Kejayaan yang dikecap oleh wanita ini sememangnya boleh dibanggakan malah menyuntik inspirasi buat wanita lain untuk berjaya dalam mengejar cita-cita. Manakan tidak, dalam usia perniagaan yang masih lagi ‘hijau’ Eriyca Baiduri berjaya mengemudi perniagaan yang berasaskan kecantikan ini naik dengan begitu drastik.
IKLAN
Wanita berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa ini terus bangkit dalam arus perdana membangunkan ekonomi wanita agar tidak tertinggal ke belakang. Melakar kejayaan from zero to hero turut menyuntik inspirasi kepada wanita muda agar terus berjuang dalam setiap aspek kehidupan.
Berkongsi kisah kejayaan Eriyca atau lebih dikenali sebagai Madammu di kalangan komuniti Noir Health & Beauty Sdn. Bhd., akur tanpa keyakinan tinggi dalam diri untuk mengecap kejayaan mungkin dia tidak mampu berdiri di tempatnya kini.
Walaupun personaliti wanita ini di luarnya nampak lembut dan feminin, tetapi tidak mudah menyerah kalah dan mampu melakukan apa sahaja walau dihalang pelbagai rintangan.
“Kecintaan saya dalam dunia perniagaan ini memang dibentuk sejak di bangku sekolah lagi. Dalam usia yang begitu muda saya sudah mula berkecimpung dalam dunia perniagaan. Dahulu saya pernah mengendalikan sebuah restoran yang berlokasi di tengah Bandar Raya Kuala Lumpur. Minat saya dalam bidang masakan telah saya realisasikan dengan membuka restoran tersebut.
IKLAN
Wanita dan kecantikan memang tidak boleh dipisahkan begitu juga dengan saya. Kemudian pada tahun 2017 saya mula berjinak-jinak dalam perniagaan atas talian dengan mempromosi produk kecantikan. Alhamdulillah, apa yang saya usahakan tidak sia-sia dan perjalanan perniagaan saya ini telah dipermudahkan oleh Allah SWT.
Saya bermula dari bawah tanpa menggunakan modal yang besar. Di fasa awal perniagaan ini saya melakukan semua proses daripada penghantaran, pembungkusan, penstoran dan sebagainya. Pendek kata ketika itu saya adalah majikan dan saya juga adalah pekerjanya. Operasi perniagaan juga bermula dari rumah sahaja,” tutur Eriyca memulakan bicara.
IKLAN
Noir Health & Beauty berkembang dengan pesat dan kini Eriyca boleh tersenyum bangga apabila operasi perniagaannya sudah mempunyai pejabat sendiri. “Saya bersyukur kerana usaha saya untuk menaikkan Noir Health & Beauty telah menampakkan hasilnya. Walaupun baharu sahaja setahun lebih beroperasi namun jenama ini sudah mampu berdiri kukuh dalam kelasnya yang tersendiri. Kedatangan tahun baru 2019 disambut dengan pembukaan pejabat baru Noir Health & Beauty.
Pembukaan pejabat baru ini lebih memudahkan operasi dan memberi peluang kepada wanita yang bersungguh-sungguh mahu mengubah kehidupan mereka. Saya mahu membantu wanita lain untuk menjana pendapatan dan dalam masa yang sama menjaga kesihatan dan kecantikan diri. Sudah lama saya tidak membuka peluang untuk ejen Noir Health & Beauty tetapi tahun ini saya mahu memeriahkan industri dengan kehadiran ejen baru.
Sedar tak sedar dah 8 bulan usia kandungan Uyaina Arshad. Tak lama dah tu nak bersalin. Walau makin sarat namun Uyaina yang mesra disapa sebagai Yana ini kekal ceria dan teruja setiap kali bercerita tentang fasa kehamilannya. Seri ibu mengandung juga terserlah di raut wajah isteri kepada penyanyi, Raja Syahiran ini.
Kesempatan bertemu dengan Uyaina di majlus perasmian Koleksi RR Mono II Rizman Ruzaini baru-baru ini memberi peluang kepada NONA untuk bertanya khabar mommy-to-be ini.
“Alhamdulillah sekarang saya dan baby dalam keadaan sihat. Sedang tunggu masa..sikit saja lagi dah nak ‘keluar’. Mohon doa semua, doakan saya dan baby sihat.
Dalam rasa excited, tak sabar ada jugalah rasa takut sebab first time nak jadi mak dan ayah kan. Rasa nervous pun ye juga.
Dari segi persediaan tu kami dah siapkan barang baby, dah pilih hospital mana nak bersalin, berpantang di mana…benda-benda ni yang paling penting dulu.
