Pandemik COVID-19 telah merebak ke seluruh dunia dan ketika ini penularan virus ini paling parah di negara Itali. Lebih dari 40,000 rakyat Itali telah jadi mangsa COVID-19. Putera Mahkota Dubai, Sheikh Hamdan bin Mohammed bin Rashid Al Maktoum telah merencana pelbagai langkah untuk menentang virus yang sedang mengancam dunia ini.
Lelaki terkaya di dunia ini, telah mengeluarkan perintah yang perlu dituruti oleh seluruh rakyat demi membendung pandemik ini daripada merebak. Pewaris takhta kerajaan Dubai ini berusaha menyakinkan rakyat bahawa kerajaan ambil berat tentang keselamatan mereka. Antara langkah yang telah diatur oleh Putera Mahkota ini;
1. Putera kedua kepada Emir Dubai, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum ini telah mengeluarkan resolusi, menubuhkan pusat bagi penyakit dan wabak ‘The Disease and Epidemic Control Centre’.
2. Sheikh Hamdan telah melancarkan kempen ‘Your City Needs You’ yang merupakan kempen sukarelawan melalui aplikasi ‘Day for Dubai’. Aplikasi ini memanggil semua pakar dalam bidang masing-masing untuk menyumbang dalam suasana getir ini.
3. Baginda juga telah melakukan suntikan ekuiti baru ke syarikat penerbangan Emirates untuk membantu mengatasi krisis COVID-19. Coretnya di laman Twitter, “Emirates, syarikat penerbangan nasional kami, meletakkan Dubai sebagai hab perjalanan global dan mempunyai nilai strategik yang besar sebagai salah satu tonggak utama ekonomi Dubai, serta ekonomi UAE yang lebih luas. Kami akan mengumumkan butir-butir lanjut tentang suntikan ekuiti dan lebih banyak langkah tidak lama lagi,” katanya.
Ads
Putera Mahkota Dubai yang berkahwin pada bulan Ramadan tahun lalu sering kali memujuk rakyatnya dan menekankan tentang kepentingan duduk di rumah. Antara perkongsiannya, “Pandemik ini adalah ancaman yang sangat bahaya kepada setiap orang. Satu-satunya cara untuk memastikan kita melindungi orang yang tersayang ialah Duduk Di Rumah,” katanya.
Ads
Selain itu, Sheikh Hamdan telah memuji pegawai petugas hadapan yang dedikasi membantu membendung pandemik COVID-19 di laman Twitter peribadinya. Sheikh Hamdan juga berkongsi mesej untuk mengurangkan ketakutan yang disebabkan oleh Pandemik Covid-19. Baginda memberi jaminan bahawa keselamatan orang ramai menjadi keutamaannya.
Putera diraja Dubai yang berusia 35 tahun ini, dikagumi dan disayangi kerana bersikap sederhana, merendah diri, bijak, berbudi bahasa dan suka membantu rakyat jelata. Sheikh Hamdan juga dikenali sebagai seorang yang dermawan dan prihatin akan nasib rakyatnya yang kurang bernasib baik.
Sejak ditabalkan sebagai Putera Mahkota Dubai pada 1 Februari 2008, Sheikh Hamdan masih memainkan peranan aktif dalam Pusat Autisme Dubai selaku penaung kehormat.
Sumber: khaleejtimes.com
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Buku umpama jendela dunia. Walaupun kini buku tidak lagi dianggap sebagai bahan bacaan penting dek kerana pengaruh teknologi, ia tetap bernilai buat mereka yang menghargainya.
Masih ada yang memerlukan bahan bacaan ini kerana ia sumber ilmu yang paling dipercayai. Itulah yang ada dalam fikiran para pemungut sampah di Cankaya, Ankara, Turkiye.
Beberapa pemungut sampah di daerah tersebut mendirikan perpustakaan dengan buku-buku yang dibuang oleh pemilik asalnya. Mereka memungut buku itu dari jalanan atau tong sampah. Perpustakaan kemudiannya digunakan untuk tujuan peribadi dan keluarga.
