Kemana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi. Tumpang bangga melihat kejayaan anakanda pakar kecergasan, Kevin Zahri dan isteri Rio Elani yang baru saja dinobatkan sebagai juara dalam TennisMalaysia Junior Tour 2023 untuk kategori perempuan bawah 10 tahun ni. Bakal jadi atlet harapan Malaysia!
Mesra disapa Mikaela, anak perempuan Kevin itu sememangnya menyukai sukan sejak kecil. Tambahan pula mendapat sokongan penuh daripada ibu bapa yang juga aktif bersukan. Kevin Zahri atau Cikgu Fitness Malaysia turut aktif menerbitkan buku program kecergasan, bahkan coach diet Bukan Soal Kurus.
“Kami (ibu bapa Mikaela) sama-sama teruja dengan kemenangannya. Dia seorang atlet muda yang berbakat dan bekerja keras dan kami akan memberikan sokongan penuh kepadanya dalam usaha untuk dia menjadi pemain tenis terbaik.” Kevin Zahri
Kata Kevin atau nama penuhnya Kevin Zahri Abdul Ghaffar, mereka sekeluarga sentiasa memberikan sokongan penuh dan memastikan Mikaela mendapat latihan dan tunjuk ajar yang sepatutnya.
Ads
Tambah bapa dua anak dan berdarah campuran Melayu-Jerman itu lagi, Mikaela sebelum ini diterima masuk ke Akademi Rafa Nadal dan akan kembali ke Sepanyol, bulan depan untuk satu lagi kem latihan dan pertandingan.
Di samping latihannya di akademi, Kevin berkata Mikaela turut berlatih dan mewakili Kelab Tenis Porto Cristo di Mallorca, Sepanyol untuk pertandingan pasukan tempatan tahun ini.
JUARA
Rio Makaela Zahri sebelum ini muncul juara dalam kejohanan Jelajah Remaja TennisMalaysia 2023 yang diadakan dari 8 hingga 12 Februari lepas di Pusat Tenis Negara, Kuala Lumpur.
Ads
Pengiktirafan itu diberikan oleh Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) berikutan kejayaannya dalam kategori bawah 10 tahun.
“Laluan kemenangannya ditandakan dengan persembahan mengagumkan dalam kedua-dua separuh akhir dan akhir.
“Di separuh akhir, dia menewaskan lawannya dengan skor penguasaan 4:0-4:0, menetapkan pentas untuk final yang mendebarkan dan pada perlawanan akhir, Mikaela sekali lagi menunjukkan kemahiran dan keazamannya, muncul sebagai juara dengan skor 4:0-4:1.” Kevin Zahri
Didoakan semoga sinar Rio Mikaela terus berkerlipan dan menjadi atlet pelapis sukan tenis negara. Bertuah sangat ada ibu bapa hebat yang sentiasa memberikan yang terbaik buat anak-anak. Syabas Kevin Zahri!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Gelaran Permaisuri sedikit pun tidak menghalang Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, untuk terus menimba ilmu sebagai seorang mahasiswa. Keazaman baginda untuk kembali menyambung pengajian di sebuah institusi pengajian awam pada lewat tahun 2024 menjadi inspirasi bukan sahaja kepada golongan wanita, malah seluruh lapisan masyarakat.
Baru-baru ini, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah, berkenan berangkat bercemar duli ke Muzium Seni Kontemporari (MOCA) di Kuantan. Menurut sumber rasmi Kesultanan Pahang, keberangkatan tersebut membawa makna tersendiri buat Tengku Ampuan Pahang yang kini sedang bertungkus lumus menyiapkan tesis akademik baginda.
Tesis berjudul The Hukum Kanun Pahang: A Sovereign Malay-Islamic Constitution mencerminkan minat mendalam baginda terhadap pemikiran Islam, perundangan Melayu dan warisan ketamadunan Islam di Alam Melayu.
