Kejayaan anak muda ini mengemudi perniagaan memang wajar dijadikan inspirasi. Mana tidaknya, baru berusia 26 tahun tapi sudah memiliki pelbagai cabang bisnes yang bernilai hampir jutaan ringgit. Apatah lagi, pemilik nama Nur Hazreen Mohd Ramzi ini bukanlah dilahirkan dalam kalangan keluarga berada. Bapanya pernah bekerja sebagai pemandu lori sementara ibu pula suri rumah. Namun kebajikan setiap anak khususnya dalam mendapat pendidikan yang sempurna sentiasa menjadi keutamaan.
Mesra disapa sebagai Reen, pengasas Produklega Supplies Sdn Bhd ini meluahkan rasa syukur kerana minat berniaga sejak kecil akhirnya mendatangkan pulangan lumayan. Lebih-lebih lagi, rezeki tersebut dapat dikongsi bersama kaum suri rumah yang lain. Tidak malu mendedahkan kehidupan silam, Reen berkata dia terbuka untuk berkongsi pengalaman demi mencetus semangat dan inspirasi kepada masyarakat.
Ujarnya, “Saya lahir daripada keluarga sederhana. Ayah pemandu lori, pembekal pasir dan ibu pula suri rumah. Kami berasal dari kampung dan pernah menetap di Hulu Kelantan, Jeli dan Pasir Mas. Walau bukan orang senang tapi kedua-dua ibu ayah saya bekalkan kami adik-beradik dengan ilmu. Alhamdulillah, saya berjaya masuk ke sekolah Sains kemudian diterima ke Matrik dan melanjutkan pelajaran peringkat Ijazah Sarjana Muda Kaunseling minor Psikologi di Universiti Malaya.
Saya mula berniaga secara tidak langsung sejak usia enam tahun. Perniagaan pertama saya waktu tu ialah menjual belon dan pin tudung. Belon yang siap ditiup dan dipasang batangnya dijual pada harga 30 sen. Selain itu, saya juga pernah jual pin tudung. Ceritanya, bila ibu beli berkotak pin tudung tapi saya curi-curi bawa dan jual di sekolah. Masa saya darjah satu, ibu belikan pin tudung khas untuk saya dan dijadikan modal untuk berniaga.”
Sambil tertawa mengenang kembali zaman berniaga waktu kecil, Reen yang juga usahawan Produklega Import & Export, Nasi Kukus Tonggek di Aeon Kota Bahru dan Shah Alam serta pemilik Nuborn Material Enterprise mengakui mahu bergelar usahawan berjaya dan dalam masa sama menjadi suri rumah yang ada pendapatan di samping mempunyai masa mengurus keluarga dan anak-anak.
Ads
Di samping bapa tersayangReen bersama keluarga
Namun semua yang diraih Reen hari ini tidak semudah yang disangka. Jelas ibu kepada seorang anak ini, bermacam-macam pergorbanan telah dilalui sepanjang berkecimpung dalam bidang perniagaan. “Saya mula serius berniaga dan mendaftarkan perniagaan pada tahun 2016. Saya berkahwin dalam usia muda iaitu 20 tahun. Tapi perkahwinan saya tak kekal lama hanya bertahan selama tiga tahun.
Oleh kerana kahwin terlalu awal dan status kewangan tak stabil, saya nekad tubuhkan Nuborn Material Enterprise iaitu menjual barangan kosmetik jenama sendiri. Kerana terlalu fokus dengan bisnes, saya banyak habiskan tenaga dan masa sampai mengabaikan yang sepatutnya. Saya bercerai pada tahun 2018. Usia 22 tahun, saya dah beli rumah tapi demi kelangsungan hidup dan komitmen waktu itu saya terpaksa menjual aset untuk bina syarikat Produklega Trading.
Mengambil insiatif dari susahnya untuk dapatkan supplier murah, saya mula mengimport bekas kosmetik dari China dan raw material dari Korea. Dari situ saya bina Produklega Supplies Sdn Bhd khas untuk pengasas yang inginkan produk jenama dari luar negara yang pembuatan dari top factory in the world dan produk berkelas dunia,” ungkap Reen yang pernah import produk pertamanya, paper wax dan hasil jualan dijadikan modal untuk import lesen yang kini berjumlah 38,000 setahun.
