Jiwa cekal Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Maimunah Iskandariah untuk hamil memang luar biasa. Sebelum menimang cahaya mata sulung, Baginda terpaksa menjalani 17 kali rawatan kesuburan persenyawaan in-vitro (IVF) dan menunggu kira-kira sedekad untuk bergelar ibu.
Meskipun diduga namun Tunku Azizah tabah dan sentiasa tersenyum. Pastinya menjalani rawatan IVF sebanyak itu nyata bukan satu proses mudah. Apatah lagi kesihatan mental dan emosi wanita sepanjang menempuh cabaran tersebut turut diuji.
Memetik titah Raja Permaisuri Agong sebelum ini, “Saya satu-satunya Permaisuri di dunia yang mempunyai empat cahaya mata hasil rawatan IVF.
Saya tidak malu katakan kepada seluruh dunia bahawa saya juga mengalami masalah dan kesukaran menimang cahaya mata. Usaha ini mengambil masa lebih sembilan tahun.”
Kesukaran Tunku Azizah mendapatkan waris takhta negeri Pahang telah memberi ilham kepada Baginda untuk menubuhkan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) pada Ogos 2004.
Ads
Tak hanya berdepan cabaran IVF sebanyak 17 kali, Baginda juga pernah mengalami keguguran enam kali.
Pun begitu, ia tak jadi halangan buat Tunku Azizah untuk merealisasikan impiannya bergelar ibu. Kira-kira 10 tahun menanti akhirnya Baginda dikurniakan rezeki melahirkan putera sulung iaitu Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah yang kini berusia 28 tahun.
Sebelum dikurniakan anak kandung, Tunku Azizah dan Yang di-Pertuan Agong mengambil seorang putera angkat iaitu Tengku Amir Nasser Ibrahim. Baginda merupakan putera bongsu Almarhum Tengku Arif Bendahara Ibrahim Ibni Sultan Abu Bakar.
Tengku Ahmad Iskandar Shah ialah anakanda pertama yang dilahirkan Raja Permaisuri Agong. Namun Tengku Ahmad Iskandar Shah mangkat sejurus dilahirkan pada 24 Julai 1990.
Ads
KDYMM Tengku Hassanal diputerakan pada 17 September 1995 dan turut mempunyai dua adinda lelaki serta dua adinda perempuan iaitu Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah.
Tunku Azizah mendirikan rumah tangga dengan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 6 Mac 1986.
Usaha dan jiwa cekal Tunku Azizah yang tidak pernah berputus asa mendapatkan zuriat wajar dijadikan sumber inspirasi ramai.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Irma Hasmie bukanlah nama baru, kehadiran dirinya dalam industri seni satu ketika dahulu cukup meninggalkan kesan dengan penampilannya yang cantik dan popular sebagai pelakon, pengacara serta model, Irma mengumpul peminatnya yang tersendiri.
Bagaimanapun, sejak mendirikan rumahtangga pada 2012 dan bergelar ibu kepada dua orang cahaya mata nama Irma Hasmie terus tenggelam dari industri hiburan tanah air.
Malah, kini Irma lebih selesa menumpukan perhatian kepada keluarga, serta fokusnya lebih tertumpu kepada kerja-kerja sukarelawan Islam, mengacara dan juga menyediakan modul latihan.
NONA berkesempatan menemubual personaliti jelita ini mengenai perkembangan terbaharunya, serta sudut pandang dirinya dalam melalui perubahan dalam kehidupan.
Sudah berhijab sejak 2011, Irma berkongsi tentang kisah perubahan serta penghijrahan ke arah lebih baik yang dimiliki olehnya.
“Fitrah manusia hendak jadi lebih baik, tiada manusia yang hendak jadi lebih jahat. Kalau dia sudah baik pun dia mahu menjadi lebih baik. Perasaan itu sentiasa ada bagaimana kita hendak upgrade diri kita.
