Keputusan Zhang Zetian untuk berkahwin dengan Pengasas dan CEO syarikat e-dagang kedua terbesar China iaitu JD.com, Liu Qiangdong nyata membawa tuah kepada jelitawan berusia 26 tahun ini. Liu yang merupakan senior Zhang berusia 19 tahun lebih tua daripadanya mengambil keputusan untuk menjadi suami isteri pada Ogos 2015 dan dikurniakan seorang anak perempuan pada Mac 2016.
Beberapa bulan selepas menimang cahaya mata sulung, pasangan billionaire ini sepakat mengembangkan kekayaan mereka dengan membuat pelaburan ke sebuah syarikat formula makanan bayi di Australia atau dikenali sebagai Bubs Australia. Ia sekaligus menambah pendapatan Zhang dan Liu dalam bidang pelaburan selain turut dikhabarkan memiliki syer dalam Uber China.
Ads
Zhang Zetian yang juga dikenali sebagai Nancy… mula mencipta nama menerusi platform media sosial apabila gambar wajah polosnya sambil memegang minuman teh menjadi viral di China pada tahun 2009. Ekoran fenomena itu, Zhang diberi nama jolokan ‘Milk Tea Sister’ dan kemudian menghiasi video kempen promosi Youth Olympics di Nanjing pada tahun 2014. Bagaimanapun, Zhang menolak tawaran pengarah terkenal China, Zhang Yimou untuk menjadi pelakon.
Meskipun meraih populariti sebagai selebriti media sosial namun Zhang tetap mengutamakan pelajaran dan sambung belajar di Tsinghua University seterusnya terpilih dalam pertukaran pelajar ke New York’s Barnand College selama setahun.
Ads
Sebelum menjadi isteri kepada lelaki ke-16 terkaya di China tersebut, Zhang sudah pun memiliki kemewahan sendiri apabila dia berjaya membeli penthouse mewah tiga tingkat di Stamford Residences bernilai USD16.2 juta pada April 2015 iaitu enam bulan sebelum berkahwin dengan Liu. Bagaimanapun hari ini namanya kembali jadi bualan apabila penjualan balik kediaman elit itu merugikan dengan hanya bernilai USD13.5 juta.
Zhang yang aktif mempromosikan perusahaan JD.com selain terlibat dengan aktiviti kebajikan bersama Bill Gates, dinobatkan sebagai bilionair wanita termuda di China dari majalah bisnes terulung, New Fortune ketika usianya baru mencecah 24 tahun. JD.com adalah syarikat e-dagang terkenal di China dan merupakan pesaing hebat Alibaba. Pada tahun 2016, JD.com mempunyai lebih daripada 236 juta akaun pelanggan aktif.
Sumber: Evening Standard
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tiada apa mampu diucapkan terhadap amal jariah yang dilakukan oleh selebriti ini melainkan kata-kata syukur dan memanjatkan doa agar dipermudahkan segala urusannya.
Noorkhiriah Ahmad Shapie bersama suami dan teamnya menerusi Pertubuhan Amal Nur By Khiriah telah menyediakan perkhidmatan menguruskan jenazah daripada mandi, kafan, solat hingga ke tanah perkuburan secara percuma.
Memetik hantaran di Instagram pelakon yang membawa watak sebagai Aishah dalam drama rantaian, Nur dan Nur 2 ini, sering mendoakan agar niat murninya dipermudahkan Allah SWT.
“Lama akak tak UP pasai Van Jenazah akak. Takut ada yang terlupa. PERCUMA. Untuk semua dari mandi, kafan, solat sehinggalah ke TANAH PERKUBURAN. Takyah bayar pape tapi DOAKAN Pertubuhan Amal Nur By Khiriah dipermudahkan Allah..Aamiin,” tulis wanita kecil molek ini di laman media sosialnya.
Sebelum ini, Noorkhiriah telah melaksanakan hasratnya untuk memberi perkhidmatan van jenazah secara percuma. Tindakan pelakon ini menukar kereta mewahnya (MPV Hyundai Grand Starex) menjadi van jenazah adalah perbuatan yang mulia.
“Alhamdulilah lepaskan kerana Allah. Saya sayang, maka saya jadikan kereta ini sebagai van jenazah,” coret Noorkhiriah di laman Instagramnya.
Noorkhiriah mengharapkan orang ramai mendoakan agar dirinya terus istiqamah dalam melakukan perkara baik. “Saya tak kaya tapi sebelum meninggal dunia saya nak tinggalkan sesuatu buat semua. Semoga kita istiqomah dalam perjuangan diri sendiri, amin,” coretnya lagi.
Mulia sungguh hati Noorkhiriah sanggup memberi apa yang dia sayang untuk kegunaan perkara yang baik. Semoga lebih ramai lagi insan berhati mulia seperti Noorkhiriah ini.
