Women in Nuclear (WiN Malaysia) sekali lagi menganjurkan 5th Women in Nuclear Conference 2021 yang dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) iaitu YBhg. Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir. Acara tahunan ini anjuran bersama Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) yang diadakan pada 23-24 Mac 2021. Ia dijalankan secara maya bagi menyokong langkah kerajaan dalam mengekang penularan wabak pandemik COVID-19.
Tema penganjuran kali ini ialah “Nuclear Technology: Providing Solutions for Challenges in Future Development” bersesuaian dengan cabaran masa ini terhadap penularan wabak pandemik COVID-19 di seluruh dunia dari segi keselamatan dan kesihatan, ekonomi serta pembangunan masa depan negara.
Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, YBrs. Dr Siti A’aisah Hashim.
Penganjuran persidangan ini adalah untuk menyebar maklumat berkaitan perkembangan terkini dalam bidang teknologi nuklear, penemuan penyelidikan, berkongsi idea serta sebagai platform untuk menjalin perhubungan serta interaksi antara penyelidik, ahli akademik, industri, pelajar dan orang ramai di Malaysia.
Ads
Persidangan ini melibatkan 23 pembentangan kertas kerja yang merangkumi 2 kertas kerja ucaptama dan 5 kertas kerja jemputan ucaptema dari pakar dan profesional berpengalaman. Selain itu, terdapat 16 pembentangan oral dan 7 kertas kerja berbentuk poster dari para penyelidik dan ahli akademik dalam pelbagai bidang yang meliputi perlindungan sinaran, keselamatan dan sekuriti nuklear, aplikasi Sains Nuklear, peranan wanita dalam mempromosikan teknologi nuklear dan sains, kajian berkaitan COVID-19 dan sinaran tidak mengion.
Merujuk kepada tema dan tajuk kertas kerja yang dibentangkan, ia menunjukkan aplikasi teknologi nuklear amat bermanfaat dan digunakan dalam pelbagai bidang seperti industri, pertanian, perubatan, alam sekitar, pendidikan dan tenaga hijau. WiN Malaysia selaku penganjur utama adalah organisasi Bukan Kerajaan (NGO) dari pertubuhan induk WiN Global yang meliputi 101 cawangan seluruh dunia dianggotai oleh wanita profesional dalam bidang teknologi nuklear.
Ads
WiN Malaysia ditubuhkan pada tahun 2014 dengan misi untuk menyokong penglibatan wanita dalam dalam bidang Nuklear dan berperanan untuk berkongsi maklumat dan faedah teknologi nuklear dalam kehidupan seharian. Bersesuaian dengan Malaysia yang sedang bergerak ke arah negara perindustrian, bidang sains dan teknologi adalah sangat penting bagi masa depan ekonomi negara.
Justeru, peranan wanita dalam bidang sains dan teknologi seharusnya diberi pengiktirafan. Secara tidak langsung, penganjuran persidangan WiN Malaysia adalah meraikan sumbangan wanita dalam bidang sains, teknologi dan inovasi. YBhg. Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir, Ketua Setiausaha MOSTI menerusi ucapannya berkata, Malaysia telah lama mengiktiraf faedah penggunaan teknologi nuklear secara aman.
Melalui keanggotaan dengan International Atomic Energy Agency (IAEA), Malaysia mendapat manfaat dari program latihan dan projek penyelidikan. Malah, kini kursus berkaitan Teknologi Nuklear juga ditawarkan oleh beberapa universiti tempatan. Beliau berbangga dengan penganjuran persidangan WiN Malaysia kali ini kerana berkongsi bulan yang sama dengan Sambutan Hari Wanita Sedunia sekaligus dapat menonjolkan peranan dan kewibawaan wanita dalam STI khususnya di Malaysia.
