Hidup adalah tentang menerima dan mencintai diri seadanya, dengan segala kekurangan dan ketidaksempurnaan kita. Itulah kekuatan pengasas aiskrim gula apong artisan, Mokti’s Ice Cream yakni Siti Fatimah Binti Adnan dalam mengembangkan bisnes yang diminati.
Di sebalik kemahiran dalam seni pembuatan aiskrim, Siti Fatimah yang juga Pengarah Urusan PMA Rich (M) Sdn Bhd bertuah kerana dibantu pasukan pengurusan yang hebat.
Antaranya suami tersayang, Pengiran Muhammad ‘Adil Bin Awang Iskanderndzulkarnein yang bertindak sebagai mastermind dalam meluaskan empayar Mokti’s Ice Cream sehingga mencapai 91 outlet dalam tempoh dua tahun.
Turut menguruskan enam buah kilang aiskrim di Perlis, rahsia kejayaan beliau hari ini sebenarnya terletak pada sifat tidak mudah menyerah. Nampak sahaja lembut, tapi tangkas dan lincah.
Paling penting wanita Utara berumur 31 tahun itu bijak menimbang pilihan dan tidak terburu memberi keputusan. She is such a vibe, aura Siti Fatimah sesungguhnya luar biasa.
Sebaik selesai penggambaran, kami duduk santai sambil menikmati aiskrim Apong Baby Bob. Memang sedap, bayangkan sebekas soft-served ice cream yang dilimpahi sirap gula apong asli, taburan cornflakes rangup dan boba kecil menyempurnakan hari yang panas terik. Patutlah Mokti’s Ice Cream tular, kesedapannya jadi fenomena!
Rezeki PKP, cerita Siti Fatimah bahawasanya Mokti’s Ice Cream mula meniti bibir ketika dunia dilanda pandemik tahun 2020.
“Betul, sebelum ni saya hanyalah seorang suri rumah dan ibu kepada tiga cahaya mata.
Dah tertulis jodoh saya kahwin muda umur 22 tahun, iaitu selepas mendapat Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Perladangan Dan Agroteknologi dari UiTM Kota Samarahan, Sarawak.
Lepas dapat anak sulung, kami sekeluarga menetap di Bintulu kerana mengikut suami bertugas di sana. Masa tu dia masih terlibat dalam industri minyak dan gas.
Di situ jugalah saya mula kenal aiskrim gula apong yang betul-betul sedap, sampai teringin dan terbawa-bawa kesedapannya. Gula apong tu maksudnya gula cecair yang diambil daripada pokok apong (nipah) dalam bahasa Sarawak.
Tak lama kemudian, kami pindah ke Perlis selepas lahir anak ketiga. Kebetulan suami pula dihantar bertugas ke Algeria dan hanya dapat pulang tiga bulan sekali. Ketika itulah saya asyik teringat aiskrim gula apong.” Siti Fatimah
Ads
Biarpun mempunyai pasangan terbaik, adik-beradik yang selalu membantu dan staf-staf yang dipercayai, namun baginya tiada istilah bergantung pada manusia, kecuali Allah SWT.
Sambungnya lagi, minat dalam bidang pembuatan aiskrim bermula pada Disember 2019, selepas meminjam sejumlah wang daripada ibu tersayang.
“Dengan modal RM5,000, saya masuk kursus, beli mesin manual dan sebuah stall. Awalnya ilmu yang ditimba tu tersangatlah basic. Saya tetap kena balik buat R&D, buat aiskrim dan bagi pada mak serta jiran-jiran rasa.
Ingat lagi kata mereka, aiskrim masa tu manis sangatlah, tak sedaplah. Sampai banyak kali saya buang dan hampir-hampir putus asa. Tapi bila fikir semula, rugilah kalau berusaha sekadar melepas batuk di tangga.”
BISNES PANDEMIK
Menjelang Februari 2020, Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengisytiharkan COVID-19 sebagai darurat kesihatan dunia. Ramai warga Malaysia dibawa pulang termasuklah suami Siti Fatimah yang bertugas di Algeria. Serentak itu, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga berkuatkuasa di seluruh negara.
