Tiada perkataan yang mampu membidas hujah wanita ini. Meskipun berkerut dahi, tapi tiap katanya yang pedas… bernas berisi.
Mungkinkah ini realiti wanita Malaysia di ambang 60 tahun kemerdekaannya? Sama-sama kita telusur fikiran kompleks Dr. Haliza Zurah, luahannya dalam konteks wanita merdeka. Benar atau tidak… Jawapannya ada pada kita sendiri.
=========================================
Wanita Alaf Baru, Manja Atau Malas?
Baru-baru ini saya dikejutkan oleh sebuah paparan dari halaman Facebook yang mempromosikan kempen ‘Sarawak Bebas Janda 2018’.
Melalui iklan dari halaman berbahasa Iban tersebut, mereka mengalu-alukan konsep ‘1 lelaki 2 bini’ demi mensasarkan sifar janda pada tahun 2018.
Tidak dapat dipastikan jika paparan tersebut adalah satu lawak jenaka murahan namun ia telah menghina integriti kaum wanita terutamanya golongan janda.
Saya merasakan tindakan tatatertib terhadap laman tersebut adalah wajar. Oleh itu, saya telah menyuarakan hasrat saya kepada beberapa wanita yang saya kenali dengan harapan mereka akan menyokong dan turut serta turun padang demi mempertahankan martabat kaum wanita.
Namun saya hanya dijawab dengan kebisuan semata-mata. Dalam kumpulan Whatsapp yang kadangnya riuh dengan perbincangan hal-hal ringan, tiba-tiba menjadi senyap apabila bangkit isu maruah wanita.
Beberapa ahli kemudiannya menyahut dengan ketidakpuasan hati namun hanya berakhir di situ tanpa sebarang tindakan. Persoalan saya ialah, di manakan sifat perjuangan di kalangan kaum wanita generasi kini?
Ads
Jika kita mengamati sejarah Malaysia, kita seharusnya berbangga kerana mempunyai beberapa tokoh agung wanita yang telah mengorbankan jiwa dan raga mereka demi kemerdekaan tanah air.
Nama-nama seperti Khatijah Sidek, Shamsiah Fakeh, Suriani Abdullah dan Aishah Ghani kurang menyinar berbanding pejuang kemerdekaan kaum lelaki yang seangkatan.
Tenggelam mungkin juga kerana sebahagian daripada perjuangan mereka adalah lebih radikal dan berhaluan kiri. Namun kisah mereka tersisip elemen perjuangan yang spesifik kepada kewanitaan seperti nilai keibuan, kelembutan, ketabahan dan cinta seorang wanita.
Semangat pejuang yang dimiliki oleh wanita-wanita besi inilah yang sepatutnya dipupuk di kalangan generasi muda sekarang. Misi perjuangan tidak pernah berubah. Dulu dan kini sama berjuang untuk mempertahankan hak sejagat.
Namun arus globalisasi menyebabkan kita cukup selesa dan alpa lantas kita gagal mendukung tanggungjawab tambahan.
Ads
Jika cadangan perjuangan diusul, wanita manja kini menjawab dengan alasan yang remeh seperti sibuk dengan anak, masalah kewangan, enggan masuk campur dan tiada kebenaran suami.
Adakah wanita besi zaman kemerdekaan dulu tidak mempunyai anak atau suami? If there is a will there is a way.
Wanita harus berani tampil untuk melawan dalam skala besar seperti berhadapan dengan pihak antagonis yang menjatuhkan maruah wanita, lantang menyuarakan hak dan menggunakan akal bagi memasang strategi membangunkan wanita.
Kebanyakan individu generasi kini hanya hebat sebagai keyboard warrior menjerit-jerit tidak puas hati di alam maya. Perjuangan sekadar menghentam papan kunci atau menaip di telefon bimbit yang berjenama mahal tidak akan membawa kepada perubahan.
Akibat daripada lenyapnya semangat perjuangan ini, penganiayaan terhadap wanita akan berterusan. Tiada revolusi dalam status wanita dalam masyarakat.