“Perubahan ini subjektif, bukan hanya dari bertudung kepada tidak bertudung, sebenarnya ia merangkumi semua aspek dari segi performance dan kerja, peribadi dan pendidikan. Kita sentiasa hendak jadi lebih baik,” kongsinya penuh makna.
Kebiasaan yang biasa kita dengar, apabila seseorang berubah ke arah lebih baik, sering dilabel sebagai bertuah kerana berjaya memperoleh serta dikurniakan hidayah dari Allah SWT.
Namun, lain pula persepsi bagi wanita anggun ini. Menurut Irma hidayah itu sifatnya lebih berharga dan akan dihargai apabila kita berusaha sebaik mungkin untuk mencarinya.
“Ada sesetengah orang rezeki mereka sangat indah dan baik yang mana mereka tidak perlu mencari hidayah. Cumanya, kalau mereka tidak mencari hidayah, adakah mereka grab peluang itu atau tidak.
“Kadang-kadang kita terlepas sebab kita tak ambil peluang sewaktu Allah petunjuk dan hidayah. Pada orang yang berusaha pula apabila mendapat hidayah dan petunjuk mereka merangkul peluang tersebut.
“Bagi saya perkara itu mungkin lebih baik, mungkin kerana ada pro dan kontra dalam perjalanan kehidupan. Dalam agama pun ada mengajar kita takkan boleh ubah seseorang kecuali dia ubah diri dia sendiri. Jadi nak berjaya kita kena ubah diri kita,” ujarnya.
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari HIJABISTA
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kami sekarang di SINI!
Pagi bersejarah itu jantung penulis seakan terlucut ke kaki. Selama bertahun-tahun mengutus surat rasmi dan berkali-kali jualah tersandar di kerusi kerana tarikh yang diberi selalu tidak menjadi, akhirnya wajah pasangan ini muncul di depan kami. Salam yang dihulur bonda Tun Dr. Siti Hasmah, penulis kucup dengan rasa syukur yang amat. Allah SWT kabulkan impian, malah Dia juga menyusun rencana pertemuan Nona ini untuk keluaran Ramadan, Jun 2016… hampir empat tahun yang lalu.
Kesempatan mendekati Tun Dr. Siti Hasmah secara one to one, sampai ke hujung nyawa pun akan terakam sebagai momen paling manis dalam kerjaya penulis. Sifat keibuannya, jenaka spontannya serta ruang memori yang dikongsi secara peribadi benar-benar mencambahkan rasa kagum terhadap doktor wanita Melayu pertama di Malaysia itu. 60 tahun mendirikan rumah tangga di sisi Tun Dr. Mahathir Mohamad, bukan satu tempoh singkat. Ibarat irama biola yang digesek indah, lagu cinta mereka melayang sampai ke langit!
Sambil membetulkan duduk, pantas soalan tentang sikap suami tersayang diajukan kepada beliau. Tun Dr Siti Hasmah kelihatan berfikir sejenak, barangkali jenuh mengenangkan pelbagai karakter lelaki yang didampinginya semenjak muda. “Bagi saya, dia seorang yang biasa. Seorang manusia yang ada perasaan sama macam kita semua. Ada masa-masanya dia tak mahu diganggu dan ada masa-masa juga, dia mahukan teman untuk berbual,” ujar wanita bijak itu yang kini menginjak usia 90 tahun.
Menurut Tun Dr. Siti Hasmah lagi, sebenarnya Tun M akan berubah menjadi pendiam ketika dia ‘tenggelam’ dalam lautan pemikiran. Khususnya tatkala mencari penyelesaian berkaitan sesuatu perkara. Pada satu waktu yang lain pula, dia boleh berubah menjadi seorang yang penuh humor dan sarat kelucuan. “Saya selalu pesan pada dia, janganlah lucu-lucu sangat takut orang tak faham kita sedang melawak. Bimbang nanti, orang salah tafsir kata-katanya.”
