Wow, banyaknya bidang kerjaya yang diceburi Linda Onn! Selepas karier penyampai radio atau DJ melonjakkan nama Linda, selebriti ini terus mengembangkan potensi diri dengan mencuba bakat sebagai pengacara, pelakon dan ahli perniagaan dengan mengusahakan restoran My Mom’s Chicken Rice. Hebat!
Seakan tidak puas dengan kejayaan yang dikecapi, sekitar tahun 2018 Linda mendedahkan kejayaan sebagai penerbit drama TV pula. Bukan calang-calang!
Difahamkan syarikat yang diusahakan Linda akhirnya berjaya dipilih untuk menerbitkan telemovie di sebuah stesen televisyen berjudul Kopi Susu Cik Janda.
Ketika diberi peluang menerbitkan telemovie tersebut, Linda baru sahaja 9 bulan menimang cahaya mata. Walau tidak menang tangan menguruskan keluarga, bisnes, kerjaya sebagai DJ dan tanggungjawab sebagai ibu, Linda optimis mengejar cita-cita. Kalau jiwa tak kental dan tak bijak bab pengurusan masa, pasti semua yang diimpikan Linda tak mampu jadi kenyataan macam sekarang.
Berpengalaman lebih 20 tahun sebagai DJ, Linda atau nama penuhnya Rozlindah Onn akhirnya meninggalkan kerjaya berkenaan di Kool FM pada Ogos tahun lepas. Dia sebelum ini pernah berkhidmat di Era FM, Sinar FM dan Suria FM.
Ads
Mengakui minat sebagai DJ tetap tersemat kemas dalam diri, Linda bagaimana pun tidak menolak kemungkinan akan kembali dalam kerjaya itu jika ada kesempatan kelak.
Enggan duduk diam di rumah selain menguruskan restoran, Linda ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 1.0) pada Mac tahun lepas mula berjinak-jinak mendalami pembuatan minyak wangi. Siapa sangka bermula dengan hobi dan niat mengisi masa terluang waktu PKP telah membuka peluang kepada usahawan berusia 43 tahun ini untuk menceburi bisnes minyak wangi berasaskan kayu gaharu atau lebih dikenali sebagai Oud.
Kongsi Linda, “Inilah hobi Linda yang selama ni Linda tak pernah share kepada umum iaitu buat minyak wangi. Perfume Linda ni, oud adalah bahan yang wajib ada. Minyak oud asli ni sangat mahal. Beribu RM harga dia. Linda rasa puas bila Linda dapat buat sendiri dan hasilkan bau yang Linda suka… bau mahal.”
Kerap memuat naik video ketika tekun menghasilkan aroma minyak wangi ilham sendiri, Linda nekad menjual minyak wangi buatannya selepas mendapat permintaan tinggi daripada peminat. Lebih istimewa, pembuatan minyak wangi keluaran Linda di bawah jenama Anaricca ini adalah 100 peratus resipinya sendiri dan homemade.
Tidak menunggu lama, sekitar Jun tahun lepas juga Linda sudah mempunyai dropship dan agent untuk penjualan minyak wangi Anaricca.
“Alhamdulillah agent banyak order dan top up perfume. Dari hari ke hari, agent pun makin bertambah dan agresif. Linda nak ulang lagi ya. Yang perfume oud Linda ni bukan dari kilang, bukan import dari Arab ke apa ke. Tapi asli Linda yang cipta sendiri. Omputeh kata from scratch.
Ads
Pati oud asli Linda beli di sebuah kilang oud Malaysia dan untuk Trat Oud, dari Thai-Cambodia, Linda beli dari pemilik ladang gaharu tu sendiri. Yang import cuma wangian lain macam jasmine, cedarwood, rosemary… kebanyakan dari France.
InshaAllah jangan risau tentang keaslian pati oud dalam OUD Dominus dan OUD Magnum. Bukan oud sintetik. Kalau oud sintetik, confirm boleh bagi murah.”
