November ini genap 50 tahun usia Kavita Kaur Sidhu. Tapi kalau tengok susuk tubuhnya pasti ramai yang tidak menyangka umur sebenar Kavita. Tidak hanya dikurniakan tubuh langsing dan tinggi lampai, Kavita juga memiliki raut wajah cantik memukau. Tidak hairanlah dia pernah memenangi pertandingan ratu cantik, Miss Charm International 1990!
Penampilan Kavita dalam berfesyen sentiasa menjadi perhatian ramai. Apa sahaja busana yang digayakan pasti terletak cantik sempurna di tubuh rampingnya. Malah keperibadian Kavita yang ramah juga disenangi ramai termasuk dalam kalangan rakan artis dan peminat.
Baru-baru ini Kavita berkongsi gambar kenangan zaman remajanya ketika menceburi bidang peragaan. Walau masih muda namun aura peragawati Kavita nyata terserlah.
Ujar Kavita, “Major throwback to 17 years old just out of high school at a model contest in KL! The prize was a shoot in Paris with Singapore magazine (the prizes were great then!) and that’s how I started my model stint in Europe.”
Kavita turut menjelaskan sewaktu bergelar model, dia sentiasa dilatih dengan amalan diet yang ketat. “We models were always on a strict diet, looking back now it was so ridiculous that dresses were one size fits all or you wouldn’t get work. Glad to see that has somewhat changed now.”
Ads
Kenangan ketika berusia 17 tahun
Perkongsian berkenaan mengundang pelbagai reaksi positif peminat dan rata-rata mereka mengagumi tubuh ramping Kavita.
Ads
Seawal umur 18 tahun lagi Kavita sudah menakluki industri peragaan fesyen di Eropah. Wajah fotogeniknya di samping memiliki ketinggian 1.78 meter menjadi buruan jenama fesyen dan jurugambar ketika itu. Puas meneroka bidang peragaan, Kavita kemudian mencuba nasib sebagai pelakon, penerbit filem, pereka fesyen dan kini bergelar usahawan.
Antara filem yang pernah dibintangi Kavita ialah Layar Lara dan Pontianak Harum Sundal Malam.
Sudah biasa dikelilingi rakan berbangsa Melayu, Kavita disifatkan seorang wanita yang cukup menghormati budaya dan adat masyarakat Melayu. Malah, dia gemar mengenakan persalinan tradisi seperti baju kurung. Bahkan label fesyen miliknya turut menerapkan elemen kontemporari dan elegan. Selain menjadi pereka fesyen, Kavita kini rancak mengusahakan minuman kesihatan, Karamia Wellness.
Pada 6 Januari 2016, Kavita menamatkan zaman bujang bersama jejaka kacak kelahiran Itali, Roberto Guiati. Roberto merupakan pemilik restoran Roberto’s 2010 yang mengetengahkan sajian tradisi Itali dan semakin terkenal serta mendapat tempat dalam kalangan penggemar makanan. Tahun ini merupakan tahun kelima Kavita bergelar isteri kepada Roberto. Semoga rumah tangga yang dibina terus kekal bahagia!
Kredit foto: Instagram Kavita Sidhu
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kalau nak miliki kulit sihat dan cantik, rahsianya singkirkan dulu sel kulit mati yang melekat pada kulit tu. Ini kerana purata dalam setahun, sebanyak 4kg sel kulit mati terkumpul di atas permukaan kulit!
Sel kulit mati juga menjadi punca solekan bercapuk dan kadang-kadang berkuping. Masalah kulit seperti bersisik, kering, mengelupas, bintik hitam dan jerawat berpunca daripada timbunan sel kulit mati di lapisan kulit.
Mencuci wajah atau memakai pelembap sahaja tidak cukup untuk mengeluarkan sel kulit mati di atas kulit. Memakai topeng muka dan lulur sangat penting untuk mengeluarkan sel kulit mati di samping melakukan perawatan wajah.
Sebaiknya segara lakukan perawatan kulit agar tidak terlambat sehingga perlu melakukan rawatan estetik di klinik. Bagi memiliki kulit wajah yang halus dan lembut, ayuh buang sel kulit mati yang terkumpul di atas kulit dengan petua mudah berikut.
