Siapa sangka, kehadirannya ke Kuala Lumpur baru-baru ini menemani suami tersayang, Marcell Siahaan ke sidang media sempena konsert Marcell Dua Dekade membuka ruang untuk dirinya bersama-sama sekumpulan penggemar senaman Pound Fit di Malaysia!
Ads
Menjengah laman Instagram miliknya, model dan aktress berusia 42 tahun itu sering berkongsi foto dan video tatkala melakukan aktiviti senaman fizikal. Salah satu senaman yang sering dilakukan adalah Pound fit, latihan kardio yang meniru gerakan mengetuk dram menggunakan dua stik.
Rima atau nama sebenarnya Rima Melati Sheila Adams merupakan seorang instruktur Yoga bertauliah dan juga instruktur senaman Poundfit dari Amerika Syarikat dan turut memainkan peranan sebagai Poundfit Tour Crew dari Indonesia.
Baru-baru ini, peminat senaman Pound Fit Malaysia berkongsi sesi senaman bersama Rima Melati di Cyberjaya diketuai oleh Pengasasnya, Nurul Hanisah Norizan atau Hanis dari Pound with Hanis. Rima Melati diundang untuk memeriahkan sesi senaman tersebut.
Turut menemani Rima ke acara berkenaan ialah penyanyi Marcell yang memberi sokongan padu terhadap acara kegemaran isteri tersayang.
Isteri penyanyi Marcell Siahaan itu bukan hanya penggemar senaman tersebut, tetapi turut mempunyai sijil sebagai jurulatih senaman Pound fit profesional. Rima pernah berkongsi perkara tersebut di laman Instagram miliknya di mana dia mengikuti latihan Pound Pro pada 2017 di bawah seliaan Kirsten Potenza, di Amerika Syarikat.
Rima mula melibatkan diri secara aktif dalam senaman Pound sekitar tahun 2019 yang lalu. Bagi finalis Miss Universe Singapura 2001 itu, Pound fit bukan hanya membuat tubuhnya lebih sihat, tapi juga membuat dia berjaya menurunkan berat badannya.
“Selepas tiga tahun melibatkan diri dengan Pound, saya rasa lebih sihat dan berjaya mengurangkan 12 kg berat badan. Ini adalah satu perkara yang sudah menjadi sebahagian rutin harian saya dan saya gembira dapat berkongsi senaman ini dengan orang lain,” katanya.
Ads
Untuk info, Pound merupakan gabungan senaman kardio, yoga dan pergerakan diilhamkan dari pilates. Ia mampu membakar kalori dengan banyak dengan hanya menggunakan kayu drum berwarna hijau neon. Gaya senaman ini amat popular dan bergiat aktif di Indonesia.
Senaman Pound ini dikatakan dapat membakar hingga 900 kalori sekiranya dilakukan selama satu jam.
Gerakannya banyak yang menyerupai pilates, tetapi pergerakannya dilakukan dengan cepat sehingga meningkatkan komponen cardio. Senaman ini juga memiliki unsur power yoga di mana gerakannya mudah diikuti, melatih seluruh tubuh dan meningkatkan degupan jantung sekaligus membakar lemak.
Wanita kelahiran Singapura ini sememangnya amat menggemari aktiviti olahraga, dan telah membuka studio senamannya sendiri di Jakarta yang dikenali sebagai Satu Tempat Studio yang dibuka secara rasminya pada Jun 2020 yang lalu.
Ads
Tidak hairanlah mengapa model dan pengacara ini mempunyai tubuh badan yang langsing serta menjadi idaman wanita. Pada usia 42 tahun, wanita yang dikurniakan dua orang cahaya mata ini amat mementingkan penjagaan kesihatan dan mengamalkan diet pemakanan yang seimbang. Rima terkenal sebagai seorang yang pandai memasak, namun dia tidak pernah suka dipanggil dengan gelar ‘chef’.
Menyentuh soal kerukunan rumahtangga yang dibina bersama Marcell Siahaan pada 28 Januari 2009, pasangan ini dikurniakan seorang cahayamata, Seth Ananda Siahaan pada tahun 2014.