Apabila koleksi buku bertambah, kisah tentang perpustakaan turut tersebar dari mulut ke mulut. Penduduk tempatan kemudiannya tergerak untuk menyumbangkan buku-buku yang dianggap tidak lagi digunakan.
Melihat koleksi buku yang banyak, Jabatan Kebersihan kemudiannya membuka perpustakaan itu kepada orang ramai. Salah seorang pemungut sampah, Serhat Baytemur, mengakui tidak menyangka akan membina perpustakaan buku terpakai.
“Sebelum ini, saya hanya berharap mempunyai perpustakaan di rumah. Sekarang kami mempunyai perpustakaan di sini dan ia sangat bagus. Saya ingin membaca semua buku ini,” kata lelaki berusia 30an ini.
“Ada orang yang meninggalkan buku-buku ini di jalanan namun ada yang mencarinya. Kami mula membincangkan idea membina perpustakaan buku-buku ini. Apabila semua orang menyokongnya, projek itu berjaya,” kata Datuk Bandar Cankaya City, Alper Tasdelen.
Perpustakaan itu dipenuhi dengan lebih 6,000 buku yang terdiri daripada pelbagai bidang bermula daripada sastera sehinggalah bukan fiksyen. Bahagian yang paling popular di perpustakaan ialah bahagian kanak-kanak yang dipenuhi dengan komik. Turut disediakan bahagian khas untuk buku sains.
Buku bahasa asing juga disertakan dalam Bahasa Inggeris dan Perancis untuk menggalakkan pengunjung dari luar negara. Bahagian kosong di Jabatan Kebersihan kini telah bertukar menjadi rumah untuk buku terbiar.
Ibu Pejabat Jabatan Kebersihan mempunyai koridor yang panjang menjadikannya sesuai dijadikan perpustakaan. Koleksi buku boleh dipinjam selama dua minggu dan boleh dilanjutkan jika perlu. Kerajaan Cankaya turut menggaji pustakawan profesional bagi menguruskan perpustakaan.
“Semasa kami mula, banyak rak tetapi buku tidak mencukupi. Saya sendiri agak gementar kerana takut rak tidak penuh. Saya melihat ke rak dan berkata kepada diri sendiri, ‘Kita memerlukan sekurang-kurangnya 3,000 buku.”
Sejak dibuka pada September 2017, koleksi buku telah melebihi kapasiti. Akhirnya beberapa buku disumbangkan ke sekolah, program pengajaran dan penjara. Alpar Tasdelen memberitahu guru dari kampung di Turki mahukan buku itu di perpustakaan.
Anak-anak pegawai kerajaan bandar dan pelajar pernah memenuhi perpustakaan. Pengurus menyediakan tempat khas untuk membaca dengan tenang termasuk ruang permainan. Perpustakaan ini cukup popular di kalangan pengayuh basikal yang biasanya singgah berehat untuk secawan teh.
Sumber: www.okezome.com
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Wow, luar biasa betul cara usahawan Australia ini ‘parkir’ kereta mewahnya! Jika kebanyakan orang meletakkan kereta di ruang garaj kediaman, berbeza bagi Adrian Portelli yang sanggup berbelanja besar menyewa kren untuk mengangkut kereta sport McLaren ke penthouse miliknya di tingkat 57!
Tindakan Adrian yang dianggap tidak masuk akal itu menjadi bualan warga maya seluruh dunia. Hingga ada segelintir pihak mendakwa jutawan pelaburan hartanah muda ini mahu menunjuk kekayaan.
Apatah lagi kebanyakan rakyat negara itu ketika ini berdepan kesulitan kerana peningkatan kos sara hidup.
Lebih mengagumkan, kereta McLaren Senna GTR itu dikatakan mencecah nilai USD 3 juta!
Kongsi Adrian di Instagram miliknya, “The Senna made it! A first look at the McLaren Senna GTR 57 floors up.
