Kehidupannya kini bahagia sebagai suri rumah, Nurul Syuhada Nurul Ain akui rajin belanja stok dapur di pasar Chow Kit.
Bayangkan buka pintu rumah… angin sepoi-sepoi bahasa menyapa pipi, cahaya matahari menerpa dan kehijauan pokok-pokok menyambut dengan senyuman. Rasa macam melangkah ke resort, tapi ini sebenarnya rumah Nurul Syuhada Nurul Ain, bekas pengacara TV3 yang kini menginspirasi ramai dengan gaya hidupnya yang simple yet stunning.
Pertama kali menjejaki rumah ni, team Bling Bling Raya dah terasa aura ‘open plan, open heart’. Ruang tamu luas, siling tinggi, tak ada sekatan sana sini — semua nampak lapang dan lega. Konsep industrial moden jadi pilihan Nurul: konkrit asli, warna-warna tanah, pencahayaan semula jadi, dan yang paling best — deko minimalis tapi penuh karakter.
Tiada chandelier berkilau atau perabot kayu jati yang besar dan berat, tapi tetap nampak classy. “Saya suka yang ringkas, senang nak urus, dan tak semak mata,” kongsi Nurul sambil senyum manis.
Jom saksikan video Bling Bling Raya eksklusif di kediaman Nurul, memang seronok beraya di rumahnya…
Ads
Dalam dunia yang serba digital dan laju ni, Nurul memilih untuk memperlahankan rentak dan hidup lebih selari dengan alam. Pokok-pokok dalam dan luar rumah bukan sekadar hiasan, tapi terapi jiwa. Dari pokok hijau indoor ke laman terbuka, kediaman ini betul-betul memberi rasa ketenangan.
Ads
Sebagai suri rumah, Nurul Syuhada Nurul Ain akui rajin belanja stok dapur di pasar Chow Kit. Menurut beliau, keperluan dapur mereka agak besar memandangkan memiliki anak-anak seramai empat orang di bawah 10 tahun. Fasa tumbesaran ini merupakan detik-detik perkembangan penting serta memerlukan fokus khas dari segi pemakanan dan layanan kasih sayang.
Siapa sangka rumah dalam Malaysia boleh beri suasana tenang seperti di luar negara?
Ads
Kini, Nurul merupakan ibu kepada empat orang anak dan isteri kepada lelaki pilihan hatinya. Beliau telah meninggalkan dunia penuh glamor dan memilih untuk fokus kepada fasa kehidupan yang lebih bermakna — menjadi suri rumah sepenuh masa.
Namun, menjadi suri rumah bukan kerja mudah. Dia tetap menjaga gaya, mengurus rumah, membesarkan anak-anak, dan masih kekal berseri. “Saya rasa ini fasa paling tenang dalam hidup saya,” katanya sambil menunjukkan ruang bacaan kecil di penjuru rumah.
Tiada barangan mewah bergantungan, tiada ‘show off’ sana sini. Namun kediaman dan gaya hidup Nurul cukup membuatkan hati terasa sejuk. Inilah bukti bahawa gaya sebenar datang daripada hati yang damai, bukan semata-mata pada hiasan.
Bukan mudah untuk berjaya dalam dunia yang penuh dengan cabaran, hanya mereka yang benar-benar miliki keinginan tinggi mampu menempuh badai dan juga pahit manis dunia perniagaan. Mengenali wanita berusia 25 tahun ini memberikan satu dimensi baru tentang keberanian. Dia yang mula berniaga secara kecil-kecilan dari pintu ke pintu di asrama universiti kini sedikit demi sedikit membina empayar perniagaan kecantikannya sendiri. Jom kita singkap pengalaman dan juga cedok input positif yang boleh dijadikan teladan daripada pengasas produk kecantikan Fellera Beauty ini.
BAGAIMANA ANDA BOLEH MELIBATKAN DIRI DALAM DUNIA PERNIAGAAN?
