Haid berlebihan atau istilah perubatan ‘menorrhagia’ adalah satu keadaan biasa yang memberi kesan kepada wanita muda sejak ‘menarche’ (haid pertama) sehinggalah ke tahun-tahun reproduktif mereka. Ia ditakrifkan sebagai kehilangan darah haid lebih daripada 80ml setiap kitaran. Lebih daripada paras normal, penghidap masalah ini berisiko untuk mengalami anemia yang teruk dan memerlukan pemindahan darah.

IKLAN

Kebiasaannya wanita kehilangan kira-kira 40-60ml darah haid sebulan. Tempoh haid yang biasa ialah 5-7 hari setiap bulan dan aturan pusingannya antara 21 hingga 35 hari. Jika wanita mengalami turun darah haid yang berat dan berpanjangan atau pusingan yang tidak teratur atau terlalu kerap, dia berisiko tinggi untuk mengalami anemia kronik dan kehilangan zat besi yang serius. Antara ciri-ciri turun darah haid berat atau luar biasa ialah turunnya darah beku atau lencun tuala wanita lebih dari dua helai dalam tempoh sejam atau mengalami banjir haid (flooding).

Ironinya, ramai wanita berpersepsi turun haid berlebihan sebagai baik untuk kesihatan mereka. Mereka berasakan ‘darah kotor’ ini boleh menyebabkan penyakit. Terdapat ramai wanita yang bimbang jika darah haid keluar sedikit dan lebih ramai golongan ini yang berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan daripada wanita yang turun darah haid berlebihan. Terdapat banyak sebab-sebab haid luar biasa dan ia berubah mengikut peringkat umur. Pada golongan gadis remaja, ia biasanya disebabkan oleh ketidaknormalan fungsi rahim atau dikenali sebagai ‘dysfunctional uterine bleeding’ atau DUB. Ramai orang merujuknya sebagai ‘masalah hormon’ apabila tidak ada sebab organik tertentu boleh dilihat.

DUB berlaku akibat daripada kegagalan koordinasi rangsangan hormon pada dinding dalam uterus yang dipanggil endometrium hingga berlaku runtuhan atau ‘shedding’ lapisan endometrium yang tidak menentu. Ia juga menyebabkan kegagalan mekanisme hemostasis tempatan untuk mengawal kehilangan darah semasa haid. Akibatnya, pendarahan haid yang berlebihan pun berlaku, tidak menentu dan anda kehilangan zat besi kerana sel-sel darah merah adalah stor simpanan zat besi yang terbesar di dalam badan. Zat besi adalah satu elemen penting dalam darah kita yang membantu membawa oksigen untuk kegunaan sel-sel dan metabolisme di seluruh tubuh kita.

Bagi wanita pertengahan umur sehingga awal 40-an, perdarahan haid yang luar biasa boleh juga berlaku disebabkan DUB tetapi terdapat juga sebab-sebab lain seperti fibroid rahim dan polip endometrium, adenomiosis, hiperplasia endometrium atau kanser rahim. Semua wanita di sekitar umur menopaus dan selepas menopaus yang mengalami perdarahan haid luar biasa wajib mendapat pemeriksaan dan siasatan lanjut untuk menolak kemungkinan kanser organ pembiakan.

Kehilangan darah haid yang berlebihan untuk satu tempoh masa adalah satu ancaman kepada kesihatan wanita jika tidak dirawat. Ia adalah sebab nombor 1 anemia kronik dan kekurangan zat besi di kalangan wanita yang boleh melemahkan prestasi individu dan menjejaskan produktiviti di tempat kerja atau di sekolah.

Anemia kronik yang tidak dirawat boleh membawa kepada kegagalan jantung. Akibat anemia, jantung berdenyut dengan lebih cepat atau tidak teratur. Jantung perlu mengepam lebih banyak darah untuk mengimbangi kekurangan oksigen yang dibawa dalam darah. Lama-kelamaan dinding jantung menjadi tebal dan letih, seterusnya mengakibatkan kegagalan jantung jika anemia masih berterusan dan tidak dirawat.

Untuk golongan muda remaja, kekurangan zat besi yang teruk menjejaskan pertumbuhan dan perkembangan mereka untuk menjadi wanita dewasa. Selain itu, anemia kekurangan zat besi dikaitkan dengan kecenderungan meningkat kepada jangkitan. Kajian juga telah menunjukkan bahawa di kalangan wanita hamil, anemia kekurangan zat besi yang teruk telah dikaitkan dengan kelahiran pramatang dan bayi berat lahir rendah.