Jika tahun lalu, Skin Dessert membawa pulang Best Halal Skincare di NONA Superhero Award 2021, tahun ini jenama yang diusahakan oleh Zirra Abdullah dan suaminya, Mohd Aliff Kadir sekali lagi merupakan salah seorang penerima penghargaan dari majalah NONA untuk NONA MOST PROMISING SKINCARE AWARD.
Zirra Abdullah
Namun tahun 2022 merupakan tahun ‘penuh cabaran’ buat jenama ini apabila isu keselamatan produk jenama kosmetik Skin Dessert yang dipercayai jualan produknya ditarik balik berikutan berlaku masalah kulit (breakout) yang dihadapi sesetengah pengguna.
Tidak berhenti di situ, isu dalaman dengan salah satu agensi kerajaan juga turut diperkatakan ramai di mana pada 4 Oktober 2022, Pengasas Skin Dessert Puan Zirra Abdullah dan Pengarah Urusan Skin Dessert En Mohd Aliff Abd Kadir memuat naik gambar mereka di hadapan bangunan SIRIM di media sosial dengan tujuan untuk memaklumkan bahawa Skin Dessert sedang dalam proses menjalankan ujian produk bersama SIRIM.
Ailezee Rich Sdn Bhd selaku pengeluar produk kosmetik Skin Dessert, telah memulakan tindakan undang-undang dengan menghantar Surat Tuntutan pada 7 Disember 2022 terhadap Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) berikutan isu yang tular menerusi platform media sosial baru-baru ini.
Ketika ditanya mengenai motto kehidupan yang menjadi pegangan dirinya, Zirra menegaskan bahawa penglibatannya dalam bisnes merupakan sesuatu yang diimpikan dan direalisasikan apabila mempunyai ruang dan peluang yang tidak mungkin dilepaskan begitu sahaja.
“Pada pandangan saya, perniagaan merupakan satu kehidupan. Bukan sekadar untuk menambahkan sumber pendapatan semata-mata. Tetapi lebih kepada mengubah cara hidup menjadi lebih baik. Selain itu, mempunyai cara pemikiran yang hebat serta dapat membina jiwa yang besar.
Ads
Saya akui setiap perniagaan mempunyai pasang surutnya tetapi ia merupakan asam garam dalam dunia perniagaan yang sekaligus perlu ditempuhi untuk berjaya. Saya melihat kontroversi ada dugaan yang datang sebagai pendorong untuk menjadi lebih kuat,” ujar Zirra yang jarang berkongsi kisah duka dalam perniagaannya.
Tambah Zirra lagi, di sebalik setiap kejayaan yang dikecapinya, pelbagai rintangan telah dilaluinya bagi memastikan kesinambungan jenama yang dibina bersama suami tersayang dapat berkembang maju.
“Saya memulakan perniagaan dari zero. Keluarga juga bukanlah berasal dari keluarga yang minat dalam dunia perniagaan. Apabila saya dan suami menceburkan diri dalam bidang perniagaan, saya perlu buktikan kepada keluarga bahawa kami membuat keputusan yang betul untuk bergelar ahli perniagaan.
Ads
Perancangan sangat penting dalam dunia perniagaan bagi memastikan jenama kami terus berdaya saing sekaligus membuktikan kepada keluarga bahawa keputusan kami terlibat dalam dunia perniagaan adalah tepat.
Pelbagai dugaan pernah saya laluinya antaranya termasuklah fitnah dan kejian. Pernah diuji rugi ratusan ribu ringgit namun kami tidak mengeluh malah terus berusaha sehingga ke titik kejayaan. Setiap dugaan yang datang, kami cuba mencari penyelesaian terbaik.
Malah saya anggap ujian ini sebagai proses pembelajaran untuk mematangkan diri dalam dunia bisnes,” ujar Zirra yang pernah terpalit kontroversi mengenai produk keluaran syarikatnya namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus mengukuhkan jenamanya di persada kosmetik tanahair.