Sumber: WOMEN IN NUCLEAR (WiN MALAYSIA)
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Islam memandang emas sebagai simbol kekayaan harta yang berharga dan mampu berkembang. Pada masa dahulu emas diguna sebagai wang dalam urusan jual beli. Emas-emas ditempa menjadi kepingan berbentuk syiling (dinar) dan juga dibentuk menjadi barang perhiasan wanita. Oleh sebab keistimewaan yang dimilik oleh emas dan menjadi ukuran kekayaan maka Islam mewajibkan zakat ke atas emas.
Sejak akhir-akhir ini, terdapat trend penurunan harga emas pasaran dan membolehkan individu yang berkemampuan menambah koleksi emas sebagai salah satu medium pelaburan yang berharga dan mampu berkembang. Tetapi disebalik itu, keperluan membayar zakat emas tidak harus dipandang sepi. Antara sebab zakat hanya diwajibkan atas harta yang berkembang ialah agar pembayaran zakat tidak membawa kepada penyusutan harta. Lebih-lebih lagi sekiranya harta tersebut hanya satu-satunya sumber untuk kelangsungan hidup pemiliknya, maka jikalau zakat tetap dikenakan sudah tentu akan membawa kesusahan kepada pemiliknya.
Terlalu banyak persoalan berkaitan zakat emas. Masih ramai sebenarnya kabur dengan kewajipan yang satu ini. persoalan seperti, “Ustaz, saya sudah pun mengeluarkan zakat emas saya tahun lalu. Jadi, tahun ini tidak perlu lagi kan?” atau “Emas yang menjadi kegunan perhiasan juga wajib dikenakan zakat?” Itu di antara persoalan timbul dikalangan umat Islam kini. Apa itu zakat emas?
Surah At-Taubah ayat 34 bermaksud:
“Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak membelanjakannya pada jalan Allah (tidak mengeluarkan zakat), maka beritahulah kepada mereka bahawa mereka akan mendapat azab yang pedih.”
Hadis Rasulullah menyebut:
“Tiadalah bagi pemilik emas dan perak yang tidak menunaikan haknya untuk menzakatkan keduanya, melainkan pada hari kiamat dia akan didudukkan di atas padang batu yang lebar dalam neraka, maka dibakar di dalam neraka jahannam, diseterika dengannya pipi, kening dan punggungnya.” (Sebahagian hadis riwayat Imam Muslim daripada Abu Hurairah r.a)
5 syarat wajib zakat:
Islam Merdeka Milik sempurna Cukup nisab Cukup haul
Hikmah Islam mewajibkan zakat emas
Di dalam sejarah tamadun manusia, emas sejak dahulu lagi telah berperanan sebagai mata wang dan menjadi sandaran dalam urusan jual beli untuk menggantikan sistem barter.
Bahkan Islam memandang emas sebagai unsur kekayaan alam yang hidup, yakni mampu berkembang dan dikembangkan.
Dengan nilai emas yang tinggi, maka manusia mampu menjana kekayaan lain.
Bahkan emas merupakan sejenis logam yang istimewa yang berbeza dengan logam-logam lain. Atas dasar keistimewaan dan kemampuan berkembang itulah Islam telah mewajibkan emas dizakatkan, sama ada dalam bentuk mata wang mahu pun yang diukir ke bentuk yang lain.
Emas adalah harta yang amat sinonim dengan kekayaan.
Memiliki emas menandakan seseorang itu kaya. Apabila kekayaannya berlebih, maka wajiblah zakat. Itulah konsep zakat harta dalam Islam.
Kadar zakat emas
Kadar nisab (jumlah minima) bagi emas ialah 20 misqal ataupun bersamaan 85 gram emas. Apabila emas seseorang mencapai tahap nisab itu, maka wajiblah zakat. Namun begitu, Islam masih meraikan emas sebagai alat perhiasan diri wanita. Maka Islam memberikan kelepasan berdasarkan corak pemakaian emas setempat. Ia dinamakan uruf.