Ads
“Dipendekkan cerita, suatu hari saya dapat formula aiskrim gula apong yang tepat. Rasanya sedap dan berlemak. Kebetulan negeri Perlis masa tu terkecuali daripada PKP, jadi rakyat bebas membuat aktiviti luar termasuk membawa keluarga beriadah di taman rekreasi.
Maka dengan bantuan adik-beradik, kami pun start meniaga aiskrim secara kecil-kecilan dari bonet kereta.
Tanpa rasa segan, saya pun bunyikan loceng untuk tarik perhatian pengunjung yang lalu-lalang. Makin hari makin ramai yang datang beli aiskrim scoop gula apong kami. Dari sekadar menjual di taman, kami dapat undangan waktu kenduri dan dari situ ramai yang minta kami buka kedai sendiri.
Jadi saya buka sebuah kedai kecil, cukup ada sebuah meja dan mesin saja, tapi dari situ pembeli yang datang tak berhenti-henti.” Siti Fatimah
Berkat kerjasama suami sebagai rakan kongsi, perniagaan aiskrim Siti Fatimah mula berkembang pesat. Asal-usul nama Mokti’s Ice Cream juga diambil daripada nama panggilan beliau – Mok Timah – dalam kalangan ahli keluarga mentua di Sarawak.
Rezeki pandemik, perniagaan suami isteri ini pantas tular di media sosial dan mengangkat kesedapan aiskrim gula apong asli di tanah air.
Ads
Meskipun tanpa kelulusan profesional dalam bidang perniagaan, namun minat berniaga yang kental serta bantuan suami, ibu dan adik-beradik Siti Fatimah menjadi tunggak kejayaannya.
Berkat sikap positif dan keinginan belajar dari pengalaman, usaha gigih pasukan Mokti’s Ice Cream serta beliau sendiri sebagai Pengarah Urusan terbukti membanggakan.
Hasil kepimpinan yang jitu, strategi dan kekuatan jenama Mokti’s Ice Cream itu sendiri, kini mereka berjaya membangunkan enam buah kilang aiskrim di sekitar Perlis.
Malah tirai 2022 berlabuh cemerlang dengan rekod 91 outlet Mokti’s Ice Cream di seluruh Malaysia termasuk pembukaan outlet terbaharu, Mokti’s Signature di Kuching.
Apakah resipi kejayaan Mokti’ s Ice Cream dalam tempoh dua tahun? Tonton temu bual eksklusif bersama Siti Fatimah ini…
Ditanya tentang impian bisnes Siti Fatimah, tanpa disangka beliau rupa-rupanya mahu terus menjadi pioneer dan membuka sebuah kilang kon milik Muslim pertama di negara ini. Cita-cita yang tidak mustahil jika disertai doa dan usaha!
“Alhamdulillah, sebenarnya setiap kali pembukaan outlet baru, pasti akan ada pelbagai permintaan dan pendapat yang berbeza. Kami hargai setiap pandangan dan berusaha menyelesaikan permasalahan dengan sebaik-baiknya.
Ini termasuklah isu-isu berbangkit di kilang atau staf, dan seumpamanya. Saya kira ia rutin biasa yang dialami setiap usahawan.
Hal yang paling menyeronokkan bagi saya adalah apabila staf-staf semua gembira bekerja di Mokti’s. Keluarga kecil kami ada lebih kurang 104 orang, segelintirnya adik-beradik dan majoriti staf penduduk Perlis. Saya bahagia dapat membantu memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
Saya ada plan nak menembusi pasaran Mekah. Mungkin suatu hari nanti kalau kami berjaya bawa Mokti’s Ice Cream sampai ke sana, barulah secara peribadinya saya anggap kami sudah berjaya.”
Menjadikan kecekalan arwah bapa dan semangat suaminya sebagai pembakar semangat, baca artikel perjuangan bisnes penerima Nona Best Halal Ice Cream, Siti Fatimah Adnan ini dalam naskhah edisi khas Nona Superwoman 2022 di pasaran Januari 2023.
