Kagum dengan hubungan cinta Catherine Zeta-Jones dan Micheal Douglas. Walau jelitawan Hollywood ini berusia 25 tahun lebih muda daripada suami namun ia bukan halangan untuk mereka terus menikmati detik bahagia bersama. Buktinya, 18 November depan merupakan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-21!
Mengimbas momen bersejarah itu, Catherine berusia 27 tahun sementara Michael pula menginjak umur 52 tahun. Aktres dan aktor ini yang merupakan antara pasangan paling diminati di Hollywood yang telah berkahwin lebih dua dekad.
Berkongsi tarikh lahir sama iaitu 25 September, Catherine dilahirkan di Swansea, United Kingdom dan kini berusia 52 tahun. Manakala Michael pula dilahirkan di New Jersey dan berumur 77 tahun. Nama Catherine melonjak naik dan dikenali ramai sejak dia membintangi filem The Mask of Zorro pada tahun 1998.
Ketika awal perkahwinan, ramai yang beranggapan perkahwinan pasangan ini tidak akan bertahan lama. Namun kedua-duanya membuktikan keikhlasan mereka yang saling mencintai dan masih bahagia hingga ke hari ini.
Menurut laporan GLAMOR mengenai resipi di sebalik kebahagiaan tersebut, Catherine mendedahkan, “Suami saya 25 tahun lebih berusia dan itu bukan lagi rahsia. Kami sama-sama menyayangi dan menghormati. Malah kami juga kerap bergurau-senda dan bersama-sama menikmati ikatan perhubungan ini.”
Seperti pasangan suami isteri lain, Catherine dan Michael tidak terlepas diuji dengan suka duka hidup berumah tangga. Pada tahun 2010, pelakon yang juga penerbit filem itu didiagnosis menghidap kanser tekak stage 4.
Akibat tekanan kerana kesihatan tersebut dan pelbagai masalah lain, mereka dikhabarkan mengambil keputusan untuk tinggal berasingan selepas 13 tahun berkahwin pada 2013. ‘Perpisahan’ ini bukan bermakna mereka bercerai sebaliknya kedua-dua figura terkenal ini mahu memberi ruang dan masa di antara satu sama lain demi memperbaiki perkahwinan yang sudah terbina sejak sekian lama.
Hasilnya cinta Catherine dan Michael kembali bertaut dan mereka terus menjalani hidup dengan lebih matang dan harmoni selepas berdepan ujian.
21 tahun hidup bersama, pasangan ini dikurniakan dua orang anak iaitu Dylan Micheal Douglas, 21 tahun dan Carys Zeta Douglas berumur 18 tahun. Micheal juga mempunyai seorang anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu bersama Diandra Luker iaitu Cameron Douglas berusia 42 tahun.
Kredit foto: Instagram Catherine Zeta-Jones