Banyak kelebihannya sepanjang berada dalam tempoh arahan Perintah Kawalan Pergerakan bukan hanya dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan bahkan ada yang menjadi semakin rajin ke dapur. Ada juga yang kreatif dalam menyediakan hidangan termasuk untuk sarapan.
Sarapan merupakan salah satu rutin harian yang tidak boleh diabaikan mahupun dilewatkan sebelum sebarang aktiviti dimulakan.
Ketahuilah bahawa banyak sebenarnya manfaat daripada sarapan sihat yang merupakan salah satu langkah pertama untuk ‘memasukkan’ nutrisi ke dalam badan yang akan mempengaruhi produktiviti sehingga menjelangnya tengah hari.
Pemilihan makanan untuk sarapan sebenarnya memerlukan ketelitian terutama dari segi nilai gizi. Makanan dengan kandungan gula yang tinggi sangat tidak disarankan kerana boleh mengakibatkan badan mudah rasa lesu dan mengantuk. Berikut lima makanan rendah kandungan gula untuk sarapan yang boleh anda jadikan panduan:
KACANG PANGGANG BERSAMA ROTI GANDUM
Kacang panggang memiliki kandungan rendah lemak. Selain itu, kacang panggang juga memiliki kandungan serat dan protein yang tinggi. Maka sebab itulah kacang menjadi sumber protein vegetarian. Roti gandum turut mempunyai kandungan serat yang tinggi serta kadar gula yang rendah. Kombinasi kacang panggang dan roti gandum amat sesuai dijadikan menu sarapan rendah gula yang menyihatkan.
BUBUR GANDUM
Bubur gandum boleh anda jadikan sebagai menu sarapan sihat bebas gula. Namun pastikan anda menambahkan pemanis seperti susu untuk mengurangkan kandungan gula di dalamnya. Terlalu banyak pengambilan gula ketika sarapan boleh membuatkan anda mudah rasa mengantuk.
MUESLI
Muesli yang dicampurkan dengan buah-buahan segar dan yogurt rendah lemak dapat menghasilakn cita rasa yang mengagumkan. Selain menyegarkan, rasanya juga sangat unik. Buah-buahan segar seperti strawberi, blueberry atau raspberry boleh juga dicampurkan bersama. Yogurt rendah lemak dapat memberikan sumber kalsium serta protein.
ROTI GANDUM
Seterusnya ialah roti gandum yang sangat kaya dengan kandunga serat serta bagus untuk sarapan kerana mudah membuatkan rasa kenyang. Pengambilan roti gandum sebagai menu sarapan akan menjadikannya sebagai tenaga daripada kalori yang terkandung dalam roti gandum tanpa meningkatkan kadar gula darah dalam badan. Berbeza dengan roti tawar putih, roti gandum lebih rendah gula menjadikannya sangat bagus untuk diet.
PISANG LENYEK & BLUEBERRY KERING
Menjadikan pisang sebagai sarapan merupakan alternatif terbaik bagi menggantikan gula mahupun madu. Namun jangan memilih pisang yang terlalu muda. Blueberry kering pula mempunyai kandungan vitamin C di samping zat besi yang dapat menyumbang kepada keperluan nutrisi secukupnya kepada badan. Selain itu, anda juga boleh menambahkan gandum dan susu krim ke dalamnya kemudian dipanaskan ke dalam ketuhar selama 3-4 minit.