‘You kata you sayangkan I… Tapi at last you kebas my mother .. Ape cite?’
‘Itu dulu Erina… sebelum I jumpa mother you! Please understand me…’ jawab Akmal.
Kali pertama Erina memperkenalkan ibunya pada ku, kelu lidah tidak berkata. Degupan jantung semakin pantas, kaku seketika dibuatnya. Kala ibunya bersuara, tutur kata berlapis penuh kelembutan. Keanggunan menyerlah, sifat keibuan cukup membuat ku teruja. Raut wajahnya yang bersih, membuatkan hati ku tenang kala bersamanya. Inikah namanya cinta pandang pertama? Perasaan yang timbul itu bukanlah kerana nafsu… Ikhlas ku katakan… hati ini terpaut dengan personaliti dan kelembutan jiwa yang ada padanya.
Salahkah aku untuk mencintai wanita yang lebih berusia dari ku? Ibunya di usia 42 tahun… anak baru sahaja melangkah usia 22 tahun dan aku bukanlah terlalu muda sudah melewati usia 31 tahun. Beza usia antara kami, 11 tahun. Bagi ku tidak ada salahnya bukan… Kesilapannya hanya kerana pada awalnya aku melayan perasaan kasih sayang terhadap anaknya Erina tetapi di hujung perhubungan itu aku merasakan diri ini lebih serasi dan mencintai ibunya.
Mengenali Marissa, ibu Erina membuatkan aku benar-benar menjadi seorang lelaki sejati. Rasa bertanggungjawab dan kematangan dalam hidup, membuatkan aku cukup dihargai. Inilah wanita yang mungkin selama ini di cari dan aku rasakan sifat-sifat yang ada pada Datin Marissa tentu sahaja setiap lelaki sentiasa mendambakannya. Mungkin kerana kematangan usia dan pengalaman yang ditempuhinya setelah kematian suami, membuatkan Datin Marissa memiliki segalanya.
Bagi aku… tidak tahu cita rasa orang lain! Bila difahami sebenar-benarnya tentang diri ini, aku suka wanita yang berdikari, berkarisma, lemah lembut, penyayang dan menyerlah aura keanggunannya. Seperti aku katakan tadi, hubungan yang terjalin ini bukanlah berlandaskan nafsu… Cita rasa lelaki kadang-kadang mungkin berbeza, samalah keadaannya bila wanita muda gilakan lelaki berusia. Mungkin sahaja mereka inginkan lelaki berusia kerana kematangan mereka, mempunyai sifat bertanggungjawab selain dari wang ringgit!
Pada awalnya, semuanya agak canggung. Datin Merissa tentu sahaja enggan menerima aku. Ibu mana yang sanggup melihat anak gadisnya berendam air mata. Tetapi di waktu yang sama, Datin Merissa juga tidak menafikan perasaannya pada ku. Itu paling penting! Bukan mudah untuk mendapatkan keyakinan dan kepercayaannya menerima aku. Sejauh mana dia berlari merentasi awan biru, aku kejar bayangnya kerana aku yakin dia adalah wanita yang diciptakan untuk ku. Mungkin aku bukan jodoh pertamanya tetapi bagi ku dialah jodoh suri hidup ku selamanya… Aku lelaki yang harus kau yakini menerima mu seadanya!
Erina tidak ada cacat celanya… Manja keanak-anakan, cantik muda remaja dan seksi. Tetapi aku tidak tahu mengapa perasaan ini semakin tawar terus pada gadis muda itu dan memilih ibunya sebagai kekasih hati. Aku faham jika keadaan ini sukar di terima oleh Erina, namun aku percaya dalam usianya muda pasti sahaja dia masih mempunyai banyak peluang membuka mata lebih luas untuk menemui insan yang lebih baik dari aku. Biarkan Erina mencari keinginan dirinya sebenar, seperti aku dahulu yang tidak tahu arah jua mencari pasangan paling serasi dalam hidup… Bila suatu hari Erina tersedar, barulah dia akan tahu makna cinta sebenar dan insyaAllah dapat menerima aku seadanya. Aku hanya mampu berterusan berdoa agar semuanya sempurna seperti yang aku inginkan…
Ibu ku, pada awalnya membantah tentu sahaja kecewa dengan pilihan aku. Tetapi sekeras hati ibu, akhirnya lembut jua. Ibu lebih memahami anak lelakinya ini. Setelah diterangkan dengan jelas mengapa Merissa (tak perlu ber Datin lagi laaa) menjadi pilihan hati dan ibu pula memberi nasihat berguna pada aku… Alhamdulillah keluarga tidak lagi membantah. Itulah keistimewaan ibu ku dan aku amat menyayangi serta menyanjungnya. Dan kerana itu jugalah aku mengapa aku mengagumi Merissa kerana sebahagian dari watak ibu ada persamaan dalam dirinya.
Bila restu sudah di terima dari keluarga, aku sudah tidak peduli lagi apa yang mungkin diperkatakan oleh orang luar. Bagi aku restu ayah dan ibu itu sudah cukup untuk membuahkan kebahagiaan dalam membina rumah tangga bersama.
Aku yakin Merissa adalah jodoh ku. Dan bakal menjadi seorang isteri dan ibu yang terbaik seperti mana dia membesarkan Erisa dengan sempurna. Mungkin di tahap usianya aku tidak mengimpikan anak berderet, namun usaha itu pasti ada. Jika ada rezeki, alhamdulillah. Semuanya ketentuan Allah. Aku juga berjanji untuk menjadi seorang suami yang bertanggungjawab, matang dan mampu membimbingnya dunia serta akhirat…