Wanita ini memasang azam baharu 2023 menjadi tahun terbaik untuk bangkit kembali dalam dunia perniagaan dan memastikan jualan yang pernah turun mendadak dan isu yang turut memberi kesan emosi dan mental dapat dipulihkan dengan sebaiknya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sebuah kejayaan itu bukanlah kebetulan. Harga untuk mencapai sebuah impian itu memerlukan kegigihan, kesungguhan, belajar dan belajar, pengorbanan dan rasa cinta yang mendalam. Nur Ernawati Mohd Nor, 34 tahun merupakan pengurus peribadi (Artist Management) kepada suami, aktor Zul Huzaimy. Beliau turut menguruskan kerjaya beberapa talent, stuntman dan pelakon muda lain. Tidak cukup dengan itu, wanita ini juga membantu perniagaan keluarganya dalam industri katering makanan.
Siapa sahaja boleh menjadi wanita yang kuat tetapi untuk terus bertahan dan percaya pada kemampuan diri itu, perlu disertakan dengan kesabaran dan kebijaksanaan. Nur Ernawati merupakan bekas penuntut Convent Kajang dan memiliki Ijazah Komunikasi Pengajian Media (Masscomm UiTM), Nur Ernawati mempunyai minat dalam bidang perniagaan yang mendalam untuk berjaya.
“Saya pernah berkhidmat di beberapa buah syarikat swasta sejurus selepas tamat pengajian. Saya juga menjalankan perniagaan fashion retail secara dalam talian (kecil-kecilan) dan akhirnya menyambung khidmat sebagai pengurus outlet bagi menyediakan katering hospital untuk para pesakit dan doktor di beberapa buah hospital swasta serta kerajaan.
Kemuncak kerjaya saya sekarang apabila berjaya mendapatkan sijil lulus MSQH (akreditasi audit hospital) dan kemudian menubuhkan syarikat pengurusan artis, selepas berkahwin dengan aktor Zul Huzaimy. Saya menjadi pengurus peribadinya dan membantu kerjaya artis baru yang lain,” jelas Nur Ernawati yang merupakan anak kedua daripada tiga adik-beradik perempuan kesemuanya.
Bagi Nur Ernawati, hidup kita ini jangan dibiarkan terlalu banyak ruang kosong, takut nanti terlalu banyak unsur negatif hadir. Hari-hari yang berlalu penuh dengan pelbagai aktiviti dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. “Tanggungjawab saya setiap hari adalah membentangkan jadual klien selain mencari booking job baru untuk talent di bawah pengurusan saya. Segala urusan mengenai kontrak, projek, tour, sponsor, merchandise, pemasaran dan sebagainya termasuk sebagai representative yang berinteraksi dengan pihak ketiga diuruskan oleh saya sepenuhnya.
Dalam masa yang sama, saya sebagai pengurus syarikat katering bersama ibu tercinta terus menerima tempahan katering. Tugasan yang dipertanggungjawabkan kepada saya untuk memastikan segalanya berjalan mengikut perancangan dan pelanggan berpuas hati dengan tempahan yang dibuat.
Pada masa lapang, saya suka menyertai aktiviti kelab permotoran SPARK (NGO), seperti menghulurkan bantuan kewangan, makanan kepada pesakit di hospital dan membantu khairat kematian yang memerlukan. Aktiviti ini bagi menarik golongan muda belia untuk beriadah secara sihat tanpa terus terjebak dengan perlumbaan haram mahupun penyalahgunaan dadah. Setakat ini, aktiviti CSR kami sudah mencakupi seluruh Semenanjung serta Sabah dan Sarawak,” jelas Nur Ernawati yang mengakui aktiviti ini agak terhad sekarang.
GIGIH
Mengimbas kembali kegigihan berniaga, Nur Ernawati terus bercerita, “Sedari dari dulu saya sejenis yang suka mencabar diri saya untuk menceburi pelbagai bidang kerjaya. Sungguhpun aliran pengajian saya dalam bidang MassComm, namun minat yang sangat mendalam terhadap dunia perniagaan membuatkan saya belajar ‘from scratch’ tentang hospital catering/dietitic dan juga patient food services. Ternyata saya telah membuktikannya apabila memperoleh sijil akreditasi dan HACCP dalam bidang ini.