Sebenarnya ia bermula semenjak saya menuntut di peringkat diploma Komunikasi Massa di UiTM cawangan Lendu, Melaka. Ketika itu saya mahu berniaga untuk menampung kos pembelajaran dan kebetulan ramai bertanya bagaimana saya menjaga kulit saya yang sentiasa kelihatan sihat dan cerah berseri. Hendak dijadikan cerita, saya memang mengamalkan penggunaan skrub beras dan ini merupakan tradisi turun temurun yang diamalkan oleh arwah ibu saya. Saya memuat naik status di laman Facebook dan bertanya siapa yang mahukan produk yang saya guna tidak sangka banyak respons positif yang diterima. Jadi ketika itu saya terfikir mengapa tidak saya menjual skrub beras ini?
Maka bertitik tolak dari situ saya mula memasarkan skrub beras dari pintu ke pintu di asrama. Pada mulanya memang segan, jadi saya mengupah rakan saya untuk membantu dan ketika itu saya mengupahnya jika satu botol berjaya terjual dia akan memperoleh RM2 untuk setiap satu. Melihat kepada sambutan yang hangat saya terdetik bahawa produk ini boleh diformulasikan untuk dijual secara komersil. Dengan bantuan dan tunjuk ajar seorang kenalan yang memiliki pengalaman di dalam bidang kecantikan, saya mengambil nasihatnya untuk menjadikan produk ini komersial. Sewaktu produk ini hendak dikomersialkan, saya bermula dengan modal yang sangat kecil, sedikit demi sedikit apabila permintaan semakin besar seterusnya saya mengeluarkannya dalam skala besar.
APAKAH PENGALAMAN YANG MEMATANGKAN DAN MENGUATKAN DIRI?
Kalau nak tahu, saya berkahwin di usia muda. Jadi ada pandangan sinis dari orang sekeliling yang mengatakan bahawa saya mahu mengikis duit suami. Kata-kata ini memang orang anggap tidak besar, tapi ia memberi kesan kepada semangat saya. Untuk membuktikan bahawa saya bukan seperti yang mereka katakan saya berusaha untuk membuktikan bahawa saya boleh berdiri di atas kaki sendiri. Saya hanya meminta bantuan daripada suami bernilai RM1000 sebagai modal dan kemudian saya membayar semula RM1400 kepada suami sebagai hadiah kepadanya. Saya bersyukur kerana dia sangat memahami dan banyak menyokong kerjaya saya. Bila sudah berjaya kita akan rasakan perubahan, orang yang dekat akan menjauh dan orang yang jauh pula mahu dekat. Namun saya bersyukur kerana sahabat baik saya masih lagi baik dan mereka selalu berkata kepada saya supaya jangan berubah. Memang saya tidak pernah mahu rasa mendabik dada kerana saya masih lagi Khyra yang dahulu.
SELAIN MENGAMALKAN PRODUK KECANTIKAN SENDIRI. BOLEH KONGSIKAN TIP KECANTIKAN ANDA YANG LAIN?
Sebagai pengasas produk kecantikan semestinya saya menggunakan produk saya sendiri. Bagi saya sebagai pengasas produk kita perlu menjaga kecantikan agar selari dengan slogan produk yang dilaungkan. Dari sudut tip kecantikan yang lain, saya seorang wanita yang masih muda namun amalan saya seperti orang dahulu kala. Sebagai contoh kalau berpantang saya masih berpegang kepada amalan turun temurun kita dan tidak memandang ringan tentang perkara ini. Untuk menjaga tubuh badan pula saya akan bersenam ringan di rumah sahaja asalkan keluar peluh. Akhir sekali, hati perlu bersih kerana dari hati yang bersih kecantikan akan terpancar di wajah. Kalau hati kita selalu dengki dan susah hati melihat kejayaan orang lain pasti wajah tidak akan berseri kerana terlalu banyak aura negatif yang bersarang di minda.
*Untuk membaca wawancara Nona bersama Syarifah Khyra dengan lebih lanjut, jangan lupa untuk mendapatkan majalah Nona edisi September 2017 di pasaran.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Setiap individu yang berjaya pastinya mempunyai seorang idola yang mampu ‘menjentik’ dan ‘membakar’ semangat mereka. Berbekalkan azam dan usaha yang tidak putus-putus serta rasa kagum terhadap tokoh usahawan terkenal, impian lelaki muda berjiwa besar ini untuk berjaya dalam bidang yang diceburi akhirnya menjadi realiti.