Penulis: Norzalina Mohd Alias
Penata gaya: Kiffy Razak
Konsep: Azniza Aziz
Foto: Azfarina Sulaiman
Solekan: Mimie Romyza
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sering digelar bat woman, Prof Shi Zhengli merupakan seorang saintis yang berjasa dalam penemuan virus COVID-19. Selama lebih sedekad, ahli virologi berusia 57 tahun ini mengabadikan dirinya untuk mengkaji sains termasuk meneroka hutan tebal, mendaki gunung-ganang dan keluar masuk gua di seluruh 28 wilayah di China.
Tujuan beliau cukup unik. Beliau sanggup keluar masuk hutan semata-mata untuk memungut najis kelawar dan membawa spesimen haiwan itu ke makmal di Wuhan.
Penelitian Shi di Wuhan National Biosafety Laboratory itu berjaya mengumpulkan database lengkap mengenai virus-virus terkait kelawar di dunia.
Beliau yang juga ahli jawatankuasa Persatuan Virologi China (Mikrobiologi) turut merupakan saintis pertama yang membongkar fakta bahawa virus SARS berasal dari kelawar.
Saintis wanita Prof Shi Zhengli
Keberanian Prof Shi Zhengli meredah hutan belantara demi mengkaji kelawar
WANITA HEBAT
Dilahirkan pada 26 Mei 1964 di Xixia, Henan, China, Prof Shi Zhengli merupakan graduan lulusan Universiti Wuhan pada tahun 1987. Beliau menerima ijazah sarjana dari Institut Virologi Wuhan, Akademi Sains Cina (CAS) pada tahun 1990 dan PhD dari Universiti Montpellier 2 di Perancis pada tahun 2000.
Pada 2014, Prof Shi Zhengli terpilih sebagai penerima geran daripada kerajaan Amerika Syarikat serta geran dari program Penyelidikan Asas Negara China, Akademi Sains China, Yayasan Sains Alam Semula Jadi China dan dari Program Penyelidikan Keutamaan Strategik Akademi Sains China untuk membiayai penyelidikan beliau tentang virus COVID-19.
Semasa penularan wabak COVID-19, Shi dan 12 ahli sains yang lain membentuk kumpulan penyelidikan khas untuk mengkaji Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS-CoV 2).
Hasil kajian mereka telah diterbitkan dalam sebuah artikel bertajuk ‘Wabak Radang Paru-Paru Berkaitan COVID-19 Berkemungkinan Asal Dari Kelawar’ dan mengatakan bahawa SARS-CoV 2 berada di kelompok yang sama dengan SARS, serta paling mirip dengan keputusan kajian mereka tentang kelawar.
Kajian Prof Shi Zhengli pernah disalah tafsir
Beliau mahu manusia lebih menghargai dan menghormati alam yang didiami
Bagi ilmuwan tersebut, virus COVID-19 yang menular adalah cara alam bertindak balas terhadap manusia. Menggunakan seluruh pengetahuan dan ilmu saintifik yang ada, Prof Shi Zhengli dilaporkan telah bergabung dengan para saintis hebat dari serata dunia untuk menghasilkan vaksin COVID-19 serta menghentikan wabak tersebut.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Penghidap autisme dari Filipina, Karla Majam diumumkan sebagai Miss UniWorld 2023 dalam Pertandingan Miss UniWorld yang diadakan baru-baru ini di sebuah hotel di ibu kota.
Kredit foto: Instagram @criticalbeautyph
Gadis berusia 17 tahun itu yang berasal dari Santa Rosa, Laguna itu juga turut mencipta rekod sebagai wanita pertama dari Filipina yang memenangi gelaran Miss Uniworld. Karla disarungkan dengan mahkota bergemerlapan Ratu Kilimanjaro selepas panel juri sebulat suara menobatkannya dengan gelaran tersebut.