Pengalaman banyak mengajar saya untuk jadi lebih matang. Saya pernah berkhidmat di sebuah syarikat produksi tempatan dimiliki oleh Datuk Rosyam Nor di awal permulaan karier saya. Kemudian saya mendalami ilmu teknologi pengkomputeran dan selok-belok dunia perniagaan sepanjang bekerja dengan sebuah anak syarikat milik Touch Group Holdings yang dimiliki oleh YM Raja Dato’ Karib Shah Raja Shahruddin. Pengalaman kerjaya dalam pelbagai bidang inilah yang menjadi bekalan langsung melahirkan rasa untuk mengembangkan perniagaan kecil saya sendiri. Terkini, saya telah menjalankan perniagaan online fashion retail, selain daripada tumpuan sepenuhnya pada servis pengurusan suami dan talents di bawah pengurusan saya.
Pernah sekali saya terpaksa berniaga di konvensyen Singapura sewaktu anak pertama cuma baru berusia 6 bulan dan masih menyusu. Saya tidak boleh tinggalkan anak bersama pengasuh, sementara suami pula tidak dapat ikut serta ke Singapura disebabkan komitmen kerja di KL. Sambil menyusukan anak dan tidurkan anak di booth jualan itu, saya terpaksa lakukan urusan jual-beli sendirian kerana ketiadaan staf lain pada waktu itu. Ia merupakan pengalaman yang amat berharga dan merasakan pengorbanan yang saya sanggup lakukan ini, demi membuktikan bahawa anak kecil bukan halangan untuk saya serius berniaga,” jelas Nur Ernawati.
“Alhamdulilah, kalau dulu pada awal mula berniaga secara dalam talian saya cuma bermodalkan RM200 sahaja dan kemudian berkembang hingga menjadi ‘pop-up store’ di event besar serata tanah air. Manakala dalam perniagaan katering pula saya cuma mengambil gaji tetap setiap bulan dan ditambah pula dengan pendapatan servis pengurusan artis saya mampu capai 5 angka pendapatan bulanan. Syukur, alhamdulillah.
Sebagai seorang isteri dan juga ibu, saya harus bijak membahagikan masa secukupnya untuk keluarga memandangkan usia anak-anak masih kecil namun begitu saya bersyukur dikurniakan seorang suami yang sangat memahami dan kebanyakan kerja kami buat bersama-sama. Kami menolak sangkaan yang menyatakan suami isteri tidak boleh bekerjasama kerana dikhuatiri hubungan rumah tangga akan terjejas.
Ironinya, kami capai keserasian dengan kerjasama sehari-hari dan saya akui sikap timbang rasa itu sangat penting. Pengurusan masa untuk wanita yang bekerja adalah kunci utama kerana berbeza dengan lelaki, mereka tidak perlu melaksanakan tugasan rumah seharian seperti kita. Oleh itu, para wanita yang ingin menjalankan perniagaan samada kecil-kecilan mahupun suri rumah tangga harus bijak dalam menguruskan pembahagian masa,” pesan Nur Ernawati sambil tersenyum.
Apakah cabaran sebagai seorang peniaga dalam keadaan sekarang? “Cabaran peniaga dalam keadaan pandemik ini antaranya adalah kekangan dari segi supply dan juga limited movement. Namun begitu, trend jual beli dalam talian adalah lebih mudah dan meningkat sejak kebelakangan ini yang mempengaruhi peniaga untuk mempertimbangkan semula konsep jualan masing-masing.
Banyak faktor yang perlu diambil kira dalam melancarkan proses jualan online antaranya packaging, penyimpanan dan teknik pemasaran yang berkesan (mostly online) serta pelan strategi ‘return customer’. Apa yang penting adalah jangan mudah berputus asa dan sebagai peniaga selain harus kekal positif kita juga perlu produktif. Tiada usaha yang sia-sia dan tiada kejayaan tanpa usaha. Kebanyakan peniaga yang gagal selalunya apabila mereka cepat merasa give-up dan kurang refleksi diri. Berniaga perlukan kemahiran dan jangan segan untuk mempelajari sesuatu yang baru, sentiasa tambahkan skill anda dari masa ke semasa,” ujar Nur Ernawati yang mendapat sokongan penuh dari ibu dan suami tercinta.