Keberangkatan pasangan diraja ini turut mencuri perhatian apabila mereka dilihat bergurau senda dalam suasana santai. Keakraban tersebut jelas mencerminkan sokongan moral dan emosi yang kukuh antara suami dan isteri, sekaligus memperlihatkan keharmonian institusi diraja Pahang.
Turut berangkat mengiringi ialah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, serta Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah.
Kini, Tengku Ampuan Pahang bergelar mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Jadual harian baginda cukup padat apabila perlu mengimbangi tanggungjawab rasmi sebagai Permaisuri dengan pengajian di peringkat Sarjana.
Baginda sedang mengikuti program Master of Arts in Islamic Thought and Civilization di International Institute of Islamic Thought and Civilization, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-IIUM). Bidang ini sejajar dengan kecenderungan baginda terhadap sejarah, budaya dan pemikiran Islam.
Keberangkatan Sultan Pahang ke MOCA bukan sekadar lawatan rasmi, malah menjadi simbol sokongan terhadap perkembangan akademik Tengku Ampuan Pahang. Paduka Baginda turut berkenan menyantuni para pengunjung muzium, menjadikan lawatan tersebut penuh makna dan nilai kekeluargaan.
Selain cemerlang dalam dunia akademik, Tengku Ampuan Pahang turut aktif memartabatkan seni dan warisan budaya Melayu. Baginda pernah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Seni Kreatif oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Pengiktirafan tersebut diberikan atas sumbangan besar baginda dalam memperkasa seni tekstil serta seni kraf tradisional Melayu, khususnya menerusi Kain Tenun Pahang Diraja yang telah mendapat pengiktirafan antarabangsa.
Kain Tenun Pahang Diraja menerima Anugerah Ikon Kraf 2019 daripada Majlis Kraf Dunia di India, sekali gus mengangkat seni warisan Melayu ke peringkat global dan membanggakan negara.
Diputerikan pada 5 Ogos 1960 di Istana Bukit Stulang, Johor Bahru, Tengku Ampuan Pahang mendapat pendidikan awal di Sekolah Taman Kanak-kanak Tunku Ampuan Mariam, Johor Bahru. Baginda kemudian melanjutkan pelajaran ke Sekolah Perempuan Rendah Sultan Ibrahim sebelum menyambung pendidikan menengah di Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru.
Menurut laporan Mingguan Wanita, baginda seterusnya mengikuti pengajian di Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Bahru, sebelum melanjutkan pengajian ke Universiti Nasional Singapura dalam bidang Sains Politik dan Sosiologi.
Perjalanan akademik dan sumbangan berterusan baginda jelas membuktikan bahawa ilmu pengetahuan tidak pernah mengenal batasan usia mahupun kedudukan.
Mengenali Ais Rashid melalui Tan Sri Dato’ Seri Vincent Tan membibitkan persahabatan yang erat di antara kami. Bermula dari perbualan santai, membawa ke pelbagai hal ehwal semasa.
Berusia 31 tahun, Ais Rashid merupakan seorang jurulatih yoga profesional sejak 7 tahun lalu. Portfolionya cukup impresif, beliau pernah mengajar ramai pencinta yoga termasuk golongan kerabat, VVIP dan selebriti.
Percaya tidak, antara pelajar-pelajar kelas yoga Ais Rashid adalah Tan Sri Dato’ Seri Vincent Tan, Marsha Milan, Scha Alyahya, Noryn Aziz, Nurida Suraya, Dato’ Nadia Marni, Datin Dr Halina Yunos, Datin Reena Zach, Puteri Zarith, Noornabila, Nik Nafisah Marini, Dr Imelda Idzham dan ramai lagi.
“Sebenarnya saya mengajar semua peringkat, tak kira golongan apa pun. Yang penting manfaat senaman yoga ni dinikmati oleh semua orang.” Ais Rashid
Bagi Ais, senaman yoga pada zaman kini lebih moden dan versatil mengikut peredaran masa.
