Bertemu empat mata dengan Dr Fauziah Mohd Hassan yang merupakan ahli lembaga pemegang amanah Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), penasihat Rose2Rose dan ahli jawatan kuasa Pusat Pertubuhan Ikram Malaysia. Sudah lama sebenarnya beliau bergiat aktif dalam bidang kemanusiaan ini namun namanya menjadi popular sejak Oktober tahun lalu kerana ekspedisi keamanan Women’s Boat to Gaza yang ditawan oleh tentera Israel sebaik sahaja memasuki perairan Gaza. Video petisyen beliau yang meminta mereka dikeluarkan dari negara haram Israel menjadi viral serta merta.
Mendekati pakar perunding O&G di Hospital Ampang Puteri ini, keperibadiannya yang sangat keibuan membuatkan penulis berasa senang sepanjang sesi fotografi dijalankan. Dalam setiap jawapan yang diberikan ternyata beliau punya semangat juang yang tinggi dan tidak pernah menyerah kalah. Semoga kisah perkongsian ini menjadi satu iktibar dan juga teladan kepada semua pembaca Nona untuk melibatkan diri di dalam bidang kemanusiaan kelak.
PENGLIBATAN
Sudah sibuk dengan kerjaya sebagai seorang doktor kemudian bergiat aktif didalam bidang kepamusiaan pula. Apakah faktor yang membuatkan anda seorang individu yang aktif untuk membantu keamanan sejagat? “Saya rasa ia adalah sebahagian dari diri ini. Sebagai seorang doktor sememangnya sudah menjadi tugas hakiki saya untuk membantu orang. Apabila terdengar krisis kemanusiaan yang semakin menjadi-jadi saya terpanggil untuk turut menghulurkan bantuan, namun ketika terdetiknya niat itu saya masih belum jumpa cara bagaimana hendak membantu sehinggalah pada tahun 1999 apabila Tan Sri Jamilah mengajak saya menyertai misi perubatan Mercy. Sejak itu saya banyak menyertai misi kemanusiaan antaranya di Kosovo, Maluku, Afghanistan, Aceh, Pakistan dan Gaza. Semua misi ini saya ikuti ketika bersama dengan Mercy Malaysia. Kemudian apabila Aqsa Syarif ditubuhkan pada tahun 2010, alhamdulillah saya telah diberi kepercayaan untuk menjawat kerusi timbalan pengerusi dan kini saya turut bertindak dan berkhidmat sebagai seorang ahli lembaga pemegang amanah untuk Humanitarian Care Malaysia atau lebih dikenali dengan nama MyCARE.”
Apakah dorongan yang membuatkan anda memilih untuk bergiat aktif dalam bidang ini? “ Penderitaan wanita dan kanak-kanak Palestin menjadi satu sumber kekuatan untuk saya bergerak ke hadapan bagi menghulurkan bantuan. Kalau nak tahu, menurut laporan World Health Organization (WHO), kawasan Semenanjung Gaza yang selama ini menjadi kawasan panas yang diceroboh oleh Israel mungkin tidak lagi sesuai di diami pada tahun 2020 berikutan pelbagai jenis operasi ketenteraan dan juga sekatan yang berteruskan hampir sedekad lamanya.
Kalau bukan kita yang melakukan sesuatu, siapa lagi yang boleh? Dunia seakan lupa yang Gaza telah dikepung selama lebih 10 tahun. Untuk membantu, bukan hanya krisis-krisis di bahagaian Asia Barat sahaja yang perlu ditangani, malahan di Malaysia juga kita perlu peka terhadap mereka yang memerlukan bantuan. Ingatlah bahawa sekecil-kecil bantuan sangat bermakna daripada tidak berbuat apa-apa, kalau ada seringgit sumbanglah seringgit jangan pernah malu, kerana nilai yang sedikit itulah mampu mengubah kehidupan mereka yang memerlukan,” ujarnya penuh semangat.
