Eriyca Baiduri Abd Rashid mempunyai cita-cita sebagai Pembaca Berita tetapi rezeki wanita berdarah Melayu dan Thailand ini lebih menjurus ke bidang perniagaan. Menyambung pelajaran di peringkat Diploma dalam Penjagaan Diri telah mencetuskan idea untuk menceburi perniagaan berkaitan kecantikan. Pengasas kepada produk kecantikan Noir Health & Beauty ini optimis terhadap perniagaan yang telah mencipta namanya.
“Saya berkahwin pada usia yang terlalu muda. Tetapi itu bukan alasan untuk saya duduk bergoyang kaki sahaja. Saya mahu merealisasikan cita-cita untuk mempunyai perniagaan sendiri walaupun pada mulanya suami tidak menggalakkan. Suami lebih suka saya duduk di rumah sahaja. Tetapi, apabila melihat kesungguhan dan komitmen saya terhadap perniagaan, suami membenarkan malah menjadi penyokong kuat di belakang saya.
Adat dalam membina perniagaan sudah pasti ada pasang dan juga surut. Berkecimpung dalam dunia perniagaan di usia yang sangat muda dan mengalami saat jatuh beberapa kali dalam perniagaan telah mematangkan diri. Akhirnya kini saya mampu memiliki apa yang saya impikan walaupun perjalanan saya masih jauh lagi.
Saya berusaha keras bagi memastikan perjalanan produk Noir ini terus melekat di hati masyarakat terutama wanita yang mementingkan kecantikan. Produk serum dan krim pelindung tabir suria merupakan star product meniti dari bibir ke bibir wanita yang berpuas hati dengan keberkesanan kedua-dua produk ini. Saya telah merencana beberapa rancangan pada tahun ini dan mahu memperkembangkan lagi produk Noir di pasaran luar seperti Indonesia dan Singapura,” ulas wanita berkulit putih gebu ini bersungguh-sungguh ketika berbicara tentang produk yang telah diusahakannya ini.
Ads
Cabaran dalam bidang perniagaan bukan suatu yang mudah untuk diaturkan. Percaturan yang besar seperti untung sabut timbul untung batu tenggelam tidak pernah singgah dalam kamus kehidupan wanita mudah mesra ini. “Seperti yang kita sedia maklum produk kecantikan kini tumbuh ibarat cendawan selepas hujan. Setiap hari pasti muncul jenama baharu di pasaran. Itu belum termasuk lagi jenama luar negara yang telah bertapak kukuh di kaunter-kaunter kecantikan pasar raya besar.
Saya menganggap persaingan adalah suatu yang sihat dan setiap produk masing-masing mahu menjadi yang terbaik. Situasi ini paling menguntungkan kepada pengguna kerana dapat manfaat yang terbaik dalam setiap produk. Cabaran ini telah menyuntik semangat dalam diri ini dan perlu bekerja lebih keras kerana persaingan di dalam bidang kosmetik terlalu banyak.
Ads
Bagaimanakah cara mahu agar terus kekal dalam bidang perniagaan? Pada saya tiada jalan mudah untuk berjaya. Sesiapa sahaja yang mengusahakan perniagaan sendiri mempunyai percaturan yang tersendiri. Saya perlu konsisten, sentiasa menambah ilmu tentang perniagaan, menambah baik ilmu dalam pemasaran, produk dan perkhidmatan serta yang paling penting disiplin diri,” jelas wanita yang turut menjual produk secara atas talian ini.
Ketika diajukan pertanyaan tentang rancangan masa depannya dengan tegas wanita ini mahu mengembangkan lagi produk kecantikannya. Tambahnya perniagaan berasaskan kecantikan yang diusahakannya ini bukan membabitkan dirinya seorang diri. Terdapat agen dan stokis yang berdiri kukuh di belakangnya sentiasa menyokong di antara satu sama lain.
