Masuk tahun ini, sudah sebelas tahun Sharifah Aminah Syed Mohssain bergelar ibu kepada lima orang anak. Secara luaran, tiada apa yang membezakan wanita berusia 39 tahun ini dengan ibu-ibu lain yang mempunyai anak kecil dan dalam masa sama sibuk dengan kerjaya masing-masing. Naluri keibuan yang terpancar pada wajah Sharifah Aminah menutupi segala kekurangan diri.
Realitinya, lima anak yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang itu bukan berasal dari darah daging Sharifah Aminah. Sebaliknya, mereka adalah anak angkat yang telah dijaga dengan sempurna oleh Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Bandar Tun Razak itu sejak kecil lagi.
Dialah ibu dan dia jugalah bapa kepada lima anak bertuah Muhammad Mukhlis Daniel, 11 tahun; Muhammad Mohssain Danish, 10 tahun; Mysarah Aqeelah Wafaa dan kembarnya, Muhammad Aqeel Wafiyy, 9 tahun; dan Muhammad Aqmal Wafeeq, 4 tahun. Bayangkan tanpa bantuan insan bergelar suami… Sharifah Aminah teguh menguruskan segala keperluan anak-anak seorang diri.
Baginya, itu adalah kepuasan yang dicari selama ini. Berkongsi kasih bersama anak kecil yang memerlukan. Sungguh mulia!
Ketika selamat bernikah dengan suami tercinta
Namun, tanggal 25 Disember dua tahun lalu… tugas yang digalas Sharifah Aminah selama ini dikongsi bersama lelaki bergelar suami. Selamat mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan keluarga, Muhamad Anizan Kadir… wanita berjiwa penyayang ini mengakui hidupnya lebih sempurna sekarang.
“Niat untuk ambil anak angkat ini bermula secara kebetulan waktu hari jadi saya yang ke-29. Masa tu tahun 2008 apabila seorang sahabat baik datang ke rumah saya dan membawa bayi lelaki yang baru berusia 53 hari.
Ads
Memandangkan dia belum berkahwin dan tak ada rumah yang sesuai, saya bersetuju membiarkan bayi tersebut tinggal di rumah saya sementara menunggu dia mencari rumah. Diam tak diam, enam tahun juga saya jaga bayi tersebut dan kemudian baru kawan jaga sepenuhnya.
Bila sudah selalu bersama dan tiba-tiba terpaksa berpisah, memang saya rasa sedih. Kalau dulu, setiap hari dia ada bersama tapi lepas kawan turut jaga anak pertama saya, Mukhlis… kami berdua gilir-gilir jaga.
Sebab sedih tak dapat selalu jumpa, adik perempuan saya pergi carikan anak angkat yang baru pula untuk saya secara sah. Dari situlah, saya mula ambil anak angkat kedua sampai anak yang kelima. Masa sudah ada anak dua, majikan beritahu yang dia mahu ambil anak angkat juga sebab belum dapat anak lagi.
Ads
Sharifah Aminah bersama lima anaknya
Tapi bila saya sudah dapatkan bayi untuk diambil sebagai anak angkat dan selamat dilahirkan, lain pula jadinya sebab majikan saya tadi cakap yang dia belum bersedia. Tak mahu hampakan keluarga bayi tersebut, saya lapangkan dada untuk jaga anak kembar mereka sekaligus jadi anak ketiga dan keempat. Alhamdulillah.
Ingatkan sampai takat itu saja… tapi rupanya Allah hendak bagi rezeki anak angkat lagi dekat saya. Hendak dijadikan cerita, ada seorang kawan bawa wanita yang sarat mengandung ke rumah saya pukul 2 pagi. Seminggu kemudian, dia bersalin dan sama seperti kes sebelum ini, suami isteri yang mahu ambil anak angkat mungkir janji. Sudahnya, saya yang ambil anak ini dan bawa ibunya sekali untuk tinggal bersama.
Ads
Jujur saya beritahu, ambil anak angkat ini bukan mudah sebab banyak proses yang perlu dilakukan. Kena berurusan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memaklumkan yang kita sudah mengambil anak angkat, kemudian perlu berurusan dengan Jabatan Pendaftaran Negara pula untuk tanda tangan beberapa dokumen oleh ibu bayi terbabit sebelum diserahkan kepada ibu bapa angkat. Selepas tempoh 2 tahun, barulah secara rasminya proses pengambilan anak angkat selesai.”