Bertindak sebagai penyokong utama karier suami tersayang, Marcell bakal kembali ke Kuala Lumpur untuk mengadakan konsert Marcell Dua Dekade buat semua peminat setianya pada 9 Disember 2022, bertempat di Zepp KL.
Justeru untuk melihat sendiri persembahan Marcell Dua Dekade, jangan lupa untuk menjadi salah seorang pemilik tiket konsert ini. Orang ramai boleh dapatkan tiket konsert tersebut dengan harga RM288 hingga RM7,888.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Ketika ini kita dapat melihat ramai yang telah menghulurkan bantuan khususnya buat frontliners yang bertungkus lumus melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
Penulis buku Born To Smile, Nora Tan Sri Abu Hassan salah seorang rakyat Malaysia yang prihatin dalam melaksanakan tanggungjawab sosial. Nora merupakan anak kepada bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Abu Hassan Omar. Nora merupakan anak sulung daripada 5 beradik.
DILAHIRKAN SUMBING
Ibu tunggal kepada 3 anak ini sebenarnya seorang insan istimewa kerana dilahirkan sumbing (bibir dan lelangit).
Walau dilahirkan dengan kekurangan diri, keprihatinan wanita berusia 50an ini terhadap golongan senasib sepertinya wajar dipuji.
Diinspirasikan dari kisah itu maka terhasilnya buku Born To Smile. Keprihatinan Nora tidak terhenti di situ apabila turut membantu frontlioners dalam usaha mengekang wabak COVID-19.
“Terkesan dengan isu COVID-19, sebagai rakyat Malaysia saya turut terpanggil untuk membantu. Saya merasakan wabak ini sangat merbahaya kerana selain mengancam nyawa ia juga menyebabkan kejatuhan ekonomi individu serta korporat. Oleh itu, saya juga bertanggungjawab untuk membantu frontliners dalam menyelamatkan Malaysia seterusnya menyelamatkan pesakit-pesakit COVID-19 secara keseluruhannya.”
Dari segi sumbangan korporat, sebahagian jualan e-book di eSentral semasa Pesta Buku Digital Malaysia 2020 disalurkan kepada frontliners melalui badan-badan NGO terplilih.
Selain itu, Nora turut memberi sumbangan secara peribadi kepada barisan-barisan hadapan ini melalui badan-badan atau NGO yang membuat kutipan.
HARAPAN & NASIHAT
Buat seluruh pejuang di barisan hadapan teruskanlah usaha dan tabahkan jiwa. Cekalkan hati agar semangat terus kekal dalam diri anda. Jangan berputus asa, sentiasa menjaga kesihatan mental serta fizikal. Kami semua bersama menyokong usaha anda dan setiap saat berdoa demi menyelamatkan Malaysia.
Manakala buat seluruh rakyat Malaysia pula, silalah berada di rumah masing-masing agar kita dapat membantu frontliners seterusnya mengurangkan kadar peningkatan kes COVID-19. Tak mustahil untuk kita putuskan rangkaian COVID-19 jika kita berkejasama.
Jika terdapat simptom-simptom COVID-19 sila serah diri ke hospital untuk membuat saringan. Berlaku jujur untuk diri sendiri dan orang lain. Jangan pentingkan diri sendiri. Jaga SOP yang ditetapkan. Sentiasalah mengikut arahan kerajaan.
Lakukan aktiviti-aktiviti sihat di rumah. Rapatkan jurang silaturahim sesama ahli keluarga. Tingkatkan jati diri dan baca buku untuk meningkatkan ilmu pengetahuan. Inilah masanya!
Duduk di rumah bukan alasan untuk tidak berhubung dengan rakan-rakan. Rapatkan jurang persahabatan secara virtual. Saling berpesan dengan rakan taulan agar sentiasa berada di rumah jika tiada urusan penting untuk keluar.
Manfaatkan media sosial seperti Facebook dan Instagram bagi menyebarkan kebaikan melalui video mahupun penulisan.”
Bekas graduan University of New England ini pernah bertugas sebagai Ketua Jabatan Akaun Semasa di sebuah bank terkemuka. Nora juga merupakan pengasas dan Pengetua tadika bertaraf prestij iaitu The Children’s Cottage.
