Sejuk perut ibu mengandung. Di saat rakan-rakan seusianya sedang menikmati zaman remaja, gadis manis berusia 19 tahun ini sudah mampu berdikari tanpa bergantung harap kepada keluarga.
Bijak memanfaatkan kelebihan yang dimiliki bersama minat akhirnya ia membuahkan kejayaan sekaligus menjadi karier dan sumber pendapatan utama.
Baru-baru ini kisahnya tular di laman sosial, apabila berjaya memiliki sebuah camper bus yang dijadikan ‘rumah bergerak’ atau motorhome lengkap dengan ruang rehat, tempat tidur serta dapur.
Nur Amira Syahira anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang ini melaburkan puluhan ribu ringgit untuk membeli sebuag bas lelong hasil dari pendapatannya sebagai content creator di YouTube.
Menurut anak sulung dari 3 beradik ini, wang yang dijana dari YouTube digunakan untuk menyara keluarga.
“Saya bukan datang daripada keluarga senang. Wang yang diperoleh dari YouTube digunakan untuk menampung perbelanjaan sekolah adik, selebihnya kos untuk studio.”
Sejak usianya 8 tahun, Nur Amira sudah berjinak-jinak dengan YouTube sebagai pemain drum. Dia bertuah kerana sentiasa mendapat sokongan keluarga kala susah mahupun senang.
“Saya beruntung ibu dan ayah sangat menyokong minat saya, jadi saya tidak akan sia-siakan peluang yang diberi.
“Sejak kecil saya suka tengok YouTube. Daripada situ saya mula mengenali drum yang saya dapati ia mempunyai keunikan tersendiri sebelum menarik minat saya mempelajarinya.
“Tiada siapa yang ajar saya, jauh sekali ke kelas muzik. Ssemuanya saya belajar daripada YouTube saja,” jelas Nur Amira yang memiliki 2.8 juta pengikut di YouTube.”
Dia menjadikan pemain drum profesional seperti Meytal Cohen, Joey Jordison, Christian Coma serta kumpulan Wings, Search dan Black Veil Brides sebagai inspirasi.
HARUMKAN NAMA MALAYSIA
Nur Amira pernah mengharumkan nama Malaysia apabila tersenarai dalam 5 kedudukan terbaik pemain drum wanita dunia bawah 18 tahun menerusi pertandingan Hit Like a Girl 2016.
Sekaligus, nama dan popularitinya melonjak naik hingga mendapat pengiktirafan YouTube menerusi Anugerah Gold Play Button dan dinobatkan sebagai Youtuber Terbaik Asia.
BELI BAS DEMI KESELESAAN WAKTU BEKERJA
Bas jenama Hino yang dibelinya dalam satu jualan lelong sudah pun berusia 19 tahun. Ia mempunyai 23 tempat duduk termasuk kipas pengudaraan, generator untuk menjana tenaga elektrik serta ruang penyimpan kargo bermodal sekitar RM10,000 hingga RM15,000.
“Saya mendapatkan khidmat nasihat daripada syarikat perunding sebagai rujukan supaya segala proses pengubahsuaian boleh dilakukan tanpa melanggar undang-undang jalan raya.
“Saya juga gemarkan susun atur yang ringkas, kemas dan sedap mata memandang, malah setiap dekorasi dalamannya hasil cita rasa saya selepas memperoleh idea daripada YouTube,” kata Nur Amira Syahira yang berhasrat mengembara mengelilingi Semenanjung bersama keluarganya menggunakan camper bus itu.
“Saya lebih mementingkan kemudahan dalam bekerja berbanding memenuhi kehendak untuk bergaya. Ia bukan saja memudahkan pergerakan bahkan menjimatkan kos penginapanya. Kemudahan ini turut memberi lebih peluang untuk saya meluangkan masa bersama keluarga tersayang.”
“Saya kerap mengembara bagi membuat rakaman untuk kandungan YouTube. Sebelum ini, saya perlu menyewa hotel atau homestay yang tentunya memerlukan kos besar.”
Nur Amira juga berhasrat untuk mempunyai tapak perkhemahan sendiri dalam tempoh tiga tahun akan datang dan masih mencari lokasi bersesuaian yang mudah diakses serta luas.
Pesan Nur Amira, jadilah Youtuber beretika dengan menjaga kelakuan yang mencerminkan budaya rakyat Malaysia.
Kredit Foto: Facebook & Instagram Nur Amira Syahira