Ramai juga yang tidak tahu bahawa Tun M sebenarnya seorang suami yang sangat cerewet tentang penampilan si isteri. “Ya, bayangkan setiap kali kami keluar bersama, dari depan pintu rumah lagi dia akan tengok penampilan saya dari hujung rambut ke hujung kaki. Rambut palsu saya ni, dialah yang suka betul-betulkan dan dia pantang kalau nampak ‘bulat’ sangat di dahi. Mesti akan dirapikan agar nampak lebih natural,” akui Tun Dr. Siti Hasmah sambil tertawa kecil.
Tun M juga merupakan seorang yang sangat teliti tentang soal pakaian. Jarang sekali Tun Dr. Siti Hasmah dapat menata rias penampilan si suami biarpun pernah mencubanya berkali-kali. “Bukan saya tak mahu tolong dia! Tapi selalu yang saya pilih, tak kena di mata. Pernah beberapa kali saya suai padankan baju untuk dipakai tapi setiap kali itu jugalah dia tak setuju. Akhirnya, dia pilih sendiri kot atau sut yang dimahukan,” akui Tun Dr. Siti Hasmah terhadap imej Tun M yang gemar bersut nehru atau bush jacket itu.
Mengenang kembali perbualan kami yang berlangsung di kamar pejabat Tun Dr. Siti Hasmah sendiri, ingin rasanya menahan kolam air mata dari bergenang. Seorang tokoh yang penyayang, senyumannya sentiasa basah di ingatan. Penulis tidak pernah lupa dengan usikan bahawa setiap gambarnya yang kami rakam perlu dibayar. Wajahnya tiba-tiba serius. Tapi beliau kemudiannya tertawa ceria. Ah, berharganya nostalgia itu!
Semenjak bersara pada tahun 2003, Tun Dr. Siti Hasmah hanya mengaktifkan diri dalam persatuan NGO sebagai ahli kehormat. Namun kebelakangan ini, masanya lebih fokus di rumah, menulis sebuah jurnal biografi tentang kehidupannya untuk dibukukan. Sehingga ke detik temu bual ini dilaksanakan, beliau masih lagi tekun menyiapkan draf buku biografi tersebut sebelum diterbitkan beberapa bulan lagi.
Berbekalkan sebatang pen di tangan dan halaman jurnal kosong, setiap hari wanita kelahiran Klang, Selangor itu mencatatkan perihal perjalanan hidupnya secara longhand writing. Bahasanya lebih individual dan dekat di jiwa, penuh dengan coretan tulus seorang isteri, ibu kepada 7 cahaya mata, nenda kepada 18 cucu dan alhamdulilah, moyang kepada seorang cicit. Bahkan dedikasi Tun Dr. Siti Hasmah sebagai salah seorang doktor wanita pertama di Tanah Melayu turut ditulis rapi, menandakan komitmennya terhadap masa depan perubatan di negara ini.
Tidak pernah lelah memperjuangkan kepentingan kesihatan wanita dan kanak-kanak, amalan perancangan keluarga serta banyak lagi, banyak pengalaman Tun Dr. Siti Hasmah sewaktu berkhidmat sebagai doktor perubatan lewat tahun 1955 di Kedah dikongsi bersama penulis. “Negeri Kedah pada waktu itu masih dalam suasana luar bandar, dihuni ramai penduduk miskin dan rata-ratanya buta huruf. Saya masih ingat, pihak hospital sering dipersalahkan apabila kami gagal untuk menyelamatkan nyawa seseorang gara-gara sikap masyarakat yang konservatif dan lambat mendapatkan rawatan.
Setelah diperhalusi, kami dapat tahu bahawa masyarakat kampung selalu teragak-agak untuk membawa pesakit ke hospital kerana pelbagai pantang-larang. Jika berlaku komplikasi sewaktu bersalin di rumah contohnya, si ibu perlu mendapatkan kebenaran suami serta keluarga terlebih dahulu untuk rawatan kecemasan. Kemudian wujud pula masalah pengangkutan. Bayangkan pesakit perlu ditandu sehingga ke jalan besar, sebelum teksi atau kenderaan tertentu membawanya ke hospital. Tapi bila sampai, malangnya si ibu sudah kehilangan darah yang banyak.