Lepas tu nak kena bersedia fizikal dan mental, tidur yang cukup. Paling penting bagi saya ialah selamat. Saya memang kalau boleh nak bersalin secara normal. Tapi kalau ada sebarang masalah, saya terpaksa terima dan terbuka hati untuk terima keadaan itu.
Jadi, kena doa banyak-banyak agar dapat bersalin normal selain selamat dan dipermudahkan segalanya aamiin.
PENGALAMAN HAMIL
“Masa trimester pertama tu saya muntah je sepanjang masa. Tak boleh bau sebarang perfume. Contohnya, kalau keluar ke mana-mana saya boleh bau perfume.
Memang tak tahan. Masa awal-awal tu muntah teruk jugalah. Bukan morning sickness je tapi setiap masa. Semua sickness ada.
Masa trimester ke-2 saya dijangkiti COVID-19 dan appendix pula. Masuk trimester ketiga dah OK sikit, alhamdulillah. Saya dah mula aktif dengan shooting dan sebagainya.”
Menurut Uyaina atau nama sebenarnya Saidatul Naseha Uyaina Arshad, sejak hamil berat badannya naik mendadak sekitar 10kg.
“Ia bertambah dari berat asal saya sebelum kahwin. Jadi sekarang ni sepanjang hamil 8 bulan berat saya dah 65kg. Memang banyak kenaikannya tu!”
NASIHAT & TIP DARI IBU
“Ibu banyak kali pesan agar sentiasa berselawat dan mohon ampun dengan suami dulu sebelum masuk ke dewan bersalin nanti. Ibu cakap memang sakit tapi berapa ramai dah wanita yang melahirkan. Laluinya dengan tenang kerana ini semua.
Ini adalah sebahagian daripada proses untuk menjadi seorang ibu serta sebahagian daripada proses dalam kehidupan seorang wanita selain berkahwin dan mengandung. Melahirkan juga sebahagian daripada fitrah kita sebagai seorang wanita. Maka, laluinya dengan hati yang terbuka, Insha-Allah segalanya akan selamat.
PERANCANGAN SEBELUM BERSALIN
“So far, saya cuma nak experience dan nak enjoy the journey, the process. Untuk karier mungkin saya akan lebih fokus kepada baby dulu. Kalau berpantang tu kena betul-betul walaupun susah.
Yana nak cuba ikut sebab lagi cepat badan kita sembuh, lagi cepat kita boleh kerja. Nak biasakan dengan jadual, shooting dan sebagainya. Ia akan jadi lagi cepat kalau kita sihat. Dan mudah untuk kembali ke bentuk badan asal.
Dari segi panggilan, tak tahu lagi. Umi, Bonda atau Ibu. Insha-Allah saya juga akan mengadakan gender review.
Niat bukan untuk berlagak ke apa, lebih sekadar untuk meraikannya bersama keluarga, family bonding seterusnya untuk meraikan additional ahli baru dalam keluarga.
MOHON DOA
“Saya mohon doa dari semua agar saya dan baby sihat dan selamat. Baby pun dapat membesar menjadi anak yang baik, berbakti kepada orang tua, comel dan anak yang dapat membanggakan kami. Insha-Allah…
“Saya sepatutnya bersalin awal September tapi doktor banyak kali cakaplah, bila usia kandungan masuk 37 minggu dah kena get ready. Apa sahaja boleh berlaku.”
Untuk rekod, Uyaina Arshad dan Raja Syahiran berkenalan pada awal tahun 2019 di sebuah program terbitan Astro. Mereka sah bergelar suami isteri pada 21 Disember 2021 dalam sebuah majlis tertutup di The Colony, Star Boulevard KLCC. Dalam majlis tersebut, Raja Syahiran menyerahkan mas kahwin berupa set barangan kemas buat Uyaina dan tiada pertukaran dulang hantaran antara kedua belah pihak. Pasangan ini juga memilih untuk merahsiakan jumlah wang hantaran atas persetujuan kedua belah keluarga.
Sesiapa pun yang berpeluang mengunjungi Masjid Al-Aqsa di Palestin buat pertama kalinya pasti akan merasa takjub dan sujud syukur, sukar diungkapkan kenikmatannya. Dapat melihat keindahan Dome of the Rock (Kubah Shakhrah) yang berkubah emas. Burung-burung yang berterbangan turut sama bertasbih memuji kebesaran Allah SWT.
Kredit: Instagram @masjid_al_aqsa
Pada 17 Mei yang lalu, adik kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Siti Sairah Tarudin telah berkongsi satu video di Instagram yang memaparkan detik terindah kakaknya itu yang pertama kali menjejakkan kaki ke Masjid Al-Aqsa. Menurut Siti Sairah, video yang berdurasi 0.58 saat itu dirakam pada tahun 2017. (Lihat video di akhir artikel)
Kenangan terindah DS Siti Nurhaliza yang pertama kali menjejakkan kaki ke Masjid Al-Aqsa.