Ads
PERJALANAN WANITA
Berita tentang ekspedisi Women’s Boat to Gaza yang ditawan tentera Israel membuka mata banyak pihak tentang perjuangan dalam menyedarkan dunia bahawa penduduk Gaza sudah lama ditindas. Untuk pengetahuan anda selain Dr Fauziah, terdapat 13 orang lagi wanita yang turut berada di atas bos tersebut dan mereka terdiri dari pelbagai warganegara, agama dan juga bangsa. Antaranya, dari negara Sepanyol, New Zealand, South Africa, Rusia, Australia, Norway, Sweeden, Ireland Utara dan Kanada.
Sebelum memulakan pelayaran misi ini, adakah sudah tahu bahawa yang misi ini pasti akan gagal dek sekatan kejam rejim Israel di perairan Semenanjung Gaza. Jawab wanita ini, “Memang kami tahu kami akan ditangkap, 99 peratus kami yakin kami akan ditangkap dan hanya satu peratus sahaja keyakinan kami bahawa kami akan selamat sampai. Walaupun sudah agak pasti bahawa keadaan tidak akan menyebelahi kami namun apa yang penting adalah mesej yang cuba kami sampaikan kepada seluruh dunia bahawa masyarakat Palestin di Semenanjung Gaza ditindas habis-habisan oleh rejim Israel. Sekurang-kurangnya apabila kami ditangkap sekalipun dunia sedar bahawa masyarakat Palestin masih ditindas dan diperlakukan secara tidak adil.”
Ketika askar rejim Israel menculik delegasi Women’s to Gaza, bagaimana anda mengikis rasa takut apabila berhadapan dengan situasi tersebut? “Saya menyerahkan segala-galanya kepada Allah SWT dan kepada Dia tempat saya bergantung. Saya sentiasa berdoa agar dipelihara keselematan oleh-Nya. Sebelum pelayaran lagi kami sebenarnya sudah dipersiapkan dengan simulasi dan juga latihan non-violence, bahkan ketika di atas bot pun kami berlatih berulang kali tentang reaksi apa yang perlu dilakukan apabila ditangkap. Tunjuk tangan kosong, muka tidak ada mimik marah dan bercakap dengan penuh diplomasi. Sebaik sahaja kami ditangkap saya berbisik kepada diri sendiri supaya tenang dan terus tenang. Ketika kami ditunda masuk ke kawasan haram Israel, kami menangis melihat Gaza kerana ia begitu dekat dan kami tahu banyak keluarga, kawan-kawan, ibu-ibu kecil bersama anak menunggu kami bersama kad kesihatan mereka. Suasana Gaza yang kami lihat sangat malap, gelap gelita dengan hanya ada empat kerlipan lampu.”
Ads
Ketika berada di dalam tahanan Israel apakah yang mereka lakukan kepada seluruh delegasi misi Women’s Boat to Gaza? “Semasa di atas kapal mereka geledah seluruh kawasan habis-habisan, tujuannya hendak mencari kamera tersembunyi dan juga senjati. Kami sememangnya sudah bersedia awal-awal telah membuang pelbagai jenis alat teknologi dan juga pisau ke dalam laut. Setelah kami ditahan, setiap langkah diawasi dan dirakam, ini adalah taktik mereka untuk menunjukkan bahawa mereka tidak mengasari wanita padahal mereka sebenarnya setiap hari mengganggu dan mengasari murabitat yang menjaga masjid Al-Aqsa, wanita-wanita dan kanak-kanak awam di Gaza. “
Penulis bertanya lagi, siapakah murabitat dan apakah peranan mereka di Masjid Al-Aqsa? Jawab beliau, “Untuk pengetahuan semua, murabitat adalah kelompok wanita yang bergilir-gilir duduk di Masjid Al-Aqsa supaya masjid tersebut tidak kosong. Memandangkan orang lelaki dewasa tidak dibenarkan ke sana jadi hanya merekalah harapan untuk memastikan bahawa masjid itu tidak kosong lantas memberi peluang kepada orang Israel untuk memasuki dan menguasainya. Mereka inilah golongan yang selalu dikasari oleh askar-askar rejim negara haram Israel.”