(a) Cuci dengan air panas
Cara paling efektif untuk menyingkirkan sel kulit mati adalah dengan melakukan proses eksfoliasi. Langkah yang paling mudah untuk melakukan eksfoliasi kulit adalah dengan menekap wajah dengan tuala hangat. Ambil tuala yang bersih, rendam dalam air panas dan perah.
Letak lembut pada wajah dan tepuk perlahan serta biarkan selama dua minit. Tindakan ini dapat membantu membuka pori-pori wajah dan menyediakan kulit untuk proses eksfoliasi. Apabila pori-pori wajah terbuka, sel kulit mati lebih mudah disingkirkan.
(b) Guna pembersih lembut
Pori-pori wajah terbuka selepas menggunakan tuala panas, singkirkan sel kulit mati dengan menggunakan cecair pembersih yang lembut. Boleh menggunakan pembersih wajah yang digunakan setiap hari.
Kulit yang telah dipersiapkan untuk eksfoliasi memudahkan langkah untuk menyingkirkan sel kulit mati dengan efektif. Tekap tuala lembut pada wajah dan jangan menggosok terlalu kasar sehingga kulit boleh menjadi rosak.
(c) Campuran garam laut
Garam biasa BUKAN saja digunakan dalam masakan semata, tapi garam juga berkuasa untuk menyingkirkan sel kulit mati. Garam laut kaya dengan mineral dan merupakan pilihan terbaik untuk kulit jenis berminyak dan kombinasi.
Butiran kasar pada garam bagus untuk pengelupasan sel-sel kulit mati pada wajah. Urut lembut dalam pergerakan bulatan pada wajah atau pada kawasan yang memiliki sel kulit mati. Geseran garam pada kulit membuat sel-sel kulit mati tertanggal dengan sendirinya.
Lakukan di waktu malam sebelum tidur adalah langkah yang bijak. Jika mahu kesan yang lebih sempurna campur minyak zaitun pada garam agar kulit menerima lembapan daripada minyak zaitun tersebut.
(d) Eksfoliasi kulit secara mekanikal
Jika mahu membuang sel kulit mati dengan lebih efektif, lakukan pengelupasan sel kulit mati secara mekanikal. Eksfoliasi kulit ini berupa lulur, krim pembersih dan partikel kasar.
Eksfoliasi ini lebih mudah didapati kerana terdapat banyak di pasaran. Namun, eksfoliasi secara mekanikal ini tidak boleh dilakukan dengan kerap kerana boleh menyebabkan lapisan kulit luar terhakis. Hanya lakukan gerakan lembut dan berhati-hati ketika mengurut wajah untuk mengelakkan iritasi kulit.
(e) Eksfoliasi kulit secara kimia
Kaedah ini adalah yang terbaik untuk kesan jangka panjang kerana boleh membersihkan jauh ke bawah lapisan kulit. Eksfoliasi secara kimia berfungsi dengan menghancurkan ikatan kimia dengan melepaskan sel-sel kulit mati sehingga dapat ditanggalkan dengan lebih mudah.
Baca dengan teliti terlebih dahulu produk ini agar bersesuaian dengan kulit. Setelah selesai proses eksfoliasi, tepuk lembut kulit wajah sehingga kering dan biarkan selama lima minit. Setelah selesai sapu pelembap untuk mengembalikan kelembapan semula jadi kulit.
(f) Ketahui jenis kulit
Sebelum melakukan proses pengelupasan adalah penting untuk mengetahui jenis kulit. Kerana jika menggunakan cara atau produk yang salah akan memberi kesan yang tidak baik kepada kulit. Terdapat lambakan produk untuk menyingkirkan sel kulit mati ini dan pilih yang terbaik agar tidak menimbulkan masalah kulit sehingga anda perlu berjumpa dengan doktor kulit.
Bagi pemilik kulit jenis sensitif, perlu lebih berhati-hati memilih produk atau kaedah yang mahu digunakan. Pemilik kulit jenis ini lebih baik menggunakan masker wajah yang dibuat sendiri dengan menggunakan bahan semula jadi atau lulur. Bagi pemilik kulit jenis berminyak pula lulur dengan bahan kimia seperti asid hidroksil, asid salisilat merupakan pilihan terbaik.