Ads
Tambahnya lagi, “Di Produklega Supplies kami menawarkan perkhidmatan A to Z, maksudnya dari brainstorming sampai packaging, design dan marketing. Selain itu, klien juga dibenarkan memilih kilang-kilang yang kami sediakan iaitu 8 kilang dari lima negara. China ada empat kilang, Korea, Jepun, Thailand dan Indonesia masing-masing ada satu kilang. Semua kilang ini mencapai standard GMP & ISO dan setiap produk dibekalkan pensijilan FDA dan lab test di Malaysia.
Saya juga dalam proses menyewa hab di USA untuk Produklega Export. Kini, kami dah ada klien dari Nigeria, Ohio, California, New York. Kesemua klien kami mengeluarkan produk jenama sendiri melalui kami tetapi tidak melalui Malaysia. Produk yang dihasilkan di China misalnya akan dihantar terus ke sana melalui platform kami di Amazon, Ebay & Alibaba.”
Langit tidak selalunya cerah, pada awal tahun 2020 Reen terpaksa menanggung kerugian ratusan ribu ringgit. “Ketika itu saya masih baru dalam kontrak S&P (Sales and Purchase). Kami terima tempahan 150 ribu bekas kosmetik bernilai RM278,643.20. Setiap angka itu saya ingat sampai sekarang.
Disebabkan founder tidak menyatakan produk yang dimasukkan ke dalam bekas ialah temperature sensitive, ini menyebabkan bekas tersebut pecah dan kilang enggan bertanggungjawab. Jadi, saya terpaksa tanggung separuh kerugian dan bakinya ditanggung syarikat.”
Ads
Di sebalik mengalami kerugian dalam perniagaan, Allah hadirkan sinar bahagia buat Reen apabila dia sah bergelar isteri kepada seorang juruterbang, Muhammad Afiq Faisal. Memandangkan tahun 2020 negara dilanda pandemik Covid-19, pendapatan suami turut terjejas. Enggan berputus asa, pasangan suami isteri ini sepakat membuka satu cabang bisnes baharu iaitu Produklega F&B dengan membeli 2 cawangan Nasi Kukus Tonggek.
“Untuk Produklega F&B, ini adalah investment kami paling tinggi setakat ini iaitu hampir setengah juta. Bercerita tentang pendapatan, ada sesetengah bulan boleh mencecah sehingga 50 ke 60 ribu ringgit sebulan. Ada pasang dan surut bergantung kepada situasi ekonomi dan perayaan.
Walau apa pun, yang paling bernilai bagi saya adalah apabila saya dapat luangkan masa bersama suami dan anak tanpa sekatan waktu bekerja dari jam 9 pagi hingga 5 petang,” akhirinya yang berhasrat memiliki hab Produklega di China dan Timur Tengah.
Kredit foto: Instagram Reen Ramzi
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tampan dan segak, kemunculan sosok Ketua Pegawai Eksekutif TikTok – Shou Zi Chew – sekali lagi diperkatakan. Lelaki hebat yang mentadbir syarikat media sosial terkenal itu bukan sahaja melambangkan jiwa pemimpin muda yang pintar malah berpengalaman luas dalam kehidupan.
Dianggap sebagai ancaman keamanan dan keselamatan, TikTok dituduh menyimpan data warga Amerika Syarikat sekaligus meningkatkan ketegangan di antara Beijing-Washington.
Sebagai CEO, Shou Zi Chew lantang menjawab pelbagai pertanyaan Kongres selama lima jam bagi meyakinkan mereka pada 23 Mac 2023 lepas.
Shou Zi Chew
Foto: Chip Somodevilla/Getty Images/AFP
Menurut The Guardian, Shou Zi Chew pernah mengatakan bahawa pengalaman paling memenatkan dalam hidupnya adalah bertahan hidup selama lima hari di hutan Kalimantan ketika bergelar pegawai tentera Singapore Armed Forces sewaktu menjalani Perkhidmatan Negara.
Dilahirkan pada 1 Januari 1983 dan membesar di Singapura, lelaki ini sesungguhnya berasal daripada keluarga sederhana. Ayahnya bekerja dalam sektor pembinaan sementara ibunya ahli simpankira (bookkeeper).
Pemegang ijazah ekonomi dari University College London ini juga pernah bekerja sebagai pegawai pelaburan bank di Goldman Sachs Group, London.
Tahun 2010, beliau kembali menyambung pengajian sarjana di Harvard Business School dan memperolehi Master of Business Administration (MBA).