Menjadikan usahawan popular, Dato’ Sri Aliff Syukri sebagai idola, langkah pertama Anan Adli menghantar mesej di Instagram Dato’ Sri Aliff menjadi permulaan segala-galanya. Memuatnaik status tentang pengalamannya berurusan bersama Pengasas D’herbs itu semalam, perkongsian Anan nyata mendapat perhatian ramai dan tular di media sosial.
================
KEJAR DUNIA KE KEJAR AKHIRAT
(Kisah di sebalik rezeki saya dengan Dato’ Sri Aliff Syukri).
Nak share sikit kisah di sebalik macam mana Dato’ Aliff Syukri boleh beli artificial grass dari saya. Sebab saya rasa magic sangat Allah nak beri rezeki tu pada saya. Untuk pengetahuan semua, sebenarnya tahun lepas pada tarikh 19 November 2017, saya ada mencuba rezeki dengan message Dato’ Aliff kat IG beliau. Dengan harapan Dato’ akan baca message saya tu dan respond.
Saya bagi tahu Dato’ saya buat AIA Takaful dan juga Artificial Grass. Manalah tahu Dato’ berminatkan. Tetapi sampai sekarang Dato’ tak read pun message saya tu. Dipendekkan cerita, setelah 6 bulan, ada seorang lelaki whatsapp saya. Masa ni bulan puasa. Dia beritahu dia ada beli artificial grass kat tempat lain. Tapi tak besar la. Just nak tunjuk kat boss dia. Tapi boss dia tak suka rumput yang dia beli tu. Katanya nampak sangat fakenya. Jadi dia nak jumpa saya untuk tengok sample dan tunjuk kat boss dia.
Pada kebiasaannya kalau customer nak tengok sample, saya minta customer untuk datang area Shah Alam. Tapi hari tu Allah gerakkan hati saya untuk pergi jumpa dengan lelaki tu dan tunjuk sample. Masa tu saya kat KL. Dan kami bersetuju untuk berjumpa di area Kota Damansara. Setelah berjumpa, lelaki tersebut minta izin untuk bawa balik sample rumput tu untuk ditunjukkan pada boss beliau. Saya dah la ada satu je sample utk setiap jenis rumput. Tapi sekali lagi Allah gerakkan hati saya untuk benarkan dia bawa balik sample rumput tu.
Keesokkan petang lelaki tersebut call saya 2-3 kali juga tapi saya tak dapat pickup call sebab saya tengah training kat Puchong. Saya whatsapp dia bagi tahu yang saya tengah dalam training, tak dapat nak jawab call. Dia pun faham. Dia kata boss dia bersetuju untuk beli rumput saya yang 30mm tu. Dan dia nak suruh pasang petang tu juga. Dia nak terus transfer duit dan minta pasang hari tu juga.
Saya bagi tahu dia tak sempat nak pasang hari ni. Sebab masa tu dah pukul 4 petang. Supplier tutup pukul 5. Nak ambil rumput kat supplier memang akan ada masalah jalan jam. Lagi-lagi orang tengah berpusu-pusu nak balik berbuka. Tapi lelaki tu minta tolong untuk install hari ni juga.Lepas habis training kat Puchong saya terus kelam-kabut bergegas kat supplier. Saya bagi tahu supplier pleaseeee jangan tutup lagi. Saya datang nak ambil rumput ni. Customer dah bayar. Nak datang ambil je. Alhamdulillah supplier baik hati dan boleh tunggu sampai saya datang.
Minyak kereta masa tu dah berkelip-kelip sebab nak habis. Kalau nak pegi cari station minyak mesti lagi lambat nanti. Jadi saya tawakal je teruskan ke supplier. Masa sampai supplier tu dah pukul 6.40pm. Saya tak solat Asar lagi masa tu. Saya teringat kat NKVE Damansara ada station minyak. Boleh solat dan isi minyak kat situ. Dengan jalan jem dan hujan, memang lambat la saya sampai. Huhu. Lelaki tu dah beberapa kali tanya saya dah sampai mana. Saya bagi tahu saya tengah stucked dalam jem.
Lebih kurang nak sampai 1km dari station minyak, Allah uji saya dengan minyak kereta saya habis . Masa tu jam menunjukkan pukul 7pm. Dengan hujan, jalan jem, tak solat Asar lagi, dan dah nak berbuka, kereta saya berhenti di lorong kecemasan. Mujur masa tu kereta saya berada di laluan kiri. Jadi saya sempat ke lorong kecemasan sebelum kereta mati.
