Ayda Jebat, suatu nama yang tidak asing dalam industri seni. Mempunyai bakat dalam bidang nyanyian juga berbakat dalam bidang lakonan. Figura yang terkenal dengan sifat riang ini memang kuat mengusik sesiapa sahaja yang berada di sisinya. Tidak sangka rupa-rupanya gadis yang berasal dari Melaka ini sangat nakal dan sering ponteng puasa ketika di bangku sekolah dahulu.

IKLAN

“Memang saya mengaku, kalau masa sekolah dahulu saya nakal dan sering ponteng puasa. Namun, saya bukan sengaja nak ponteng puasa kerana cuaca panas dan berjalan kaki balik ke rumah dari sekolah sering menggugat iman saya untuk ‘berbuka’.

Saya ingat lagi masa tu, saya dalam tingkatan 1 atau 2, cuaca panas sangat. Laluan untuk masuk ke bilik saya perlu melalui kawasan dapur. Ibu dan bapa tak ada di rumah sebab keluar bekerja. Hanya saya seorang sahaja yang ada dalam rumah. Akibat tak tahan saya ‘berbuka puasa’ dengan mi segera. Lepas makan saya tutup semua kesan bukti saya dah makan dalam rumah.

Masa ibu dan bapa balik ke rumah saya pretend berpuasa dan mengadu penat. Kemudian ibu cakap, betul ke saya puasa. Rupa-rupanya saya lupa 1 perkara yang membuat saya kantoi. Saya lupa ibu boleh mengira bilangan mi segera yang ada dalam kabinet. Patutnya saya beli 1 untuk ganti balik mi segera yang telah saya makan itu,” berderai tawa Ayda apabila mengingat kembali memori berpuasa dahulu dan sempat berpesan agar tidak mengikut jejak langkahnya dahulu.

Bercerita tentang perkembangannya kini, rezekinya sering melimpah-ruah. “Alhamdulillah, bulan puasa saya masih sibuk bekerja. Saya turun set penggambaran untuk slot akasia yang akan keluar bulan Jun nanti. Boleh dikatakan sejak bergelar artis masa berpuasa saya banyak dihabiskan di set penggambaran. Kini saya jarang mempunyai masa bersama untuk berbuka bersama keluarga.

Foto: Instagram @aydajebat

IKLAN

Kebanyakan drama saya akan keluar kalau tidak bulan Ramadan pasti bulan Syawal. Jadi sebelum puasa dan puasa terpaksa turun shooting. Kalau ada masa pun mungkin sehari atau dua boleh balik Melaka berpuasa bersama keluarga. Kemudian pergi set balik.

Selalunya di set penggambaran meriah sebab kita akan habis shooting awal dalam pukul 6 petang. Ramai-ramai akan naik van pergi bazar Ramadan. Masa itu lar mencari makanan untuk berbuka. Sebab sebelum ini saya tak selalu pergi membeli juadah berbuka di bazar Ramadan kerana di rumah of course mak sudah menyediakan juadah berbuka puasa. Kalau di set memang terpaksa keluar kalau tidak tak ada makanan. Krew produksi merupakan keluarga kedua saya apabila kami berbuka bersama-sama sepanjang proses penggambaran.

IKLAN

Sebenarnya lagi cepat kalau shooting di bulan puasa kerana kita tidak fikir untuk makan atau minum. Tak ada lunch tak ada minum petang. So kita dah banyak cut banyak masa di situ. Bekerja di bulan puasa kita fokus hanya untuk bekerja semata-mata, jadi kerja lebih cepat dilaksanakan dan tidak terasa masa berlalu.

Juadah kegemaran saya sudah tentu kuih lopes, tau fu fa dan martabak. Jangan tidak percaya walaupun saya orang Melaka tetapi saya seorang yang suka makan kari. Kalau kat rumah mesti saya minta mak masakkan lauk kari. Kalau kat luar mesti saya akan cari makanan yang berasaskan kari seperti briyani, nasi tomato,” tutur Ayda yang cantik bergaya dalam persalinan baju kurung moden Ariani RTW.