Noorkhiriah bahagia bersama suaminya dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad Hudhaifah dan Muhammad Yusoff. Pada dua tahun lalu, Noorkhiriah telah mengambil seorang bayi perempuan sebagai anak angkatnya.
Dalam pada itu Noorkhiriah tidak lupa berkongsi nombor untuk dihubungi andai perkhidmatannya diperlukan. “Simpan nombor ini (012-2058005) andai memerlukan pertolongan kami. Doakan kami ya,” jelas isteri kepada Azfaizul Ahtan ini.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pertama kali berjumpa dengan wanita jelita persis kakak kesayangannya Rozita Che Wan ini telah membuat mata tidak berhenti memandang. Lebih-lebih lagi apabila mengetahui mempunyai enam orang anak yang masih kecil. Datin Rohaiza Che Wan atau mesra di sapa Datin Jaja ini tidak lokek berkongsi rahsia kecantikannya.
“Sebenarnya saya tidak mempunyai rahsia kecantikan yang khusus. Namun, apa yang boleh saya kongsi adalah amalan ketika berpantang selepas melahirkan anak. Saya jenis seorang yang kuat berpantang selepas melahirkan anak.
Lebih-lebih lagi apabila jarak umur anak-anak saya sangat rapat. Oleh itu penjagaan amalan berpantang sangat penting,” ujar Datin Jaja.
Rupanya wanita tinggi lampai ini menjadikan ibunya sebagai idola dalam menjaga kecantikan luaran dan dalaman. “Saya mahu kelihatan cantik dan bertenaga seperti mak. Saya patuh semua pantang larang yang mak ajar ketika berpantang.
Pemakanan sangat penting ketika berpantang, saya cuma amalkan makan nasi panas dan halba serta ulam. Di samping itu saya juga banyak makan pegaga untuk memperbanyakkan aliran susu sebab saya menyusukan anak secara eksklusif selama dua tahun.
Mungkin menyusukan anak ini merupakan ‘perancang keluarga’ saya sementelah saya tidak mengamalkan apa-apa jenis perancang keluarga,” tutur isteri kepada Datuk Haji Muhammad Faizal Haji Zainul ini.
Wanita yang berusia 39 tahun ini khabarnya tak minum manis. “Sebenarnya saya sangat menjaga pemakanan. Saya kurang minum air manis, apa lagi pencuci mulut atau desserts yang memang jadi kegemaran saya. Sebenarnya bila kita dah meningkat usia ni, makanan dan minuman manis wajib dikawal. Bukan sebab kecantikan sangat, tapi kesihatan,” tuturnya lembut.
“Jika ada yang bertanya bagaimana saya menguruskan masa dengan mempunyai anak-anak yang masih kecil, bagi saya tiada sebarang cabaran. Ini kerana apabila umur mereka rapat rutin harian saya tidak berubah.
Sejak melahirkan anak pertama sehingga anak keenam saya sudah terbiasa untuk bangun malam menyusukan anak atau menukar lampin mereka. Bagi saya cabaran datang apabila kita sudah lama tidak mempunyai anak kecil dan sudah terbiasa tidak bangun malam untuk menyusukan anak tetapi tiba-tiba mempunyai anak baru lahir.
Ketika itu rutin harian sudah lari dan pasti menimbulkan masalah,” tutur ibu kepada Nur Fa’iqah Faiza Muhammad Faizal, 11 tahun, Nur Fa’izah Faiza Muhammad Faizal, 9 tahun, Muhammad Fareez Faiza Muhammad Faizal, 7 tahun, Nur Fareeqah Faiza Muhammad Faizal, 6 tahun, Nur Fareeda Faiza Muhammad Faizal 4 tahun, dan Muhammad Al Fateh, 2 tahun ini.
Orang kata kalau kulit cantik lembap boleh kekal awet muda
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Peristiwa lalu, pernah dipukul dan ditumbuk bekas suami sehingga nyaris menyebabkan kecacatan kekal, masih segar di fikiran Nor Fadilah Mohamed Nizar.
Kini meskipun sudah membina mahligai baru dan dikurniakan seorang cahaya mata, pengalaman pahit itu seolah menjadi pembakar semangatnya untuk membantu wanita senasib yang bermasalah dengan perkahwinan.
Nona suka coretan wanita berpelajaran tinggi ini yang juga Pengasas JEIWA, sebuah pertubuhan wanita profesional Johor yang direka bagi membantu ‘memerdekakan’ wanita malang. Mulia sungguh niatnya.
=========================================
Malam membuai waktu dan fikiran ini dibuai oleh cerita-cerita wanita intelektual yang saya temui hari ini. Tentang kerenah suami, tentang nasib diri, tentang masa hadapan, tentang menjadi wanita yang ‘terlalu’ berdikari.