“Melalui pengalaman saya sebagai jurulatih yoga, kebanyakan pelajar saya lebih fokus kepada tujuan asal bersenam iaitu mengekalkan ‘fitness’ dan menjaga kesihatan.
Tak kurang juga untuk kelihatan lebih ‘lean’ di mana senaman yoga ni mampu menjadikan fizikal lebih fit, selain membantu pernafasan yang lebih baik.
Badan rasa lebih relaks dan kita dapat tidur yang lebih berkualiti selepas mengamalkan senaman yoga yang betul.” Ais Rashid
BERTAULIAH
Pada usia semuda ini, Ais telah memiliki kemahiran profesional dalam senaman yoga, umpamanya Certified Yoga Instructor dari Vikasa Yoga Academy, Koh Samui, Thailand; Certified Practical Pilates Workshop (AFAA); Certified Prenatal Yoga Teacher (Surya Yoga); dan Certified Back Roller Therapy (Ispirit Asia).
“Sebelum ni saya merupakan bekas wartawan penyiaran berita di TV3, NTV7, Bernama TV dan RTM. Tapi kerana minat mendalam terhadap yoga, saya tekad menjadi jurulatih sepenuh masa.
Saya tinggalkan dunia media pada Disember 2015. Kemudian saya mula mengajar secara ‘private’ pada tahun yang sama selepas menjalani latihan intensif selama sebulan di Thailand.”Ais Rashid
Bersembang dengan anak Sungai Petani, Kedah ini tiba-tiba mengingatkan saya kepada video headstand jutawan Malaysia, Tan Sri Dato’ Seri Vincent Tan.
Ais begitu bijak melatih pelajar-pelajarnya walaupun ada segelintir yang sudah berusia. Adakah yoga selamat untuk semua peringkat umur?
“40% daripada pelajar saya terdiri daripada golongan berusia di antara 40 tahun ke atas hingga 70 tahun.
Saya rasa mereka semua mempunyai kekuatan otot dan ketahanan badan yang bagus kerana yoga mempunyai pelbagai jenis gerakan yang mudah diikuti.
Senaman yoga juga adalah senaman ‘low impact’, di mana ia bagus untuk jantung selain berisiko rendah. Latihan pernafasan juga bermanfaat untuk mereka.
Bagi golongan berusia 50 tahun ke atas, mereka harus mengamalkan senaman kardiovaskular dan fleksibiliti, maka yoga adalah pilihan yang tepat.
Selalunya saya akan cadangkan penggunaan peralatan ‘yoga block’ atau ‘yoga strap’ sebagai pengganti jika seseorang pelajar sukar melakukan mana-mana gerakan fizikal. Cara ini juga lebih selamat digunakan ketika sesi yoga.” Ais Rashid
GAYA HIDUP
Melihatkan gerakan fleksibelnya, sukar dipercayai bahawa pemilik nama Noraisyah Abdul Rashid ini sudah berkahwin, malah mempunyai seorang anak lelaki.
“Sekarang semua kelas yoga saya dibawa ke virtual. Saya suka guna aplikasi Zoom, Google Meet, Facetime dan sebagainya. Mungkin ini juga rutin kami sehingga habis lockdown dan semua pelajar lengkap divaksin.”
Sebagai jurulatih, sejauh mana tahap kesedaran masyarakat tentang senaman pada waktu pandemik ini?
“Saya rasa bertambah baik sekarang. Mungkin sebab semua orang berada di rumah ketika lockdown, jadi saya nampak ramai yang melakukan aktiviti yoga sendiri sambil menonton YouTube.
Laman studio virtual yoga juga semakin banyak. Ada yang menawarkan latihan yoga secara maya di Instagram dan Facebook, mengikut keselesaan masa dan level pengalaman masing-masing.
Semuanya di hujung jari sahaja.” Ais Rashid
Senaman yoga antara aktiviti yang mendapat perhatian sekarang kerana ia mudah dilakukan di rumah dan tidak memerlukan kos yang besar.
Teringat kata Ais, ‘Hanya tikar yoga je’ dan senaman ini sesuai untuk semua!