Wanita yang memakai emas tetapi tidak melebihi uruf, maka mereka tidak wajib zakat. Hanya yang melebihi had uruf sahaja, maka wajib zakat. Kadar uruf ini boleh dirujuk kepada pihak berkuasa zakat di negeri masing-masing. Emas yang berlebihan uruf hendaklah dikeluarkan zakatnya 2.5 peratus. Bagi negeri Selangor, kadar uruf ialah sebanyak 800 gram. Contoh pengiraannya ialah: Jumlah emas melebihi uruf yang dimiliki (gram) x harga emas semasa x 2.5% Contoh: (900 gram) x RM 70 x 2.5% = RM1,575.00
Emas tidak dipakai dinamakan emas simpanan termasuk gelang emas yang rosak, rantai emas yang putus ataupun jongkong emas yang disimpan.
Emas seperti ini perlu ditimbang dan jika beratnya menyamai atau melebihi 85 gram, wajiblah dizakatkan sebanyak 2.5 peratus.
Contoh pengiraannya:
Jumlah emas menyamai atau melebihi nisab yang dimiliki (gram) x harga emas semasa x 2.5%.
Contoh: (90 gram) x RM 70 x 2.5% = RM157.50
Emas dipakai dan emas yang disimpan?
Emas dipakai: Bermaksud ia dipakai walaupun hanya sekali dalam tempoh setahun.
Emas simpanan: Emas yang langsung tidak dipakai walau sekali dalam setahun. 3. Emas Pelaburan Patuh Syarak
Pelaburan emas yang patuh syarak lazimnya dibahagikan kepada dua bentuk iaitu; i) pelaburan dalam emas fizikal dan ii) pelaburan dalam bentuk akaun emas (Passbook) Pelaburan Emas Fizikal
Emas fizikal yang dimiliki lazimnya diniatkan sebagai pelaburan untuk mendapatkan keuntungan. Biasanya emas ini berbentuk syiling, jongkong, bar dan wafer. Wajib dizakatkan sekiranya berat emas menyamai atau melebihi nisab 85 gram.Sebagai contoh, jumlah emas yang dimiliki diniatkan untuk pelaburan adalah sebanyak 400 gram maka:
Zakat Emas (pelaburan/perniagaan)
= Berat Emas x Harga Semasa x 2.5%
= 400 gm x RM140 (contoh) x 2.5%
= RM1,400
Akaun Emas (Passbook)
Terdapat bank menawarkan emas pelaburan berbentuk passbook atau Akaun Simpanan Emas. Akaun ini mencatatkan jumlah simpanan dalam unit gram emas yang dilaburkan. Pelaburan yang patuh syarak ialah fizikal emas itu wujud dan boleh dimiliki oleh pelabur. Wajib dizakatkan sekiranya ada niat pelaburan dan berat emas mencukupi nisab 85 gram.
Sebagai contoh, jika jumlah emas yang dimiliki dalam passbook sebanyak 200 gram maka:
Zakat Emas (pelaburan/perniagaan)
= Berat Emas x Harga Semasa x 2.5%
= 200 gm x RM140 (contoh) x 2.5%
= RM700
4.Emas Pelaburan Tidak Patuh Syarak
Pelaburan emas yang tidak patuh syarak lazimnya dibahagikan kepada dua bentuk iaitu; i) pelaburan dalam bentuk akaun emas (Passbook) yang tidak menyediakan emas fizikal dan ii) pelaburan emas melalui alam maya.
Akaun Emas (Passbook) Tanpa Fizikal Emas
Emas pelaburan passbook atau akaun simpanan emas tidak patuh syarak sekiranya tiada pegangan emas fizikal. Zakat hanya dikenakan ke atas pelaburan pokok sahaja sekiranya jumlahnya melebihi nilai nisab tahunan. Ia dikira mengikut formula Zakat Wang Simpanan. Akaun Emas Maya
Emas maya adalah emas yang diniagakan untuk pelaburan secara bukan fizikal. Perniagaan emas maya menggunakan platform elektronik. Pelabur yang mempunyai akaun di broker tertentu boleh membuat arahan belian dan jualan emas dengan harga semasa dipaparkan di platform tetapi tidak boleh menuntut emas fizikal yang dibelinya.