A huge thank you to everyone involved for making this absolutely surreal moment happen.
If I can motivate and inspire people to want to succeed, my job is done because I understand how hard and lonely it is on the pursuit of success.”
Untuk membolehkan kereta sport McLaren tersebut dibawa masuk ke dalam rumah, dia terpaksa mengubahsuai bangunan penthouse miliknya.
“Ia merupakan satu misi. Mereka perlu membuka semua tingkap rumah. Kereta itu juga akan diletakkan di lounge room dan menjadi centrepiece.”
Adrian turut menjelaskan dia perlu menyiapkan penthouse itu lagi 12 ke 18 bulan dan berhasrat menginap di situ hanya pada hujung minggu.
Memetik kenyataan Andrian menerusi portal media Australia 9 News, dia secara spontan membeli penthouse berkenaan.
Lelaki berusia 34 tahun yang dilahirkan di Malta ini meraih kekayaan menerusi perusahaan syarikat LMCT+ iaitu sebuah platform yang fokus kepada kenderaan dan rumah mewah. Dia juga merupakan titan perniagaan dunia dan syarikat yang diusahakan semakin berkembang pesat.
Sebelum ini namanya mula menarik tumpuan selepas berjaya membeli sebuah penthouse di Sapphire by the Gardens Tower, Melbourne yang dijual pada harga USD39 juta!
Khabarnya kediaman itu terletak di menara berkembar dan berada di jambatan yang menghubungkan dua bangunan.
Adrian Portelli juga dikenali sebagai Mr Lambo kerana ‘cinta’ terhadap kenderaan mahal dan mewah.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Peranan jentera barisan hadapan khususnya para petugas kesihatan sangat penting dalam mengawal penularan pandemik COVID-19 biarpun golongan inilah paling terdedah kepada risiko jangkitan.
Tanpa mereka pasti kita akan berhadapan dengan saat paling getir dalam menangani wabak berbahaya ini. Lebih-lebih lagi, negara kita kini sekali lagi terpaksa berhadapan dengan gelombang COVID-19 yang ketiga.
KISAH PERIBADI YANG TERSENDIRI
Di sebalik komitmen yang ditunjukkan oleh para petugas barisan hadapan, mereka juga sama seperti insan-insan lain. Punya keluarga serta kisah peribadi yang tersendiri. Pun begitu, komitmen terhadap masyarakat dan negara tetap perlu diutamakan.
Dr Amanda Elli antara petugas barisan hadapan yang bekerja tanpa kenal erti lelah. Berusia 28 tahun, Dr Amanda kini bertugas di Unit COVID salah sebuah pejabat kesihatan daerah. Terdahulu, graduan dari National University of Ireland, Galway ini pernah ditugaskan di jabatan Kecemasan dan Trauma salah sebuah hospital kerajaan.
Senyuman tidak pernah lekang di bibir doktor cantik kelahiran Kuala Lumpur ini. Sentiasa komited, berfikiran positif dan ceria itulah yang diamalkan Dr Amanda sepanjang bertugas. Namun, di sebalik keceriaan itu tersimpan satu kisah di mana Dr Amanda dan suami terpaksa berjauhan selama 7 bulan sejak Februari lalu demi tugas.
TERPAKSA BERPISAH
Pasangan ini bertemu jodoh di aplikasi media sosial iaitu Tinder. Walaupun pada mulanya Dr Amanda kurang percaya dengan ‘cinta online’ namun inilah yang dikatakan takdir.
“Saya bergelar isteri kepada M. Syaiful Hisam pada Februari lalu. Namun, detik indah sebagai pengantin baru hanya dikecapi sementara kerana tiga hari selepas itu saya terpaksa ‘melepaskan’ suami yang perlu meneruskan tugasnya sebagai Drilling Engineer Specialist di offshore.
