SHIMA

Belum pun mencecah usia 30 tahun namun Nor Ashima Abdullah sudah melakar bermacam-macam pencapaian membanggakan. Bukan hanya dalam bidang akademik tetapi juga mencipta kejayaan tersendiri apabila impian mempunyai sebuah akademi kecantikan akhirnya menjadi kenyataan.

Walau sudah berjaya menggapai cita-cita tersebut, wanita kelahiran Ampang ini mengakui perjalanannya sebagai ahli perniagaan masih panjang.

IKLAN

Bakal meniti umur 27 tahun pada 3 Ogos depan, Nor Ashima atau mesra disapa Shima tanpa berselindung mengakui kehidupannya tidak semudah disangka. Sejak kecil, dia sudah melalui pelbagai ujian. “Dari kecil saya tak tinggal bersama keluarga kandung kerana dibesarkan oleh keluarga angkat. Merekalah yang banyak membantu saya menjadi insan lebih kuat dan bercita-cita tinggi.

Saya dibesarkan di Ampang dan bapa angkat yang saya panggil ayah ialah seorang penjual Nasi Lemak. Ayah bekerja keras mencari rezeki buat kami sekeluarga dan membiayai pelajaran saya. Kerana saya satu-satunya anak mereka, saya ditatang bagai minyak yang penuh. Walau pendapatan ayah tak seberapa tapi ayah sedaya-upaya memberi pendidikan terbaik untuk saya.

Sejak di bangku sekolah saya sudah mula meminati bidang kecantikan dan menyimpan hasrat untuk bekerja dalam industri ini. Dari situ jugalah saya pasang impian untuk ada sekolah dan pusat kecantikan sendiri. Tapi ia tidak semudah disangka kerana kami bukan dari keluarga senang dan lebih memeritkan impian saya diperkotak-katikkan oleh orang sekeliling.

Mereka anggap kerjaya dalam bidang kecantikan tidak menguntungkan dan hanya boleh dipelajari di Youtube saja tanpa perlu belajar tinggi. Kata mereka, saya hanya membuang masa dan menghabiskan wang ringgit ayah kerana mahu melanjutkan pelajaran di sekolah kecantikan di United Kingdom,” kenang Shima tatkala menceritakan kehidupan silam.

Meskipun dirundung rasa sedih namun ia tidak mematahkan semangat Shima untuk berjaya. Buktinya, dia kini tidak hanya mempunyai satu skrol pendidikan bahkan tiga diploma dalam jurusan perniagaan dan kecantikan. Usai tamat persekolahan, Shima melanjutkan pelajaran peringkat Diploma in Business Studies di Kolej University PolyTech Mara Bangi selama tiga tahun.

“Demi nak kumpul duit dan teruskan belajar, saya buat macam-macam kerja sambilan di banyak tempat. Tahun 2016, saya habis belajar Diploma dan cari duit dengan bekerja sebagai sales promoter syarikat telekomunikasi demi untuk sambung belajar dalam bidang cosmetology.

IKLAN

Saya juga pernah bekerja di spa dan salun kecantikan dalam masa sama ambil short course. Pada tahun 2017, saya berjaya peroleh Diploma Beauty Therapy & Aesthetic di Adonis 1st Academy of Cosmetology selain menerima Professional Certificate in Advanced Aesthetics Therapist & Beauty Consultant.

Kemudian, saya bertugas sebagai Assistant Doctor di sebuah klinik estetik sebelum akhirnya berjaya melanjutkan pelajaran di UK dengan menggunakan sebahagian wang simpanan. Alhamdulillah, saya tamat belajar dan memperoleh Diploma in Beauty Educator, Level 3 in Teaching & Education PTLLS di Beauty Industry Approval, UK.”

Berbekalkan pendidikan dan pengalaman bekerja di lebih 10 klinik kecantikan, pada April 2020 Shima membuka akademi kecantikan miliknya sendiri iaitu Dolled House Cosmetology School yang mendapat pengiktirafan daripada United Kingdom. Wanita cekal ini kembali diuji apabila pandemik Covid-19 melanda negara dan merencatkan perniagaan ketika itu.

IKLAN

“Dolled House Cosmetology School khusus untuk wanita yang mahu mengusahakan perniagaan berasaskan kecantikan di samping mendapat kelayakan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Sepanjang ia dibuka, seramai lebih 50 orang sudah berjaya tamat pengajian dan membuka pusat kecantikan sendiri.

Berdasarkan pengalaman saya sendiri, saya percaya ‘melabur’ dalam pendidikan merupakan pelaburan yang terbaik buat semua individu. Dalam masa sama kita dapat jana pendapatan dan bantu lebih ramai orang. Saya harap dengan perkongsian kisah saya ini dapat memberi inspirasi buat ramai wanita.

Tidak hanya kepada mereka yang mahu mendalami bidang kecantikan tetapi juga buat wanita yang berada dalam lapangan kerjaya masing-masing. Usah pedulikan sindiran negatif dan caci maki orang sekeliling yang tak sependapat.

As long as you know what you’re doing and believe it. Growth your mindset, great works are perfomed, not by strength, but by perseverance. Yang penting pengakhiran cerita kita bukan pengakhiran kata-kata mereka,” akhirinya penuh semangat.