Saya terduduk diam kejap dalam kereta. Adakah saya nak kejar dunia dengan tinggalkan je solat Asar dan nanti ganti balik solat tu, sebab customer dah tunggu lama. Atau saya nak kejar akhirat, buat apa yang Allah suruh dan tinggalkan dulu urusan dunia. Dalam hati saya bercakap dengan Allah. Ya Allah, aku tahu Kau sedang menguji ku. Tapi aku reda dan aku tahu Kau sedang merancang yang terbaik untuk ku.
Saya pun mencapai botol mineral kosong dalam kereta, pasang lampu hazard dan terus berjogging tepi highway NKVE menuju ke Petronas tepi NKVE Damansara tu. Sampai Petronas saya nampak ada satu pam kosong. Saya pun terus ke pam tersebut. Swipe credit card dan isi minyak dalam botol mineral. Total RM3 lebih satu botol 1.5 liter tu. Then saya terus masuk surau dan solat Asar. Perasaan leganya dah solat Asar sebelum masuk waktu berbuka tu memang tak dapat digambarkan. Terus saya beli sebotol mineral kecil dan berlari semula ke kereta yang tersadai.
5 minit lepas tu azan Maghrib berkumandang. Saya minum seteguk dan terus berlari ke kereta. Waktu nak isi minyak dalam tangki tu memang suspen. Ntah-ntah tak cukup ke sebotol tu kan. Dah nak kena berlari balik. Dengan baca bismillah saya start kereta. Alhamdulillah boleh start! Terima kasih Allah!
Saya pun bawa kereta pegi balik ke station minyak dan isi balik minyak. Lelaki tu message lagi bagi tahu dia dah balik. Nanti awak deal dengan staff lagi sorang. Dia bagi tahu nanti dah sampai guard, ckp kat guard nak pergi rumah Dato’ Aliff Syukri. Saya macam eh, macam familiar nama ni.
Dah sampai rumah yang besar tak dapat nak dibayangkan, saya tanya staff dia, boleh tak nak tumpang solat Maghrib? Dia bawa kami ke next building yang menempatkan surau dan gym. Dah settle solat saya pun mula pasang rumput tu dalam hujan renyai-renyai dengan adik saya. Tak lama lepas tu Dato’ pun keluar. Dia cakap laaa ada org pasang rumput ke kat luar ni. Kenapa tak pasang esok je. Dah la hujan pulak tu. Dah-dah continue esok je. Saya bagi tahu Dato’, takpelah saya pasang je alang-alang dah sampai.
Dato’ tanya ni dah berbuka belum? Saya ckp errr dah Dato’. Haaa tu lambat je jawab, mesti belum makan. Dah-dah jom makan dulu. Kami yang dengan basahnya Dato’ jemput masuk makan. Dia suruh wife dia bawa ke dapur. Sebelum tu Dato’ minta izin boleh tak ambil video awak pasang rumput ni? Pastu nanti saya post la kat IG @palacealiffsyukri. Saya tanpa berfikir panjang cakap ehhh boleh jeee. Nape pulak tak boleh. Lepas ambil video tu saya dan adik saya pun masuk ke dapur dan makan.
Rupanya Dato Aliff terus post video tadi. Ya Allah, lepas dia post je beribu-ribu orang add saya kat IG @artificialgrassbyanan. Dengan yang message lagi. Memang tak menang tangan saya dibuatnya. Sebelum ni biasanya dalam seminggu ada lah 3-4 org yg message. Tapi lepas post tu, satu malam je berpuluh-puluh message.
Allahuakbar..ni lah rezeki ghaib yg Allah nak beri kat saya. Dia uji saya dulu nak tengok saya ni nak buat tak apa yg Dia suruh. Nak tengok saya ni pilih dunia ke akhirat. Benarlah kata Allah, kalau kita mengejar Akhirat, Dunia akan ikut kita. Tapi kalau kita mengejar Dunia, Akhirat takkan ikut kita.