Namun sebelum melakukan apa juga kaedah anda perlu berjumpa dengan pakar kulit untuk membuat rundingan. Melalui pemeriksaan rapi mereka boleh menyarankan produk atau kaedah yang terbaik untuk kulit.
Bukan Setiap Hari
Awas! Kulit wajah tidak boleh melakukan proses eksfoliasi setiap hari. Kulit memerlukan waktu untuk tumbuh kembali setelah dilakukan proses pengelupasan. Cukup hanya lakukan proses eksfoliasi sekali seminggu untuk kulit normal. Bagi kulit berminyak pula boleh melakukan pengelupasan dua kali seminggu.
Jika berlaku iritasi kulit sebaik sahaja selepas melakukan eksfoliasi berhenti melakukannya. Eksfoliasi juga boleh membuat kulit menjadi sensitif terhadap sinar matahari. Selepas membuat pengelupasan anda tidak boleh keluar rumah tanpa menyapu krim tabir suria. Hamizatul Maizan Mohamed
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Amy Mastura antara selebriti wanita tanah air yang terkenal dengan wajah awet muda dan tak dimamah usia! Mana tidaknya, Mei depan dia bakal mencecah usia 52 tahun namun pesona dan perwatakan pelantun lagu popular Sha Na Na ini tetap menawan hati setiap peminat seni hingga ke hari ini.
Apatah lagi, Amy memang dikenali dengan sikapnya yang sarat dengan sense of humor dan santai orangnya. Mungkin sebab itu juga bintang filem Puteri Impian ini sering nampak muda.
Amy Mastura mula mencipta nama sejak menjuarai pertandingan nyanyian, Asia Bagus pada tahun 1993. Dia juga pernah memenangi anugerah Penyanyi Wanita Popular (ABPBH) dan Pelakon Wanita Terbaik (FFM).
Bagi yang mengenali Amy, tentu tahu bagaimana karakter wanita kecil molek yang ramah dan lucu. Namun, tak banyak kisah peribadi di kongsi bersama peminat.
Mendedahkan sisi peribadi kepada media suatu ketika dulu, Amy menjelaskan, “Saya menceburi bidang seni atas dasar minat.
Kejuaraan di Jepun itu pun tidak disangka. Walaupun bermula sebagai seorang penyanyi, saya masih terima jika lebih dikenali sebagai pelakon kerana kedua-duanya adalah minat saya.
Sedari awal lagi, saya langsung tidak mempunyai persediaan dan sehingga kini, saya hanya follow the flow.”
Berkongsi kisah bersama anak-anak, Amy Mastura jadikan anak sebagai ‘mentor’ untuk penjagaan kecantikan!
“Saya tidak ada rutin kecantikan langsung. Sekarang ni saya pula yang minta tip dari Adalia apa yang terbaik untuk kulit. Krim muka dia lebih banyak dari apa yang saya ada.
Saya sendiri tidak mengamalkan apa-apa petua. Dulu sewaktu dalam berpantang, saya cuma ikutkan apa yang diajar. Berpantang sepenuhnya secara tradisional pun tidak, cara moden pun tidak. It’s a mix of everything.
Cuma saya jenis yang tidak suka minum ais. Bukan pantang tapi saya sendiri tak terasa untuk menikmati air ais setiap masa. Mungkin itu juga membantu saya menjaga badan,” katanya.
Amy Mastura mendirikan rumah tangga dengan suami tercinta, Alvin Tham Suffian pada tahun 2000. Mencecah usia perkahwinan 23 tahun, pasangan ini dilihat cukup romantis dan bahagia di samping dua cahaya mata perempuan iaitu Adriana yang kini berusia 22 tahun dan Adalia, 19 tahun.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kira-kira enam tahun lalu, Dyana Sofya Mohd Daud pernah menghangatkan arena politik tanah air. Ini selepas namanya dipilih sebagai calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan, Perak pada tahun 2014. Dyana yang ketika itu berusia 27 tahun bukan hanya menarik perhatian umum kerana kredibilitinya sebagai ahli politik muda bahkan memiliki rupa paras cantik dan disifatkan seorang yang berilmu. Jadi, tidak hairanlah anak jati Perak berkenaan berjaya menawan hati sebilangan masyarakat di negara ini.