Ads
Kita akan terus ketinggalan dan bertuankan sistem patriarki. Jangan sekadar mengomel tentang hak atau layanan yang tidak sama rata tanpa mengambil sebarang tindakan. Kita juga harus memastikan maruah kita tidak diperlekehkan oleh golongan yang kecil jiwanya.
Oleh itu, saya ingin menyeru kepada wanita yang kini sedang selesa duduk di atas kerusi empuk untuk menganalisa kembali jika kita sudah mencapai status wanita maju dan berwibawa. Jika belum maka bangkitlah dan berganding bahu untuk membuat perubahan.
Berbalik kepada isu kempen mensifarkan janda di bumi Sarawak. Saya menyarankan pihak tersebut fokus untuk memupuk sifat bertanggungjawab di kalangan kaum lelaki.
Didikan dalam skop menyediakan keperluan secukupnya kepada isteri dan anak-anak, tidak curang, rajin bekerja dan tidak mengikis duit isteri adalah lebih tepat. Suami yang berjaya mengemudikan rumah tangga akan mengurangkan kes-kes penceraian lalu impian mensifarkan janda akan menjadi satu kenyataan. Setuju?
=========================================
Dr. Haliza Zurah merupakan seorang doktor perubatan, Pengasas Women’s Organisation for Change (WOC) dan bergiat aktif sebagai aktivis di Women AIDS Organisation (WAO).
Awal tahun ini, Nona pernah menyiarkan kes beliau sebagai mangsa penderaan domestik dan kini Dr. Haliza berjuang mempertahankan nasib wanita teraniaya. Norzalina Mohd Alias
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sejak ‘berhijrah’ pelakon cantik manis dan bertubuh kecil molek ini makin jarang muncul di kaca TV. Kehidupannya kini lebih kepada program-program keagamaan serta majlis-majlis ilmu.
Penampilan Wan Sharmila juga dilihat semakin sopan dan manis dengan jubah serta tudung labuh lengkap berstoking.
Masha-Allah memang sejuk mata memandang.
Tular baru-baru ini penampilan Wan Sharmila yang berjubah hitam serta mengenakan niqab sewaktu menghadiri majlis ilmu baru-baru ini raih pujian warga maya.
Menerusi video yang dikongsi di akaun TikToknya, Wan Sharmila yang mesra disapa sebagai Lala meluahkan rasa syukur kerana diundang untuk menghadiri majlis seperti itu.
Menurut Wan Sharmila, dia sebenarnya tidak ramai kawan tetapi Allah SWT hadirkan insan-insan yang baik dalam hidupnya kini.
“Saya tak ada ramai kawan. Tapi Dia Maha Baik datangkan orang-orang yang sudi jemput saya ke majlis ilmu tanpa menilai pangkat, darjat sekaligus saya jadi ada ramai kawan bila berada dalam majlis ilmu.
“Sudi bertegur sapa, senyum, mendoakan walau baru berjumpa. Alhamdulillah,” kongsi Wan Sharmila.
Menjengah ke ruangan komen, kebanyakannya memuji imej Wan Sharmila yang disifatkan sangat manis dan sejuk mata memandang.
“Ramai-ramai artis, suka tengok Lala ni. Dia punya vibe lain. Entahlah, tapi adore sangat. Moga dalam lindungan Allah selalu sis Lala.”
“Kita yang perempuan pun tengok macam ini boleh cair… jatuh sayang kat Wan Sharmila. Sejuk saja hati tengok dia.”
Pun begitu, terselit juga komen dari individu yang ‘mengheret’ nama pelawak serta penyampai radio terkenal, Shuib Sepahtu.
Siap di’tag’ lagi dalam komen yang menyatakan Wan Sharmila layak dijadikan bakal isteri.
“@Shuib Sepahtu, wanita yang solehah seperti ini layak dijadikan bakal isteri.”
Semoga Wan Sharmila terus istiqamah dan sentiasa berada dalam rahmat Allah SWT.
Kredit Foto: Instagram Wan Sharmila
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Buat pertama kalinya dalam sejarah Australia, seorang wanita berhijab telah dipilih menjadi senator! Lebih membanggakan, pada usia 27 tahun, wanita ini telah mendapat kepercayaan memegang jawatan sebagai Senator Dewan Parlimen Australia awal bulan lalu.
