kepada kami kerana sebahagian besar mereka mengalami masalah Alzheimer .
“Walau apapun saya sama sekali tidak menyokong tindakan anak-anak muda menghantar ibu bapa ke rumah orang tua kerana kita harus sedar tiada ibu bapa tiada lah kita. Mereka sejak kecil sudah bersusah payah untuk menjaga, hantar sekolah dan beri makan. Tak wajar kalau kita tidak bersusah payah untuk menjaga mereka sekarang. Adakah ini pengakhiran yang kita mahukan bila kita sudah tua? Sudah tentu kita tidak mahu anak-anak melakukan sedemikian kepada kita,”katanya.
Dalam video berdurasi sembilan minit yang dikongsikan, Erna turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengabaikan tanggungjawab kepada kedua-dua ibu bapa.
“Ibu bapa kita adalah raja dan permaisuri dalam hidup. Saya selalu ingat pesan ustaz saya iaitu dalam dunia ini ada beberapa rahmat percuma yang kita harus manfaatkan. Pertama melihat kaabah, kedua laut, ketiga Al-quran dan terakhir wajah kedua-dua ibu bapa. Kita perlu manfaatkan momen selagi ibu bapa kita masih hidup. Ingt doa ibu bapa tiada hijab.
“Dalam Al-Quran selalu sebut kalau nk buat apa-apa kebajikan terutama sekali buat kepada ibu bapa, kaum kerabat, diikuti dengan anak yatim. Kemudian baru kepada orang lain. Itu yang selalu saya tanamkan. Macam saya walaupun tiada ibu, tapi saya dikurniakan ibu mentua yang sangat penyayang dan menyayangi saya sama seperti anak-anak perempuannya yang lain. Syukur kepada Allah.
“Saya harap masa akan datang kita dapat melakukan program CSR sebegini untuk ChezKamya Professional supaya banyak lagi manfaat kita boleh kongsi bersama dengan orang di sekeliling kita. Akhir kata, hargailah orang tua kita sementara mereka masih ada. Sayang itu siapa… siapa ibu bapa kita,”katanya.
Terdahulu video program CSR yang dimuat naik Erna di Instagram tular di media sosial apabila terdapat beberapa pengguna media sosial yang berkongsi momen hiba itu di platform media sosial mereka.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kredibiliti Dzuleira Abu Bakar menerajui syarikat berteraskan sains dan teknologi sememangnya wajar mendapat pengiktirafan. Sebagai seorang wanita korporat dengan pencapaian yang membanggakan, berkeluarga bukan suatu penghalang untuk mempunyai kerjaya dan mengurus tadbir organisasi berkapasiti besar yang menjadi nadi pembangunan negara seperti Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI).
Tanpa keazaman tinggi, komited dan dinamik terhadap kerjaya, tidak mungkin Dzuleira mampu membawa MRANTI ke tahap global sehingga kini. Karakter tegas, disiplin, kreatif dan berfikiran realistik telah mendorong kejayaan Dzuleira dalam sektor korporat.
Bersandarkan kemampuan dan pengetahuan luas yang dimiliki hasil pengalaman daripada pelbagai agensi sebelum ini, Dzuleira mendapat kepercayaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk menggalas tanggungjawab selaku Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI pada tahun 2021.
MRANTI ditubuhkan daripada penggabungan dua agensi di bawah MOSTI iaitu Technology Park Malaysia (TPM) dan Malaysia Global Innovation and Creativity Centre (MaGIC). Penubuhannya adalah sebagai pemudah cara proses pencetusan idea hingga ke penghasilan impak melalui penciptaan, pembangunan dan pengkomersialan teknologi serta inovasi.
Foto Majalah NonaFoto Majalah NonaKredit Instagram @dzuleiraKredit Instagram @dzuleira
Meskipun pada awalnya dia bercita-cita mahu menjadi seorang wartawan namun hasrat tersebut terkubur selepas Dzuleira ‘jatuh cinta’ dalam industri ini. Berkongsi pembabitannya sejak dua dekad lalu, pemimpin wanita berkaliber ini memiliki kelulusan dalam bidang perundangan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).
“Dah dekat 20 tahun, semuanya berlaku secara kebetulan sebab sebenarnya saya belajar undang-undang dan patut jadi peguam tapi lain pula takdirnya. Semua dah tertulis dan saya bersyukur dengan apa yang saya ada sekarang. Pekerjaan pertama saya ialah di sebuah syarikat yang terlibat dalam teknologi satelit.