Pernah menjawat tugas Setiausaha Politik bagi Ahli Parlimen Gelang Patah, Dyana Sofya yang lahir pada 29 Disember 1987 kini merupakan isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Zairil Khir Johari. Pasangan ini melangsungkan perkahwinan pada 8 Disember 2018. Mengintai laman Instagram Dyana, jelas terserlah kebahagiaan yang dikecapinya sejak bergelar isteri.
Malah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan yang lalu, dia dilihat kerap sibuk menguruskan keluarga dan memuat naik gambar masakan bersama peminat. Macam-macam jenis hidangan yang disediakan buat suami tercinta. Tak sangka selain berbakat dalam politik, rupa-rupanya Dyana juga ada bakat terpendam dalam bidang masakan!
Mengimbas kembali pertemuan bersama Dyana Sofya ketika sesi fotografi Nona pada tahun 2014, wanita ini sememangnya seorang yang berjiwa besar, ramah dan mempunyai personaliti menyenangkan. Meskipun tidak bertanding untuk mana-mana kerusi DUN dan Parlimen pada PRU lepas namun dia tetap setia berkhidmat untuk rakyat dan sedia turun padang membela nasib semua lapisan masyarakat termasuk kaum wanita.
Latar belakang pendidikan
Saya merupakan salah seorang pelajar di Sekolah Menengah Taman Melawati, Kuala Lumpur. Selepas tamat persekolahan di Tingkatan Lima, saya menyambung pengajian Pra Ijazah Undang-undang di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam. Kemudian, saya meneruskan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengajian Undang-Undang dan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang di universiti yang sama.
Karier dan pengalaman
Sejurus selepas tamat pengajian, saya telah menjadi pelatih dalam kamar di sebuah firma guaman di Bukit Bintang selama 9 bulan. Itu adalah kerjaya pertama saya selepas graduasi sekitar pada tahun 2010. Sejak dari kecil saya telah didedahkan dengan dunia politik dan kerana minat, saya menjadi Setiausaha Politik bagi Ahli Parlimen di Gelang Patah.
Sepanjang memegang jawatan tersebut, saya bertindak untuk membantu menyelesaikan masalah masyarakat tempatan, membuat usul dan menasihati wakil rakyat tempatan berkaitan kebajikan rakyat. Dalam masa yang sama, saya juga adalah peguam di firma guaman Cyberjaya dari tahun 2012 hingga penghujung 2013.
Kekuatan anda terletak pada …
My passion and determination! Kalau buat sesuatu perlu ada keazaman yang kuat. In my profession, the challenge memang sangat mencabar. Bila-bila pun boleh give up. Tambahan pula, ahli politik perempuan di negara ini tidak ramai. Jadi saya perlu fikirkan kenapa saya memilih ‘jalan’ ini. Tujuannya adalah untuk berkhidmat kepada rakyat. That is what keeps me going. Dengan adanya sokongan dan dorongan daripada orang sekeliling, saya percaya saya mampu merealisasikan impian yang didambakan selama ini.
Filsuf kecantikan?
Sebenarnya saya seorang yang ringkas. Untuk solekan harian, saya hanya mengenakan solekan asas seperti bedak, maskara, eye brow dan lipstik merah sahaja. Bagi memastikan kesihatan tubuh pula, saya mengambil supplemen B Complex dan menikmati khasiat ulam-ulaman.
Sejak kecil lagi, ibu saya menggalakkan pengambilan ulam-ulaman. Hendak dapatkan tubuh badan yang sihat dan langsing perlukan disiplin dan keazaman yang kuat. Jadi saya akan pastikan untuk lakukan senaman setiap dua hari sekali.
Cara anda menghargai diri
Shopping, food and eat chocolate all the time! Kebiasaannya saya gemar membeli baju dan buku tiap 2 ke 3 bulan sekali. Terbaru, saya sudah membeli 4 buah buku, tulisan Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman.