Sehingga sekarang saya sangat bersyukur dilahirkan sebagai seorang doktor wanita Melayu Islam yang mampu memberi sumbangan besar terhadap masyarakat. Sebagai bekas pegawai perubatan, saya amat terhutang budi kepada mantan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak yang sangat mengambil berat tentang kesusahan masyarakat luar bandar. Pada zamannya, banyak jalan raya dibina menghubungkan kawasan luar bandar dengan bandar seterusnya meningkatkan taraf kesihatan rakyat dengan lebih baik,” luah Tun Dr. Siti Hasmah yang turut mengagumi kepimpinan Tun Fatimah Hashim itu.
Kebimbangan beliau terhadap penularan gerakan anti-vaksin di kalangan ibu bapa muda terlihat jelas melalui getar nada suaranya. Wajahnya tiba-tiba berkerut seribu, tanda protes terhadap ‘keberanian’ generasi sekarang yang mempersoalkan keselamatan dan keberkesanan vaksin, terutamanya apabila penyakit yang dicegah oleh vaksin kian menghilang. “Jujurnya saya sangat bimbang dengan situasi ini. Di Malaysia, kadar kes penyakit berjangkit seperti batuk kokol, difteria dan polio telah tiada semenjak program imunisasi kanak-kanak bawah 1 tahun diwajibkan.
Usaha pemberian imunisasi tidak sepatutnya berhenti walaupun kes terkawal. Kesempatan ini, saya ingin menasihatkan semua ibu bapa supaya JANGANLAH mengelak daripada vaksin demi kesihatan anak-anak tersayang. Jangan tunggu sehingga musibah melanda, barulah mahu bertindak. Takut waktu itu sudah terlambat,” pesannya dengan serius.
KARAKTER
Gaya klasik Tun Dr. Siti Hasmah dalam busana kurung dan perhiasan kalung mutiara tidak dapat dipisahkan. Sambil tertawa, beliau mengakui senang bersederhana dalam penampilannya. “Saya suka pakai mutiara kerana orang tak berani tanya berapa harganya. It is the most classic piece of jewelry that a woman can own. Zaman dulu-dulu pernah juga pakai perhiasan emas berlian yang Mak bagi, tapi susah pula nak padankan dengan baju. Semenjak itu cinta saya berkembang pada mutiara.”
Cerita tentang anting-anting ketip Tun Siti juga memecah derai tawa kami. Hampir berlinang air mata penulis menahan gelak. “Dulu semasa memakai anting-anting biasa, seseorang menegur saya kerana anting-anting sebelah kiri nampak nak jatuh. Mungkin zaman bidan kampung dulu-dulu menindik cara tradisional, maka jadilah lubang tindik itu semakin panjang bila berusia. Sebelum ia jadi semakin panjang, lebih baiklah saya berhenti sekarang dan pakai saja yang ketip,” selorohnya bersahaja.
Bercerita lanjut tentang keluarga pasangan ini, jujurnya ia satu lagi episod paling menarik untuk penulis gaulkan dalam penulisan. Namun satu yang pasti, kebahagiaan itu milik mereka. “Kami sekeluarga jarang berkumpul. Anak Marina di London, manakala keempat-empat anak Mirzan di Amerika Syarikat. Ini jam kalau apa-apa terjadi pada anak, ibu bapa mereka terus ke sana walaupun terpaksa mengejar penerbangan di tengah malam.
Berbeza pada zaman saya, kami jarang sekali dapat jenguk anak-anak yang belajar di luar negara. Lebih-lebih lagi suami bertugas sebagai Perdana Menteri pada waktu itu. Kami sekadar berkomunikasi melalui Aerogram. Saya teringat cerita Mastisa, menantu saya, tentang anaknya yang merayu minta si ibu tulis surat. Katanya dia pelik kenapa kawan-kawan selalu berlari ke ‘suatu tempat’ pada setiap pagi. Rupa-rupanya ke tempat mailbox. Masing-masing menunggu surat daripada keluarga padahal cucu saya ber-Skype dengan keluarganya sepanjang masa. Jadi saya cakap, saya sendiri mahu hantar surat bertulisan tangan pada cucu itu.”