Baru dua bulan bekerja, saya berpeluang pergi ke Amerika Syarikat untuk menghadiri mesyuarat-mesyuarat penting. Waktu itu saya baru berusia 24 tahun dan dapat berjumpa dengan usahawan teknologi, Elon Musk. Ia pengalaman yang menakjubkan dan memberi inspirasi serta dorongan untuk saya memajukan diri dalam sektor pembangunan teknologi.
Bila dah masuk bidang kerjaya ini baru saya sedar inilah pekerjaan yang saya cari. Penting untuk ceburi bidang yang kita minat dan suka. Walau ia tidak mudah dan saya pernah kerja hampir 20 jam sehari, tapi saya puas.
Kerjaya ini beri peluang untuk saya lebih mengenali dunia teknologi sekaligus menambah minat dalam bidang serba canggih ini yang sangat bermanfaat bagi kelestarian alam dan masyarakat,” dedahnya yang mempunyai Ijazah Sarjana Pengurusan dan Kewangan, Universiti Malaya (UM) dan Ijazah Sarjana Muda Kepujian Undang-Undang, Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Kredit Instagram @dzuleiraFoto Majalah NonaKredit Instagram @dzuleiraKredit Instagram @dzuleira
Selain pernah berkhidmat di syarikat teknologi kerajaan, Dzuleira juga menimba pengalaman di beberapa syarikat pelaburan ekuiti awam, korporat dan swasta. Malah, dia memiliki lebih 15 tahun pengalaman di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
Berkecimpung dalam industri yang dimonopoli kaum lelaki menjadi salah satu cabaran buat Dzuleira. Menepis tanggapan stereotaip, dia melihat sama ada lelaki atau wanita kedua-duanya mempunyai kelebihan tersendiri.
“Saya pernah berada dalam situasi perbincangan yang hanya saya seorang saja wanita. Ada masa, saya bernasib baik jika ada seorang wanita lagi turut serta. Sebaik-baiknya organisasi harus menyokong lebih ramai penglibatan wanita dalam kepimpinan syarikat.
Bekerja dengan bos lelaki atau perempuan tiada bezanya. Sepanjang karier, saya beruntung kerana mendapat kepercayaan daripada pemimpin lelaki kerana ada juga dalam kalangan mereka yang menyokong kepimpinan wanita. Saya percaya hanya kemampuan mesti diambil kira dan bukannya berdasarkan jantina.”
Kredit Instagram @dzuleiraKredit Instagram @dzuleiraKredit Instagram @dzuleira
Mengulas beberapa halangan lain yang dihadapinya, Dzuleira menambah, “Pada saya cabaran terbesar sejak berkecimpung dalam bidang ini adalah untuk meningkatkan penyertaan remaja perempuan dan wanita dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Wanita dan remaja perempuan memainkan peranan penting dalam komuniti sains dan teknologi. Penyertaan mereka harus diperkukuh. Walau bagaimana pun, sikap berat sebelah dan stereotaip jantina yang telah lama wujud menyebabkan gadis dan wanita menjauhi bidang berkaitan sains.”
Sedar penglibatan wanita dalam sektor korporat masih rendah, Dzuleira berkata selain memupuk galakan dan kesedaran daripada pihak berkaitan, sistem sokongan daripada ahli keluarga juga amat penting supaya wanita dapat terus berdaya saing.
“Pengalaman saya sendiri kalau tiada sokongan suami, ibu, ayah, mentua yang faham budaya kerja kita yang terpaksa kerja lewat malam, kerja hujung minggu atau terpaksa bertugas ke luar negara ia tentunya sukar. Wanita perlu ada support system yang kuat,” tegasnya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Mengendalikan perniagaan keluarga bukan mudah apabila di beri kepercayaan yang tinggi bagi mengembangkan lagi legasi perniagaan yang telah dibina sejak bertahun lamanya.
Bagi pengasas Shahnaz Healthcare, Nazrin Shahnaz Peer Mohamed, 31, yang juga penerima Nona Best Healthcare Interior Design Award ini, tanggungjawab perlu dilunaskan dengan sebaiknya biarpun sebelum itu dia mempunyai cita-cita sendiri namun terpaksa dilupakan demi meneruskan harapan ibu tercinta yang turut menjadi rakan kongsi perniagaan.
Berkat usaha gigih Nazrin dan pasukannya, Shahnaz Healthcare berjaya mencapai jualan mencecah RM10.3 juta pada tahun 2021 dan menyasarkan jualan RM20 juta untuk tahun 2022. Kini, selain di Alor Setar, Kedah, Shahnaz Healthcare turut memiliki premis di Menara Ilham, Jalan Binjai, Kuala Lumpur.
