Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Dari seorang gadis biasa dan bintang program realiti TV, kini Sofia Kristina Hellqvist merupakan ahli keluarga diraja Sweden! Semuanya bermula ketika Sofia bertemu putera kacak Sweden iaitu Carl Philip of Sweden semasa beliau mengusahakan sebuah pusat kesihatan yoga di Manhattan.
Mengintai latar belakang Princess of Sweden dan Duchess of Varmland ini, Sofia dilahirkan di Stockholm pada tahun 1984 dan bergiat aktif dalam bidang peragaan. Beliau juga merupakan anak kedua daripada tiga adik-beradik perempuan. Meskipun pernah melanjutkan pengajian dalam jurusan Perhubungan Antarabangsa dan Perakaunan di dua institut berbeza di Sweden dan Amerika, namun puteri diraja berusia 36 tahun ini tidak pernah bekerja dalam bidang yang dipelajari.
Sebaliknya, Princess Sofia lebih selesa bekerja sebagai pelayan restoran, pembantu jualan dan model. Semasa menjadi model, wajah cantik Princess Sofia telah banyak menghiasi banyak majalah di negara kelahirannya. Bersandarkan kepada kecantikan dan tubuh menawan yang dimiliki, Princess Sofia juga dilaporkan menyertai pelbagai pertandingan ratu cantik termasuk pernah menjadi juara Miss Slitz 2004.
Rentetan daripada gelaran ratu cantik tersebut, beliau mula berjinak-jinak dalam bidang lakonan dan menyertai sebuah program realiti ‘Paradise Hotel’ di salah satu saluran televisyen Sweden.
Bertitik tolak daripada program realiti ini, kelibatnya mula mencuri tumpuan ramai sehingga meraih populariti luar biasa. Princess Sofia kemudian berhijrah ke New York dan membuka sebuah pusat kesihatan yoga di Manhattan. Di sinilah beliau bertemu Carl Philip of Sweden dan masing-masing dikatakan jatuh cinta pada pandang pertama.
Ads
Carl Philip mengambil langkah permulaan untuk memenangi hati Sofia dengan mengajak jelitawan tersebut menyaksikan perlumbaan go kart. Hubungan mereka dikatakan semakin serius pada Ogos 2010. Tanggal 27 Jun 2014, pasangan kekasih ini mengumumkan berita pertunangan mereka.
Episod ala kisah dongeng rakyat biasa menjadi puteri kayangan tercetus pada 13 Jun 2015 apabila Princess Sofia secara rasmi menjadi isteri Prince Carl dalam majlis perkahwinan gilang-gemilang yang berlangsung di Chapel of Stockholm’s Royal Palace.
Ads
Gaun perkahwinan Princess Sofia direka khas oleh pereka Sweden, Ida Sjostedt. Istimewanya gaun indah berlengan panjang dan rekaan leher V berkenaan diperbuat daripada silk crepe dan sulaman tangan. Mahkota yang dipakai pula merupakan pemberian hadiah daripada Raja dan Permaisuri Sweden.
Dek kerana kehidupan lama Princess Sofia, ada segelintir pihak memberi persepsi buruk terhadapnya dan menganggap beliau tidak layak menjadi puteri diraja. Berbeza pula bagi Carl Philip of Sweden yang digambarkan seorang putera raja sempurna, kacak, ramah dan berpendidikan tinggi. Malah putera kedua King Carl Gustav XVI dan Queen Silvia of Sweden ini juga sangat disenangi keluarga diraja Sweden.
Ads
Bagaimana pun kecantikan Sofia Hellqvist dan kebaikannya bersama Carl Philip of Sweden lama-kelamaan diterima baik rakyat jelata. Dia kini mendapat gelaran Her Royal Highness Princess Sofia of Sweden dan Duchess of Varmland.
Kehidupan Princess Sofia berubah sepenuhnya pada 19 April 2016 apabila beliau bergelar ibu. Putera sulung mereka dilahirkan nama Alexander Erik Bertil. Setahun kemudian, pada 31 Ogos 2017… perkahwinan mereka tambah meriah dengan kehadiran cahaya mata kedua iaitu Gabriel Carl Walther.
Dikurniakan suami penyayang, anak-anak comel dan disayangi rakyat… membuatkan Princess Sofia teruja dan mahu terus memberikan sumbangan terbaik kepada masyarakat.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tiada kata-kata yang boleh dilafazkan selain terharu oleh Che Zuhaiza Che Hamat terhadap pengorbanan suaminya, Mohd Rusdi Husain. Sejak lima tahun lalu Che Zuhaiza telah diuji dengan musibah penyakit Multiple Sclerosis atau gangguan saraf.