Sanjungan penulis terhadap Tun Dr. Siti Hasmah tumbuh sejak zaman persekolahan lagi. Beliau mendukung karakter seorang isteri pemimpin yang sebenar, yang sentiasa menyokong jatuh bangun kerjaya suami tanpa jemu. She is beside him, she is with him, not behind him. “Saya sentiasa memberi sokongan penuh tapi saya tak mahu bersaing dengannya. Apabila kami walkabout ke mana-mana, selalunya orang akan nampak Tun M saja. Tak nampak saya. Saya pasti akan ke belakang bagi memberi peluang rakyat berjumpa dengannya.”
Tun tak cemburu? Soal kami penuh tanda tanya. “Saya tak jealous. Saya tahu orang sayang pada dia dan dia pun tahu bagaimana perasaan orang-orang yang sayangkan dia. Dia pernah bersuara, selagi orang suka dan mahu jumpa kita, kita layanlah dengan mesra. Yang perlu kita risau ialah apabila orang dah tak mahu berjumpa lagi,” akui beliau dengan suara perlahan.
Biarpun jarang mempamerkan kasih sayang di depan masyarakat, namun seluruh rakyat Malaysia tahu betapa dalamnya cinta pasangan merpati dua sejoli itu. Kesetiaan Tun M terhadap Tun Dr. Siti Hasmah adalah bukti bahawa cinta sejati sememangnya wujud, malah mampu bertahan kukuh sehingga ke penghujung hayat. Saat wanita ini menceritakan karakter Tun M yang amat private, hati penulis bagai tersentuh rasa percaya.
“Dalam motokar, dia pegang tangan saya. Pegangan tangan itu akan dileraikan apabila kami melintasi tol dan jari-jemari akan kembali bertaut selepas itu. Suami juga tak gemar kami berpakaian sedondon seperti pasangan lain. Bukan sahaja sewaktu menghadiri undangan perkahwinan, malah pada hari raya pun pakaian kami berlainan,” ulasnya.
Melihat kesungguhan sang pemilik tulang rusuknya yang tidak pernah mengenal erti penat meskipun dihalang faktor usia yang kian lanjut, Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan termenung sejenak. “Saya juga seorang rakyat Malaysia. Istimewanya cuma Allah jumpakan saya dengan Dr. Mahathir yang akhirnya menjadi Perdana Menteri. Saya kagum melihat bakat dia berucap. Dia selalu ada idea tentang apa sahaja. Saya fikir kerana suami sangat suka membaca tentang pelbagai buku. Buku-buku adalah sebahagian daripada dunianya.
Dia membaca buku biografi, sejarah, sains, agama malah macam-macam lagi. Tidak cukup membaca, dia menulis pula. Tentang segala-galanya. Bagi saya, ilham yang Allah selalu beri kepadanya amat mengagumkan. Dia boleh bercakap tentang pelbagai perkara kerana sentiasa mengaktifkan fikiran dengan membaca pada setiap masa,” kata Tun Dr. Siti Hasmah berterus-terang.
Ketika menebarkan pandangan ke seluruh ruang bilik, perhatian penulis sempat berlabuh kepada sebuah potret beliau yang sedang bermain biola. Ya, beliau punya bakat terpendam menggesek biola. Di rumah, beliau diajar oleh seorang guru muzik profesional yang pada waktu yang sama turut mengajar cucu mereka di rumah. Timbul keinginan agar dapat mendengar alunan gesekan biola daripada Tun Dr. Siti Hasmah pula, suatu hari nanti.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Malala Yousafzai sentiasa menyuarakan kepentingan kesaksamaan jantina dan pendidikan untuk wanita di seluruh dunia.
Memetik laporan di web Globalcitizen, masih ramai gadis di seluruh dunia yang masih tidak mempunyai hak sama rata dengan lelaki.