“Sejak kecil lagi saya dibesarkan dan didedahkan dengan dunia perniagaan. Habis sahaja sekolah terus pergi pejabat. Ibu mempunyai perniagaannya sendiri iaitu periklanan dan pemasaran di Alor Setar, Kedah. Secara tidak langsung, pengalaman dan pendedahan itu membuatkan saya tahu banyak tentang selok belok perniagaan.
“Dulu, saya pernah anggap perniagaan adalah sangat susah. Saya sebenarnya bercita-cita ingin menjadi seorang doktor tetapi bila difikirkan semula saya kena juga uruskan perniagaan keluarga yang telah sekian lama dibina dengan susah payah. Mahu atau tidak, saya perlu teruskan.
“Setelah tamat pengajian di universiti saya terus menceburkan diri dalam bidang perniagaan untuk menimba pengalaman. Dari perniagaan perkhidmatan periklanan, kami membuka pula syarikat baru yang berkonsepkan reka bentuk dalaman. Tercetusnya idea ini adalah kerana kami pernah melaksanakan projek-projek grafik yang sedikit sebanyak ada kaitan dengan interior.
“Contoh, yang sedang trending ketika itu ialah Air Asia dan Google yang membawa konsep identiti korporat kepada interior. Klien-klien kami mahukan perkhidmatan seumpama itu. Maka, dari situlah tercetusnya idea interior untuk syarikat baharu kami disebabkan permintaan mereka ketika itu.
“Pada 2019, saya mendapat satu peluang untuk membina hospital melalui satu tender. Dengan pengalaman itulah, banyak mengajar saya betapa uniknya reka bentuk dalaman hospital ini. Ia bukan hanya untuk nampak cantik malah setiap interior yang dibuat ada sebabnya di samping ada fungsi-fungsi yang tertentu.
“Apa yang saya lihat, ketika itu tidak ramai yang melaksanakan konsep sebegitu. Permintaan ada, arkitek pun ramai yang menghubungi saya meminta agar saya memfokuskan kepada konsep ini memandangkan tidak ramai yang buat.
“Bertitik tolak dari situ, saya mengambil keputusan melanjutkan pengajian ke peringat Master dalam jurusan interior design khusus untuk healthcare. Setelah kembali ke syarikat, saya mempraktikkan ilmunya dengan menjadi konsultan dan kontraktor,” jelas Nazrin.
IBU SUMBER INSPIRASI
“Ibu seorang yang sangat memahami dengan apa yang saya lalui termasuklah melihat perkembangan perniagaan yang saya kendalikan. Itulah sedikit sebanyak peranan yang dimainkan oleh ibu. Sekiranya ada perkara-perkara yang saya terlepas pandang, ibu akan sentiasa ada untuk membantu.
“Setiap kali bercakap dengannya ada benda yang ibu nak saya nampak ke hadapan. Secara tidak langsung ia menjadikan saya seorang yang sentiasa bersemangat dan ingin maju ke hadapan. Saya juga seorang yang berani mencuba perkara baharu. Bagi saya sokongan, doa dan restu ibu sangat penting,” bicara Nazrin yang menjadikan ibu sebahagi inspirasi.
Baca artikel penuh dalam edisi majalah NONA SUPERWOMAN 2022 yang sudah pun berada di pasaran. Dapatkannya sekarang!
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
FURAIHA Legacy Sdn Bhd, pengeluar produk penjagaan kuku di bawah jenama Inai Republic antara jenama sinonim produk berasaskan inai yang diyakini serta sedang melebarkan sayapnya menembusi peringkat antarabangsa.
Jenama Inai Republic mula bertapak sejak 2018 dan turut dikenali di 13 buah negara di seluruh dunia melalui ejennya.
Antara negara yang telah ditakluki termasuklah Australia, Dubai, United Kingdom, Thailand, Oman, Kuwait, Kanada, Amerika Syarikat Arab Saudi, Brunei dan Singapura.
Ketika ditanya mengenai keistimewaan produk dibawah jenama Inai Republic, menurut Pengasas Inai Republic, Syarifah Furaiha Sha’are atau lebih mesra di sapa Farah, produk Inai Republic merupakan alternatif kepada pengilat kuku, tetapi menggunakan inai siap dibancuh yang boleh dibawa solat serta memudahkan orang ramai mengamalkan sunnah pemakaian inai.
“Inai Republic memfokuskan produk berasaskan inai daun asli (Henna) dari sumber semula jadi tanpa bahan terlarang, suci untuk beribadah selain selamat dipakai tanpa kesan sampingan, tahan lama dan dijamin lima kali ganda lebih merah.
