Kenangan bertamu di kediaman Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali di Seri Kembangan, sampai sekarang masih basah di ingatan. Bahagia sekali dapat menatap sosok isteri negarawan itu, apatah lagi berbual dan mendengar sendiri kisah hidupnya.
Rasa kagum terhadap doktor wanita Melayu kedua di Malaysia itu kian bertambah apabila melihatkan kesihatan Tun Hasmah yang tidak banyak terjejas kecuali penglihatan. Pada usia 95 tahun, beliau juga masih mempunyai memori yang bagus.
Pelbagai peristiwa bersejarah termasuk nama dan tarikh-tarikh penting masih tidak luput dari ingatan Tun Hasmah. Beliau bercerita seperti seorang diari yang bergerak. Ingatannya begitu kuat, mungkin ada rahsia yang diamalkan Tun Hasmah?
Jawab beliau, “Yang pertama sekali tu, kita kena buat sesuatu berulang-ulang, khasnya pemikiran. Selalu saya berdoa, ‘Waraskanlah pemikiran hamba’ sebab ini penting. Kalau kita tak berulang-ulang buat sesuatu tu, kita lupa.
Khasnya sekarang ni saya tak nampak. Jadi saya kena hafal untuk masukkan dalam memori. Contohnya lagu-lagu. Kalau lagu-lagu yang saya ingat, bolehlah saya ingat tapi kalau yang baru, kenalah kita dengar lagu tu berkali-kali supaya otak kita tu meresap,” dedah Tun Hasmah sambil mengakui bermain muzik dapat menajamkan fikiran.
MAHIR GESEK BIOLA
Mendengar alunan gesekan biola ‘The Moon Represents My Heart’ ini begitu syahdu rasanya. Mungkin kerana melihat wajah bonda Tun Hasmah, wanita tertua yang bermain biola pada usia bakal mencecah 95.
Bercerita kepada Nona, rupa-rupanya banyak sejarah di sebalik kemahiran beliau menggesek biola. Kemahiran muzik pun salah satu cara bijak untuk kuatkan ingatan.
Cerita Tun Hasmah, “Saya mula bermain biola pada usia 16 tahun. Masa tu zaman Jepun tiga tahun je. Disebabkan tidak bersekolah dan tiada apa yang boleh dibuat, ayah suruh saya main biola dan kakak-kakak main piano.
Lepas British masuk balik, saya terus sambung pengajian di Singapura. Sejak itu saya tak pernah main biola, dan biola itu pun dah dicuri dari rumah mak.
Selepas saya balik semula ke tanah air, bekerja, berkahwin, pindah ke Alor Setar dan ada famili semua, saya tak usik sikit pun biola. Cuma sesekali saya main keyboard bila ada masa.
Apabila Tun Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri, beliau kena jelajah satu negara untuk terangkan tentang Kod Raja-Raja. Ketika di Melaka, mereka beri sebuah biola kepada beliau kerana ingatkan Tun pandai main biola. Tapi biola tu cuma dibawa pulang dan disimpan di pejabatnya.
Begitu juga artis Wah Idris pun pernah beri saya sebuah gitar, siap dengan tanda tangannya… pun saya simpan. Dapat trompet, simpan.
Sehinggalah pada tahun 2012, Petronas Philharmonic Orchestra (MPO) datang kepada saya yang pada masa tu Penaung MPO. Mereka nak adakan sebuah konsert kebajikan.
Masa tu saya boleh menyanyi koir je. Tapi Tun cakap pada saya, buatlah yang ganjil sikit dan orang tak pernah nampak. Saya pun fikir.
Jadi okay, BIOLA!
Bayangkan jarak 70 tahun, baru saya mula balik (main biola) sampai sekarang.
Bahu dan tengkuk saya ni pun baru rasa sakit-sakit. Doktor tak bagi saya main biola seketika,
Setiap hari Selasa, guru muzik akan datang mengajar di rumah saya. Winnie, guru saya, dia seorang yang tegas. Saya pernah cakap, ‘Winnie, pelajar baru ni dah tua.’ Dia tanya saya balik, ‘How old?’ dan saya jawab, 86. Dia pun diam tapi setuju mahu mengajar saya,” cerita Tun Hasmah.
Tidak hanya terkenal sebagai isteri pemimpin negara dan doktor perubatan, bonda Tun Hasmah terus meniupkan inspirasi kepada generasi wanita moden seperti kita semua agar lebih bijak memberi masa untuk menjaga diri sendiri.
Dari hobinya yang suka menulis, bermain muzik dan mengambil tahu perihal isu semasa, beliau jelas melambangkan sisi Nona Superwoman yang sebenar… She’s truly a living legend.