Foto: @senatorfatimapayman
Memetik perkongsian Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin di laman Facebook, beliau berkongsi tentang wanita muda Muslim pertama berhijab dilantik sebagai Senator di Australia.
Perjalanan Fatima Payman untuk menjadi seorang ahli parlimen pertama berhijab di Australia bukanlah mudah kerana dia pernah berhadapan dengan pelbagai situasi apabila terdapat rakan sekelas universiti mengejek tudungnya.
Pelajar jurusan Farmasi ini berkongsi kisahnya, dia merasa diterima sejak tiba di Australia selepas melarikan diri dari Afghanistan ketika bayi walaupun dia pernah diejek dalam bilik tutorial di universiti.
Senator Payman, 27, memaklumkan bahawa bapanya sentiasa berdepan ‘diskriminasi dan penderaan kepada tidakpastian pekerjaan dan gaji rendah’. Namun pengorbanan ayahnya itu membolehkan Payman menjalani zaman kanak-kanak yang bahagia.
Ucapan Payman penuh emosi di Parlimen pada malam Selasa dimana dia menzahirkan ucapan terima kasih atas pengorbanan arwah bapanya itu.
“Pengalaman yang tidak boleh saya lupakan apabila seorang lelaki telah mengejek hijab saya. Perkara tersebut telah membuatkan saya berasa seperti ‘orang asing’ di dalam kelas tutorial tersebut.”
“Sebelum itu, saya tidak pernah berasa berbeza atau pelik, saya berasa seperti kanak-kanak Aussie yang lain, membesar di pinggir bandar Perth, menaiki pengangkutan awam ke universiti dan berharap untuk menjadi ahli masyarakat yang produktif.”
Foto: Instagram @senatorfatimapayman
“Tetapi penghinaan seperti ‘Go back to where you came from’, menggelarnya sebagai ekstrimis telah memaksanya merasa seperti orang asing di Australia.”
Perkara tersebut telah membakar semangatnya untuk terlibat dalam politik, menyertai kumpulan kepimpinan belia, kumpulan penasihat polis dan persatuan pelajar Islam. Bijak mengatur langkah, beliau menyertai Parti Buruh selepas menyaksikan kedua ibu bapanya diambil kesempatan di tempat kerja mereka.
“Saya menyaksikan perjuangan ibu bapa saya demi meletakkan makanan di atas meja, demi membayar pendidikan kami dan demi menyediakan tempat berlindung untuk kami.”
Dalam ucapan pelantikannya, senator termuda itu turut berikrar untuk membawa perubahan dalam sistem Parlimen Australia.
Foto: Instagram @senatorfatimapayman
“Sebagai anak perempuan pelarian yang datang ke tanah ini dengan impian masa depan yang selamat dan lebih baik, saya memberikan diri saya keberanian untuk mencabar sistem dan untuk melihat… sejauh mana perubahan yang boleh saya lakukan,” kata Senator Fatima.
Malah, beliau juga menyeru rakan-rakan ahli parlimennya untuk menghapuskan ketaksuban, perkauman dan diskriminasi, bukan hanya diam membisu. Lebih manis, Fatima Payman menjadi pemecah tembok stigma untuk wanita Islam selepas dia menjadi ahli politik berhijab pertama yang memenangi undi yang mencukupi untuk menduduki kerusi di Dewan Senat Australia melalui parti Buruh.
Foto: Instagram @senatorfatimapayman
“Saya mahu menormalisasikan pemakaian hijab. Saya berharap dapat menjadi inspirasi kepada ramai anak muda Australia yang lain, bahawa hanya kerana anda percaya kepada Tuhan, atau hanya kerana anda kelihatan berbeza, ia tidak seharusnya menghalang anda daripada terlibat dalam institusi yang penting.”
Berada dalam negara yang minoriti beragama Islam, pemilihan Fatima oleh rakyat kulit putih yang lain menonjolkan keterbukaan dan penerimaan terhadap masyarakat Islam. Mereka saling hormat sebagai satu komuniti yang berusaha menjadikan persekitaran kehidupan yang positif.