Mendengar kisah beliau membuatkan penulis berfikir seketika, apakah sumbangan diri ini yang sudah dihulurkan buat saudara kita disana, memang ia mengetuk pintu hati. Rasa sedih, kecewa dan marah menyelubungi diri, mengapa dan kenapa Palestin terus menerus di tawan? Sesungguhnya harga keamanan kini semakin mahal. Dalam rancak kami berbual, penulis bertanyakan kepada Dr. Fauziah mengenai sesetengah rakyat Malaysia yang memilih untuk memasuki Israel bagi melawat Masjid Al-Aqsa. Dengar-dengar aktiviti ini sebenarnya hanya mengundang kemajuan ekonomi Israel? Benarkah sebegitu?
Ads
“Soal ekonomi saya tidak boleh jawab, namun bagi saya apa yang terjadi hari ini adalah ramai yang mengambil kesempatan melawat Palestin dan Masjid Al-Aqsa ekoran perjanjian damai di antara Jordan dan Israel. Ini merupakan agenda normalisasi Zionis Israel untuk menunjukkan bahawa Masjid Al-Aqsa dan palestin berada dalam keadaan aman walhal ia tidak sebegitu. Hakikatnya kedua-dua tempat ini terus menerus dijajah! Kita perlu sedar bahawa ini adalah taktik licik israel, dalam dia sebenarnya mereka melumpuhkan semangat jihad umat Islam untuk menuntut kebebasan Al-Aqsa dan Palestin. Untuk pengetahuan semua, apa yang diperlukan oleh kedua-dua tempat ini adalah ia dibebaskan dan bukannya dilawati!” jawab beliau meluahkan pandangan peribadi mengenai hal ini.
CERITA TERKESAN
Pernahkah anda menitikkan air mata sepanjang menyertai misi kemanusiaan? “Kalau nak cakap soal kesedihan atau menyayat hati, saya bukanlah seorang yang senang menangis dan sangat penting untuk saya mempunyai mental yang kuat apabila menyertai misi kemanusian. Namun berbeza dengan misi kemanusiaan di Turki pada tahun 2014 yang mana saya membantu pelarian wanita dari negara Syiria yang sekian lama dipenjarakan di dalam penjara Bashar Al-Assad. Kisah dan juga trauma yang dialami oleh wanita-wanita ini membuatkan airmata saya jatuh, sedih! memang sangat menyayat hati. Wanita-wanita ini ditahan kerana suami mereka dituduh sebagai tentera pemberontak yang menentang Bashar Al-Assad.
Bayangkan sebelum mereka melarikan diri sepanjang dalam tahanan saban hari ada sahaja lelaki yang merogol mereka bukan setakat rogol malahan alat sulit mereka dirodok dengan kayu dan tikus dimasukkan ke dalamnya. Paling menyedihkan apabila mereka berkaya keluar dari penjara keluarga sendiri tidak dapat menerima keadaan diri mereka dan ada yang diceraikan seuami. Bayangkan betapa betapa kejamnya penderaan yang dilakukan. Apabila sampai di Turki para doktor terpaksa membaiki kemaluan mereka. Ada seorang wanita yang saya bantu, langsung tidak boleh melihat lelaki, dia akan menangis dan meraung akibat kesan trauma. Wanita-wanita yang dahulunya menderita ini sekarang sudah bekerja dibawah Syirian Women Association dalam membantu orang lain yang memerlukan pula.”
*ARTIKEL INI DITERBITKAN DI DALAM NONA EDISI MAC 2017
Bagi mereka yang gemar melayari media sosial untuk mencari resipi-resipi baru untuk dicuba pasti familiar dengan wajah kacak ini. Jejaka berusia 29 tahun ini sering berkongsi video-video di TikTok yang memaparkan aksinya sedang memasak sambil tersenyum manis sehingga menarik perhatian ramai.
Setiap kali muncul dalam video masakannya, senyuman itulah yang menjadi ‘trademark’ serta daya penarik kepada jejaka yang bernama Mohd Shafiq Zulkarnain ini. Maka, tercetusnya gelaran ‘Shafiq Cute’ yang kini tular di media sosial.
Rata-rata para pengikut Shafiq seronok melihat dia memasak serta berkongsi resepi makanan mudah yang boleh dicuba pada bila-bila masa.