Linda mendirikan rumah tangga dengan kerabat diraja Johor iaitu Ungku Azhar Ungku Maznan pada 27 Disember 2013. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak perempuan bernama Ungku Zara dan berusia tiga tahun.
Syabas buat Linda kerana berjaya menyerlahkan kemampuan sebenar wanita kepada khalayak. Moga kejayaan Linda menjadi suntikan semangat buat kaum wanita lain untuk sama-sama melakar impian.
Kredit foto: Instagram Linda Onn
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ratu skuasy, Datuk Dr Nicol Ann David genap usia 42 tahun, kini bahagia nikmati waktu bersara dan lahirkan pelapis negara.
Dilahirkan pada 26 Ogos 1983, permata negara kelahiran Pulau Pinang ini adalah cahaya mata Ann Marie David, seorang guru sekolah Cina berbangsa Hakka-Hokkien dengan Desmond David, seorang jurutera berbangsa Tamil, yang juga bekas atlet negeri dan pemain bola sepak kebangsaan.
Beliau adalah anak bongsu daripada tiga adik-beradik yang mana dua orang kakaknya, Lianne dan Cheryl, juga merupakan bekas pemain skuasy negeri dan kebangsaan. Kecintaan keluarga ini terhadap sukan skuasy berakar daripada bapa mereka.
Botol air sukan Montigo ni memang smart habis, wanita yang suka bersenam wajib ada satu macam ni >>>
Menurut Astro Awani, Nicol bersekolah di SK Convent Green Lane sebelum ke SMK Convent Green Lane. Cemerlang dalam subjek matematik, asalnya beliau bercita-cita untuk menjadi jurutera namun takdirnya untuk mengabdi diri dalam sukan yang mula dimainkan sejak berusia lima tahun.
Bakatnya dikesan ketika berusia lapan tahun oleh Ee Phoeh Hoon yang menyerap Nicol bersama dua kakaknya ke dalam skuad negeri. Nicol memenangi kejohanan pertamanya di usia 10 tahun dan diserap masuk ke skuad senior negara pada usia 13 tahun.
Pada usia 15 tahun, beliau menjadi pemain wanita termuda yang menjuarai Kejohanan Remaja Dunia pada 2000 (tahun sama beliau menjadi pemain pro), juga yang pertama memenanginya dua kali apabila mempertahankan gelaran pada tahun berikutnya.
Sebulan selepas menjadi pemain profesional, Nicol merangkul gelaran WISPA pertamanya apabila menjuarai Terbuka Finland pada Februari 2000. Bertitik tolak dari itu, Nicol mula melakar namanya sehingga menjadi pemain skuasy terulung dalam sejarah.
Beliau memecah rekod dengan menduduki ranking no.1 dunia untuk 108 bulan berturut-turut dari Ogos 2006 hingga September 2015. Beliau juga pemenang Kejohanan Dunia paling banyak (8 kali), Terbuka British (5 kali) & deretan lagi rekod dalam sukan skuasy.
Nicol bersara pada 2019. Pada 2021, World Games menobatkan beliau sebagai Atlet Teunggul Sepanjang Zaman di mana Nicol adalah satu-satunya wakil Malaysia & Asia daripada 24 calon yang disenaraikan.
Yang pasti, Datuk Nicol David merupakan antara atlet yang berpendidikan tinggi. Pada tahun 2019, beliau dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan dari Universiti
Sains Malaysia (USM).
Berkongsi momen istimewa itu, ujarnya, “I’m so honoured! Never thought I would get this. Thanks to USM for this Honorary Degree of Doctor of Sports Science.”
Biarpun meraih pelbagai kejayaan di pentas dunia tapi wanita lasak tersebut tetap setia menimba ilmu. Walau sudah bersara, beliau masih menjadikan ilmu sebagai keutamaan. Moga kejayaan bekas atlet kebanggaan negara ini terus menjadi sumber inspirasi ramai wanita!