Foto: Instagram @senatorfatimapayman
Semoga dengan perlantikan Fatima Payman dapat membuka mata dunia tentang Islam dan sekaligus menjauhkan stigma Islamophobia yang bukan sahaja boleh merosakkan bangsa, malah negara.
Sumber: www.dailymail.co.uk
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bagus sangat idea Ustazah Asni Mansor ni. Setidak-tidaknya kita dapat mendisiplinkan diri untuk bersedekah setiap hari. Mudah saja caranya tetapi untuk konsisten itulah cabaran utamanya.
Ustazah Asni Mansor.
Baca perkongsian bermanfaat daripada pendakwah terkenal yang berasal dari Felda Pasir Besar, Gemas, Negeri Sembilan ini bagaimana cara untuk konsisten dalam sedekah Subuh.
“Tercetusnya idea untuk mewujudkan tabung sedekah Subuh ini adalah ketika saya sedang mengisi hasil lukisan yang ditempah ke dalam bekasnya. Tiba-tiba terdetik di fikiran saya, selain lukisan alangkah baiknya kalau bekas itu juga dapat memberi manfaat kepada penerimanya. Lalu saya pun mendapat idea untuk mencipta tabung sedekah Subuh.
Tabung ini diperbuat daripada paip PVC yang dipotong kemudian dibersihkan, digosok dan dicat mengikut kreativiti. Pada awalnya saya mengikut warna asal buluh pada tabung ini sehingga ramai yang ingat itu adalah buluh lemang. Sekarang ini saya upgrade semula menjadi edisi istimewa atau premium.
Tabung sedekah Subuh yang dicipta oleh Ustazah Asni Mansor. Kreatifnya!
Tujuan utama tabung sedekah ini ialah untuk menggalakan kita bersedekah pada setiap hari dan setiap pagi. Maka dengan adanya tabung sedekah Subuh ini pagi-pagi lagi kita boleh masukkan wang. Rasulullah SAW bersabda
“Bersegeralah bersedekah kerana bala bencana tidak pernah mampu mendahului sedekah. Belilah semua kesulitanmu dengan sedekah. Ubatilah penyakitmu dengan sedekah. Sedekah itu sesuatu yang ajaib. Sedekah menolak 70 macam bala dan bencana, dan yang paling ringan ialah penyakit kusta dan sopak.” (Riwayat al-Baihaqi & al-Tabarani)
Caranya, selepas solat Subuh boleh masukkan wang ke dalam tabung. Ketika memasukkan wang niatkan untuk bersedekah. Dari segi berapa jumlah wang yang hendak dimasukkan tidak kisah asalkan ada niat untuk bersedekah pada pagi itu. Ajar juga anak-anak kita untuk menabung dengan niat hendak beramal sedekah.
Boleh keluarkan seminggu sekali atau sebulan sekali, terpulang. Yang pentingnya niat untuk bersedekah pada setiap hari telah pun terlaksana. Jika kita tidak tahu kepada siapa hendak bersedekah, boleh gunakan wang tersebut untuk belanja makan anak-anak, keluarga atau kawan-kawan. Itu juga dianggap bersedekah.
Kalau kita mampu menabung untuk pergi bercuti, kenapa tidak boleh menabung untuk sedekah Subuh? Sedangkan itu tanda bukti cinta kita kepada Allah SWT.
Ajar tangan kita untuk selalu memberi. Kita hendak ajar diri kita supaya ‘harta’ ada di tangan. Apabila ada di tangan senang untuk lepas. Tapi kalau harta ada di hati itu yang jadi bakhil (kedekut). Ini juga adalah training untuk mengajar keluarga dan anak-anak bahawa rezeki bukan untuk kita. Dalam hidup ini kita perlu belajar memberi. Barulah hidup kita akan bahagia.”
Kredit Foto: Instagram Ustazah Asni Mansor
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ajal maut, jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Tanggal 5 Disember 2025 pastinya menjadi tarikh yang tidak mungkin dilupakan Datin Seri Zizie Izette apabila suami tercinta dijemput ilahi. Tidak bersedia menerima pemergian insan kesayangan apatah lagi ketika itu dia berada di Semenanjung, figura popular ini bagaimana pun akur dengan takdir dan ketentuan ilahi.