Ads
“Sebagai pengasas produk saya tahu peranan agen dan stokis sangat penting dalam meningkatkan perniagaan. Saya tidak akan menjadi seperti sekarang tanpa sokongan padu daripada mereka. Hubungan saya dengan agen dan stokis sangat rapat umpama adik-beradik. Kami sering berbincang bagaimana mahu meningkatkan perniagaan dan mahu menyasarkan perniagaan ke tingkat mana.
Kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa usaha yang gigih dan tanpa kenal erti jemu. Bagi saya untuk berjaya perlu sentiasa yakin pada diri sendiri, tidak pernah kenal erti malu untuk berjaya atau meningkatkan perniagaan dan mempunyai disiplin yang tinggi dalam melakukan sesuatu perkara.
Apakah ketakutan dalam perniagaan? Untuk sukses dalam perniagaan tidak perlu ada istilah takut dalam diri. Tetapi bagi saya perasaan ini perlu ada agar tidak sentiasa mendongak ke langit tanpa memandang bumi di bawah. Saya sentiasa takut tidak berada di arah yang betul dalam perniagaan atau tersasar pada matlamat asal untuk membina perniagaan ini,” ujar Eriyca sambil tersenyum.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Namanya mula melonjak naik bersama single berjudul ‘Elergi Sepi’ yang menjadi fenomena sekitar sebelas tahun lalu pada tahun 2013 membuatkan penyanyi asal kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini akhirnya berjaya menempa nama gah dalam industri hiburan tanah air dan bakat suara yang dimilikinya tidak perlu disangkal lagi.
Bagaimanapun, malang tidak berbau apabila pada Mac lalu, ibu kepada dua cahaya mata ini duji dengan begitu hebat apabila disahkan menghidap kanser rahim peringkat awal.
Team NONA berkesempatan bertemu mata dan menemubual jelitawan berdarah campuran peranakan Pakistan ini dan bertanyakan perkembangan kesihatan beliau, bersempena Pinktober iaitu bulan kesedaran kanser payudara tahun ini.
“Nina punya treatment yang Nina Jalani daripada bermula pada bulan Mac yang lepas. So dah enam bulan, kita pun dah buat ujian baru dan Alhamdulillah, dapat keputusan yang sangat bagus. Jadi sekarang kita dalam proses pemantauan dan masih ongoing medication untuk untuk seumur hidup Nina.
“Actually dah pernah announce tapi mungkin benda tu tidak ramai yang tahu saya sebenarnya Nina menghidap kanser rahim. Personally, Nina sangat bersyukur, sebab Nina dapat tahu awal.
“Mula-mula tu saya tak berapa nak kisah sangat, yela pada waktu itu kita muda kan. Let we say kita tak peduli pun, yang kita tau cari duit dan kerja. But as I aged, masa umur 28 tahun, Nina masa tu nak ambil anti-aging hormone. Jadi saya buat pemeriksaan kesihatan, setiap enam bulan sekali dan juga papsmear sekurang-kurangnya setahun sekali.
“Walaupun kadang-kadang tu kita terbabas juga, kalau masa tengah baik tu kita check up dua kali setahun. Tapi kita manusia kan, kadang-kadang kita lalai. Tapi syukur alhamdullilah, tahun lepas saya ada buat pemeriksaan kesihatan dan pada ketika itulah saya dapat tau tahap kesihatan saya tak cantik. Tapi saya tak nak stress dulu,” Ujarnya.
Sekadar info, Azharina berkata demikian ketika ditemui pada majlis inisiatif ‘Moments of CARE’ dimana NIVEA dan Watsons berganding bahu memperkasa misi Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA) untuk meningkatkan kesedaran dan penjagaan Kanser Payudara di kalangan wanita di Malaysia.
Tambah Azharina lagi, antara perkara yang menjadi titik perubahan yang merubah hidupnya 360 darjah apabila dia mula mengalami pendarahan yang berlebihan tanpa henti selama tiga bulan.
“Tapi bila masa datang bulan (Period) pendarahan tak berhenti dan terlampau banyak, saya jumpa doktor. Kemudian jadi keadaan jadi makin teruk, energy drop badan kita pun jadi sangat letih, sampai kena ambil Vitamin.
“Saya ambil masa bersemuka dan berjumpa dengan doktor pakar. Saya buat proper test dan saya di diagnos dengan betul sebagai penghidap kanser rahim.
“Bila dapat tahu awal kita dapat prevent, especially now with the all medical kan. Banyak sangat alternative way. Jadi saya sangat bersyukur, saya dapat tahu awal dan bukan ketika dah teruk sangat.
“Semua orang tau karakter Nina sangat bubbly, sangat suka bercakap kan? Tapi bila dapat tau Nina ada kanser, Nina tiada kata-kata, Nina senyap. Nina cuma diam dan Nina diam agak lama, dalam tiga hingga empat hari, Nina diam dan tak beritahu sesiapa.
“I Didn’t Tell my Bestfriend.My PA Ani, 23 tahun dengan saya, pun saya tak cerita even manager saya pun saya tak cakap, I didn’t said a word about the real thing I just say on the surface. Only my doctor and me knows. Selepas the proper diagnose,The only person I tell is Ani.
“Tapi sehingga hari ini, saya tidak ada sebarang perbincangan (conversation) dengan keluarga saya, atau anak saya pun saya tak cerita. Anak-anak saya mungkin mereka sangat bertuah, kerana persekitaran sekolah mereka tiada yang bertanya.
“Jadi untuk hari ni saya tampil sebagai salah seorang cancer survivor, kita support untuk Nivea dan juga Watsons untuk spread the awareness tentang kanser payudara. Because I believe and I know deep in my soul, all the cancer patient deserved all the support and loved from their surrondings aand loves one!”, Ujarnya.
Lebih menarik lagi, kempen ‘Moments of CARE’ ini mencerminkan komitmen NIVEA dalam menyokong kesedaran dan penjagaan kanser payudara. Memandangkan kanser payudara adalah kanser utama di kalangan wanita Malaysia, yang melibatkan 1 dalam 19 orang, usaha ini memainkan peranan penting dalam menggalakkan pengesanan awal dan penjagaan diri.
NONA mendoakan agar Azharina kekal tabah mengharungi detik sukar ini dan dikurniakan kesembuahan yang tiada kesakitan selepasnya dalm perjuang melawan penyakit kanser hingga terbebas sepenuhnya suatu hari nanti.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini. Follow kami sekarang di SINI!
Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood, ikon pendakwah wanita yang amat dikagumi. Agak lama Ustazah Nor Bahyah menyepikan diri daripada dunia media sosial. Walaupun begitu Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah masih terus ‘menyengat’ dalam dunia dakwah sama ada melalui dunia maya dan juga pentas ceramah. Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah aktif di Facebook beliau yang mempunyai pengikut lebih daripada 2 juta.
Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah yang sering membahasakan dirinya dengan panggilan Ustazah mengakui bahawa beliau memang kurang melibatkan diri dalam program-program di layar kaca dan juga radio. Beliau kini lebih selesa bersama cucu-cucu berumur antara 1 hingga 9 tahun.
“Masa saya banyak dengan cucu-cucu lebih-lebih lagi cucu saya yang kembar. Jadi biarlah saya beri peluang kepada generasi muda pula untuk berdakwah melalui medium media sosial agar mereka dapat bersama-sama menyumbangkan ilmu anugerah Allah dan mendidik ummah.
“Seperti biasa saya menerima undangan ceramah di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak serta Singapura. Selain itu saya juga akan mengadakan seminar atau kem motivasi pada musim cuti sekolah November dan Disember ini. Jika tiada jemputan atau undangan untuk menyampaikan ceramah, saya akan meluangkan masa bersama keluarga memandangkan sekarang ini saya mempunyai lima orang cucu yang tinggal bersama,”ujar Datuk Ustazah Nor Bahyah membuka bicara kata.
Tidak dapat dinafikan kelibat Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah dan imamnya, Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid dalam rancangan Semanis Kurma amat dirindui. Rancangan yang berlangsung selama lapan tahun berturut-turut sejak 2008 itu benar-benar meninggalkan impak yang berkesan dan berpanjangan kepada penonton.
“Terima kasih kepada pihak TV9 kerana memberi kepercayaan kepada saya dan Ustaz untuk mengacarakan rancangan Semanis Kurma. Rancangan semanis kurma di TV9 habis kontraknya pada 2016. Memang menjadi cita-cita saya dan Ustaz untuk menghidupkan kembali rancangan Semanis Kurma kerana rancangan ini menjadi sumber inspirasi dan juga menjadi pedoman dalam membina keluarga bahagia. Alhamdulillah ke mana-mana saya pergi, orang akan memanggil saya dan Ustaz dengan panggilan Semanis Kurma. Semoga ada penaja untuk rancangan ini diteruskan,”jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah.
Jadual beliau agak padat dengan undangan ceramah-ceramah agama. Kebiasaannya dalam seminggu tiga hingga empat kali. Ada ceramah pada waktu siang hari dan ada juga pada malam hari.
“Kebanyakan ceramah di luar kawasan terutamanya di Terengganu. Setiap bulan saya akan ke sana bagi menyampaikan ceramah atas undangan dari Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu sejak tahun 2000. Saya juga kerap pergi ke Singapura, Sabah dan Sarawak serta Brunei. Ada juga undangan daripada pelajar dari luar negara seperti Jepun, Korea, Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom. Saya juga banyak turun padang ke kawasan pendalaman seperti kampung-kampung dan Felda-Felda,”tutur Datuk Ustazah Nor Bahyah.
CABARAN BERDAKWAH
Dicungkil tentang cabaran sepanjang berkecimpung dalam dunia kerjaya sebagai seorang penceramah, jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah, cabaran datang dalam dua bentuk iaitu luaran dan dalaman.
“Antara cabaran biasa ialah tempat ceramah yang agak jauh sehingga terpaksa memandu antara dua hingga empat jam. Begitu juga cabaran yang agak berat bagi saya iaitu apabila terpaksa meninggalkan anak-anak serta cucu-cucu tiga hingga empat hari dalam sebulan.
“Namun begitu cabaran paling utama ialah Iblis dan syaitan serta manusia yang bersifat mazmumah. Ia merupakan penghalang utama seorang pendakwah selain cabaran daripada fahaman sekularisme yang telah tersebar. Fahaman ini yang dibawa oleh barat sedang melanda umat Islam dan menjadi wabak yang menghakis komitmen kepada nilai-nilai agama,”tutur Datuk Ustazah Nor Bahyah.
Fitrah seorang wanita bergelar isteri dan ibu, amat penting mengagihkan masa antara kerjaya dan juga keluarga. Bagi diri Ustazah Nor Bahyah jika sekiranya tiada aktiviti di luar, waktu pagi sehingga tengahari beliau akan memperuntukkan masa menguruskan rumah seperti menyediakan sarapan untuk keluarga, mengemas rumah dan memasak.
“Di sebelah petang saya akan memberi tumpuan dalam kerjaya seperti menjawab persoalan daripada facebook dan e-mel, persediaan untuk ceramah dan juga menulis untuk majalah dan buku. Pada sebelah malam akan bersama keluarga tercinta.
“Hobi saya sejak dari kecil sampai sekarang ialah membaca. Masa kecil-kecil dahulu saya sanggup berada berjam-jam di perpustakaan awam semata-mata untuk membaca. Alhamdulillah setakat ini tidak ada hari yang berlalu tanpa saya membaca. Saya tidak dapat tidur tanpa membaca terlebih dahulu. Pada masa lapang saya akan menggubah bunga, bercuti, memasak dan membawa keluarga membeli belah,”jelas Ustazah Nor Bahyah yang gemar memasak tomyam, nasi daging, daging masak kicap, kari ikan merah dan sambal belacan kegemaran keluarganya.
RAHSIA KELUARGA BAHAGIA
Keakraban dan kemesraan beliau bersama keluarga agak dicemburui. Sebenarnya banyak aktiviti yang dilakukan oleh Datuk Ustazah Nor Bahyah bersama keluarga bagi merapatkan hubungan kekeluargaan.
“Sekiranya saya tidak berceramah di luar kawasan, kami akan solat berjemaah setiap hari terutama sekali waktu maghrib. Selain itu aktiviti membaca Al-Quran terutama membaca surah Yaasin pada hari Khamis malam Jumaat turut diamalkan. Ia dilanjutkan dengan mengadakan usrah keluarga yang mana saya dan Ustaz akan memberikan nasihat dan panduan kepada anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucu.
“Kami juga akan luangkan masa untuk bercuti bersama. Dalam setahun antara dua hingga empat kali. Di samping itu juga sentiasa makan bersama lebih-lebih lagi pada hujung minggu. Resipi keluarga bahagia bagi saya ialah suami isteri dan anak anak mestilah menjadi seorang yang beriman dan bertakwa dan mempunyai sifat kasih sayang sesama ahli keluarga.
“Sifat kasih sayang itu terbentuk melalui lima perkara iaitu sentiasa mengeluarkan perkataan yang baik-baik dan positif, sentiasa memberi hadiah terutama pada tarikh hari kelahiran, melalui sentuhan seperti bersalam salaman, ciuman dan pelukan, sentiasa mengadakan aktiviti bersama seperti solat berjemaah, makan berjemaah dan bercuti berjemaah dan sedia berkhidmat seperti tolong-menolong antara suami isteri, ibu bapa dan anak anak,”kongsi Datuk Ustazah Nor Bahyah yang amat menekankan solat lima waktu dalam mendidik anak-anak dan cucu-cucunya.
Melihatkan kesibukan jadual harian beliau nescaya pasti terdetik dibenak fikiran, bagaimana pendakwah wanita yang wajahnya sentiasa dibungai dengan senyuman ini mengekalkan stamina. Tidak lokek berkongsi rahsia, antara elemen penting ialah mendapatkan tidur yang mencukupi enam hingga lapan jam sehari.
“Saya juga menjaga makan dan minum supaya berat badan tidak bertambah. Di samping itu juga saya sentiasa melakukan aktiviti yang dapat mengeluarkan peluh seperti menyapu sampah, berjalan-jalan dan bersenam,”jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah.
Sebelum menutup kalam, sempat ditanya pendapat beliau tentang peranan wanita sebagai nadi pembangunan dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah, wanita perlu sentiasa menjadikan dirinya teladan yang boleh dicontohi anak-anak dalam segala hal yang dilakukan di dalam urusan rumah tangga.
“Wanita juga berperanan sebagai penolong dan teman hidup pasangannya di kala suka dan duka. Melayani suami merupakan kewajipan sebagai seorang isteri. Isteri juga adalah teman untuk berbincang sebelum sesuatu keputusan diambil oleh suami sebagai ketua rumahtangga. Sebagai isteri mungkin pendapat kadang-kala berbeza tetapi apabila keputusan sudah dibuat oleh suami, isteri harus menyokong keputusan tersebut. Ini kerana di dalam sebuah kapal hanya ada seorang nakhoda dan begitu juga di dalam sebuah rumahtangga hanya ada satu ketua keluarga.
“Pujangga Arab ada mengatakan wanita itu adalah tiang negara. Seandainya wanita itu baik, majulah negara, seandainya wanita itu rosak akhlak maka mundurlah negara. Demikian juga kata penyair Arab, Ahmad Syauqi, ibu itu adalah umpama sebuah sekolah. Jika anda memberikan peluang kepadanya nescaya ia akan memberikan kepada anda satu bangsa yang berakar umbi baik. Jadilah wanita yang hebat dan bijaksana. Cantikkan diri dengan akhlak, bijak menambat hati suami serta mendidik anak-anak dengan iman dan takwa kepada Allah,”ujar Datuk Ustazah Nor Bahyah mengakhiri bicara.
TIP KEKALKAN KEMESRAAN DENGAN SUAMI AGAR RUMAH TANGGA BAHAGIA
1. Curahkan kasih sayang dengan sepenuh hati.
2. Patuhlah kepada suami dengan apa adanya
3. Mendengar kata-kata suami dengan baik disertai ketaatan.
4. Sentiasalah isteri mempertahankan pandangan mata suami dengan memakai pakaian yang baik-baik
5. Sentiasa menjaga ‘hidung’ suami dengan memakai bau-bauan yang wangi.
6. Sentiasa memperhatikan waktu tidur suami
7. Sentiasa menjaga makan minum suami.
8. Jagalah harta benda suami dengan sebaik-baiknya
9. Isteri perlulah menjaga keluarga dan anak anak dengan baik.
10. Jangan sesekali menyebarkan rahsia suami.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Meremang bulu roma dengar alunan bacaan Al-Quran penyanyi bersuara lunak, Shiha Zikir. Selama ini peminat sudah terbiasa dengar lagu-lagu nyanyiannya sahaja. Tapi belum pernah lagi berkesempatan hendak dengar Shiha mengaji. Dan apa yang menarik, sebaik sahaja Shiha memuatnaik video yang memperdengarkan suaranya ketika membacakan beberapa surah baru-baru ini… ia mendapat feedback yang sangat positif daripada warganet.
Bahkan, rata-rata yang menonton video tersebut melahirkan rasa kagum dengan lontaran suara Shiha. Tidak kurang juga yang mengagumi bacaan Naib Juara Mentor 5 ini sampai tersentuh hati dibuatnya. MashaAllah, moga-moga perkongsian Shiha ini dapat menggalakkan lebih ramai generasi muda mencintai dan mendalami kitab suci Islam.
Mula berkongsi video tersebut dua hari lalu, ia bukan sahaja menarik perhatian rakan artis… tetapi juga peminat di Malaysia dan negara jiran, Indonesia. Sampai ada yang menangis!
“Baru nak tidur. Jangan lupa Al-Mulk ya. Kita sama-sama belajar, kalau salah tolong tunjukkan. Jangan lupa niat puasa esok. Al-Quran ni hadiah dari fan Shiha dari Indonesia. Terima kasih banyak.”
Selain berkongsi bacaan surah Al-Mulk dengan baik, terbaru… Shiha turut memuatnaik video bacaan surah Al-Waqiah. Seperti diduga, ia turut mendapat respon peminat setianya. Salah seorang peminat Shiha mengakui kemerduan suara penyanyi tersebut yang disertakan dengan tajwid yang betul.
Ada juga yang meminta dia berkongsi bacaan surah Maryam dan ada komen-komen nakal yang mahu memperisterikan pengasas Shiha Lens ini selepas mendengar bakat mengajinya. Sempat lagi tu! Yang pasti, ramai yang tidak menyangka… selain pandai menyanyi, Shiha juga dikurniakan bakat mengaji dengan baik.
Bersandarkan niat semata-mata untuk berkongsi keindahan Al-Quran dan mengajak orang ramai membaca isi kitab ini, Shiha dalam pada itu turut menjelaskan … “Bulan puasa ni saja macam nak share sebab orang kita ni payah, kalau share kata nak show off. Tak share kata tak pernah baca. Apa-apa pun bergantung niatkan.
Akak dulu pun merangkak jugak. Takpe adik, inshaAllah Allah pasti bantu. Akak pun terkejut dari zero sampai boleh baca. Ni pun nak kena belajar lagi,” tutur Shiha merendah diri.
Terinspirasi dengar dan tengok usaha Shiha Zikir. Harap, sepanjang Ramadan ini sempat khatam Al-Quran dan lebih lancar baca setiap surah yang ada selain dapat menguasai bacaan tajwid yang betul. InshaAllah.
Kredit: Instagram Shiha Zikir
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tak siapa yang tahu. Siapa sangka, kanak-kanak kecil yang dahulu main badminton di kilang tempat ibu bapanya bekerja kini merupakan pemain badminton wanita yang menghuni ranking ketujuh dunia! Ratchanok Intanon bukan hanya menjadi kebanggaan rakyat Thailand malah bakat sebagai jaguh badminton meraih perhatian peminat sukan antarabangsa.