Che Zuhaiza hanya boleh dipapah serta berkerusi roda untuk bergerak. Suamilah tempatnya bergantung harap, bukan sekadar menjaga dirinya yang tidak mampu lagi untuk bergerak bahkan melakukan semua urusan rumah tangga termasuklah menguruskan anak-anak.
Cukup besar pengorbanan seorang suami yang mungkin sukar untuk kita lihat pada zaman sekarang. Wajah lelaki berusia 44 tahun ini tampak tenang demi melihat kebajikan isteri tercinta sentiasa terjaga.
Pasangan ini dikurniakan empat zuriat yang masih kecil berusia 11, 9, 7 dan 6 tahun. Mohd Rusdi bertugas sebagai pembantu bilal di Masjid Saidina Othman Bandar Tun Razak Kuala Lumpur.
PENGORBANAN
“Saya disahkan mengalami gangguan saraf dan tidak dapat berjalan sekitar tahun 2013. Ia berlaku ketika saya mengandungkan anak bongsu. Namun alhamdulillah saya dapat bersalin secara normal.
Ini satu keajaiban di saat diri menderita dengan penyakit. Doktor juga memberitahu penyakit saya ini tak akan sembuh dan saya terpaksa bergantung dengan ubat dan rawatan hospital. Sejak saya sakit kadangkala anak-anak terpaksa ponteng sekolah untuk bantu suami menjaga saya. Jiran-jiran juga banyak membantu meringankan beban kami sekeluarga.
Ini antara kekuatan saya kerana di saat begini kami dikelilingi insan-insan yang baik dan berhati mulia. Selain itu, doa dan sabar menjadi kekuatan saya. Mujurlah anak sulung kami sudah boleh diharap dan ringan tulang membantu. Setiap hari suami akan memasak siap-siap kemudian dia akan bergerak ke Masjid Saidina Othman sebelum Zohor.
Saya terharu kerana suami sanggup belajar apa yang dia jarang buat sebelum ini seperti memasak dan mengemas rumah. Suami juga buat dua tiga kerja demi menambah pendapatan keluarga.
Terima kasih buat suami kerana sanggup bersusah payah menjaga saya dan anak-anak. Hikmahnya, kami sekeluarga kini bertambah rapat. Cinta dan kasih sayang kami kian mendalam,” luah Che Zuhaizah berusia 39 tahun.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Dalam situasi seluruh dunia berhadapan pendemik COVID-19, kebanyakan hotel mula merubah strategi dengan menawarkan makanan berbuka puasa untuk di bawa pulang berbeza dari keadaan sebelumnya di mana bufet Ramadan menjadi pilihan untuk menyajikan pelbagai hidangan tempatan dan antarabangsa yang enak dan menyelerakan.
Chef Hasbullah dan kakitangannya menyediakan menu tradisi istimewa sebagai sajian berbuka puasa di rumah untuk Ramadan kali ini. Bertemakan Malaysian Heritage, hidangan autentik dan kegemaran masyarakat Malaysia bakal disajikan untuk dinikmati di rumah bersama keluarga tersayang.
Memahami situasi terkini yang melanda negara, menurut Pengurus Besar Hotel Maya Kuala Lumpur, Sharmini Moganasundram, tradisi berbuka puasa secara bufet tidak dapat dilaksanakan memandangkan situasi semasa. Namun begitu, Hotel Maya mengetengahkan menu istimewa warisan Melayu untuk dibawa pulang terutamanya untuk individu yang rindukan masakan air tangan ibu lantaran tidak dapat pulang ke kampung halaman masing-masing untuk berbuka puasa bersama-sama.
Chef Hasbullah sememangnya terkenal dengan masakan Melayu ini bakal menyediakan menu istimewa antaranya termasuklah set Nasi Tomato bersama Ayam Masak Merah, Nasi Kerabu, Soto Ayam dan banyak lagi.Setiap set turut disertakan dengan kurma sebagai pilihan untuk berbuka puasa. Selain set menu masakan Melayu yang ditawarkan, pelanggan boleh memilih seleksi menu ala carte yang menampilkan hidangan tempatan, barat dan hidangan Jepun. Penulis sendiri berpeluang menikmati hidangan set buka puasa amat menggemari hidagan Salmon Teriyaki kerana ia mempunyai rasa yang bertepatan dengan citarasa penulis!