Selain memasak sambil tersenyum, penampilan kemas Shafiq turut menjadi perhatian warga maya. Bilangan pengikutnya juga semakin hari semakin bertambah.
Di sebalik kelincahannya memasak di dapur, siapa sangka anak kelahiran Alor Gajah, Melaka ini sebenarnya seorang Pegawai Forensik di Jabatan Kimia Malaysia. Wow, hebatnya!
Memetik perkongsian Shafiq kepada Harian Metro baru-baru ini dia sememangnya minat memasak dan belajar daripada ibu, Noraini Buang, sejak usianya 11 tahun. Selain itu, Shafiq menjadikan aktiviti memasak sebagai hobi.
“Saya memang minat memasak dan sudah menganggapnya sebagai satu hobi serta terapi untuk menghilangkan tekanan kerja.
“Hobi itu berterusan sehinggalah kini. Setiap kali pulang dari kerja atau cuti rehat, saya akan memasak.”
Memandangkan Shafiq masih bujang dan barang keperluan memasak juga terhad, Shafiq hanya menggunakan apa yang ada sahaja mengikut sukatan yang dianggarkan.
“Memandangkan saya masih bujang maka kelengkapan di rumah agak terhad. Saya hanya menggunakan apa saja yang ada, misalnya cawan untuk menyukat bahan.
“Saya tunjukkan satu persatu cara memasak supaya pengikut yang menonton tidak rasa susah untuk mencubanya di rumah.”
Menurut Shafiq, dia hanya berkongsi minat dengan para pengikutnya selain memberi kepuasan dan kegembiraan buat dirinya. Segala kerja-kerja suntingan video dilakukan sendiri oleh Shafiq. Selain di TikTok, Shafiq turut mempunyai pengikut yang ramai di Facebook, Instagram serta Youtube.
Shafiq memberitahu, untuk menghasilkan sesebuah video memerlukan perancangan rapi dari segi penyediaan dan bahan-bahan. Apatah lagi bagi dirinya yang bekerja, perancangan dan persediaan awal adalah sangat penting.
Pun begitu, untuk menghasilkan hidangan yang sedap dan menarik tidak semestinya perlu dimasak dengan cara yang terlalu rumit dan menggunakan bahan-bahan yang sukar diperolehi. Dia sendiri berkongsi masakan ringkas namun tetap nampak menyelerakan. Peralatan yang digunakan juga ringkas.
“Memasak tidak semestinya perlu rumit dan perlu menggunakan bahan-bahan yang sukar didapati. Cukup seperti ibu-ibu kita dulu, guna sahaja apa yang ada di dapur.
“Kita harus kreatif sahaja, memasak bukan satu proses rumit.”
Bagi Shafiq tiada istilah ‘sukar’ dalam kamus masakannya kerana semua mampu lakukan jika ada semangat untuk mencuba. Selain rajin mencipta resipi sendiri dan bertanya rakan-rakan, Shafiq juga sering mencari idea resipi-resipi baru di Internet. Meihat kepada minatnya, Shafiq lebih cenderung kepada menghasilkan pelbagai jenis kek, kuih dan biskut.
Semoga segala impian Shafiq terlaksana dan sukses dalam bidang yang diminati.
Kredit Foto: Instagram Shafiq Cute
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Rindu nak tengok lakonan selebriti ini dan hanya drama diulang siar sebagai pengubat rindu. Dalam diam, rupanya kini Ayu Raudhah ligat berniaga.
Siapa sangka isteri kepada pemain bola sepak Negeri Sembilan, Zaquan Adha ini bijak mengatur masa menguruskan perniagaan di samping membesarkan lima cahaya mata, Muhammad Aisy Qaiser, 8, Muhammad Aisy Aryann, 7, Laura Zuleykha, 4, Muhammad Aisy Khaliq, 2 dan Muhamad Aisy Al Jibreel (10 bulan) yang sedang membesar. Sesungguhnya tugas ‘Mompreneur‘ bukan mudah untuk digalas.
Foto: Instagram @zaqone_08
Pemilik nama sebenar Raudhah Che Wan ini perlahan-lahan mengurangkan aktiviti seni dan menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga. Ketika memilih keputusan ini rupanya Ayu Raudhah ligat berniaga.