Membahasakan diri dengan gelaran Umi ketika berada bersama anak-anak, Sharifah Aminah juga tidak terlepas daripada persepsi negatif masyarakat yang menganggap usaha murninya itu semata-mata mahu menyembunyikan status diri. Meskipun terkadang timbul sekelumit rasa benci dengan tohmahan khalayak, wanita cekal ini membulatkan hati untuk terus memperjuangkan nasib lima anaknya.
“Tak dinafikan saya terima banyak feedback orang ramai tentang hal ini. Ada yang menyokong dan tidak kurang juga yang mengata serta menjaja cerita. Kononnya saya yang melahirkan anak ini dan terpaksa menyorokkan mereka kerana saya sudah berkahwin dan menjadi isteri kedua. Saya tak mahu ambil peduli dengan cakap-cakap orang luar. Cukuplah ahli keluarga sokong dan menerima anak saya seperti darah daging sendiri.
Sedang menanti kelahiran cahaya mata
Alhamdulillah, semua anak-anak disusukan adik perempuan saya. Jadi kepada wanita yang ada keinginan mengambil anak angkat; jaga, sayangi dan lindungilah mereka macam anak sendiri. Jangan sesekali abaikan kerana mereka adalah amanah Allah… walaupun hakikatnya kita bukan insan yang melahirkan mereka ke dunia.
Paling penting, ambil anak dengan prosedur yang betul dan sah di sisi undang-undang supaya nasib mereka akan terbela kelak,” pesannya yang kini sedang hamil zuriat sulungnya sendiri hasil perkahwinan bersama suami tercinta.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kejayaan yang ditempa usahawan muda ini bukan calang-calang. Belum pun mencecah usia 30 tahun tapi semangat Siti Mariam Abdul Samad untuk berjaya dalam perniagaan benar-benar cetus inspirasi. Mana tidaknya, daripada seorang jururawat yang tiada pengalaman dan latar belakang dalam dunia keusahawanan kini merupakan pemilik empayar niaga bernilai jutaan ringgit!
Tatkala ditanya faktor utama yang membuatkan Siti Mariam nekad mahu bergelar usahawan produk rambut berjaya, ini jawapan jujur beliau selaku pengasas Faith Fleur. “Semuanya bermula selepas saya mengalami masalah rambut yang sangat teruk kira-kira lima tahun lepas. Rambut saya gugur dengan banyak dan saya rasa malu berdepan dengan orang ramai selain hilang keyakinan diri.
Saya juga jadi buntu apabila kebanyakan produk yang sudah saya cuba dan guna pun tidak memberi kesan memuaskan. Jadi, saya ambil keputusan untuk mengeluarkan produk penjagaan rambut sendiri,” ujarnya yang tertarik dengan dunia kecantikan rambut sejak zaman remaja lagi.
Yang pasti, jenama produk penjagaan dan kecantikan rambut Faith Fleur yang diusahakan kira-kira tiga tahun lalu merupakan pencapaian paling bermakna bagi isteri Muhamad Abdul Halim Bahadorisam ini. Apatah lagi, dia pernah mengalami kejatuhan dalam bisnes selain menanggung beban hutang yang besar.
“Bayangkan, umur baru 24 tahun tetapi saya terpaksa tanggung hutang keliling pinggang berjumlah lebih daripada RM110 ribu! Selepas berkahwin, saya berdepan masalah kewangan yang serius. Saban hari saya ‘dikejar’ pemungut hutang Ah Long.”
Sebelum bergelar usahawan, Siti Mariam pernah berkhidmat sebagai jururawat di sebuah hospital swasta. Bagaimana pun, beliau memilih untuk meninggalkan kerjaya tersebut kerana mahu memberi tumpuan dalam bidang perniagaan.
Sepanjang tiga tahun mengemudi legasi Faith Fleur di samping suami tercinta, kini Siti Mariam boleh tersenyum bangga apabila hasrat untuk memiliki wisma sendiri akhirnya berjaya direalisasikan. Wisma Ctymary yang terletak di Bandar Saujana Putra, Selangor dijadikan sebagai ibu pejabat Faith Fleur dan sehingga kini Siti Mariam mempunyai seramai 3,000 agen di seluruh Malaysia termasuk Singapura serta Brunei.
Lebih mengujakan, papan iklan berkaitan produknya terpampang luas di segenap lebuh raya utama di seluruh negara. “Alhamdulillah, tahun ini Faith Fleur di bawah Ctymary Resources bakal membuka tiga warehouse di headquarters kami di Bandar Saujana Putra, Bintulu dan Sabah. Selain itu, kami juga baru sahaja menerima empat anugerah daripada mentor Dr Azizan Osman dari Richworks.”