Jadi buatlah apa yang Allah suruh dengan penuh yakin dan sungguh-sungguh. Tinggalkan apa yang dilarang. Nescaya Allah akan beri rezeki yang melimpah-ruah dari sumber yg tak disangka-sangka. Siapa sangkakan, message 6 bulan lepas walaupun Dato tak seen pun sampai hari ni, tapi Allah dah tetapkan rezeki ni untuk saya. Allah sehebat-hebat perancang. Terima kasih Papa Adanan Abdullah, Mama Rohana Othman, Abah Abdul Rahman Hashim, Mama Azizah Ahmad, isteriku Redzlin Hasyim dan semua yg selalu mendoakan rezeki dan kejayaan saya. Terima kasih Dato @aliffsyukriterlajaklaris dan @palacealiffsyukri kerana beri peluang untuk orang-orang macam saya. Semoga Dato’ dan keluarga ditambah-tambahkan rezeki yang melimpah-ruah.
.
Thank you Allah.
=================
Serius, rasa insaf baca perkongsian Anan Adli. Sebagai manusia, banyak yang kita kadang-kala terlepas pandang. Walhal ia adalah ujian sebelum dikurniakan suatu kebaikan. Jadi, nikmat yang mana satu yang didustakan? Moga kisah ini memberi manfaat kepada semua.
Sumber: Facebook Anan Adli
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Siapa sangka dalam usia 25 tahun, anak jati Kota Bharu Kelantan ini sudah pun bergelar usahawan muda yang bukan calang-calang. Tak sekadar di Malaysia, perniagaannya turut menguasai pasaran Indonesia secara sah dan kini dalam proses ke pasaran Brunei dan Singapura. Selain produk kesihatan dan kecantikan, dia juga memiliki beberapa cabang perniagaan lain yang membantu orang ramai khususnya warga kampung dalam menambah pendapatan mereka.
Boleh dikatakan kehidupannya kini lebih selesa dan mewah. Melihat kepada tahap kejayaannya itu tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa gelaran jutawan itu sudah dalam genggaman. Kematian bapa dan berasal dari keluarga susah menjadi titik tolak kepada kebangkitan usahawan cantik ini.
Di kala anak muda seusianya sedang enjoy dengan dunianya, ibu kepada seorang anak ini gigih membina legasi perniagaannya, Shalicious bersama suami tercinta, Al Hafiz Zakaria. Kenali pengasas produk kesihatan berdaftar, Wan Nur Siti Aisyah Wan Hasan yang mesra digelar Sha Hasan.
“Saya berasal dari keluarga susah, arwah ayah dulu peniaga jalanan hanya buka gerai tepi jalan. Kami memang hidup susah. Ayah meninggal ketika saya berumur 10 tahun. Bermula saat itulah ibu terpaksa bekerja seorang diri untuk menyara kami sekeluarga. Tak sanggup tengok kepayahan ibu saya nekad nak berjaya dan ubah nasib keluarga.
Sejak dari sekolah lagi saya suka berniaga. Apa saja rasa nak jual saya jual. Bukan saja di sekolah rendah malah sekolah menengah juga. Bila dah habis SPM saya dapat sambung belajar peringkat matrik di Negeri Sembilan dan juga universiti tapi saya memilih untuk belajar di kampung saja iaitu Kota Bharu, Kelantan.
Ikutkan keluarga tak galakkan saya berniaga sebab nak saya ada kerja tetap, boleh ubah nasib keluarga. Tapi saya tetap teruskan berniaga sambil belajar. Sebab itulah saya pilih sambung belajar di kampung sebab dekat dengan rumah dan mudah nak berbisnes. Pelajaran tetap keutamaan saya sebab tak nak kecewakan harapan keluarga terutama ibu.
Saya berbisnes sampailah umur 18 tahun. Makin lama makin tak menang tangan dibuatnya. Mulalah saya ponteng kelas, tak sempat nak masuk kelas sebab kerap nak kena COD dan sebagainya. Ketika itu saya betul-betul struggle bina jenama Shalicious. Saya berusaha sungguh-sungguh sehinggalah setahun selepas itu saya dapat membina Wisma Shalicious.
Kini saya ada beberapa cabang bisnes tetapi personal branding dan marketing daripada saya sendiri hanyalah Shalicious. Wismanya di Kelantan dan ada second branch HQ di Bangi. Selain di Malaysia, Shalicious juga telah masuk ke pasaran Indonesia secara sah. Kini dalam proses nak masuk ke pasaran Brunei dan Singapura pula seterusnya ke negara-negara lain, Insha-Allah.