“Bagi yang baru nak berjinak-jinak dalam yoga, saya nasihatkan supaya anda dapatkan bimbingan jurulatih bertauliah dulu. Lebih-lebih lagi jika melibatkan keseimbangan badan.”
HOLISTIK
“Saya seronok mengajar yoga kerana melalui senaman ini saya dapat bertemu dengan ramai pelajar yang berbeza latar belakang, berlainan usia dan pelbagai kaum.
The best part, from students now dah jadi seperti family dan berkawan rapat.” Ais Rashid
Ada petua pemakanan ke kalau nak maintain fit macam sekarang… Soal saya disambut ketawa kecil Ais.
“Eh, takdelah. Saya tak cerewet makan. Saya percaya kepada pemakanan dan cara hidup yang seimbang. ‘Moderation is the key.’
Sebenarnya walaupun kita mengajar kelas yoga setiap hari, bukan bererti boleh abaikan kesihatan dalaman.”
Mengakhiri perbualan kami, Ais sempat berkongsi tentang aktiviti terbarunya.
“Saya mengajar pihak korporat di mana terdapat banyak syarikat yang mengambil inisiatif Mental Health Awareness Month untuk kebaikan pekerja mereka.
Ini merupakan salah satu daripada kaedah baharu yang boleh dilakukan ketika pandemik terutamanya mereka yang bekerja dari rumah.
Senaman yoga dapat membantu meregangkan otot-otot dan membantu mengurangkan sakit sendi dan badan jika work from home terlalu lama.
Impian saya agar lebih ramai masyarakat sedar akan kepentingan senaman, khasnya yoga kerana ia ibarat warm-up kepada senaman lain,” akhiri Ais yang memasang cita-cita mahu menubuhkan Yoga Academy, seterusnya melatih pelapis-pelapis jurulatih peribadi yang profesional dan bertauliah suatu hari nanti.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Apabila dapat ke kubur arwah rasa sangat tenang dan hilang rasa rindu. Kalau hujan pun saya akan duduk dalam kereta sekejap dan lihat kubur arwah dari jauh. Itu pun sudah cukup menghilangkan rasa rindu.”
Tersentuh membaca luahan hati seorang ibu, merindui seorang anak yang sudah tiada. Di sebalik senyuman dan raut wajah tenang penyanyi era 80an yang tersohor dengan lagu Rumah Kecil Tiang Seribu, Azian Mazwan Sapuwan tersimpan perasaan rindu yang tak tertanggung terhadap arwah anaknya, Mohammad Aqil Zulkarnain. Arwah maut kemalangan jalan raya sekitar Disember tahun lalu. Semestinya, rasa kehilangan itu adalah yang paling ‘sakit’ kerana kasih sayang seorang ibu tiada penghujungnya.
Arwah Mohammad Aqil anak keempat daripada tujuh beradik. Biarpun Allah SWT meminjamkan Mohammad Aqil selama 20 tahun sahaja namun setiap kenangan bersama arwah tersemat kemas di sanubari Azian lebih-lebih lagi detik mengandungkan, melahirkan dan membesarkannya. Azian sekeluarga redha dengan takdir Ilahi dan yakin dengan hikmahnya. Kini genap 5 bulan pemergian arwah.
Jelas terlihat kuatnya semangat seorang ibu menghadapi kehidupan selepas ketiadaan arwah. Setiap anak memiliki sikap serta keistimewaan yang berbeza. Salah satu sikap arwah ialah ringan tulang dan suka membantu orang yang dalam kesusahan. Itulah yang dirindui oleh Azian.
Arwah Mohammad Aqil menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Selayang selepas mengalami kemalangan motorsikal pada 22 November 2019. Ekoran kemalangan itu, Mohammad Aqil mengalami kecederaan dalaman yang serius sehingga terpaksa dibius untuk direhatkan bagi memulihkan hati serta limpanya.