Ujar graduan Diploma Kejururawatan dari Segi College University ini lagi, dia amat bertuah kerana jenama Faith Fleur melonjak naik dan dikenali ramai ketika negara berdepan Covid-19 sejak pertengahan Mac lepas. Malah pasaran Faith Fleur mendapat permintaan luar biasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang lalu disebabkan strategi pemasaran yang tepat dan betul.
“Kebanyakan pengguna tertarik dengan Faith Fleur kerana ia bebas kimia berbahaya seperti paraben, sles dan paling utama kerana kami adalah produk keluaran Bumiputra. Sebelum sesuatu produk itu dikeluarkan, saya sendiri dengan rela menjadi ‘tikus makmal’ untuk uji keberkesanan setiap produk Faith Fleur. Daripada feedback yang diterima daripada pengguna, rata-rata mereka menggemari hair serum kerana baunya yang wangi dan tidak melekit. Sebab itu jugalah ia menjadi bestseller Faith Fleur.”
Siti Mariam tanpa berselindung mengakui menjadikan usahawan dan selebriti terkemuka tanah air seperti Noor Neelofa Mohd Noor sebagai pendorong untuk berjaya. Katanya, kesungguhan Neelofa mengurus perniagaan dan kerjaya seni benar-benar mencuri perhatian. Selain Neelofa dia turut menjadikan Dr Azizan Osman sebagai sumber inspirasi.
Kesungguhan pakar motivasi tersebut membimbing dan memberi kata-kata semangat kepadanya sejak awal berniaga dahulu amat bermakna buat Siti Mariam kerana berjaya membentuk dirinya menjadi individu matang, berani dan berpandangan jauh.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
‘Work hard in silence, let your success be your noise..’ kata-kata inilah yang menjadi pegangan buat si cantik Nazeera Sardi yang merupakan seorang pelakon, pengacara dan penyanyi.
Dalam usia 32 tahun Nazeera kini sudah pun bergelar usahawan produk kecantikan jenama sendiri iaitu Zeyra Beauty yang diusahakan sejak tiga tahun lalu di samping label pakaian, Zeyra by Nazeera Sardi.
Kagum dengan usaha serta semangat Nazeera dalam mengejar impiannya untuk bergelar artis yang berpendidikan tinggi. Bagi Nazeera Allah SWT telah mengurniakan rezeki buatnya lebih kepada bisnes dan pendidikan.
Sebelum berada di tahap sekarang Nazeera terpaksa berkorban masa, tenaga dan wang apabila perlu melakukan lima kerja dalam satu masa iaitu sebagai pelajar, pelakon, penyanyi, pengacara serta usahawan fesyen dan produk kecantikan.
IBU WANITA TERHEBAT
“Salah satu sebab saya sambung belajar juga adalah untuk membahagiakan dan menggembirakan mak saya, Siti Nginah. Walaupun saya anak bongsu, saya tak akan pernah berhenti untuk melihatnya gembira. Setiap apa yang saya buat saya hanyalah untuk mak. Ayah pula dah lama meninggal dunia.
Mak adalah wanita inspirasi dan terhebat dalam hidup saya. Sejak kecil saya kagum sangat dengan mak. Selain rajin berniaga secara kecil-kecilan, mak juga memiliki semangat yang kuat dan tegas untuk melihat anak-anaknya berjaya walaupun dirinya bukanlah seorang yang berpendidikan tinggi,” luah Nazeera.
RAPAT DENGAN ADIK BERADIK
“Keluarga saya memang meriah sebab ramai. Anak buah seramai 24 orang. Sejak kecil hubungan saya dengan adik beradik macam isi dengan kuku. Saya mempunyai seorang abang dan enam orang kakak.
Saya paling rapat dengan kakak nombor tujuh, Samiah. Beza usia kami dua tahun dan kami tinggal bersama. Kami berkongsi minat yang sama iaitu gemar memasak dan menyanyi. Selain itu, kami juga banyak persamaan dari segi karakter antaranya rajin berdikari dan happy go lucky.
Kalau ada sebarang aktiviti atau majlis kami akan pergi bersama. Susah senang pun kami lalui bersama. Adik beradik sentiasa menjadi penyokong setia saya walau apa jua keadaan. Mereka sentiasa percaya dengan kebolehan saya dan tak pernah memandang rendah,” ungkap Nazeera yang mengamalkan makan buah buahan, sayuran serta air kosong untuk kekal cantik dan sihat.
GRADUAN IJAZAH SARJANA
Oktober 2018 menjadi detik paling manis apabila Nazeera berjaya memperoleh Master Pentadbiran Perniagaan (MBA) pengkhususan pemasaran daripada Putra Business School Universiti Putra Malaysia.