Ketika diajukan persoalan mengenai kebanjiran pelbagai produk berasaskan inai di pasaran, Farah mempunyai pandangannya yang tersendiri.
“Apabila bergiat dalam dunia perniagaan, isu persaingan sudah semestinya ada kerana bisnes yang bagus akan ada persaingan. Malah persaingan yang dapat dilihat kini adalah persaingan yang baik dan sihat.
Saya melihat persaingan ini sebagai satu perkara yang baik kerana ia akan membuatkan kita berusaha untuk mencapai lebih banyak kejayaan. Inai Republic bukan sahaja menjual produk, tetapi ia merupakan platform yang dibina untuk menjadi satu pembuka jalan untuk menjana pendapatan.
Berkongsi perjalanan perniagaan untuk tahun 2023, Farah tidak menafikan keadaan ekonomi semasa banyak mempengaruhi corak perniagaan masa kini. Sebagai usahawan, dia sentiasa mengikuti perkembangan bisnes semasa dan melakukan persiapan terbaik untuk memastikan legasi perniagaannya dapat bersaing dan mengukuhkan lagi jenamanya.
“Dunia sekarang dikaitkan dengan akhir zaman, sekarang ni barang dah naik, kita hampir terputus bekalan dan sebagainya. Jadi, pertama sekali apa pun yang berlaku bertenang dulu. Sebabnya, kalau kita sedang emosi kita tidak akan dapat buat keputusan yang baik. Jadi, kita jangan fokus kepada masalah tapi fokus kepada peluang.
“Kalau kita fokus kepada masalah, macam saya cakap tadilah. Kita tak boleh fokus benda yang kita tak boleh nak control. Apa yang akan berlaku, krisis ekonomi kita tak boleh control benda tu tapi boleh control apa yang kita buat. So apa yang perlu kita buat?”
“Janganlah tambah komitmen pada masa sekarang. Ini bukan masa yang terbaik sebenarnya. Duit yang ada tu tukarkan kepada emas. Lepas tu ambil apa saja peluang perniagaan yang ada, buat. Kalau nak dapat sesuatu yang tak pernah kita dapat, kita buat perkara yang kita tak pernah buat.
“Jadi dalam masa yang sekarang ni cuba bertenang dulu kemudian cari penyelesaian apa yang anda ada. Urus kewangan anda sebaiknya. Kalau dulu hari-hari beli di luar atau makan sana makan sini, kena urus benda tu sebab kita tak tahu apa yang bakal berlaku dalam tempoh 3-6 bulan akan datang.
“Mungkin kita ada duit bagi orang-orang yang ada duit. Tapi mungkin duit dah tak ada nilai sebab inflasi. Dengar-dengar akan berlaku inflasi tak lama lagi. So tu dah berdebar. Kalau yang ada duit tu pergi beli emas. Yang tak ada duit start buat duit,” ujarnya lagi. Jenama Inai Republic merupakan penerima NONA Best Halal Henna Award, NONA SUPERWOMAN 2022.
Sebagai individu yang terlibat dalam dunia perniagaan, usaha yang berterusan menjadi langkah terbaik untuk mengatasi apa jua masalah yang mendatang. Tambah Farah lagi, dia lebih gemar mencari penyelesaian dan peluang dan tidak reti untuk diam dan hanya berpeluk tubuh.
“Cuba cari penyelesaian jangan sesekali demand. Nak buat bisnes hebat-hebat je. Kalau ada kerja, memilih pula. Kerjalah dulu apa yang ada. Sekurang-kurangnya anda buat sesuatu untuk tingkatkan taraf hidup. Jadi, uruslah kewangan kita dengan baik. Urus simpanan yang ada sekarang, jangan banyak berbelanja sangat.”
Syarifah Furaiha turut berpesan untuk semua individu untuk menghadapi setiap ujian dengan tenang kerana segalanya akan menjadi lebih baik jika kita berusaha mencari penyelesaiannya.
“Setiap manusia pasti akan diuji dengan pelbagai dugaan baik dari segi kewangan, kesihatan dan sebagainya. Mungkin sekarang ada yang sedang berjuang atau tiada semangat. Nasihat saya walau apa pun macam mana susah pun hidup kita, apa saja ujian dalam hidup kita hadapi sahaja. Hadapi sambil berusaha untuk cari jalan penyelesaian. Insha-Allah esok akan lebih baik,” ujarnya memberikan motivasi untuk dirinya dan secara amnya untuk setiap individu yang sedang berhadapan dengan musibah.
Kredit Foto: IG Syarifah Furaiha
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Buat pertama kalinya Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz hadir ke majlis ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.