Impian dan perancangan masa hadapan, “Saya jarang meletakkan harapan yang tinggi dan impian luar biasa, tapi saya percaya dengan praktikaliti. Saya biasanya akan tetapkan satu ‘target’ dengan jangka masa tertentu, contohnya ‘Dimana saya akan berada dalam tempoh 3 tahun lagi?’
Impian dalam masa jangka masa begini lebih mudah dan jelas untuk dicapai. Saya amat berharap agar perniagaan katering bersama ibu saya berkembang maju dan ingin menambah lagi aset tetap di masa hadapan. Saya juga berharap kerja-kerja NGO kami di kelab SPARK dapat memberikan impak besar kepada masyarakat dalam melahirkan kumpulan motor yang berhemat, insyaAllah.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kagum dengan kesungguhan dan semangat Datin Amelia Hassan! Mula berniaga seawal umur sembilan tahun, jelitawan yang meniti usia 36 tahun ini kian sukses bergelar usahawan dan membina legasi sendiri.
Tidak menyesal ‘mengorbankan’ zaman kanak-kanak kerana minat mendalam terhadap dunia perniagaan, Datin Amelia tersenyum puas apabila impian memiliki empayar niaga dan menjadi bos kini dalam genggaman.
Sejak remaja hingga ke hari ini pesona dan aura Datin Amelia sentiasa menarik perhatian. Apatah lagi dia memiliki rupa paras menawan yang membuatkan sesiapa saja terpikat dengan personaliti dirinya.
Akui Datin Amelia, dari kecil lagi dia sudah pandai bergaya dan menjaga penampilan diri. Sampaikan arwah ibunya memanggil pemilik Amelia Hassan Holdings Sdn Bhd ini dengan gelaran ‘Datin’. Masin mulut ibu!
“Umur sembilan tahun saya sudah minat berniaga dan mengikut jejak langkah arwah ibu. Arwah ibu saya orang Padang, Indonesia dan keturunan Minang. Jadi, ‘darah’ peniaga itu sudah sebati dan mengalir dalam diri.
Dari kecil saya mula berdikari dan bekerja sendiri tanpa paksaan ibu ayah. Mereka juga bagi kebenaran ambil upah di kawasan rumah kerana faham minat saya untuk mencari duit sendiri.
Setiap hujung minggu, saya akan ambil upah bekerja di kedai makan kawan ibu saya. Hari biasa pula saya ambil upah jahit baju, sembat dan jahit tulang belut di rumah. Itu pun selepas kerja sekolah sudah siap.
Hasil duit upah itu saya jadikan sebagai modal untuk membeli peralatan tulis yang saya jual kepada kawan-kawan di sekolah. Memang sejak kecil lagi saya simpan angan-angan mahu menjadi bos dan jutawan untuk bantu keluarga, adik-beradik, saudara mara dan orang susah. Itu niat dan impian saya.
Dek kerana sudah terbiasa pegang duit sendiri, saya puas dapat beli apa yang saya mahu dengan duit tersebut. Kalau ingat balik detik itu, tiada sekelumit pun rasa menyesal korbankan zaman kanak-kanak untuk berniaga dan ada duit sendiri. Sampai sekarang saya terbiasa mencari, memberi dan tidak pandai meminta-minta daripada orang,” ungkap anak sulung daripada empat beradik ini.
Sementara itu bisnes fesyen Amelia Hassan kini tertumpu kepada koleksi Khimar dan tempahan baju raya dan majlis keramaian. Ujarnya, idea menghasilkan khimar tercetus sewaktu mengerjakan umrah. Istimewanya Khimar by Amelia Hassan ialah ia ringan, jenis kain yang digunakan tidak mudah kedut, selesa, pilihan warna menarik dan ready for solat.