Foto: The Wall Street Journal
Foto: Ore Huiying/The New York Times
Pernah menjalani latihan praktikal di Facebook, Shou Zi Chew seterusnya menyertai firma pelaburan DST Global (pelabur awal ByteDance, syarikat yang memiliki TikTok) pada tahun 2013.
Tidak terhenti di situ, beliau terus menambah pengalaman sebagai Ketua Kewangan Eksekutif di di syarikat telefon pintar China, Xiaomi pada tahun 2015 dan kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Presiden Perniagaan Antarabangsa syarikat tersebut pada 2019.
Pada Mac 2021, Shou Zi Chew akhirnya menyertai syarikat induk TikTok yang berpengkalan di China, ByteDance sebagai Ketua Kewangan Eksekutif. Mei tahun yang sama, beliau dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif menggantikan Kevin Mayer.
Kevin Mayer dikatakan bertahan hanya 3 bulan selepas syarikat tersebut berdepan tekanan undang-undang daripada Amerika Syarikat berkaitan risiko keselamatan. Pengasas ByteDance iaitu Zhang Yiming juga mengambil keputusan untuk berundur pada tahun yang sama.
KEHIDUPAN PERIBADI
Sudah berumah tangga dan mempunyai dua orang cahaya mata, kisah peribadi Shou Zi Chew kini turut menjadi perhatian. Beliau mengahwini Vivian Kao, bekas rakan sekuliahnya di Harvard Business School pada tahun 2008.
Wanita berdarah Taiwan-Amerika itu juga berkerjaya hebat. Seperti suaminya, Vivian berkelulusan Sarjana Muda Ekonomi dan Pengajian China sebelum menggenggam MBA dari Harvard Business School.
Pasangan ini mempunyai dua orang cahaya mata berusia enam dan lapan tahun. Beliau juga sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan untuk tidak membenarkan anak-anaknya menggunakan TikTok kerana ‘masih terlalu kecil’.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pemergian Mizz Nina ke Tanah Suci Mekah sekitar tahun 2013 benar-benar mengubah dirinya sampai ke hari ini. Dari seorang penghibur seni popular dan bertaraf antarabangsa, berkat kurniaan hidayah dari Allah dia berubah menjadi seorang muslim sejati. Malah, kisah penghijrahan Mizz Nina sering menjadi inspirasi.
Dalam temu bual bersama Mizz Nina ketika menjadi penghias muka depan Nona suatu ketika dulu, dia mengambil restu dan doa daripada suami serta keluarga untuk mempelajari Islam dengan lebih mendalam. Baginya, dia tak pernah penat belajar dan mendalami ilmu kerana percaya ia mampu menjadi kekuatan seseorang.
Dedah wanita ini, suaminya Mohd Noh Salleh beberapa kali pernah mengajaknya ke Tanah Suci sebelum mereka mengerjakan haji pada 2013 tetapi terpaksa ditolak kerana pada waktu itu dia merasakan masih banyak kekurangan dalam diri.
Sehinggalah dia sendiri yang mengajak Noh ke sana untuk mengerjakan umrah. “Sewaktu di sana, mula timbul dalam hati untuk mengerjakan haji pula. Bermula dari sana, saya belajar mendalami Islam sedikit demi sedikit. Saya belajar mengaji, banyak menghadiri ceramah dan beberapa kelas lain.”
Sejak bergelar Hajah, pemilik nama Shazrina Tan Sri Azman ini mengakui lebih selektif dan teliti dengan tawaran seni yang diterima. Ujarnya, “Saya lebih teliti dalam soal penyampaian kerana ada batasan yang perlu dijaga. Allah telah merencanakan kisah yang cukup cantik dalam kehidupan saya.
Mula-mula, diberikan rezeki untuk saya bersama dalam rancangan Chichi & Chacha, sebuah rancangan bersiri kanak-kanak. Kemudian dibukakan hati untuk terus dekat denganNya. Saya lupakan segalanya hanya kerana Allah Taala.”
Berbekal azam untuk berubah menjadi insan yang lebih baik, Mizz Nina pulang ke tanah air dengan imej baharu dan sopan. Namun penampilannya mendapat reaksi negatif daripada sesetengah pihak.
“Perkara pertama yang diulas peminat tatkala saya mula memuat naik gambar berhijab adalah ‘permanent ke tudung tu?’. Saya hanya mampu tersenyum kerana manusia ada banyak ragam dan cara. Kita banyak mengadili manusia lain sebelum kita melihat diri sendiri.
