Jenama hijab terkenal di Indonesia, Buttonscarves membuka cawangan terbaharunya di pusat beli belah One Utama minggu lalu.
Ia merupakan butik ketiga jenama popular dari Indonesia itu berada di pasaran Malaysia bagi memenuhi permintaan peminat jenama ini yang digelar BS Ladies untuk mendapatkan produk keluarannya.
Butik berkeluasan 2,414 kaki persegi itu menempatkan pelbagai produk Buttonscarves antaranya termasuklah pakaian, hijab, koleksi tas tangan, kasut dan aksesori.
Menurut Pengasas Buttonscarves, Linda Anggreaningsih, jenama tersebut amat teruja untuk membuka cawangan di Malaysia memandangkan ia semakin mendapat tempat di kalangan BS Ladies di Malaysia.
Jenama yang ditubuhkan sejak 2016 mempunyai perancangan yang besar untuk meluaskan empayarnya ke seluruh dunia. Sejak diperkenalkan, Buttonscarves telah mendapat perhatian jenama antarabangsa untuk bekerjasama antaranya termasuklah Disney dan Hasbro selain menjalinkan kerjasama dengan nama-nama besar di Indonesia antaranya termasuklah Dian Pelangi, Raisa dan Indah Nada Puspita.
Buttonscarves juga melantik selebriti terkenal, Elfira Loy sebagai duta Buttonscarves dan merancang pelbagai kerjasama dengan ibu kepada dua cahayamata itu.
Ketika ditanya mengenai perlantikan tersebut, Elfira Loy ternyata tidak dapat menyembunyikan rasa teruja apabila jenama kegemarannya itu melamar dirinya untuk menjadi duta.
“El sememangnya peminat jenama Buttonscarves sejak ia diperkenalkan pada tahun 2016. El sentiasa mengikuti perkembangan jenama tersebut. Apabila pihak Buttonscarves ‘melamar’ El untuk menjadi duta, sudah tentu El sudi menerimanya kerana sudah jatuh cinta dengan setiap produk yang dihasilkan,” ujar Elfira yang menjalani penggambaran kempen iklan Buttonscarves di Paris.
Menurut Pengarah Serantau Buttonscarves Malaysia, Sharifah Itasha Jamalullai, Elfira Loy dipilih sebagai duta memandangkan selebriti ini bukan sahaja merupakan penggemar jenama Buttonscarves, malah mempunyai gaya dan karisma yang sinonim dengan jenama Buttonscarves sekaligus amat bersesuaian dengan apa yang diimpikan oleh jenama Buttonscarves.
Majlis pembukaan rasmi Butik Buttonscarves turut dihadiri beberapa sebelbriti terkenal antaranya termasuklah Mira Filzah, Amira Othman, Whulandary Herman dan Dayah Bakar.