Selain ada label fesyen sendiri, Datin Amelia juga pengasas bersama pusat rawatan estetik Health Valley yang turut memasarkan produk supplemen kesihatan ToCo-R untuk kesihatan dan kecergasan wanita, Pure Bird’s Net yang berkualiti premium, EmCurve dan EmLady.
Graduan Diploma Perniagaan dan Diploma Fesyen ini bertuah kerana perjalanan kariernya selama ini mendapat sokongan suami tercinta, Datuk Ahmed Farriq Zainul Abidin.
“Suami sangat supportive. Dari awal perkenalan, dia tahu saya rajin cari duit dan kerja siang malam. Dia selalu beri semangat dan inspirasi buat saya serta selesa saya jadi diri sendiri. Apa saja keputusan saya, suami sokong. Katanya, saya berbeza daripada wanita lain kerana ada visi hidup dan dia bangga memiliki saya.
Alhamdulillah, kami saling melengkapi dan suami adalah segala-galanya buat saya. Semangat dan sokongan darinya menjadikan siapa saya hari ini.”
Tambahnya lagi, “Keluarga adalah keutamaan saya. Tiada guna ada duit banyak tapi keluarga tak bahagia. Jadi, bila waktu bekerja saya akan beri perhatian sepenuhnya. Begitu juga bila bersama suami dan anak-anak, saya akan manfaatkan masa berkualiti bersama-sama.”
Dalam kesibukan mengurus keluarga dan perniagaan, Datin Amelia tidak terkecuali menjaga kesihatan diri. Patutlah sentiasa cantik dan kekal ramping. Ditanya rejim kecantikan yang diamalkan selama ini, sambil tersenyum Datin Amelia membuka rahsia.
“Makan makanan yang berkhasiat, vitamin jangan lupa, saya juga amalkan pengambilan bird nest, cuba tidur secukupnya dan elakkan diri dengan stress. Saya juga luangkan masa untuk bersenam dan buat rawatan curve burn fat di Health Valley. Kalau tak ada masa sekali pun cuba berjalan at least 10km setiap hari dan buat jadual untuk me time.
Selain itu, sentiasa berfikiran positif, sedekah setiap hari atau lakukan perkara yang boleh buat kita bahagia. Paling penting dekatkan diri dengan Allah SWT dan utamakan keluarga, suami serta anak-anak.”
Sebelum mengakhiri perbualan, Datin Amelia meluahkan rasa syukur atas limpahan rezeki yang dikurniakan kepadanya hari ini. “Alhamdulillah setiap kejayaan saya bermula dari keluarga dan doa anak-anak angkat saya. Saya tidak sesekali lupa di mana asal usul saya.
Bila sudah berjaya sekarang, cara untuk saya reward diri ialah dengan membahagiakan orang tua, mentua, suami, anak-anak dan anak-anak angkat iaitu anak-anak yatim yang saya jaga.
Saya akan pastikan anak-anak yang saya ambil sebagai anak angkat seramai ratusan orang ini akan bahagia dan turut merasai kesenangan saya.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Suami sanggup berhenti kerja untuk membantu menaikkan bisnes beg ini. Dia turun padang menjahit dan memikul sendiri gulungan kain. Alhamdulillah dengan kurniaan ini. Adik-adik saya pula pinjamkan kereta kerana ketika jatuh dahulu saya hilang segalanya.
Mereka tidak pernah mengatakan tidak, setiap kali pinjam kereta diisikan minyak penuh. Allahuakbar. Jasa mereka takkan pernah saya lupa. Ke sana sini pinjam kereta adik untuk ambil stok dan buat penghantaran,” cerita Siti Nazira binti Abdul Aziz, 39 tahun.
Kini beliau merupakan seorang usahawan, founder dan pemilik jenama Beejayess di bawah BJS & ARMASN. Pemegang Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat UiTM Shah Alam, pernah berkhidmat sebagai pembaca berita cuaca RTM dan menjadi pembantu penerbit meja Sukan Bernama TV. Tahun 2010, Nazira mengambil keputusan menjadi suri rumah dan berjinak dalam dunia perniagaan.
