• 38
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    38
    Shares

Ternyata orangnya bukan sahaja cantik, berperwatakan menarik ditambah dengan kebijaksanaannya merencanakan kehidupan demi masa depan menjadi kelebihan buat Dr. Tengku Ezulia Tengku Azlan Ismara.

Mana tidaknya, bukan calang-calang individu boleh mendapat gelaran doktor pakar dalam usia yang begitu muda!

Tidak lokek dengan senyuman dengan ramah, wanita berusia 31 tahun ini turut berkongsi tentang rencana serta rutin hidupnya yang sibuk. Walaupun rutin hariannya sebagai doktor perubatan serta pensyarah sibuk dengan pelbagai tugasan yang perlu dilaksanakan, dia tidak pernah merasa terbeban lantaran minat yang mendalam dalam bidang ENT sejak kecil lagi.

“Saya mengambil masa lapan tahun untuk membina karier pada tahap kini dan berjaya memenuhi sebahagian daripada impian untuk mendalami pengkhususan telinga, hidung dan tekak (ENT). Malah, saya memilih cabang tersebut kerana merasakan ENT adalah masalah biasa yang dialami sesiapa sahaja.”

Wanita kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini mahu menjadi antara orang yang mampu mengatasi masalah berkaitan ENT selain melihat peluang kerjaya dalam bidang itu terbentang luas kerana tidak ramai yang mahu menceburinya.

“Saya sendiri dihujani dengan pelbagai pertanyaan berkaitan dengan ENT sejak saya menceburi bidang perubatan. Namun apa jua bidang yang saya pilih, yang penting tetap digunakan untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Ujar Dr. Lea, ENT memberi cabaran yang tersendiri yang mana telinga, hidung dan leher melibatkan lokasi kritikal berhubung dengan organ-organ penting seperti otak, mata, rongga pernafasan, salur darah yang besar pada leher dan saraf-saraf penting.

Ketika ditanya mengenai momen yang tidak dapat dilupakan sepanjang karier, tambah Dr Ezulia, memandangkan ENT turut melibatkan airway atau pernafasan, ia sememangnya menjadi masalah utama untuk setiap individu.

Pernah mengendalikan beberapa kes melibatkan pesakit kanser yang menghadapi kesukaran bernafas, Dr Ezulia bersyukur kerana dapat menyelamatkan nyawa pesakit dengan bantuan perubatan yang pantas dan bersiap sedia dengan segala kemungkinan.”

Bercerita pula peranannya sebagai social media influencer, sememangnya Dr Lea tidak pernah menganggap ianya sebagai satu batu loncatan untuk glamor dan dikenali. Malah, Dr Lea menggunakan platform tersebut untuk mendidik generasi muda masa kini untuk berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi.

“Di hospital saya merupakan seorang doktor bukan social media influencer. Saya tidak akan sesekali mencampur-adukkan antara minat dan kerjaya. Walaupun ramai yang mengenali saya aktif di Instagram, saya masih meletakkan batasan. Apabila menyarung uniform kerja, saya perlu fokus terutama apabila masuk ke dewan bedah kerana saya perlu mematuhi setiap etika kedoktoran,” katanya yang amat mementingkan kualiti dalam kerjaya dan kehidupan.

Menggunakan media sosial sebagai platform untuk mendidik generasi masa kini, Dr Ezulia berkata lama sosialnya sering dikunjungi oleh para pelajar jurusan perubatan yang ingin mengetahui dengan lebih mendalam berkenaan bidang ENT.

“Saya yakin setiap apa pun yang hendak dilakukan haruslah ada minat. Apabila minat telah timbul, pasti perasaan tertekan dan bebanan dengan apa yang dilakukan tidak timbul. Sebagai pakar bedah, semestinya memerlukan kerja keras dan tanggungjawab yang besar. Setiap apa yang kita hendak lakukan perlulah mempunyai usaha dan bekerja keras untuk mencapai kejayaan,” ujar Dr Tengku Ezulia mengakhiri perbualan.

Jangan Lupa Komen

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Dikendali Oleh Astro Group

error: