
Pengumuman isteri Fizo Omar yang mendedahkan dia kini sedang berbadan dua mendapat pelbagai reaksi daripada peminat. Rata-rata mereka turut tumpang gembira dan mendoakan agar kesihatan ibu serta kandungan berada dalam keadaan baik.
Tenang melalui proses kehamilan, Fazeera Nazri Azrai bertuah kerana dikurniakan rezeki mudah hamil. Sejak mendirikan rumah tangga dengan aktor Fizo Omar hampir empat tahun lalu, mereka mempunyai dua anak perempuan masing-masing berusia tiga dan dua tahun.
Isteri Fizo Omar Dedah Hamil Anak Ketiga
Memuat naik video di media sosial menyampaikan khabar gembira itu, Fazeera atau mesra disapa Faz meluahkan rasa syukur dikurniakan rezeki hamil anak ketiga.
“Alhamdulillah. Cahaya mata nama diberi yang datang tak kira ruang dan waktu. Yakinlah pada lorong dan corong rezeki yang hadir daripada cahaya itu. Tidak salah firasatku, benarlah perjanjian dari yang Esa ini.
Kami bersyukur kerana munculnya cahaya mata yang kami ada, sepi tak lagi terasa kerana tawa kecilnya pemecah kesunyian.
Walau ada rintangan, di waktu kesempitan, kami kekal percaya akan ada sinar rezeki di setiap cahaya mata bagi meneruskan kehidupan di dunia ini.
Alhamdulillah, kami bersyukur kepada-Mu kerana kami tahu rezeki bukan dilimpah dalam bentuk kekayaan sahaja. Namun ia disimbah dalam bentuk kesihatan, cahaya mata dan ketenangan.”
View this post on Instagram
Tanggal 21 Oktober depan genap empat tahun Faz bergelar isteri Fizo Omar. Sepanjang tempoh perkahwinan itu, mereka cekal melayari alam rumah tangga.
Apatah lagi dengan kehadiran permata hati sebagai pelengkap rumah tangga yang diberi nama Wan Khaleeda dan Wan Umaira.
Artikel https://www.nona.my/genap-3-tahun-kahwin-fazeera-bahagia-jadi-suri-hati-fizo-omar-dikurnia-2-anak/
Isteri Fizo Omar Bijak, Genggam Ijazah Kelas Pertama
Tidak sekadar menambah bilangan ahli keluarga, Faz yang juga bekas pramugari turut melakar pencapaian sendiri apabila berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan kelas pertama pada November 2024.
Selain memenuhi jemputan sebagai Professional Etiquette Trainer, Faz juga mengusahakan produk makanan bersama suami tercinta iaitu Mi Kari Pop!
Menerusi perkahwinan terdahulu Fizo Omar, dia turut mempunyai seorang anak perempuan yang diberi nama Wan Maryam.
Semoga rumah tangga yang dibina Faz dan Fizo kekal bahagia sampai syurga.