“Saya kini menjalankan perniagaan dalam bentuk perkhidmatan menguruskan jahitan borong dan kilang OEM, fokus kepada pengeluaran totebag dan palazo. Sebagai pemilik kilang dan CEO, saya bertanggungjawab dalam merancang misi dan visi syarikat, serta mengeluarkan design baru dan set the benchmark dalam pasaran.
Antara cabaran utama perniagaan saya untuk mengeluarkan produk dengan harga murah, supaya pelanggan dapat beli dengan harga mampu milik. Saya perlu minimized kos dan margin untung juga.
Sewaktu MCO, kami mengalami kesukaran untuk mendapatkan bekalan barang seperti kain-kain dari pembekal yang tidak boleh beroperasi. Keadaan ini menjejaskan operasi perniagaan saya ketika itu dan alhamdulillah dengan keadaan sekarang semuanya dapat kembali seperti biasa,” ujar Nazira tenang.
Mengimbas kembali perjalanan Nazira dalam dunia perniagaan, sambil tersenyum dan bercerita, “Tahun 2014, saya bermula dari rumah sebagai orang tengah untuk jualan preloved baju, kasut dan bag. Tidak perlu modal yang banyak, cuma perlu rajin promote barang customer di media sosial.
Saya antara yang terawal memperkenalkan perkhidmatan ini di Malaysia. A beli barang B tanpa bertemu, tanpa kenal. Saya sebagai orang tengah menguruskan perjanjian jual beli. Duit bank-in kepada saya, selepas urusan sah terima barang, barulah duit dikreditkan kepada penjual asal.
Pada tahun 2015, saya membantu suami menaikkan bisnes gadget yang pertama di Perlis sehingga mampu buka Digital Centre, dirasmikan oleh Menteri Besar Perlis pada ketika itu, Dato Seri Azlan Man.
Namun pada tahun 2017, perniagaan suami jatuh dan saya kembali semula ke Selangor menumpang di rumah ibu. Saya buat bisnes kecil-kecilan jual inai. Sambutan sangat menggalakkan kerana saya antara yang pertama mengusahakan inai guna berus, nampak macam nail polish.
Cabaran modal terhad dan berjauhan dari suami yang masih di Perlis menjadikan saya tidak kuat dan cepat mengalah bila ada masalah.
Kemudiannya pada tahun 2018, saya campur-campur barang niaga. Ada tudung, cermin mata dan baju. Dalam keadaan masih merangkak, saya rebah lagi disebabkan tidak kuat menghadapi cabaran perniagaan,” jelas Nazira menceritakan perjalanan yang dilaluinya.
Kejayaan akan bersinar dari satu kegagalan ke kegagalan yang lain, tanpa kita kehilangan semangat, “Pada tahun 2019 saya membeli beg kosong untuk dijadikan hadiah buat kawan-kawan. Setiap kali girl trip pasti ada buah tangan berlainan. Kali ni saya beri canvas bag untuk senang dibawa barang on the go.
Beg canvas tersebut kosong saya tulis tangan nama mereka menggunakan pen marker. Upload gambar di media sosial ramai pula yang bertanyakan beg berkenaan. Lalu saya nampak potensi ia dijadikan sumber pendapatan.
Saya ambil preorder dari kawan-kawan, dari 8 biji tempahan menjadi 12. Kemudian jadi 20 hinggalah akhirnya jadi 1000 unit seminggu. Pada waktu itu, saya bekerjasama dengan adik yang buat printing topi untuk betul-betul gunakan heat press printing di luar bag. Baru kekal dan tahan lama.
Syukur alhamdulillah, perniagaan saya itu semakin berkembang. Dari hanya saya seorang telah menjadi 70 orang agent serata Malaysia. Saya di antara yang pertama mengeluarkan totebag dengan edisi twilly dan rodeo, yang sampai kini jadi ikutan seluruh Malaysia.
