
Ara Aziz masuk universiti usia 15 tahun bukan sekadar menjadi berita yang membanggakan keluarga, bahkan seluruh warga Malaysia turut merasakannya. Di sebalik kejayaan anak sulung kepada Puteri Lily Lokman dan bekas suami, pengarah terkenal Aziz M. Osman itu, tersimpan kisah panjang tentang doa yang tidak pernah putus, pengorbanan yang tidak pernah dihitung dan kasih sayang seorang ibu yang memilih untuk terus bertahan walaupun diuji pelbagai cabaran kehidupan.
Suatu ketika dahulu, kepetahan Ara Aziz pernah mencuri perhatian ramai. Kini, pemilik nama Puteri Nur Azzahra itu sekali lagi menjadi inspirasi apabila berjaya melanjutkan pengajian di Manipal University College Malaysia (MUCM) selepas menduduki peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) tahun lalu.
Lebih membanggakan, Ara yang menerima biasiswa Manipal itu kini mengikuti program Foundation in Science, sekali gus menjadi antara pelajar termuda di institusi pengajian tinggi berkenaan.
Cerita Puteri Lily kepada Nona, minat Ara terhadap dunia perubatan bukanlah sesuatu yang muncul secara tiba-tiba.

“Ara memang sejak kecil suka subjek sains. Dia bercita-cita mendalami bidang neurologi, tapi mommy cakap belajar asas dulu.
Sebab itulah dia memang bercita-cita menjadi pakar bedah otak. Katanya, ciptaan Allah ini sangat menarik. Bentuk otak manusia semuanya sama, tetapi bagaimana corak pemikiran setiap orang boleh berbeza-beza? Itu yang membuatkan dia begitu tertarik,” ujar wanita jelita yang mesra disapa Lily ini.
Ara Aziz Tetap Nikmati Zaman Remaja Walaupun Masuk Universiti Awal
Ramai beranggapan remaja yang memasuki universiti pada usia muda akan kehilangan zaman remaja. Namun sebagai seorang ibu yang mengikuti setiap fasa tumbesaran anaknya, Lily menolak tanggapan tersebut.
Pada usia yang bakal injak 15 tahun menjelang 31 Ogos nanti, kejayaan Ara Aziz masuk universiti semuda ini nyata membanggakan. Pun begitu, kejayaan akademik tidak seharusnya merampas kegembiraan seorang anak untuk menikmati usia remaja.
“Saya tak rasa Ara kehilangan zaman remaja. Saya tak pernah menghalang dia berkawan. Dia masih keluar bersama kawan-kawan, cuma dia seorang yang introvert dan tak begitu suka keluar. Paling rapat pun dua atau tiga orang kawan yang selalu dia berhubung melalui panggilan video.
Dia masih ada outing seperti remaja lain. Bezanya, dia dan kawan-kawan tahu membahagikan masa antara belajar dan bersosial.”
Hampir Putus Asa Demi Pendidikan Ara Aziz
Ramai melihat kejayaan Ara Aziz masuk universiti hari ini, tetapi tidak ramai mengetahui bahawa perjalanan itu dibina melalui proses yang panjang. Puteri Lily sendiri mengakui pernah hampir mengalah kerana anak sulungnya bukanlah seorang yang terus cemerlang tanpa usaha.

Sebagai ibu, beliau melalui pelbagai proses mencuba, belajar dan mencari kaedah terbaik demi memastikan anaknya memperoleh pendidikan yang terbaik.
“Sebenarnya saya tak kisah kalau anak yang rasa nak give up. Yang penting, mak ayah jangan mengalah.
Saya sendiri pernah hampir putus asa sebab Ara bukannya terus pandai macam itu. Saya cuba macam-macam kaedah. Sebagai anak pertama, memang banyak proses try and error. Saya bertanya orang, mencari cara terbaik untuk memberi pendidikan kepada anak-anak,” akui Lily.
Pengorbanan Puteri Lily Lokman Yang Tidak Ramai Nampak
Namun di sebalik kejayaan itu, ada seorang ibu yang bertahun-tahun menghabiskan sebahagian besar hidupnya di dalam kereta, berulang-alik menghantar anak ke kelas, peperiksaan dan sesi ulang kaji.
Ada hari yang bermula sebelum matahari terbit dan berakhir ketika tubuh sudah terlalu letih untuk bergerak. Namun seorang ibu jarang mengira penat apabila membabitkan masa depan anak.
“Memang penat. Ada hari perjalanan mengambil masa hampir dua jam sehala. Kehidupan saya banyak dihabiskan dalam kereta mengikut jadual Ara.
Kelas IGCSE dia pula dari Isnin sampai Sabtu, pagi sampai petang. Kadang-kadang balik kerja memang penat sangat sampai rasa tak payahlah hantar. Tapi Ara pula bersungguh-sungguh nak pergi kelas.
Sebagai ibu bapa, jangan mengalah. Kena terus gigih demi anak.”
Rahsia Ara Aziz Masuk Universiti Kerana Kerja Keras
Di mata ramai, Ara mungkin dilihat sebagai anak genius. Namun bagi Puteri Lily, tiada kejayaan yang hadir tanpa usaha.