Termasuklah dalam sektor pendidikan, terdapat lebih 130 juta kanak-kanak perempuan yang tidak mempunyai akses kepada pendidikan.
Melihat kepada permasalahan ini, Malala Yousafzai menyokong kesaksamaan jantina khususnya pendidikan wanita.
Perjuangan Malala untuk menyuarakan kepentingan kesaksamaan pendidikan antara wanita dan lelaki bermula ketika usianya 11 tahun.
Sejak kecil, Malala bersikap kritis terhadap kehidupan yang mana dia menulis blog menggunaka nama pena Gul Makai.
Selepas mendapat kemasyhuran antarabangsa kerana aktivismenya, seorang lelaki bersenjata Taliban menembaknya dalam perjalanan pulang dari sekolah.
Ini memaksa keluarganya meninggalkan Pakistan dan berpindah ke Birmingham, England, bagi melindungi Malala.
Serangan itu tidak menghalang hasratnya untuk terus memperjuangkan kesaksamaan jantina.
Sebaik pulih, Malala sibuk berkempen menentang diskriminasi jantina dan membiayai inisiatif pendidikan untuk wanita.
Atas keberanian dan tindakannya dalam memperjuangkan hak wanita, Malala dianugerahkan Hadiah Keamanan Nobel pada 2014.
Selain itu, Malala juga telah menulis beberapa buku untuk menggalakkan gadis di seluruh dunia memperjuangkan hak mereka.
Biarpun bergelar salah seorang aktivis muda paling terkemuka pada abad ke-21, sosok Malala tidak jauh berbeza dengan jutaan wanita muda yang lain.
Berikut 4 fakta mengenai Malala Yousafzai:-
1. Ada Syarikat Produksi Sendiri
Malala mengumumkan perkongsiannya dengan Apple TV+ dan syarikat produksinya Extracurricular untuk menghasilkan drama, komedi dan dokumentari yang berkisar kepada kisah inspirasi kepada wanita dan kanak-kanak.
2. Memanfaatkan Twitter Untuk Berkempen
Seperti kebanyakan remaja lain, Malala juga aktif menggunakan media sosial terutamanya Twitter. Akaun Twitternya yang mencecah jutaan pengikut perlu dimanfaatkan untuk menyampaikan mesej penting.
Malala percaya, kuasa media sosial boleh membantunya dalam menyampaikan mesej kesaksamaan jantina.
Menerusi akaun Twitter ini, Malala juga sering meminta bantuan daripada pertubuhan dunia atau tokoh berpengaruh bagi menyokong pendidikan untuk semua gadis dan lelaki tanpa mengira latar belakang.
3. Mentor Kepada Aktivis Muda
Di usia 20an, Malala menjadi inspirasi kepada aktivis muda yang lain. Malala pernah dikunjungi oleh aktivis alam sekitar Sweden Greta Thunberg di Oxford.
4. Tidak Akan Berhenti Berjuang
Demi pendidikan anak perempuan, Malala tidak akan berhenti untuk berjuang walaupun dia tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan.
Malala yakin, keadilan terhadap pendidikan untuk kanak-kanak perempuan ada di mana-mana, terutamanya di negara-negara membangun.
“Saya sangat mengambil berat tentang kerja saya dan saya bimbang tentang berapa lama masa yang diperlukan untuk mencapai matlamat tersebut.
“Orang ramai berkata, ‘Malala, jangan risau, itu bukan tanggungjawab kamu, pemimpin yang patut bimbang!’”
“Tetapi jika saya mempunyai kapasiti untuk melakukan sesuatu untuk terus meningkatkan kesedaran, maka saya perlu melakukannya,” jelas Malala.
Kredit Foto: Instagram Malala Yousafzai
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Lawatan Muzium Pahang bersama Tengku Ampuan Pahang menjadi detik penuh bermakna apabila baginda membawa rakan sekelas ISTAC UIAM menyelami sejarah, ilmu dan kenangan manis yang menyentuh hati.