Namun, setelah hampir sebulan dirawat serta berada dalam keadaan koma akhirnya Mohammad Aqil menemui ajal kira-kira pukul 11.30 pagi. Arwah turut meninggalkan seorang balu dan anak. Ketika meninggal dunia, arwah baru sahaja bergelar seorang bapa dan anaknya, Aryan Zahfran ketika itu baru berusia 11 hari.
Azian turut berkongsi di laman Instagramnya “Anakanda saya, Mohammad Aqil Zulkarnain telah kembali ke rahmatullah lebih kurang jam 11.30 pagi ini. Semoga roh Allahyarham anakanda ditempatkan dalam kalangan yang beriman. Ya Allah..kuatkan aku..” Ternyata, ibu yang berusia 45 tahun ini sangat tabah.
KONGSI DETIK TERAKHIR
“Pada siang hari kejadian, arwah ada datang makan tengah hari bersama kami sekeluarga. Arwah ada tegur saya, lama tak makan ayam memandangkan isterinya ketika itu masih dalam pantang. Saya kata petang nanti saya masakkan untuknya nasi ayam. Petang tu memang keraplah arwah datang. Dua minggu sebelum meninggal, arwah kerap bawa adiknya berjalan-jalan naik motor.
Saya selalu pesan kepadanya bawa motor baik-baik walaupun arwah memang bawa motor tak laju. Kadangkala saya ada juga terdetik rasa tak sedap hati bila berkata begitu. Takut terjatuh dan sebagainya. Malam sebelum kejadian, anak bongsu tiba-tiba demam dan menggigil. Dalam pukul 2 pagi saya mendapat panggilan daripada rakan arwah menyatakan dia kemalangan di Kajang dan terjatuh dari motor.
Anak ketiga (abang arwah) bergegas ke tempat kejadian dan menemainya menaiki ambulan. Ketika itu arwah masih sedar namun dalam keadaan kesakitan. Saya tak dapat pergi kerana kebetulan anak bongsu demam mengejut. Suami ke hospital untuk melihat keadaannya. Memandangkan arwah masih sedar ketika itu dia sempat bercerita bagaimana kemalangan boleh berlaku.
Menurut cerita, arwah keluar sebentar untuk berjumpa rakan memandangkan sudah lama dia tak keluar bertemu mereka sejak menjaga isterinya berpantang. Semasa dalam perjalanan tiba-tiba ada dua kereta dipandu laju sehingga arwah hilang kawalan. Arwah terpaksa brek mengejut lalu terjatuh.
Mulanya saya kurang percaya sebab setahu saya, sejak isterinya sarat mengandung arwah kerap memandu kereta dan sudah lama tak menunggang motor terutama luar dari Putrajaya. Apabila anak sulung berkongsi gambar kejadian barulah saya percaya. Keesokannya baru saya berpeluang ke hospital. Dari luaran kecederaannya sedikit sahaja. Cuma kecederaan dalamannya sahaja agak serius. Selepas dibedah arwah ‘ditidurkan’.
Arwah dipindahkan ke Hospital Selayang untuk tindakan susulan doktor pakar hati. Setiap hari saya akan ke sana walaupun arwah masih dalam ICU. Empat hari sebelum arwah pergi dia ada membuka mata. Fizikalnya juga semakin susut. Walaupun sedar tetapi arwah tidak mampu bercakap kerana masih lagi sakit dan terdapat banyak wayar di dalam mulut.
Hanya matanya sahaja mampu merenung ke arah saya. Dan setiap hari saya akan menyebut ‘Aqil, ini Mama..’ Terdetik juga, adakah dia buka mata hanya untuk seketika atau sebaliknya. Namun saya tetap positif dan yakin dia boleh sembuh. Anak sulung sentiasa berpesan agar kami terus berdoa kepada arwah. Setiap hari kami juga tidak lupa untuk mengaji di sisinya mohon kesembuhan.