Best seller product ialah suplemen yang dianugerahkan Top Ten Asia Award tahun 2019 untuk high quality product kategori health and beauty. Terdapat 3 jenis suplemen iaitu Mixberry Powder dan NV Colly Beauty Secret, Glowee Oat serta skincare C-Shine Serum dan C-Shine Cleanser.
Sepanjang bergelar usahawan, saat paling memberi kesan kepada saya antaranya yang berlaku pada tahun 2018. Masa tu saya ada berpuluh-puluh orang staf dan bisnes pun bagus waktu itu. Namun tiba-tiba Allah SWT uji, saya kehilangan staf sekaligus dalam satu masa. Bila masuk pejabat, semua staf dah tak ada sebab berhenti secara serentak kerana telah ‘disailang’ oleh kawan sendiri yang kononnya nak membantu kita.
Kesannya, saya terpaksa berjumpa pakar psikologi kerana terlalu tertekan. Memang betul-betul depression dan ambil masa yang lama untuk pulih dan terpaksa bergantung dengan ubat. Saya juga ambil masa yang lama untuk move on.
ASET PERTAMA DIMILIKI
Aset pertama yang saya beli ialah tanah dan dirikan bangunan. Saya memang ‘gila’ beli tanah. Kalau ada sesiapa yang nak jual tanah murah-murah di Kelantan saya akan beli. Tapi saya akan tengok dulu ikut kesesuaian dan harganya. Bagi saya itulah aset paling bernilai sebab kita boleh buat macam-macam. Selain buat bisnes, bolrh generate more money.
Reward terbesar selepas berjaya capai target ialah selain dapat beli apa yang diimpikan, saya dapat mengeluarkan zakat secara konsisten dan membantu beberapa tahfiz serta kampung-kampung yang saya pegang untuk berikan sumbangan kepada ratusan keluarga asnaf. Itulah reward sebenar bagi saya. Tahun ini kami telah membeli tanah untuk membina tahfiz buat golongan kurang berkemampuan untuk hantar anak belajar agama.
Suami adalah tulang belakang utama saya selama ini. Terlalu banyak pengorbanannya untuk diceritakan. Selama saya bergelar usahawan, suamilah banyak membantu. Kami sama-sama usahakan bisnes ini dan pada masa sama suami pun ada bisnesnya sendiri. Dia tahu minat dan impian saya dalam bidang kecantikan terlalu besar. Sewaktu saya diserang depression, suamilah yang uruskan anak dan rumah. Suami tak pernah mengalah dan menyalahkan. Suami seorang yang sangat sabar dan support apa saja yang saya buat selagi ia tidak salah.
Semasa depression, saya terpaksa makan ubat setiap kali nak tidur. Suami pastikan saya tak terlalu berfikir yang bukan-bukan. Dia jugalah yang jaga anak, siapkan makanan dan uruskan hal-hal pejabat. Paling sedihnya bila suami dah tak tahu nak buat apa, dia pernah bawa saya ke sebuah kampung di Kelantan sebab dia tahu saya suka berkongsi kegembiraan dengan orang lain. Di situ ada lebih 150 buah rumah dan keluarga asnaf yang memerlukan.
Kami pergi rumah ke rumah untuk berikan bantuan. Semuanya diuruskan oleh suami sebab nak saya bersyukur dan bangkit semula. Katanya ramai lagi orang yang memerlukan saya. Sejak itu saya mula terfikir jika kita diuji dengan hebat, ramai lagi orang yang diuji lebih daripada kita. Itulah tugas kita untuk berjuang demi mereka. Suami selalu cakap Allah SWT tak akan beri kejayaan atau kekayaan kalau bukan demi sebuah perjuangan.
KEKALKAN BISNES
Dengan keadaan ekonomi sekarang orang dah kurang membeli barang-barang tak perlu atau ikut kemahuan. Kini orang lebih memilih barang-barang keperluan antaranya essential product. Apa yang saya jual ialah dari segi keperluan. Suplemen yang membantu kesihatan dan kecantikan. Jadi nasihat saya. jangan menjual benda-benda yang bukan keperluan.