Saya cuba menjadi seorang Muslim yang baik dan menjaga hubungan baik dengan Allah. Dari segi kerjaya seni, saya cuba buat yang termampu dan paling penting, saya tetapkan dalam hati agar tidak kembali kepada Mizz Nina yang dulu, jauh sekali untuk membuka hijab semula.
Semua orang ada pengalaman sendiri dan penyampaian hidayah Allah kepada mereka berbeza. Begitu juga saya. Keputusan untuk mengerjakan haji adalah keputusan terbaik saya buat dalam kehidupan. Saya lakukan kerana Allah.”
Dalam temu bual eksklusif itu juga, Mizz Nina mendedahkan dia melihat figura bapa tersayang sebagai inspirasi ke arah kebaikan.
“Saya tahu dengan siapa saya perlu bertanya dan pada siapa saya perlu merujuk. Impak penghijrahan ini membawa makna yang cukup besar. Ayah menunaikan haji baru sekali tetapi perubahan yang dibawa dalam hidup cukup-cukup terkesan dan ini yang saya cuba teladani.
Begitu ramai yang menghantar permohonan untuk menunaikan haji tetapi saya pula yang dijemput Allah untuk menyahut seruanNya. Hanya syukur mampu dipanjatkan.
Untuk terus berada di landasan Allah, saya cuba mencari bahan untuk menyumbang kepada agama. Dalam bidang seni suara pula, penyampaian itu adalah daripada perkara yang baik-baik kerana saya mahu berkongsi bersama peminat terutamanya apa yang sedang berlaku dalam hidup saya kini.”
Mizz Nina sah bergelar isteri Mohd Noh Salleh pada 1 Julai 2011. Meniti usia 42 tahun, Mizz Nina merupakan anak bongsu daripada lima beradik buat pasangan Tan Sri Azman Hashim dan Tunku Arishah Tunku Maamor.
11 tahun mendirikan rumah tangga, Mizz Nina dan Noh sepakat mengambil anak angkat lelaki yang diberi nama Musa.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pasangan pelakon legenda Amitabh Bachchan dan Jaya Bachchan meraikan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-50 hari ini, 3 Jun 2023. Kedua-dua mereka melangsugkan perkahwinan pada tahun 1973.
Pada ulang tahun hari penuh istimewa ini, anak perempuan mereka Shweta Bachchan memuat naik potret lama Amitabh dan Jaya dirakam dalam set salah satu filem gandingan mereka. Dalam gambar vintaj itu, Jaya dilihat memakai sari, manakala Amitabh Bachchan memakai baju bercorak dan seluar putih.
Sehingga kini, perkahwinan mereka kekal bahagia dan terhindar daripada gosip dan khabar angin. Apa agaknya rahsia kebahagiaan rumahtangga mereka?
Shweta mendedahkan “Apabila ditanya apakah rahsia perkahwinan yang kekal lama, ibu saya menjawab: rasa cinta yang tak berbelah bagi, dan ayah saya pula menjawab: isteri sentiasa betul.”
Gambar yang dimuat naik Shweta mendapat maklum balas dan kata-kata manis daripada saudara mara artis dan serta netizen. Ramai diantara mereka mengucapkan tahniah dan turut mengirimkan doa untuk pasangan suami isteri kesayangan Bollywood itu agar kekal bahagia sehingga akhir hayat.
Pasangan selebriti Bollywood ini sudah lama menjadi idola dan kekal menjadi salah satu pasangan inspirasi di India.
Amitabh Bachchan bertemu dengan Jaya ketika mereka berdua terlibat cinta lokasi dalam sebuah film Bollywood yang berjudul Do Anjaane (1976).
Amitabh dan Jaya dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Abhishek Bachchan dan Shweta Bachchan Nanda dan kini mereka memiliki tiga orang cucu iaitu Agstya Nanda, Navya Naveli Nanda, dan Aaradhya Bachchan.
Tak hairanlah, setelah 50 tahun melayari bahtera perkahwinan, rumah tangga Amitabh Bachchan dan Jaya Bachchan kekal hingga ke saat ini.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Siapa sangka dari sebuah rumah teres usang menjadi kediaman sentuhan moden elegan, jari-jemari emas Ashikin Amran terbukti berhasil mix & match hiasan tanpa bocorkan kocek.