Ayu juga mula berjinak-jinak menceburi dunia perniagaan termasuk mengeluarkan produk kecantikan kulit, pakaian Muslimah dan lelaki serta tudung.
Terbaharu Ayu Raudhah telah dilantik menjadi rakan strategik bagi memasarkan jenama byLR yang berperanan sebagai duta dan meningkatkan pengaruh serta kesedaran jenama tersebut.
“Saya fikir ini juga masa dan peluang terbaik untuk melangkah ke fasa lain sebagai usahawan. Ketika ini perhatian tertumpu kepada koleksi sedondon raya si ibu dan anak perempuan dan sebanyak 10,000 helai pakaian diterbitkan sempena kehadiran Ramadan dan Syawal,” kata Ayu yang turut menampilkan anak perempuannya sebagai model baju raya si cilik.
Ayu Raudah di samping satu-satunya anak perempuan, Laura Zuleykha.Wajah comel anak perempuan Ayu Raudhah sebagai model baju raya cilik.
Tidak hanya sibuk menguruskan koleksi baju raya byLR, Ayu Raudhah kini juga bergelar usahawan kafe. Sejak lebih sebulan lalu, Ayu dan suaminya membuka sebuah kafe makanan di Seremban yang diberi nama ZA Cafe.
“Sepanjang bulan Ramadan ini Ayu akan sibuk menguruskan keluarga dan anak-anak. Tapi bila dah buka kafe ni Ayu akan sibuk dekat kafe dan dalam masa yang sama akan aktif dalam rangka promosi byLR Design untuk koleksi baju raya.
Ayu Raudhah tetap jelita macam dulu.
Prioriti Ayu tetap keluarga sebab itu Ayu pilih bisnes. Apabila berniaga kita boleh merancang sendiri masa antara keluarga dan bisnes. Walau bagaimanapun prioriti adalah famili,” kata Pemenang kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem menerusi filem Lagenda Budak Setan 3 di Anugerah Skrin 2015 (ASK 2015) ini.
Tak langkap sekiranya tidak bertanya tentang persiapan raya adik kepada selebriti Rozita Che Wan ini. “Saya memang teruja sangat nak sambut raya sebab dah dua tahun tak boleh balik raya. Tambah pula tahun ini giliran beraya di Kedah.
Ayu Raudhah menggayakan koleksi baju rayanya.Di samping mmepromosi baju raya Ayu Raudhah juga sibuk dengan perniagaan kafe.
Tak sabar nak jumpa adik beradik dan tak sabar dengan aktiviti wajib buat ‘show‘ pagi-pagi raya nanti. Alhamdulillah, dua pasang baju untuk famili dan 6 pasang dah confirm sebab ada baju byLR,” ujar Ayu Raudhah sambil tersenyum.
Wanita yang hebat adalah wanita yang tahu apa yang diingini di dalam kehidupan. Bukan sekadar memiliki objektif bahkan menyumbang kepada pembangunan insan di sekeliling. Tidak kiralah apa pun latar belakang keluarga, ia bukan menjadi satu jaminan atau tiket yang pantas untuk berjaya. Biarpun beliau berdarah keturunan diraja dari kerabat Negeri Sembilan ia langsung tidak memberi kelebihan kepadanya dalam mendaki tangga kejayaan sebaliknya usaha yang tidak kenal erti lelah dan juga kesungguhan yang tinggi menjadi kunci kepada kehidupan yang lebih baik.
Boleh ceritakan mengenai perjalanan kerjaya anda?