Nona berpeluang menemu bual Datuk Seri Siti Nurhaliza secara ekslusif bagaimana pengalamannya ketika pertama kali menjejakkan kaki ke bumi anbiya itu. Sangat tersentuh dengan apa yang dikongsi oleh artis jelita ini. Rupa-rupanya Masjid Al-Aqsa ada kisah tersendiri buat Datuk Seri Siti Nurhaliza. Sambil menulis, penulis membayangkan keindahan Masjid Al-Aqsa yang menjadi ‘harta paling berharga’ buat seluruh umat Islam. Beruntungnya Datuk Seri Siti Nurhaliza dapat jejakkan kaki ke sana, rezeki!
“Alhamdulillah saya rasa sangat bersyukur kerana pernah menjejakkan kaki sekali ke Masjid Al-Aqsa bersama suami dan juga rombongan ahli keluarga yang lain. Memang impian nak ke tanah haram (kiblat pertama umat Islam). Perjalanannya memang mendebarkan tetapi bila sampai di Masjid Al-Aqsa kita akan rasa sangat tenang.
Melihat kepada environment di sana sangat menarik dan ia membuatkan kita teruja. Perasaan berdebar-debar tu bukan apa, sebab kawasan tersebut dijaga oleh pihak Israel. So setiap border, setiap pintu masuk ke Masjid Al-Aqsa dikawal ketat oleh polis dan pihak Israel.
Pun begitu, mereka tidak mengganggu pelancong luar, sebab itu kita rasa selamat. Selama ni kita sering mendengar dan rasa ‘takut-takut’ tetapi alhamdulillah segalanya berjalan lancar tanpa sebarang gangguan mahupun perkara-perkara yang mencurigakan.
Pengalaman pertama kali ini cukup bermakna, saya sukakan persekitarannya yang sangat tenang dan indah. Sukar diungkapkan bila berada di Masjid Al-Aqsa. Perasaannya tu sama seperti saya pergi ke Mekah kerana dapat melihat 3 agama yang sangat kuat iaitu Islam, Kristian dan Yahudi.
KEISTIMEWAAN
Bagi sesiapa yang membaca kisah dan sejarahnya, Palestin ini adalah tanah anbiya di mana Nabi-Nabi dilahirkan termasuklah kisah-kisah sejarah berlaku di sana. Di situlah juga tanahnya sangat subur dan berkah. Ketika di sana saya dibawa ke tempat yang sangat bersejarah dalam Islam. Ustaz yang bawa kami tu bercerita tentang di mana Nabi Isa a.s diangkat, akan ada Imam Mahadi, dan banyak lagi. Jadi, depan mata saya dapat lihat peninggalan sejarah-sejarah Islam termasuk para Nabi syuhada membuatkan kita lebih bersemangat untuk lebih menyayangi Masjid Al-Aqsa.
Di dalam Masjid Al-Aqsa terdapat banyak mimbar. Salah satunya ialah tempat Nabi Zakaria a.s berdoa agar dikurniakan zuriat. Dekat situlah juga saya berdoa untuk ambil keberkatan, berdoa sebelum saya ambil proses IVF sebelum dapatkan Aafiya. Saya betul-betul berada di tempat Nabi Zakaria a.s berdoa. Seronok sampai meremang bulu roma.
Kredit: Instagram @masjid_al_aqsa
Bila tengok dalam Masjid Al-Aqsa tu, kebanyakan orang-orang Palestin sama ada yang lelaki mahupun perempuan mereka duduk sambil membaca dan menghafaz Al-Quran. Ada bapa-bapa yang menjaga anak-anak mereka yang menghafaz Al-Quran membuatkan saya rasa sangat kagum. Sebab itulah Masjid Al-Aqsa ni sangat hebat.
Suasananya berbeza dengan masjid-masjid lain yang pernah saya jejaki contohnya Masjid Nabawi tempat kita mengerjakan umrah dan haji. Cuma sejarah awal Masjid Al-Aqsa ada keistimewaannya tersendiri. Dari segi dekorasinya pula, tidak banyak pembaharuan kerana masih mengekalkan sejarah seni bina lamanya. Cuma apa yang saya lihat, dalam Dome of the Rock tu kubahnya sangat cantik dari segi architecture serta tulisan khatnya. Ini termasuklah tempat ‘ajaib’ di mana batu tergantung itu sangat mengkagumkan.
Kenangan semasa di Mekah.