Asalnya bermula dari supplier salah hantar handle bag. Pesanan yang saya beli warna hitam, tapi sampai kepada saya warna pink. Jadi saya balutkan handle berkenaan dengan twilly yang akhirnya mencipta satu fenomena baru.
Sekitar Februari 2020 sempat mengadakan majlis untuk meraikan ejen-ejen. Pencapaian jualan terbaik menerima tunai RM1000. Kedua Rm700 dan ketiga rm500. Mac 2020 cabaran mula hadir, di mana lockdown serata dunia berlaku. Supplier utama dari India stuck dan beg-beg saya tak boleh dihantar ke Malaysia.
Pada masa ini ejen-ejen dan customer marah sangat dan ada yang melaporkan kepada pihak polis. Tapi atas bukti yang ada, nyata saya tidak melakukan apa-apa penyelewengan wang, kes berkenaan ditutup. Ketika itu, satu persatu ejen saya lari. Dari 70 ejen, kembali tinggal saya seorang.
Tiga bulan sale saya kosong. Dari ratusan ribu sebulan, tinggal kosong. Selepas dapat kembali beg-beg dari pembekal, saya selesaikan semua tempahan yang pending.
Ada beberapa beg bermasalah pada masa itu, adik saya bantu jahit (adik ipar tukang jahit baju kanak-kanak). Tapi disebabkan penggunaan mesin jahit berbeza, kapasiti kelajuan jadi kurang. Alhamdulillah, saya dapat bantuan tiga mesin jahit dari kerajaan Selangor, lalu saya gunakan untuk cuba jahit bag.
Dari jahit sendiri, perlahan-lahan sekitar Oktober 2020 saya kembali dengan visi baru sebagai kilang OEM, jahit beg. Dengan design berbeza dari pasaran, kami mulakan dengan jahit beg founder-founder kosmetik. Alang-alang dah boleh jahit sendiri, kami terus lari dari design bag India dan China.
Ramai pelanggan kami jatuh cinta dengan kelainan beg kami yang mengikut signature brand mereka. Tempahan dari Nilofa antara kenangan paling berharga buat saya dan team.
Di kesempatan rezeki yang ada, saya keluar dengan tambahan produk baru iaitu jahitan borong palazo harga kilang. Sama ada beli 1 atau 1000 tetap harga kilang RM19 sahaja sepasang. Dengan misi dan harapan semua wanita mampu beli dan pakai seluar mewah dengan harga murah.
Mampu menutup aurat dengan seluar labuh dan murah. Dalam dua minggu di pasaran alhamdulillah kami dapat jual lebih 2000 pasang,” cerita Nazira yang juga pernah berasa berniaga bundle bentang surat khabar di tapak Tesco dan pasar malam.
“Sebenarnya kalau ingin diceritakan tentang susah, jatuh dan bangkit dalam kehidupan terlalu panjang untuk dibicarakan di sini. Sebagai manusia biasa kita tak lari dari merasa kecewa, down dan tertekan.
Saya belajar dari pengalaman lalu, tiada satu bisnes pun saya fokus dan menghabiskannya sehingga akhir. Semuanya saya buat separuh jalan.
Asal ada masalah saya berhenti, terus berhenti. Kali ini saya nekad jadikan bisnes ini yang terakhir dan boleh saya wariskan kepada anak-anak suatu hari nanti. Sekarang setiap kali saya down, ada cabaran, saya berhenti rehat seketika. Rehat dan rawat.
Bila saya kembali sihat, saya akan terus beraksi dengan aktif dan semangat. Take a break but never stop. Sentiasa lihat mata anak-anak dan fikir kenapa kita bermula. Betul, cakap memang senang tapi sebagai seorang yang pernah jatuh tersungkur, ini yang saya buat!” akhiri Nazira penuh semangat.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sejuk perut ibu mengandung dapat melihat anak lelaki sulung menjadi imam solat. Perkongsian aktres cantik, Zahirah MacWilson di media sosialnya baru-baru ini mengenai permata hati kesayangan iaitu Isaac Raees nyata meraih perhatian warga maya. Terutamanya peminat setia bintang drama bersiri popular, Good Boys Go To Heaven berkenaan.