Walaupun lama terpisah, suami tetap positif dan sentiasa memberi kata-kata semangat. Bohonglah kalau kata tak sedih. Kami sentiasa berusaha untuk berhubung walau dalam apa jua cara seperti melalui Facetime dan video call. Kadang-kadang bila internet connection terganggu terasa seperti bercakap dengan dinding pun ada. So mental kena kuatlah.
Sepanjang ketiadaan suami, saya tinggal bersama keluarga. Tak dapat bayangkan kalau keluarga saya pun jauh. Syukurlah keluarga sentiasa ada bersama saya. Ibu bapa saya pun masih manjakan saya seperti anak kecil walaupun saya dah berkahwin.
KEMBALI BERTEMU
7 bulan berlalu akhirnya suami memaklumkan dia akan pulang ke tanahair. Ketika itu suami berada di Arab Saudi. Tak dapat bayangkan bagaimana perasaan saya ketika itu. Ternyata ia bukanlah satu jangka masa yang singkat. Hanya mereka yang benar-benar kental terutama dari segi mental akan berjaya melaluinya detik sukar ini.
Sejujurnya, bila suami memaklumkan yang dia akan pulang saya merasa sangat gembira sampai tak tidur malam. Setiap hari yang berlalu saya akan catat dalam diari. Saya kumpul sikit-sikit duit simpanan dengan niat dapat membelikan hadiah sebagai kejutan buat suami.
Pada mulanya saya merasa agak kekok juga dan tidak tahu bagaimana hendak bersemuka dengan suami. Maklumlah dah lama kami tak bertemu. Walaupun rasa gembira tetapi bercampur sayu kerana saya dapat merasakan pertemuan ini hanyalah sementara. Walau bagaimana pun, saya bersyukur kerana suami bebas daripada COVID-19.
JAGA SUAMI DALAM TEMPOH KUARANTIN
Suami menjalani tempoh kuarantin bermula pada 18 September 2020 sehingga 1 Oktober 2020. Sepanjang suami ditempatkan di pusat kuarantin, saya adalah antara doktor yang bertugas. Segala urusan dan layanan yang diberikan adalah sama seperti pesakit-pesakit kuarantin yang lain.
Saya hanya mampu menghantar makanan segera yang diluluskan oleh agensi kerajaan. Minuman dan makanan dalam botol kaca atau tin tidak dibenarkan sama sekali. Jadi saya kirimkan air koko ‘3 in 1’ buat suami.
Apa yang saya belajar dari pengalaman ini ialah erti kesetiaan serta saling mempercayai. Tanpa dua perkara ini sukar untuk sesebuah hubungan itu kekal lama. Sudah lumrah dalam kerjaya kami akan sentiasa berjauhan. Maka kepercayaan dan kesetiaan kami sangat kuat. Semoga ianya kekal sampai bila-bila.
NASIHAT BUAT WANITA
Buat wanita-wanita bergelar frontliner mahupun isteri-isteri yang suaminya seorang frontliner, sentiasalah bersabar dan berfikiran positif. Memikul tanggungjawab sebagai seorang frontliner adalah satu amanah yang tidak harus dipersiakan. Semua yang berlaku pasti ada hikmah yang lebih besar.
Sekiranya kita dalam kesedihan disebabkan pandemik COVID-19, sentiasalah ingat bahawa kita tidak bersendirian. Kita semua sedang menghadapinya bersama-sama. Kita jaga kita.”
Semoga Dr Amanda dan suami terus saling mencintai dan menyayangi antara satu sama lain seterusnya dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah kelak.
Semoga para petugas barisan hadapan kita terus cekal bersama amanah yang tergalas di bahu. Bersama-samalah kita menjaga SOP dan berdoa agar wabak ini segera lenyap dari muka bumi.
Kredit Foto: Instgram @dr_princessamandaelli
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kehilangan insan tersayang secara mengejut pastinya meninggalkan kesan mendalam terhadap kehidupan seseorang. Tidak terkecuali, Nor Albaniah Raffie yang 'hilang' sosok seorang suami pada 30 tahun lalu.