Memandangkan jualbeli emas ini tidak melibatkan emas fizikal maka ia adalah tidak patuh syariah. Zakat hanya dikenakan ke atas pelaburan pokok sekiranya jumlah melebihi kadar nisab tahunan. Ia dikategorikan sebagai bayaran Zakat Wang Simpanan.
Kaedah kiraan Zakat emas pelaburan tidak patuh syarak:
Zakat
= Pelaburan pokok @ baki terendah x kadar zakat
= RM40,000 (contoh) x 2.5%
= RM1,000
Nota 1 Uruf Emas ialah kebiasaan pemakaian emas masyarakat setempat. Berat uruf emas di Wilayah Persekutuan bersamaan dengan 800 gram.
Nota 2 Nisab ialah nilai semasa 85 gram emas.
Persoalan?
Bagaimana pula emas perhiasan yang mempunyai batu perhiasan seperti batu permata dan sebagainya?
Jawapan: Semasa proses taksiran zakat emas, hendaklah dibahagi dua berat emas perhiasan itu dengan andaian separuh daripada beratnya adalah berat batu perhiasan tersebut.
Setiap Muslim bertanggungjawab untuk memastikan hak Allah SWT yang tersimpan di dalam hartanya dikeluarkan sebagai zakat. Ia bukan sekadar membersihkan harta daripada unsur-unsur yang tidak halal kerana termakan harta milik asnaf malah dapat melestarikan keberkatan. Zakatlah satu cara bagi menjamin keberkatan yang dapat pula menjamin kebahagiaan umat manusia.
Info: www.zakat.com.my
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Penampilan anggun Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin seringkali menjadi tumpuan. Walau berbaju kurung mahupun kasual tetap terserlah kecantikan aslinya.
Penulis turut tertarik dengan penampilan Tengku Permaisuri Norashikin ketika baginda menghadiri majlis pelancaran tujuh buku terbitan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT). Berkebaya songket rona biru lembut fabrik songket menyerlahkan keayuan baginda.
Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norasikin bertitah agar usaha bagi memulih kembali warisan dan tekstil seni sulaman kelingkan diadakan dalam kalangan rakyat negeri ini.
Bagi tujuan tersebut, Tengku Permaisuri Norashikin bertitah supaya Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) dapat merancang agenda untuk merakyatkan budaya dan warisan tersebut yang dahulunya pernah popular di Selangor.
“Seni sulaman kelingkan yang dahulunya tidak asing lagi dalam kalangan kerabat diraja Selangor setelah diperkenalkan oleh Tengku Ampuan Jemaah dan legasi tersebut diteruskan pula oleh Tengku Amouan Rahimah, kini ia semakin jarang kelihatan,” titah baginda di majlis pelancaran tujuh buku terbitan PADAT.
Tujuh buku tersebut adalah Sulaman Kelingkan Melayu karya Mohd Subil Musa, tiga buku ditulis Intan Salina Idrus iaitu Kesenian Telepuk Warisan Melayu Selangor, Penyelidikan Terkini Nisan Acheh di Selangor serta Warisan Telepuk Alam Melayu, Kebaya Selangor oleh Rohayu Mohd Yunus, Permainan Wau Kapal oleh Mohd Subil Musa serta Tarian Piring Selangor oleh Allahyarham Mohd Lotfi Nazar.
Titah baginda penulisan tersebut merupakan satu dokumentasi penting yang dapat dijadikan sebagai sumber rujukan oleh generasi akan datang terutamanya mengenai seni warisan tekstil yang semakin dilupakan seperti sulaman kelingkan dan kain telepuk yang kini semakin sukar untuk diperoleh kerana tiadanya pengusaha yang mahir untuk menghasilkannya.