Mesra dan menyenangkan. Begitulah perasaan sesiapa pun yang baru mengenali Chef Zam, 53 tahun. Namun di sebalik perwatakan ceria, jejaka segak asal Terengganu ini sebenarnya menyimpan rindu yang mendalam terhadap arwah emak yang dijaganya selama 18 tahun.
Mesra dengan panggilan ‘Awang’ di kalangan ahli keluarga, Prof Dato’ Chef Zam atau nama sebenarnya Zamzani Abdul Wahab sebelum ini kerap berkongsi perkembangan kesihatan arwah ibunya, Chik Binti Minah di media sosial.
Arwah ibu Chef Zam telah menghembuskan nafas terakhir pada tanggal 26 September 2020 lalu akibat radang paru-paru atau pneumonia. Jenazah allahyarhamah terpaksa disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara kerana sekatan pergerakan atau PKP yang berlaku pada ketika itu.
RINDU EMAK
Kini selepas tiga tahun berlalu, kisah duka ini menjadi topik bicara kami kala berjumpa. Sebak dan rindu, Chef Zam terbuka mengimbau kenangan manis saat hayat arwah masih ada…
Kini selepas berpindah ke Shah Alam, kediaman baru Chef Zam turut dikunjungi KDYMM Tuanku Al-Sultan Mizan Zainal Abidin dan KDYMM Sultanah Nur Zahirah diiringi KDYTM Yang DiPertuan Muda Terengganu, YAM Tengku Puteri Utama Raja, YBhg. Datuk Wira Sheikh Abd. Halim serta Waleed yang dikasihi berkenan mencemar duli beraya di rumah barunya di Shah Alam.
Kenangan manis itu diceritakan semula kepada Nona ketika kami bertemu baru-baru ini. Seronok betul Chef Zam. Betul katanya, siapa sangka Sultan yang dikasihi berkenan beraya di rumah kita.
Chef Zam popular menerusi program masakan seperti Garam Gula, Citarasa Selebriti, Ole-ole Malaysia dan Aroma Selebriti. Beliau mempunyai seorang anak angkat yang comel iaitu Faiq, 5 tahun.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Mampu berasimilasi dan membawa karakter yang baik di depan kamera, sejujurnya sesi bersama penerima anugerah Nona Outstanding Business Award, Mohd Hafizuddin Hiew Abdullah ini merupakan antara yang tercepat berjaya diselesaikan.
Karakter Ketua Pegawai Eksekutif TDC Holdings ini juga cukup menyenangkan, malah setiap pertanyaan penulis tentang perniagaannya dijawab dengan cukup profesional.
Diasaskan pada tahun 2016, TDC Holdings awalnya beroperasi sebagai syarikat pengedar produk makanan dan minuman kesihatan secara kecil-kecilan di Kelantan.
“Sebenarnya saya mahu menjadi usahawan kerana tidak ingin melihat kesusahan ibu yang bekerja siang malam demi menampung keperluan hidup.
Daripada pembacaan, saya mula yakin bahawa keusahawanan adalah cara terbaik untuk membela dan menjamin kesenangan hidup ibu kelak,” ujar anak kelahiran Ipoh, Perak itu.
Kisah kejayaan produk C2Joy, produk minuman bestsellers yang rancak menghiasi papan tanda gergasi di lebuh raya menjadi mukadimah kami.
“Alhamdulillah produk TDC iaitu C2Joy yang dijual sejak tahun 2016, BerryMix dan terkini, Colever – telah terjual melebihi 4 juta unit di seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura.
Walaupun baru lima tahun mengusahakan perniagaan, tapi banyak pengalaman indah tercipta sepanjang saya memimpin TDC.
Antaranya ketika kami berjaya mencapai jualan RM100 juta pertama. Ia benar-benar melangkaui fikiran dan sasaran saya ketika itu.” Hafiz Hiew
Tambah Hafiz, beliau turut berbangga melihat pencapaian pengedar TDC yang dulunya fakir miskin, kini sudah mencapai tahap pendapatan bersih ke arah T20.