“Waktu ini saya betul-betul struggle sampai kerap menangis kerana terlalu tertekan untuk melunaskan lima kerja dalam satu masa. Saya juga pernah hampir putus asa kerana badan dan otak terlalu penat. Namun saya kuatkan semangat dan yakin, kalau orang lain boleh buat kenapa saya tidak?
Alhamdulillah akhirnya saya berjaya. Sesungguhnya, tiada kemanisan dalam kejayaan tanpa pengorbanan dan air mata. Lagi pun memang dah niat saya sejak dulu untuk sambung belajar. Secara tak langsung dengan ilmu yang diperolehi dapatlah saya apply dalam bisnes.
Nasihat saya kalau inginkan sesuatu, kalau kita betul-betul bersemangat dan positif segalanya tak mustahil. Kita pasti boleh buat. Setiap kali bangun pagi saya dah set di fikiran, hari ni mesti positif! Walaupun sedang penat atau rasa down kena bangun juga..saya paksakan diri,” kongsi Nazeera yang mengimpikan untuk memiliki beauty house sendiri suatu hari nanti.
Kredit : Instagram Nazeera Sardi
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dalam usia muda, pemilik butik Temujanji, Suzie Eryanty Mohd Suleiman berjaya meletakkan dirinya sebagai seorang usahawan butik fesyen yang terkenal bukan saja di Malaysia bahkan luar negara.
Berkat kegigihan dan tidak pernah mengalah, wanita yang mesra dengan panggilan Suzie ini berjaya menguruskan perniagaannya yang beroperasi sejak tahun 2014 dengan baik. Walaupun masih baru namun Suzie tidak pernah terlepas dengan cabaran yang dianggap lumrah dalam perniagaan.
SYUKUR
“Sebelum munculnya Temujanji by Suzie Eryanty, saya sering menyarungkan baju rekaan sendiri ke majlis-majlis perkahwinan rakan. Tak sangka pula ramai yang memuji dan bertanya di mana saya beli. Dari situlah timbulnya idea, apatah lagi saya juga bercita-cita untuk menjadi seorang pereka fesyen.
Alhamdulillah setakat ini sambutan sangat menggalakkan dan permintaan kian meningkat. Kebanyakan pelanggan bukan saja dari Malaysia bahkan Singapura, Brunei, Indonesia dan Dubai.
Sebenarnya perjalanan saya masih jauh memandangkan perniagaan pun masih baru. Namun saya bersyukur kerana label saya ini mudah diterima dan mendapat sambutan. Saya berterima kasih kepada insan yang selalu berada di saat susah dan senang saya iaitu Papa dan Mama. Merekalah idola serta mentor saya yang sebenar, lebih-lebih lagi Papa yang bergelar usahawan sejak muda dalam menguruskan perniagaan logistik dan kilang di Westport.
Mama pula kini masih mampu mengusahakan kolam pancing di Negeri Sembilan. Mama banyak mengajar saya dari sudut operasi serta cara mempromosikan produk. Pendek kata kami sekeluarga memang business minded,” bicara anak kelahiran Klang berketurunan Melayu-Portugis-Cina ini. Saya berpegang kepada prinsip iaitu terus berusaha keras tanpa jemu, pekakkan telinga apabila ada hal-hal negatif serta teruskan buat yang terbaik. Sentiasa menjadi lebih baik dari semasa ke semasa.
MINAT
Selain pakar dalam bidang fesyen, Suzie turut memiliki kebolehan dalam bidang reka bentuk bangunan.“Kebanyakan idea reka bentuk saya curahkan pada dekorasi rumah serta butik. Dekorasi dan fesyen adalah jiwa saya. Selepas tamat belajar saya pernah bekerja sebagai arkitek dan pereka interior. Usia 26 tahun saya berjaya menamatkan pengajian dan memulakan perniagaan Temujanji,” kongsi Suzie yang gemar melakukan aktiviti sosial sejak di bangku sekolah sehingga kini.
RAHSIA CANTIK
“Untuk kekal cantik saya mengamalkan minum air suam sebaik bangun pagi dan sebelum bekerja. Jika ada masa terluang saya akan ke spa bersama Mama. Tak dilupakan ialah sedekahkan senyuman setiap hari.
TIP SUKSES
“Jangan takut untuk mencuba. Kalau tidak berjaya pada kali pertama jangan mudah putus asa. Jadilah seorang yang kreatif. Jangan sesekali menganggap pesaing adalah musuh. Salinglah membantu dan berusaha menjadi insan yang positif,” akhiri Suzie.
Gambar koleksi peribadi : Instagram Suzie Eryanty
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!