Sekarang pun orang dah kurang walk in lagi-lagi lockdown sekarang ni. Jadi kuatkan jenama di sosial media supaya orang sentiasa nampak dan tahu kita menjual keperluan yang setiap keluarga perlukan. Satu lagi, simpanan. Sekarang ini bukan masanya untuk kita membeli belah. Kurangkan membeli yang tak perlu dan lebihkan kepada simpanan. Atau boleh tukarkan kepada emas. Sekarang saya banyak tukarkan wang kepada emas sebagai persediaan masa depan.
Selain itu, saya dan suami juga ada backup business berkaitan keperluan harian dalam bidang makanan. Kami ada involve dalam bidang agriculture iaitu membekalkan ayam. Kami ada tanah 12 ekar yang dijadikan tempat memelihara ayam. Bisnes ni sebenarnya untuk bantu orang-orang kampung. Tak perlukan marketing sebab kami ada regular customer. Bila ekonomi merosot orang tetap akan makan dan beli ayam. Itulah plan kami kalau rasa dah tak boleh teruskan bisnes yang tidak memerlukan.
Jangan mudah mengalah dan jangan takut untuk mencuba kerana sampai bila pun kita tidak akan berjaya. Bila dah cuba jangan jadi orang yang mudah mengalah sebab setiap yang kita buat memerlukan proses. Bila tengok mereka yang dah berjaya tetap akan ada ujian. Teruskan dan percaya kepada proses. Bagi yang nak berjaya dalam bisnes, jangan ada banyak alasan. Kalau tak pecahkan ketakutan dan rasa malu, sampai bila-bila pun kita tidak akan dapat tengok potensi diri.
Saya dulu pun tak pernah terfikir akan jadi seperti sekarang. Tapi bila dah mula, percayalah kita nak buat more and more. Bila dah pecahkan tembok tu kita mesti nak try benda yang lebih besar dan mencabar. Ibarat dah addicted, jadi mulakan.
Saya berkahwin ketika umur 19 tahun. Umur 20 tahun dah ada anak. Awal-awal tu bila ada anak kecil saya pula sibuk dengan bisnes. Uruskan suami lagi, memang susah nak sesuaikan keadaan itu dengan kita yang muda. Memang tak sempat nak merasai kehidupan seorang remaja, enjoy dengan kawan-kawan. Memang tak pernah.
Dulu pernah cakap menyesal kahwin awal, start bisnes awal, tak ada kawan tapi suami selalu cakap suatu hari nanti saya akan faham dan bersyukur sebab Allah SWT dah tetapkan yang terbaik untuk kita. Alhamdulillah kata-kata suami jadi kenyataan. Rasa berdosa sangat bila cakap begitu dulu. Bersyukur dengan apa yang Allah SWT beri. Dia tidak akan beri jika tak sesuai dengan diri kita. Allah SWT lebih kenal diri kita.
INISIATIF BUAT YANG TERKESAN
Inisiatif saya untuk mereka yang terkesan dengan pandemik COVID-19 ialah membuka bisnes tanpa modal di samping menggalakkan orang ramai untuk berbisnes. Saya ajar mereka cara nak buat bisnes dengan Shalicious.
Selain itu, saya turut beri bantuan kepada kampung-kampung dan sentiasa berhubung dengan Ketua Kampung. Selalunya saya sendiri yang akan turun memberi bantuan. Jika tidak, saya akan hantar wakil.
Mereka ini terdiri daripada suri rumah termasuk yang bekerjaya tetapi tak pernah buat bisnes. Memang sentiasa ada coaching daripada saya kerana kebanyakan mereka bergantung income dengan Shalicious. Berkat kesungguhan mereka mampu beli tanah, membantu keluarga dan membuat simpanan sendiri. Ikutkan produk Shalicious boleh masuk farmasi tetapi saya memilih untuk tidak lagi sebab nanti mereka yang bergantung income dengan Shalicious tidak boleh buat duit. Saya juga masih nak bekerja dengan mereka dan pada masa sama dapat bantu mereka menjana pendapatan.”
Kredit Foto: Instagram @shahasan22
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Idy Chan kembali mencuri perhatian pada usia 66 tahun apabila penampilannya yang anggun dan awet muda tular di media sosial. Ketahui kisah pelakon ikonik Bibi Lung yang memilih kehidupan sederhana selepas bersara.