Berusia 34 tahun, Hafiz yang merupakan seorang mualaf memiliki kelulusan Master in Business Administration (Finance) dari Universiti Malaysia Kelantan dan Ijazah Agri-Techno Entrepreneurship, juga dari universiti yang sama.
Terdahulu sebelum itu, beliau pernah menggenggam Diploma Pengajian Islam dari Interactive Dakwah & Tarbiyah Association (IDT).
HIDAYAH
Hidayah adalah hadiah daripada Allah SWT untuk orang yang ingin menerima dan mencari-Nya dalam hidup. Keputusan lelaki dermawan ini untuk memeluk Islam sekitar 12 tahun lepas merupakan antara titik perubahan terbesar, sekaligus menjadi akar tunjang TDC Holdings yang dibina berpaksikan Al-Quran dan hadis.
“Tiada satu pun kelas, buku, seminar, mentor atau guru perniagaan yang boleh menjangkaui ilmu Al-Quran dan hadis.
Sebagai seorang Cina Muslim, saya banyak merujuk pakar umpamanya panel syariah Koperasi ANGKASA Malaysia Berhad, Lariba Consulting dan SIRIM International Berhad bagi memastikan TDC melalui pengauditan, penambahbaikan dan patuh syariah secara keseluruhannya.
Bahkan kami juga mempunyai Pegawai Eksekutif Pematuhan Syariah di TDC kerana saya percaya, ia mesti bermula dari dalaman sesebuah perniagaan itu sendiri.”
Menariknya, Hafiz juga seorang yang tekun mendalami pengajian Islam secara intensif. Kini dengan kapasiti tenaga kerja seramai 40 orang serta jumlah pengedar seluruh Malaysia dan Brunei mencapai 300,000 orang, apakah rahsia kejayaan bisnes beliau dalam tempoh yang singkat?
Sambung Hafiz, beliau banyak mendalami cara Baginda Rasulullah bermuamalat, berkomunikasi dan juga menjadi seorang Muslim yang disegani.
Sebagai seorang tokoh pemimpin yang pernah dilabel ‘Orang Paling Berpengaruh Dalam Sejarah Manusia’, Nabi Muhammad SAW adalah ikon manusia terbaik di mata usahawan tersebut.
“Superhero adalah seseorang yang dapat melahirkan superhero yang lain. Dan bagi saya, proses itu amatlah susah, apatah lagi nak duplikasi dan lahirkan lebih dari seorang wira yang bagus.
Tetapi sepanjang perjalanan dakwah Baginda Rasulullah sehingga wafat, Baginda berjaya lahirkan 106,000 orang sahabat yang super hebat, dimana 100,000 orang itu keluar daripada Mekah dan Madinah untuk berdakwah ke seluruh dunia.
Bayangkan dakwah sahabat-sahabat Rasulullah ini berjaya mengembangkan Islam hingga dianuti lebih 2 billion penduduk dunia! Inilah superhero sejati di mata saya.” Hafiz Hiew
Tekad mahu membantu orang melalui perniagaan, syarikat TDC Holdings Sdn Bhd pimpinan Hafiz Hiew cukup maju di pasaran. Tonton kisah penuhnya di sini…
TERUS MELANGKAH
Jika perniagaan lain jatuh merudum akibat pandemik, rezeki Hafiz Hiew dan seluruh warga kerja TDC pula sebaliknya.
“Tahun 2020, jualan kami meningkat hampir tiga kali ganda, daripada RM33 juta kepada RM100 juta. Malah pada tahun 2021, kami juga berjaya mencapai jualan RM100 juta untuk tahun kedua berturut-turut, seawal pertengahan bulan November lagi.
Jumlah keseluruhan sedekah, infak, wakaf dan zakat TDC juga melebihi RM10 juta tunai dalam masa dua tahun.
Sebenarnya ketika PKP 1.0 diumumkan, saya bersama 40 pengedar serta staf TDC baru saja tiba di lapangan terbang sejurus melancong ke New Zealand. Pada ketika itu, hati saya sudah menjangka bahawa jualan kami mungkin merosot menjelang musibah COVID-19.