Pertandingan ini menyaksikan 25 peserta mewakili negara masing-masing berentap bagi merangkul gelaran Miss UniWorld. Dalam pusingan akhir Top 5, Majam berdepan saingan sengit daripada empat rakan pencabarnya dari Turkiye, Jerman, Latvia dan Georgia.
Bagaimanapun ketika sesi soal jawab yang menguji topik isu semasa dan komunikasi peserta, Majam yang juga penghidap autisme ternyata menonjol, memperlihatkan kebijaksanaannya menjawab soalan dengan begitu tenang sekaligus memberi kesan di hati penonton, terutama sekali juri.
Misi pertandingan Miss UniWorld diadakan bagi meningkatkan keunggulan pertandingan ratu dunia itu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Walau pun memiliki sedikit ketidakupayaan berbanding peserta-peserta lain, kejelitaan, keanggunan, kepintaran dan ketabahannya sepanjang menyertai pertandingan ini ternyata menambat hati juri sekaligus memutuskan Majam paling layak dipakaikan mahkota Ratu Kilimanjaro. Pada malam itu, Majam menerima hadiah serta wang tunai bernilai RM460,000.
Kredit foto: Instagram @drewfranciscow
“Saya amat berbesar hati menyandang gelaran Miss UniWorld 2023 dan memakai mahkota Ratu Kilimanjaro. Kemenangan ini bukan setakat pencapaian peribadi tetapi lebih besar maknanya. Ia juga menjadi satu janji untuk mengangkat martabat Miss UniWorld dan menawarkan khidmat dalam usaha membawa perubahan positif,” jelasnya menerusi sumber Mstar.
Tahun lalu, Niousha Roohbaksh dari Iran diumumkan sebagai pemenang. “Walaupun didiagnosis secara klinikal menghidap autisme, perjalanan hebat Karla menepis halangan sekaligus membuktikan impian boleh menjadi kenyataan tak kira apa jua dugaan yang mendatang,” kata organisasi Miss Uniworld Filipina dalam satu kenyataan yang disiarkan di Instagram.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Memiliki raut wajah yang lembut dan ayu memberi kelebihan buat penyanyi serta pelakon popular era 90an, Arni Nazira. Sedar tak sedar sudah 12 tahun Arni Nazira menyepikan diri dari bidang seni setelah mendirikan rumahtangga buat kali kedua pada tahun 2009.
Penampilan terkini Arni Nazira. Ayu sungguh!
Arni Nazira kini bahagia bersama suami tercinta, Wan Mohd Hazrie Wan Mokhtar yang merupakan seorang usahawan sukses. Mereka dikurniakan tiga cahayamata iaitu Wan Muhammad Mua’dz (11), Wan Ayesha Maserra (9) dan Wan Muhammad Mushrief (6).
Bersama suami tersayang, Wan Mohd Hazrie Wan Mokhtar.
Terdahulu, Arni Nazira pernah berkahwin dengan penyanyi rock dan pelakon terkenal, Awie pada tahun 1998 namun perkahwinan itu berakhir pada Oktober 2006. Mereka dikurniakan dua cahayamata iaitu Putri Aleeya Antasha yang kini berusia 21 tahun, dan Putri Aleefa Antasha berusia 19 tahun.
Arni Nazira bersama dua anak daranya yang cantik manis, Putri Aleeya Antasha dan Putri Aleefa Antasha.
Cantik-cantik anak dara Arni Nazira.
PERKEMBANGAN TERKINI
“Saya sekarang bergelar suri rumahtangga sepenuh masa menguruskan keluarga dan hal-hal rumahtangga. Semuanya saya lakukan sendiri dan tak pernah ada pembantu rumah. Sejujurnya tawaran berlakon masih ada tetapi saya menolaknya dengan cara baik.
Alhamdulillah saya sangat bahagia dan selesa dengan kehidupan sekarang, apatah lagi suami memang suka saya tumpukan perhatian sepenuhnya terhadap keluarga. Dulu ada juga perancangan untuk berbisnes namun tertangguh kerana tanggungjawab terhadap keluarga lebih utama.”
