Siapa sangka kerjaya sebagai penyanyi boleh meraih pendapatan lumayan sehingga mencapai jutaan ringgit. Ini telah dibuktikan oleh Penyanyi dan Penulis Lirik, Rihanna apabila dinobatkan oleh Forbes sebagai Ahli Muzik Wanita Terkaya di dunia dengan jumlah pendapatan RM2500 juta (USD600 juta) setahun.

IKLAN
IKLAN

Hebat sungguh aura penyanyi yang mempunyai nama sebenar Robyn Rihanna Fenty ini. Jumlah kekayaan Rihanna ini yang dilaporkan oleh Forbes ini mengatasi jumlah kekayaan yang diraih oleh Madonna, RM2300 juta (USD570 juta), Celine Dion, RM1800 juta (USD450 juta) dan Beyonce, RM1600 juta (USD400 juta).

Agak-agaknya apa yang menyebabkan Rihanna boleh meraih pendapatan sedemikan rupa. Mungkin sedikit sebanyak lagunya yang berjudul Work menggambarkan sikap gigih Rihanna dalam mengejar cita-cita untuk berjaya dalam bidang yang diceburinya.

Namun, sumber kekayaan Rihanna bukan datang dari bidang seni semata-mata. Sumber pendapatan penyanyi yang mempunyai jumlah pengikut seramai 79.3 juta di laman Instagram ini datang dari kerjasama bersama jenama mewah terkenal dunia, LVMH menerusi Fenty Beauty.

Rakan kongsi Rihanna, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LVMH iaitu Bernard Arnault yang berusia 70 tahun juga merupakan Pengerusi dan CEO kepada syarikat jenama mewah seperti Louis Vuitton, Christian Dior, Fendi dan Sephora.

Sejak jenama kosmetik ini dilancarkan pada bulan September 2017 dan dipasarkan secara atas talian dan di rangkaian kosmetik, Sephora, jumlah jualan yang dicapai pada minggu pertama dan kedua pengenalannya, mencecah sehingga RM400 juta (USD100 juta).

Bayangkan sahaja jumlah jualan bersih yang diperoleh oleh pelakon filem Battleship ini dalam sebulan setelah hampir 3 tahun beroperasi. Tidak mustahil sehingga kini jumlah pendapatan Rihanna boleh mencapai sehingga ke angka RM2500 juta (USD600 juta).

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Namun, Rihanna yang telah dilahirkan di Saint Michael, Barbados ini bukanlah dilahirkan dalam sebuah keluarga yang kaya raya. Zaman kanak-kanak Rihanna tidak seindah seperti orang lain apabila sering didera oleh bapanya yang menagih dadah.

Benar kata orang kalau bukan diri sendiri siapa yang akan mengubah nasib diri dan keluarga. Ternyata Rihanna telah berjaya memperjuangkan nasibnya sehingga menjadi Penyanyi Wanita TERKAYA di dunia.

Sumber: forbes.com
Foto: Instagram @badgalriri