Tidak lengkap tempahan bawa pulang tanpa hidangan pencuci mulut. Hotel Maya Kuala Lumpur menawarkan seleksi pencuci mulut terdiri daripada Bubur Pulut Hitam, waffle serta Chinese Pancake yang enak. Hidangan Buka Puasa ini boleh ditempah untuk penghantaran ke rumah dari 5 hingga 23 Mei 2020.
Sebagai usaha membantu negara menangani wabak ini, Hotel Maya tidak melupakan tanggungjawab sosial mereka dengan menyediakan makanan untuk barisan hadapan yang bertugas di Hospital Kuala Lumpur baru-baru ini. Selain itu,Hotel Maya turut bekerjasama dengan MODA MALAYSIA (Malaysian Offical Designer’s Association) untuk sama-sama membantu menjahit pakaian perlindungan kesihatan atau PPE untuk barisan hadapan.
Hotel Maya berharap sumbangan kecil yang dilakukan oleh pihak mereka dapat meringankan sedikit beban yang dipikul oleh barisan hadapan dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19.Satu usaha murni yang wajar dicontohi.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Beliau bukan hanya menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri bahkan Datuk Mas Ermieyati Samsudin ini juga sebenarnya ibu kepada lima orang anak. Meskipun ada anak kecil namun semangat beliau untuk menaik taraf kehidupan usahawan khususnya dalam kalangan wanita cukup berkobar-kobar.
Menyelami kehidupan wanita masa kini yang serba mencabar apatah lagi bertindak sebagai ibu yang menguruskan keluarga, Datuk Mas Ermieyati atau mesra di sapa Datuk Emy sedaya-upaya mengembangkan potensi wanita untuk menjana pendapatan mereka. Beliau yang merupakan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi mengambil kelebihan tugas tersebut untuk memartabatkan lagi kredibiliti golongan wanita.
Kagum dan teruja melihat penglibatan ramai kaum hawa menjadi usahawan berjaya dan bergelar jutawan seperti sekarang, Datuk Emy menerusi kementeriannya merancang lebih banyak program keusahawanan baharu demi membuka peluang kepada lebih ramai wanita untuk menceburi bidang perniagaan.
“Sempena sambutan Hari Wanita 2021 yang jatuh pada 8 Mac 2021, adalah menjadi impian setiap wanita untuk terus memperkasakan dan mendaya upayakan wanita yang lain untuk terus berjaya dan melangkah dalam mendepani cabaran masa hadapan dengan mengambil kira norma baharu.
Setiap wanita perlu terus bangkit dan mempertingkatkan sosioekonomi kita, supaya kita dapat terus menyumbang kepada keluarga, komuniti dan negara.
Dari sudut keusahawanan, sebab itu saya dan Kementerian yang saya dokongi akan meneruskan agenda memperkasakan keusahawanan wanita dengan menterjemahkan perjuangan ini melalui penubuhan Jawatankuasa Induk Keusahawanan Wanita (JIKW) dan Jawatankuasa Teknikal Keusahawanan Wanita (JTKW) di peringkat Kementerian khusus untuk koperasi/komuniti usahawan wanita dari pelbagai latar belakang sektor perniagaan termasuklah kategori penjaja kecil (informal).
Besar harapan kami di Kementerian untuk melihat peratusan penglibatan usahawan dalam kalangan wanita dapat terus dipertingkatkan. Usahawan wanita yang sedia ada akan kita gembleng usaha untuk ke peringkat yang lebih tinggi.
Saya tidak mahu golongan wanita ketinggalan atau terpinggir dalam agenda ini kerana agenda ini adalah untuk kita yang bergelar wanita. Dari wanita kepada wanita! In shaa allah.”
Selain itu, Datuk Emy ketika dihubungi Nona turut memaklumkan usaha memperhebat kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
“Bagi meningkatkan penyertaan kumpulan sasar terutamanya WANITA dalam agenda keusahawanan dan koperasi, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) bersama-sama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah menjalinkan kerjasama strategik melalui penawaran 13 program khusus melalui agensi-agensi berkaitan terutamanya dalam mendepani cabaran perniagaan khususnya bagi mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19.”
Dalam pada itu, Datuk Emy melahirkan hasrat agar lebih banyak penglibatan kaum wanita dalam arena politik negara.
Kredit foto: Instagram Datuk Mas Ermieyati
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bakal mencecah usia 29 tahun, kejelitaan anakanda puteri Sultan Terengganu, YAM Tengku Puteri Utama Raja Tengku Nadhirah Zahrah Binti Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin makin menyerlah.