Apabila kita berbicara tentang wanita, kita terbayangkan kecantikan, kelembutan, keibuan. Tetapi bagaimana dengan nilai intelektual wanita?
Apakah yang dimaksudkan dengan intelektual? Adakah diukur dari segi ketinggian tahap akademik, ketinggian status sosial, kedudukan di pejabat dan sebagainya?
Tetapi bagaimana dengan cerita-cerita pahit di sebalik senyuman elegan itu?
Hakikatnya warna-warni kepahitan itulah yang menjadikan wanita itu lebih matang, lebih kental dan lebih percaya diri. Dan percayalah, wanita-wanita intelektual ini mempunyai cerita-cerita pahit yang tak tergambarkan.
Wanita ibarat sebuah lukisan abstrak. Tak terzahirkan dengan kata-kata. Penuh rahsia. Dan wanita yang ingin saya perkatakan di sini, adalah wanita yang zahirnya serba lengkap, zahirnya sempurna.
Dan mereka adalah wanita yang menyumbang kepada negara, kepada negeri, mendidik bangsa, membangun masyarakat.
Namun air mata pernah tertumpah jua.
Wanita cerdik pandai ini juga tidak terlepas dari diduga. Perkahwinan yang diimpi menjadi syurga rupanya menjadi duri.
Menusuk tajam, terluka parah. Dan sakit yang ditanggung, ditanggung sendiri, tanpa ada yang menemani, tanpa ada yang menyedari. Dipendam menjadi tangis di malam hari, diluah menjadi jenaka di siang hari.
Mata ini pernah melihat dan merasa sengsara. Maka saya terdetik melahirkan JEiWA. JEiWA atau singkatan Johor Empowerment of Intellectual Women Association juga bermaksud Persatuan Pemerkasaan Wanita Intelektual Johor.
Ditubuhkan di Johor Bahru pada 22 Oktober 2015, JEiWA diterajui oleh wanita-wanita profesional yang penuh dedikasi dan aspirasi untuk membantu wanita-wanita lain yang bertekad memulakan kehidupan baru setelah bergelumang dengan airmata dan keperitan.
JEiWA bukan hanya angan-angan kosong, bukan hanya cakap-cakap kosong. Tetapi satu misi untuk mengubah sesuatu yang telah lama menjadi tabu, menjadi stigma.
Dan aura wanita-wanita di dalam JEiWA inilah yang saya ingin resapkan untuk memperkasakan wanita-wanita di Johor.
Apabila saya dan AJK JEiWA membuat sesi pembentangan khas kepada Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) di Putrajaya pada Februari 2016 yang lalu, JPW menyatakan JEiWA adalah pertubuhan pertama di Malaysia yang mempunyai pendekatan holistik dalam membantu wanita-wanita dari kumpulan Profesional dan Intelektual.
Wanita dari kumpulan ini digelar ‘the missing link’ kerana mereka tidak pernah merayu untuk dibantu dan ketidaksesuaian program-program bantuan sedia ada untuk disalurkan kepada mereka.
Kumpulan wanita ini dianggap berdikari dan mampu untuk bangkit berhadapan dengan segala rintangan sebagai ibu tunggal, sebagai isteri, sebagai wanita.
Atas dasar ini, terlahirlah JEIWA menghulur tangan dan takkan membiarkan wanita-wanita ini bersendirian lagi. Seperti cogankata Pasukan Bola Sepak Liverpool ‘You’ll Never Walk Alone’.
JEiWA adalah pertubuhan untuk wanita. Bukan hanya untuk ibu tunggal tetapi khas untuk wanita menabur bakti, untuk wanita berkongsi pengalaman sebagai wanita baru dan untuk wanita yang ingin menjadi wanita baru.
Dengan berbekalkan pengalaman, jaringan perhubungan yang luas dan ilmu pengetahuan, wanita-wanita JEiWA bersama-sama memperkasakan wanita melalui pelbagai pendekatan.
Berbekalkan ahli-ahli JEiWA yang berpengalaman, JEiWA membawa perubahan dan pengisian yang menyentuh nurani, yang mampu mengubah mimpi menjadi kenyataan, menghembus aspirasi yang membekalkan kekuatan, buat wanita untuk bangkit, perkasa, percaya diri untuk menjadi wanita baru.
JEiWA adalah untuk Wanita Johor. Untuk wanita baru, kehidupan baru, jiwa baru. Itulah misi saya.
JEiWA Berhati Biru,
Fadilah Nizar
=========================================
Bukan bersifat kenegerian, tapi JEIWA sebenarnya boleh disertai oleh wanita di seluruh Malaysia. Menggunakan saluran ini, Nona kagum dengan semangat baru Fadilah yang tekad ingin membantu wanita lain, khasnya yang menemui ‘jalan buntu’ dalam perkahwinan. Norzalina Mohd Alias
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!