Beliau mengakui anaknya juga pernah melalui fasa keletihan melampau, hilang keyakinan dan menangis kerana merasakan dirinya tidak mampu.
“Ada masanya dia burnout dan ketika itulah ibu bapa kena jadi moral support paling kuat.
Sepanjang hidup, saya tak pernah bandingkan Ara dengan mana-mana budak. Kalau dia rasa dia tak mampu, saya tak terus paksa. Saya akan cakap, ‘Cuba dulu.’ Kalau memang saya nampak dia tak mampu, barulah kita fikir pilihan lain.”
Antara detik yang paling sukar buat Lily ialah apabila Ara hampir berputus asa untuk menduduki peperiksaan Fizik.
“Masa dia susah dengan Fizik sampai menangis, saya tak boleh ajar sebab saya pun tak pandai. Jadi saya hanya duduk temankan dia ulang kaji sampai tengah malam. Kadang-kadang kami buat lagu supaya lebih mudah menghafal.”
Lily percaya, rahsia sebenar bukan terletak pada kebijaksanaan semula jadi tetapi kesungguhan seorang anak dan sokongan ibu bapa yang tidak pernah jemu berdiri di belakang.
“Rahsia anak genius sebenarnya bukan rahsia pun. Semuanya kerja keras. Tak ada orang tiba-tiba jadi pandai.
Yang paling penting, ibu bapa jangan bandingkan anak dengan anak orang lain. Setiap anak ada kelebihan masing-masing. Cari minat mereka dan sokong dari belakang.

Saya tak pernah paksa Ara jadi doktor atau peguam. Apa sahaja yang dia minat, asalkan dia menjadi insan yang baik, itu sudah cukup membahagiakan saya.
Daripada hanya suruh anak belajar untuk dapat A, lebih baik kita terangkan kenapa ilmu itu penting dan bagaimana usaha boleh membawa mereka mencapai cita-cita,” kongsi Lily.
Ara Aziz Masuk Universiti, Anak Yang Rajin & Cekal
Di mata seorang ibu, keistimewaan Ara bukan sekadar pencapaian akademiknya.
Menurut Puteri Lily, anak sulungnya itu membesar sebagai seorang yang cekal, berfikiran terbuka, menghormati orang lain dan sentiasa mengutamakan keluarga.
“Ara seorang anak yang sangat cekal dan open minded. Dia tak melawan cakap mak. Dari kecil lagi dia memang mendengar kata.
Kalau dia burnout sekalipun, bila kita beri semangat, dia akan bangkit semula.
Dia juga seorang kakak yang sangat bertanggungjawab. Dengan adiknya Aryan, dia sudah macam ibu kedua. Sangat efisien dan boleh diharap.”
Kini Puteri Lily memilih memperlahankan sedikit komitmen dalam dunia televisyen bagi memberi tumpuan kepada keluarga selepas berpindah ke Melaka.
Walaupun kisah Ara menjadi perhatian ramai, beliau mengakui lebih selesa bersikap sederhana kerana percaya perjalanan anaknya masih jauh.
“Alhamdulillah Ara menerima biasiswa daripada Manipal. Tapi saya sebenarnya tak suka sangat berkongsi perkara ini kerana perjalanan dia masih panjang.
Saya juga mahu mengelakkan penyakit ain dan tak mahu anak saya menjadi terlalu bangga diri.
Disebabkan kisah ini sudah viral, saya rasa bolehlah saya kongsi sedikit supaya dapat memberi manfaat kepada ibu bapa lain. Namun apa yang paling penting, perjalanan Ara masih jauh dan saya sentiasa mendoakan yang terbaik buatnya,” akhiri Lily.
Baginya, kejayaan seorang anak bukan diukur pada usia mereka melangkah ke universiti atau setinggi mana keputusan peperiksaan yang diraih. Lebih bermakna apabila melihat anak yang pernah melalui jatuh bangun kehidupan akhirnya membesar menjadi insan yang menghargai pengorbanan ibu bapa, tidak mudah menyerah kalah dan terus melangkah dengan rendah hati.
Barangkali itulah hadiah paling indah buat seorang ibu. Bukan sekadar melihat anak berjaya, tetapi menyaksikan setiap titis peluh, doa dan pengorbanan yang selama ini tidak terlihat akhirnya berbuah menjadi sebuah harapan.
Artikel berkaitan:Puteri Leonor Bakal Ratu Sepanyol, Lulus 3 Tahun Latihan Ketenteraan Yang Penuh Mencabar
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