KAGUM DENGAN WANITA & ANAK-ANAK PALESTIN
Kita dilahirkan di tempat yang berbeza dengan semangat yang berbeza, Allah Maha Besar dan Maha Mengetahui. Dia memilih mereka yang tertentu untuk berada di tempat yang tertentu. Kita seharusnya bersyukur kerana kita ditempatkan di negara yang tidak berperang dan tidak perlu berjuang dari segi mempertahankan tempat kita seperti mana di Palestin. Wanita-wanita Palestin ditakdirkan Allah SWT berada di tempat yang memerlukan mereka untuk berjihad, berjuang mempertahankan Masjid Al-Aqsa.
Selain wanita, saya juga kagum dengan anak-anak kecil Palestin. Semangat mereka tercetus apabila melihat perjuangan dan pengorbanan ibu bapa mereka. Manakala kita di Malaysia harus mendidik anak-anak agar lebih bersyukur dan menghargai keamanan. Didik mereka agar lebih banyak bersedekah serta membantu mereka yang dalam kesusahan.
Memang berbeza situasi kita dengan mereka. Maka, untuk mendidik anak-anak paling penting ialah ajar mereka tentang adab dan tahu menghargai sesuatu. Dari situ mereka akan tahu bagaimana untuk saling mengasihi sesama insan. Kalau mereka tahu orang-orang di negara luar sedang dalam kesusahan, kita didik anak-anak menjadi seorang yang bermurah hati untuk membantu.
Keluarga bahagia DS Siti Nurhaliza dan DS Khalid.
Saya percaya, rakyat Palestin sebenarnya lebih kuat daripada apa yang kita sangka. Mereka redha dengan apa yang berlaku, kita sendiri pun tak sanggup. Kekuatan mereka sangat luar biasa! Saya kagum terutama wanita dan kanak-kanak di sana, mereka insan berani.
Kepada seluruh rakyat Malaysia, apa yang mampu kita berikan, contohnya dari segi wang ringgit untuk membantu mereka mendapatkan bantuan ubat-ubatan dan keperluan asas. Doa adalah senjata terbaik umat Islam. Marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah SWT menurunkan keajaiban seterusnya peperangan ini dapat dihentikan. Yang penting Masjid Al-Aqsa terus dilindungi.
Semua ini sudah pun tertulis dalam Al-Quran. Sekarang ini masa untuk kita bersatu serta banyakkan berdoa agar rakyat Palestin dilindungi dan Allah SWT turunkan malapetaka ke atas Israel.
SALUR SUMBANGAN
Menerusi syarikat saya, memang ada perancangan untuk membuat kutipan bagi membantu rakyat Palestin. Bantuan secara peribadi pun ada termasuk bersama suami. Kami juga ada contact di Gaza iaitu sahabat kami sendiri untuk membantu saudara mara kita yang memerlukan di sana. Alhamdulillah kami cuba lakukan yang terbaik untuk membantu.”
Dalam kehidupan setiap insan, pastinya ada individu yang dianggap seperti idola, menjadi pembakar semangat untuk kita sama ada menjadi sepertinya atau untuk mengecap satu-satu tujuan. Berkongsi di laman Instagramnya, Oktovia Manrose baru-baru ini menitipkan rasa kesyukuran apabila berpeluang menemui Ustazah Asma’ Harun dalam satu majlis ilmu, walaupun pada saat-saat terakhir.
Mengakui majlis tersebut sangat memberikan kesan, majlis Maulid Akhbar yang di anjurkan oleh Ustazah Asma’ Harun itu menjadi satu majlis ilmu yang banyak memberikan perkongsian yang baik, sekaligus membuatkan Oktovia Manrose terbuka untuk mendalami agama Islam.
”Majlis yang sangat mengesankan kepada semua yang hadir. Dan kepada sahabat saya , pengikut saya yang selalu meyokong saya dan mendoakan saya agar kekal istiqomah. Marilah kita sama-sama mendekatkan diri dengan majlis2 ilmu yang menceritakan kebesaran Allah SWT dan Rasullullah SAW,” titip Oktovia menerusi hantarannya di Instagram.
Oktavia atau nama penuhnya Wan Syamira Putri Oktovia Wan Syahman juga tidak terkecuali meluahkan tanda penghargaannya kepada pendakwah bebas itu pada laman sosial media miliknya dan memuji keperibadian Ustazah Asmah’. MasyaAllah. Ustazah sangat baik, sangat humble, Tarik lah saya dan kami semua ke syurga Allah ustazah.”
Menjengah ruangan komen, ramai rakan-rakan artis serta warga maya yang menitipkan kata-kata syukur melihat keakraban dan pertemuan Oktavia dengan Ustazah Asmah’. Tak lupa juga ada yang mendoakan Oktavia untuk terus dan kekal istiqamah.