“Besar harapan saya agar kerjasama dapat dilakukan bersama agensi yang berkaitan agar koleksi buku ini bukan hanya ditempatkan di perpustakaan dalam negara, malahan dapat dipromosikan kepada perpustakaan di luar negara,” titah baginda.
Sumber: Bernama
Kredit Foto: Instagram Selangor Royal Official
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Isu gaji penyampai radio atau DJ yang dikatakan mencecah hingga ratusan ribu ringgit sebulan menjadi topik hangat di media sosial beberapa hari ini. Salah seorang penyampai radio senior iaitu Linda Onn turut terpalit dengan isu itu dan didakwa meraih pendapatan lebih RM40,000.
Terkejut dengan khabar tersebut, Linda atau nama sebenarnya Rozlindah Onn tampil memberi penjelasan. Sebagai antara penyampai radio popular tanah air, Linda sendiri tidak pasti dengan hakikat gaji yang diperoleh seorang DJ hari ini.
“Haish… Pandai-pandai je awak cakap gitu. Bestnyalah hai kalau betul dapat gaji gitu. Mana Linda pernah dapat gitu. Sampai ke sudah pun tak pernah dapat tinggi gitu.
Dulu menang award pun nama tengah gah pun gaji tak adalah sampai 10k. Bertuah penyampai radio zaman sekarang sampai jejak 50k – 100k-150k sebulan. Kalaulah bakatku dihargai dulu sampai dapat sebegitu. Bestnya.”
Pun begitu, Linda tidak menolak kemungkinan tersebut memandangkan perubahan zaman dan kehendak pendengar masa kini berbanding ketika era kegemilangannya suatu ketika dulu.
“Maybe penyampai zaman sekarang kualitinya berbeza, approachnya berbeza, kehendak pendengar berbeza, kehendak station pun berbeza berbanding dengan zaman Linda dulu. Tambahan pula orang yang dah ada nama dipanggil jadi penyampai radio. Lagilah berharga.
Dulu nak dapat naik gaji pun kena lalui appraisal, tengok KPI, tengok performance sebagai penyampai dan tengok komitmen kita untuk on ground event bagi station tu. Bukan senang eh.
Yelah, back to zaman dulu lain. Maybe juga zaman dulu ada yang dapat 40k – 100k. Tapi nope, Linda tak dapat. Kita terima jelah. Mungkin standard Linda tak sampai tahap tu.”
Bagaimana pun, pengusaha restoran My Mom’s Chicken Rice ini menzahirkan rasa syukur dan gembira jika ada di antara rakan sejawatannya menerima bayaran lumayan seperti yang diuar-uarkan.
“Happy juga dengar gaji penyampai dah ratus ribu sekarang. Wow, masyaAllah banyaknya!! Kadang terfikir kenapa dulu Linda tak dapat gitu eh? Haa, itu maknanya sudah tertulis rezekiku sebegitu saja. Kepada penyampai sekarang yang dapat gaji sebulan 50k – 100k -150k, tahniah!”
Berpengalaman lebih 20 tahun sebagai DJ, Linda pernah berkhidmat di stesen radio Kool FM, Era FM, Sinar FM dan Suria FM.
Berkongsi minatnya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Linda menerusi media sosial mendedahkan dia mula berjinak-jinak mendalami pembuatan minyak wangi.
Siapa sangka bermula dengan hobi dan niat mengisi masa terluang waktu PKP telah membuka peluang kepada usahawan berusia 45 tahun ini untuk menceburi bisnes minyak wangi berasaskan kayu gaharu atau lebih dikenali sebagai Oud.
Linda mendirikan rumah tangga dengan kerabat diraja Johor iaitu Ungku Azhar Ungku Maznan pada 27 Disember 2013. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak perempuan bernama Ungku Zara.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Idy Chan kembali mencuri perhatian pada usia 66 tahun apabila penampilannya yang anggun dan awet muda tular di media sosial. Ketahui kisah pelakon ikonik Bibi Lung yang memilih kehidupan sederhana selepas bersara.