SYAWAL
“Setiap kali raya arwah mesti nak saya sediakan baju Melayu. Saya pernah mengusiknya, dah kahwin belilah sendiri. Dia kata baju Melayu nak Mama yang sediakan. Sebelum pemergiannya kami hanya berkesempatan bercakap tentang baju raya sahaja. Itulah permintaan terakhir arwah yang paling saya terkesan kerana tidak dapat sediakan tahun ini. Menurut isterinya juga arwah sudah belikan siap-siap baju dan barangan bayi yang bersaiz besar. Mungkin dia pun dah tahu yang dia akan ‘pergi’ buat selamanya.
Sejak berkahwin arwah juga menjadi seorang yang lebih mengambil berat dan bertanggungjawab. Tahun ini pertama kali kami menyambut Syawal tanpa arwah. Selalunya arwahlah yang banyak cakap dan suka buat ‘bising’ di rumah. Jadi, ketiadaannya tahun ini memang cukup terasa. Kebetulan juga ibu saya tak sihat sejak tahun lalu. Memang dugaan buat saya.
Kalau diikutkan pemergian arwah masih lagi baru. Selepas pemergian arwah, apa yang saya lakukan ialah motivasikan diri dengan bercakap kepada diri sendiri agar sentiasa positif dan menjadi lebih kuat. Sebagai seorang Islam juga saya tidak pernah putus berdoa dalam solat lima waktu. Saya juga sentiasa memastikan mendekatkan diri kepadaNya. Itulah penawar paling mujarab buat saya, jiwa akan lebih tenang.
Bohonglah kalau saya kata tidak merasa sedih dan menangis terutama ketika merasa rindu. Ada juga situasi yang mengingatkan saya terhadap arwah. Contohnya, ketika memasak atau buat sesuatu perkara saya akan terasa ada sesuatu yang kurang. Selalunya saya akan hantar pesanan Whatsapp kepada arwah untuk bertanya khabar. Sekurang-kurangnya sekali sehari.
Selepas berkahwin arwah tinggal bersama keluarga mertuanya. Anak-anak yang lain masih tinggal bersama kami kerana masih belajar. Sejak arwah tiada saya rasa sesuatu yang kosong terutama pada setiap hujung minggu di mana arwah akan datang ke rumah menjenguk kami sekeluarga. Untuk tidak terlalu memikirkan rasa sedih saya akan sibukkan diri di tempat kerja dan keluar bersama rakan-rakan.
Setiap petang saya sering ke kubur arwah. Saya memang mahu arwah dikebumikan di Putrajaya kerana saya mahu dekat dengannya dan hendak berjumpa dengannya setiap hari. Apabila dapat ke kubur arwah rasa sangat tenang dan hilang rasa rindu. Kalau hujan pun saya akan duduk dalam kereta sekejap dan lihat kubur arwah dari jauh. Itu pun sudah cukup menghilangkan rasa rindu.
HIKMAH
Sejak pemergian arwah sebenarnya banyak hikmah dan kebaikan yang datang. Banyak pengajaran yang kami dapat selain banyakkan bersedekah untuk arwah dan orang lain. Sumber kekuatan saya semestinya suami walaupun selepas kejadian dialah insan yang paling lemah walaupun luarannya nampak tenang.
Kami banyak berkongsi rasa kerana saya sendiri memerlukan sokongan yang kuat ketika meluahkan apa yang dirasa. Saya juga semakin rapat dengan anak perempuan kedua kerana saya sering berkongsi perasaan dengannya dan dia cukup faham dan matang dengan apa yang berlaku. Harapan saya agar kami sekeluarga tabah menghadapi kehidupan dan semakin akrab bersama,” akhiri Azian sebak. Al Fatihah (mohon dibacakan buat Allahyarham Mohammad Aqil Zulkarnain).
Kredit Foto: Instagram @azianmazwann
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Muabellaz menerima Anugerah Tokoh Belia dalam Program Dari Akar Umbi Ke Jaguh Dunia, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai usahawan kosmetik dan ikon belia yang berjaya membina empayar perniagaan dari Kedah.