Walaupun jadual saya padat dengan pelbagai program, namun saya akan pastikan untuk mengisi masa yang terluang biarpun hanya dalam tempoh yang singkat untuk beriadah bersama keluarga. Kalau terpaksa bertugas di luar negeri atau negara pula, saya akan pastikan masa yang ada dimanfaatkan untuk diri sebaiknya dengan bercuti sambil bekerja mahupun membeli-belah.
Definisi kecantikan?
Kecantikan datang dari dalam. Misalnya seperti cara kita berfikir, percakapan dan pelakuan. Apabila personaliti seseorang itu baik dan disenangi, pastinya ia menjadi daya tarikan. Bagi saya, orang yang pandai itu adalah seksi, terutamanya apabila mereka pandai berkata-kata. When you’re beautiful inside, kecantikan itu akan terpancar ke luar. Kecantikan juga boleh datang daripada senyuman. Senyuman yang ikhlas mampu menyerlahkan kecantikan seseorang. Paling penting, it must come from your heart.
5 pelajaran berharga menceburi politik
Pertama, sentiasa kuat fizikal, mental dan emosi atau dalam erti kata lain bersedia menghadapi apa jua cabaran. Kita tidak dapat duga apa yang bakal berlaku. Oleh itu, perlu ada perancangan yang teliti.
Kedua, tahu menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling dan situasi.
Ketiga, bersifat terbuka untuk berdepan dengan kritikan daripada pelbagai pihak.
Keempat, pengurusan waktu. Saya suka buat dua tiga kerja dalam satu-satu masa. Jadi, saya perlu bijak menguruskan masa yang ada dan saya percaya pengurusan waktu yang
baik dapat memberi kejayaan dan mencapai potensi maksima.
Dan kelima, perlu ada rasa hormat. Bukan hanya hormat pada individu bahkan pada pandangan yang dikemukakan juga samada baik mahupun buruk sebab semua orang berhak untuk bersuara.
Tip fesyen
Keselesaan itu penting. Ikut kesesuaian dan mood untuk berfesyen. Yang penting, kena sesuai dengan bentuk badan. Adakalanya, saya gemarkan gaya grungy dengan memakai jeans, t-shirt and sneakers. Kadang kala juga saya suka untuk bergaya feminin dengan memakai gaun klasik dan kasut tumit tinggi. Pendek kata, saya suka melihat fesyen yang dipakai Kate Middleton. Cukup anggun dan menawan.
Pada pandangan anda, siapakah perempuan yang patut dikatakan sebagai strong woman?
My mother. She has gone through so much. Biarpun terlibat dalam dunia politik sejak berpuluh tahun dahulu dan mempunyai anak yang berlainan ideologi politik, tetapi beliau tenang menghadapi cabaran dan kritikan. Ibu saya seorang yang berkarisma, easy to talk to, open minded and supportive. Beliau yang mengajar dan menyokong saya untuk terlibat dalam bidang politik. Cara beliau menjaga kami empat beradik dengan kesibukan dan pancaroba dunia politik membuatkan saya kagum. Beliau merupakan satu inspirasi kepada saya.
Gambarkan diri anda pada masa hadapan
Seorang wanita yang dapat memberi inspirasi kepada orang muda terutama wanita untuk ambil bahagian dalam pembangunan negara bangsa. Saya juga berharap pada masa depan, saya dapat berada dalam satu gerakan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bersatu-padu, mempunyai semangat perpaduan yang tinggi dan mengungguli carta negara paling gembira dan bahagia yang dikeluarkan oleh UN Sustainable Development Solutions Network, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
3 kata yang menggambarkan keperibadian anda
Determined, positive and eager to learn.
Kredit foto: Instagram Dyana Sofya
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dari riak wajahnya jelas terserlah sinar kebahagiaan yang sedang mengulit kehidupan Datuk Seri Sheila Majid. Mana tidaknya, hasrat untuk bergelar nenek dan menimang cucu akhirnya dimakbulkan Allah SWT apabila anak lelaki kesayangan iaitu Megat Abdul Majid selamat menjadi bapa sekitar Julai lepas.