Tetapi melihat keadaan tenat golongan B40 serta masyarakat yang lebih teruk terkesan dengan pandemik ini, saya memutuskan untuk bersedekah.
Lebih RM3 juta disalurkan untuk wakaf mesin bantuan pernafasan COVID-19, bantuan ambulan, van jenazah, makanan dan kewangan kepada golongan memerlukan. Tindakan infak TDC benar-benar memberikan pulangan yang lumayan sehingga sukar saya percayai.
Selain itu, pengenalan strategi seperti online kepada para pengedar, pemantapan sistem pengedaran atas talian serta produk-produk TDC yang selama ini fokus kepada peningkatan imunisasi, semua itu memberikan satu lonjakan jualan kepada TDC secara mendadak.” Hafiz Hiew
Episod perkahwinan pertama Hafiz yang tersungkur di tengah jalan menjadi asbab kebangkitannya hari ini. Bapa kepada empat cahaya mata itu kini kembali lebih kuat dan bersemangat selepas mendirikan perkahwinan kedua dengan isteri tercinta, Siti Sabarina Mat Yusoff.
“Selain ibu, isteri saya sentiasa menjadi tulang belakang saya selama ini. Dia banyak menyokong usaha pematuhan Syariah dalam syarikat, menegur perihal amal ibadah saya serta seringkali memperbaiki diri ini dengan berhemah.
Ketika saya bekerja, dialah orang penting untuk menjaga rumah, harta dan anak-anak kami tanpa membuatkan saya risau,” jelas Hafiz sambil tersenyum.
Perasaan penulis tambah tersentuh kala mendengar kisah hidup Hafiz yang dulunya miskin dan tinggal di perumahan setinggan.
“Langit tidak selalu cerah. Pekerjaan yang dilakukan oleh ayah saya selalu turun naik. Naiknya sekejap, tapi turunnya lama. Jadi ibu terpaksa melakukan dua ke tiga kerja dalam satu hari demi membantu menyara hidup kami sekeluarga.
Mungkin kerana dibesarkan dalam keadaan begini membuatkan saya lebih menjiwai dan memahami perasaan fakir miskin.
Saya ingin cuba membantu mereka untuk keluar daripada kepompong kemiskinan yang diwariskan kepada anak-anak, seperti keyakinan saya pada surah Al-Fathir yakni saya mengharapkan perniagaan yang tidak merugikan.” Hafiz Hiew
Petua kejayaan Hafiz cukup mudah. Infak, menjaga solat dan membaca kalam suci Al-Quran.
Kata Hafiz, TDC mengagihkan sebahagian pendapatan kepada jalan kebajikan serta menerapkan budaya ‘TDC For You’ dan #TDCHeart yang fokus untuk membantu keperluan harian golongan susah termasuk mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Tidak ketinggalan, lebih RM500,000 zakat telah disalurkan tidak termasuk infak, wakaf, sedekah dan sumbangan kepada masyarakat melebihi RM12 juta.
Kini TDC dalam proses akhir mendapatkan permit eksport ke pasaran jiran seperti Indonesia dan Singapura. Rancangan ini sebetulnya tertunda akibat PKP dan kini giat diteruskan semula sebaik sempadan negara dibuka.
Selain itu, TDC juga dalam proses penstrukturan dan pemantapan organisasi ke arah pengurusan yang lebih berkualiti selepas mendapat pengiktirafan ISO 9001:2015 (Sistem Pengurusan Berkualiti).
Semua ini adalah berkat usaha Hafiz sebagai Ketua Pegawai Eksekutif disamping bantuan pasukan TDC yang berdedikasi. Misi mereka jelas, mahu membuat persiapan awal ke arah peralihan syarikat berhad dalam pasaran bursa, kira-kira lima tahun akan datang.
Penulis & Penyelaras: Norzalina Mohd Alias
Arahan Seni: Kiffy Razak
Foto: Sharinizam Othman
Solekan: Che Wann
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!