Sebaik sahaja tamat pengajian di peringkat diploma, saya terus mencari pekerjaan dan alhamdulillah ketika itu saya diterima bekerja di IBM Malaysia. Kemudian saya bertukar kerjaya di dalam bidang penyiaran radio di bahagian pemasaran bersama dengan Media Prima Berhad dan ketika itu radio hot.fm baru sahaja dilancarkan jadi saya diletakkan dalam posisi untuk membangunkan jenama ini. Sepanjang bekerja di sana tidak dinafikan saya menimba begitu banyak pengalaman dan bertemu ramai orang. Dari satu acara ke satu acara dan semuanya begitu menyeronokkan namun lama kelamaan saya mula terfikir bahawa kalau saya terus dengan kerjaya ini mungkin saya tidak mampu memperoleh pendapatan yang tinggi. Kalau nak tahu selepas menceburi kerjaya ini saya pernah menyertai multi level marketing dan bermacam-macam lagi jenis kerjaya yang saya rasakan boleh memberi keuntungan namun semuanya tidak membuahkah hasil sehinggalah saya menceburkan diri dengan Public Mutual. Bermula pada tahun 2010 saya bermula dari bawah dan belajar selok-belok dunia pengurusan kewangan ini dengan mereka yang lebih senior.
Kalau nak tahu, untuk berjaya di dalam Public Mutual bukanlah mudah, sebaliknya ia memerlukan sikap yang positif dan minat yang tinggi. Selain itu seseorang perlu suka cabaran dan apabila berdepan dengan klien berpotensi kita harus mempersiapkan diri dengan segala maklumat. Caci dan maki daripada mentor adalah perkara biasa, namun saya faham bahawa mereka mahu menolak saya untuk menjadi seorang insan yang lebih kuat dan cabaran serta dorongan mereka itu saya ambil dari sudut positif. Alhamdulillah, gaji pertama saya sebagai Perunding Unit Trust mencecah RM6000, mungkin kedengaran tidak banyak tetapi percayalah saya cukup bersyukur dan gembira. Sebelum ini menerusi pekerjaan lain gaji saya tidak sampai pun sebanyak itu. Jadi ini menaikkan lagi semangat saya untuk berjaya di dalam bidang ini. Dari jawatan Perunding Unit Trust saya sedikit demi sedikit mendaki tangga kerjaya dengan bergelar Agency Supervisor kemudian naik sebagai Agency Manager sehinggalah bergelar Group Agency Manager kepada kumpulan saya sendiri sehingga kini.
Pernahkah orang lain merendah-rendah pilihan kerjaya anda?
Pernah! Bukannya orang luar, orang terdekat dengan saya pun merendah-rendahkan jalan kerjaya yang saya pilih. Ada yang pernah mempersoalkan boleh kaya ke sebagai seorang Perunding Public Mutual. Lebih teruk dari itu saya dipandang kecil sahaja berbanding orang lain. Tetapi saya langsung tidak mengambil peduli apa tanggapan mereka. Saya sesekali tidak mahu bersikap kurang ajar, jadi saya hanya mendiamkan diri. Perkara ini menjadikan semangat saya lebih kuat untuk berjaya. Sesungguhnya percaturan rezeki Allah untuk hambanya yang bekerja keras sangat besar. Kini apabila sudah berjaya orang yang dahulunya memperkecilkan saya sudah tidak boleh merendah-rendahkan diri ini. Jauh di sudut hati ini, saya serba sedikit berterima kasih kerana merekalah yang menjadikan saya seorang wanita yang kental untuk mencapai impian
Boleh kongsi tiga tip untuk menjadi orang berjaya?
Tiga perkara yang perlu ada untuk jadi orang berjaya ialah rajin, impian dan juga doa. Pertama kita perlu rajin berusaha, kalau kita malas bagaimana kita hendak berjaya bukan. Hanya orang yang rajin sahaja mampu menjalankan tanggungjawab dan tugasan dengan baik. Yang kedua pula impian, kalau rajin sahaja tetapi tiada impian pun tidak berguna juga. Jadi kita perlu tetapkan satu set di dalam minda apa yang kita mahukan, jadi kita perlu kejar impian tersebut. Yang terakhir sekali ialah kuasa sebuah doa. Jangan pernah pandang enteng terhadap kuasa sebuah doa, InsyaAllah jika kita rajin berdoa kepadaNya dia akan memakbulkan permintaan tersebut. – Fiezreen Ahmad
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pelakon jelita Korea Selatan ini sentiasa memukau dengan kecantikannya yang awet muda. Tidak sekadar bakat lakonan, pesona Song Hye Kyo juga terletak pada kulitnya...