Kredit Foto: Instagram @nhassan8
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
10 tahun nyata bukan satu tempoh singkat. Pastinya sepanjang dekad tersebut pelbagai cabaran dan kejayaan telah dicapai usahawan berjiwa besar, Datin Vivy Sofinas Yusof! Berbekalkan minat dalam fesyen dan perniagaan telah membuatkan wanita inspirasi ini nekad menubuhkan FashionValet di samping suami tercinta, Dato’ Fadzarudin Shah Anuar sekitar tahun 2010. November tahun ini, genap 10 tahun Vivy bergelar usahawan yang turut menyaksikan ulang tahun ke-10 FashionValet. Tahniah!
“Marks my 10th year as an entrepreneur too. With all the learnings from my first decade, I feel like I should write a book! So many achievements, so many mistakes, so many stories I haven’t told. Entrepreneurship is a roller coaster ride of ups and downs, and I’m about to enter the second decade of this awesome ride. Ride with me? Bismillah!”
Dengar kata, sempena ulang tahun kesepuluh ini juga Vivy sedang merancang untuk menerbitkan buku sendiri yang berkisar perjalanan dan pengalaman beliau membangunkan legasi selama ini. Kalau betul, mesti ramai yang ternanti-nanti naskhah istimewa berkenaan.
Siapa sangka daripada seorang blogger, Vivy kini sudah sedekad bergelar usahawan berjaya yang disegani ramai. Kejayaan yang diraih beliau bukan calang-calang kerana selain menerajui empayar FashionValet dan The dUCk Group, Vivy juga pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah UiTM termuda dalam sejarah institusi pengajian terkemuka negara. Bahkan namanya juga pernah tersenarai sebagai Forbes 30 Under 30 Asia kira-kira tiga tahun yang lalu dan menjadi Ikon Wanita Tahun Memperkasa Wanita (TMW) 2018.
Ketika Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang berlangsung pada 20 November lalu, Vivy menerusi empayar The dUCk Group melakar satu lagi kisah kejayaan apabila koleksi skaf The Malaysia dUCk digayakan oleh Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern. Nampaknya nilai eksklusif skaf dUCk tidak hanya digemari di Malaysia bahkan turut menambat hati pemimpin luar negara.
Kalau hendak hitung pencapaian Vivy, memang banyak namun yang paling membanggakan ialah kecekalannya menceburi bidang keusahawanan sejak 10 tahun lepas. Ini bermaksud, Vivy sudah membabitkan diri dalam bisnes seawal usia 22 tahun lagi.
Meskipun berdepan pelbagai cabaran saban tahun namun wanita berusia 32 tahun ini enggan mengalah dan terus mengorak langkah menjadi sumber inspirasi kaum wanita. Bersandarkan rupa paras cantik, bijak dan pencapaian membanggakan, tidak hairanlah Vivy sering menjadi ikutan generasi muda hari ini.
Tidak dinafikan, setiap kali bertanya kepada golongan dan usahawan belia hari ini mengenai siapa inspirasi mereka… memang nama inilah antara yang paling banyak disebut-sebut. Mana tidaknya, Vivy bukan saja memiliki rekod akademik yang cemerlang malah berjaya melakar kejayaan dalam bidang perniagaan dan fesyen tanah air.
Bercerita tentang dUCk, jenama muslimah ini sememangnya mempunyai penangan luar biasa. Pendek kata, apa sahaja produk keluaran dUCk pasti laris di pasaran dalam masa singkat. Walau perniagaan makin maju namun Vivy tidak lokek berkongsi rezeki terutamanya ketika negara dilanda penularan wabak Covid-19.
Atas dasar prihatin, beliau terpanggil untuk menyalurkan bantuan dana kepada hospital terlibat menerusi platform FashionValet dan turut menyumbang sejumlah besar dUCkscarves kepada para frontliners.
Moga usaha murni dan kejayaan Vivy Yusof sentiasa menjadi pembakar semangat untuk kaum wanita terus berjaya.