AMALKAN JAMU & PANTANG
Beruntungnya Arni Nazira, dalam usia 42 tahun pun kecantikan dan keayuannya tidak pernah pudar. Bukan saja raut wajah bahkan lenggok suaranya juga lembut sahaja, sama seperti dulu. Saat ditanya apa rahsia ‘awet mudanya’ Arni Nazira tidak lokek untuk berkongsi amalannya selama ini.
“Atas nasihat ibu dan nenek saya amalkan jamu, minum air kosong secukupnya dan ulam-ulaman sejak usia muda. Alhamdulillah berkat konsisten dengan amalan itu ia telah menjadi salah satu asbab untuk kelihatan awet muda dalam usia sekarang. Paling penting kesihatan dalaman turut terjaga.
Kenangan manis Arni Nazira bersama KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Satu lagi amalan ialah disiplin ketika berpantang. Dulu setiap kali bersalin ibu akan jaga saya sepanjang berpantang. Ibu seorang yang sangat menitikberatkan amalan berpantang. Kalau ikut cara berpantang dulu-dulu memang sangat ketat. Contohnya, cara berjalan dan makan ada pantangnya. Makanan sejuk-sejuk tak boleh ketika dalam pantang. Amalan bertungku dan ‘menyalai’ juga penting untuk kecutkan peranakan.
Kita wanita ni bila dah cecah usia 40 tahun dan ke atas kena beringat, jaga badan elok-elok luar dan dalam. Kerana pada usia ini badan akan mula mudah jatuh sakit. Tahap kesihatan kita dah tak sama seperti muda-muda dulu. Jadi amalkan gaya hidup sihat termasuk jaga pemakanan.
RAHSIA RUMAHTANGGA BAHAGIA
“12 tahun melayari bahtera rumahtangga pasti ada pasang surutnya. Sebagai isteri kena banyak bersabar, bertolak ansur dan sentiasa berbincang. Saya dan suami suka berkongsi apa jua perkara termasuk masalah. Tak sembunyi apa-apa kalau ada tak puas hati. Masing-masing kena jujur demi kebaikan bersama. Alhamdulillah rezeki saya dikurniakan seorang suami yang boleh give and take, memahami, bertanggungjawab dan sehati sejiwa.
Kalau nak tahu me-time saya hanya dengan suami. Kalau ke mana-mana pun selalu berdua atau berlima dengan anak-anak. Keluarga adalah ‘harta’ dan segala-galanya buat saya. Setiap wanita ada cara me-time masing-masing. Namun bagi saya keluarga adalah terapi. Kalau sedih atau stres saya tetap perlukan suami di sisi.
Pasangan romantik!
Sebagai isteri dan ibu saya sentiasa ingin menjadi yang terbaik di mata suami serta anak-anak. Begitu juga hubungan saya dengan anak-anak bekas suami iaitu Putri Aleeya Antasha dan Putri Aleefa Antasha, kami selalu berhubung. Kalau tak berjumpa kami akan berhubung melalui Whatsapp atau video call setiap hari.
Saya mendoakan agar mereka menjadi anak-anak yang soleh serta solehah, berakhlak mulia, kental jiwanya dan tidak mudah tersasar dari landasan kehidupan yang sebenar. Seterusnya menjadi insan yang berilmu. InshaAllah.”
Arni Nazira Anuar, anak kelahiran Terengganu ini mula digilap bakatnya menerusi pertandingan nyanyian Asia Bagus 1996. Setelah bergelar penyanyi, lagu nyanyian Arni Nazira berjudul ‘Cinta Antara Benua’ mula menjadi siulan sekitar tahun 1997. Manakala filem lakonan Arni Nazira ialah Nafas Cinta (1998) dan Bara (1999).
Kagum dengan semangat Datuk Mastura Tan Sri Mohd Yazid dalam menimba ilmu. Mana tidaknya, pada usia 60an dia nekad menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah atau PhD.