Kredit foto: Instagram Vivy Yusof
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Usianya baru mencecah 22 tahun. Namun penyanyi berbakat dari Indonesia bernama Lesti Kejora ini kerap diangkat sebagai sosok inspirasi muda di sana. Malah pengaruh Lesti kian meledak apabila dia pernah diumumkan sebagai wanita kelima tercantik di dunia pada tahun 2020.
Pengiktirafan besar terhadap gadis Muslimah Indonesia itu benar-benar menggemparkan peminat. Sayang sekali, khabar tersebut hanya palsu apabila penganjur The 100 Most Beautiful Woman 2020 iaitu Top Beauty World tiba-tiba menutup akaun rasmi mereka.
Hal itu walau bagaimanapun, tetap membuatkan Lesti Kejora atau nama asalnya Lestiana Andryani kembali trending di Twitter. Reputasi kerjaya dan pencapaian yang diraih oleh gadis Sunda berusia 22 tahun tersebut menjadi bualan ramai, khususnya warga negara jiran. Bayangkan dengan muzik dangdut, mampu mengubah kehidupan seseorang.
Pencapaian Lesti kerap mendapat liputan meluas di Jakarta. Selain kisah cinta Lesti dan Rizky Billar, satu persatu kejayaannya menarik perhatian peminat. Tidak hairanlah followers Instagram @lestykejora kini mencecah 18.3 juta!
Tambahan pula Lesti yang asalnya hanya seorang gadis desa mampu mengumpul pelbagai kenderaan mewah serta mendirikan rumah yang besar lagi selesa buat orang tuanya, berkat kerja keras dalam industri seni. Dia dianggap sebagai seorang penyanyi dangdut yang berjaya, popular dan kaya-raya di Indonesia.
Lesti memulakan kariernya sebagai penyanyi dangdut dan pernah melancarkan single berjudul ‘Kejora’ pada tahun 2014. Single lagu tersebut berjaya melonjakkan nama Lesti hingga disunting oleh syarikat rakaman.
Tahun yang sama juga, Lesti menjuarai program realiti D’Academy terbitan Indosiar dan berjaya menyingkirkan 15 peserta lain. Lagu ‘Kejora’ juga memenangi anugerah Lagu Dangdut Paling Ngetop di SCTV Music Awards dan Lesti diangkat sebagai Pendatang Baru Wanita Terpopuler di Indonesian Dangdut Awards.
Selain menyanyi, Lesti juga pernah membintangi beberapa sinetron popular seperti Anak Tukang Sapu Jadi Dokter (2015), Munajat Cinta Sang Gadis Desa (2015) dan Kekuatan Doa Seorang Biduan (2016).
Susulan kejayaan single ‘Kejora’, gadis ini melancarkan single kedua pula berjudul ‘Zapin Melayu’ dan ‘Lebih Dari Selamanya’ pada tahun 2016. Single tersebut meraih penghargaan di AMI Awards 2019.
Nama Lesti sekali lagi dinobatkan sebagai Penyanyi Dangdut Wanita Paling Ngetop di SCTV Music Awards 2016 dan Penyanyi Dangdut Wanita Paling Inbox di Inbox Awards 2016.
Tidak hanya cemerlang dalam industri, Lesti juga membuktikan ilmu juga sama pentingnya dalam kehidupan. Walaupun sibuk menyanyi dan berlakon, dia merupakan seorang mahasiswi di Universiti Mercu Buana.
SUKA FESYEN
Terkenal dengan imej tudung bawal dan loose shawl, gaya effortless Lesti sentiasa menonjolkan sisi remaja yang suka berfesyen. Biarpun memilih genre dangdut, namun penampilan imej Muslimah Lesti sedikit sebanyak membuatkan peminat muzik ini tidak keterlaluan dalam konteks berhibur.
Beberapa gaya Lesti Kejora mungkin sesuai dijadikan inspirasi oleh wanita Muslimah di negara ini. Keep scrolling girls!
Sumber: Instagram @lestykejora
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Nekad tinggalkan kerjaya stabil iaitu juru ukur tanah (surveyor) demi impian buka tadika sendiri, Raihana Rosdan kini miliki 8 cawangan Al Kauthar Eduqids.