
Ibu kepada pengacara dan pelakon jelita, Noor Neelofa Mohd Noor baru-baru ini kelihatan telah diraikan oleh keluarga dan sahabat handai sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-53.
Walaupun sudah menjengah ke usia 53 tahun tetapi kelibat Datin Noor Kartini Noor Mohamed ini nyata lebih muda daripada usia yang sebenar. Wanita yang mempunyai sembilan orang anak ini sentiasa tampil menawan dan mempunyai sejumlah 268 ribu pengikut di laman Instagram.
Rupa-rupanya minum air putih adalah rahsia kejelitaan wanita yang mesra disapa Datin Tini ini yang juga isteri kepada Dato’ Abdul Halim Khan.
“Sebenarnya, tiada sebarang petua yang saya amalkan. Saya hanya amalkan beberapa tip ringkas. Amalan penjagaan diri saya sungguh mudah. Setiap kali bangun tidur, saya akan terus menikmati secawan air putih.
“Saya pernah membaca satu artikel mengenai kebaikan minum air putih untuk penjagaan diri. Jadi saya mengamalkan untuk minum air putih sewaktu bangun tidur, sebelum mandi dan selepas mandi,” kata Datin Noor Kartini yang memiliki darah keturunan Pakistan-Arab.
Datin Noor Kartini juga mengamalkan sikap positif dalam kehidupan seharian. Tambahnya, “Saya tidak menyimpan sebarang perkara negatif di dalam hati. Saya anggap cerita negatif sebagai satu perkara yang tidak mustahak selain mahu sentiasa kekal positif.
Selain itu, bercakap mengenai elemen kecergasan, saya juga mengamalkan senaman ringan seperti pilates dan yoga. Saya juga sering berjalan-jalan di sekitar taman selama 30 minit untuk kekal aktif,” terang anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini.
Sumber: Astro Awani
Foto: Instagram @noorkartini & @noornabila
‘Manusia Sekarang Terlalu MENGEJAR Kehidupan Sendiri & Selalu Lepas Tangan Dalam Banyak Perkara’ – DATIN RAHA DATO’ ABU

Langkah kaki wanita anggun ini bagaikan satu aura indah mewarnai ruang hidup siapa sahaja di sampingnya. Seiring dengan usia yang meningkat matang, Datin Raha Dato’ Abu sentiasa tampil jelita dengan solekan nipis dengan gaya penampilan boho chic. Pada waktu zaman mudanya, sekitar lewat 80-an jelitawan VIP ini pernah menyandang gelaran Miss Pahang dan finalis Miss Malaysia 1989 ketika berusia, 18 tahun. Datin Raha mengakui pertandingan ratu ini telah memperkenalkan kerjayanya dalam dunia modelling pada era 90-an, wajahnya terus laris di meja editorial dan pentas peragaan.
Di usia 19 tahun, Datin Raha telah mempunyai sebuah butik pakaian Matahari di City Square dan perjalanan hidupnya terus sampai kemuncak dengan membawa gelaran Datin di usia muda 20an. Kehadirannya di setiap pesta keramaian sentiasa dinantikan dengan penampilan versatil dan elegan yang sentiasa mencuri perhatian lensa kamera. Kini dunia sosialnya tidak serancak dulu, langkahnya lebih terhad kerana fokus sekarang hanya pada keluarga tersayang dan perniagaan.
“Saya menerima gelaran Datin di usia 28 tahun dalam usia yang masih muda dan gelaran ini telah membuatkan saya matang dengan cepat. Status itu tidak mengubah sikap atau sifat diri saya tetapi ia membawa saya kepada satu lapisan kehidupan yang lebih matang untuk membawa gelaran itu sebaiknya. Ini membuatkan saya mengimbas kembali sewaktu masih kecil, melihat ibu telah membawa status tersebut dengan baik.
Jika dahulu saya menerima pelbagai undangan majlis dan menghabiskan waktu bersama teman, tetapi sekarang langkah saya mula dibatasi dengan kesibukan urusan rumah tangga dan perniagaan. Saya sudah melalui semua kehidupan glamor itu pada masa muda, sudah cukup rasanya,” jelas Datin Raha yang kini memberi tumpuan utama kepada anak kecilnya Julia, 5 tahun, Omar, 17, tahun dan Anwar, 20 tahun.

Cinta Abaya semakin mendapat perhatian dan berjaya mencuri hati ramai kerabat dan golongan VIP. “Ini minat saya dari dahulu dan sekarang, bezanya dahulu saya punya butik sendiri tetapi sekarang hanya fokus pada jualan secara online menerusi laman sosial media dan Fashionvalet. Alhamdulillah setelah dua tahun Cinta Abaya di pasaran alam maya, busana abaya semakin mendapat perhatian secara menyeluruh.
Saya sendiri akan membuat rekaan setiap helaian busana itu bersama rakan kongsi saya yang juga kakak saya, Zaharah Wouters yang menetap di Kuwait. Segala proses pembuatan abaya ini dijalankan di sana dan kerana itulah busana ini sangat eksklusif dan tersendiri. Biasanya setiap rekaan saya lebih pada gaya klasik agar boleh dipakai sepanjang zaman dan tentunya diperindah dengan sulaman yang halus dan cantik.

Paling penting setiap helaian itu perlu mencapai kualiti jahitan yang kemas dan terbaik. Insyaallah saya berharap Cinta Abaya akan terus berkembang dan mendapat perhatian seluruh pelosok dunia satu hari nanti. Alhamdulillah, saya amat bersyukur dengan anugerah Allah kepada saya kini, sebuah keluarga bahagia dan sebuah perniagaan yang semakin berkembang,” tuturnya ikhlas.
Dalam melalui ranjau kehidupan pastinya Datin Raha mempunyai seorang wanita inspirasi. “Ibu saya Datin Ramlah adalah inspirasi saya tiada insan lain. Dalam usianya 73, beliau seorang yang sangat kuat dan stabil daripada segi pemikiran dan emosi, masih aktif dalam usianya, setiap perkara yang berlaku beliau berjaya menemui jalan penyelesaian terbaik dan tentu sahaja saya memperoleh banyak khidmat nasihat dalam apa jua sahaja perkara sehingga sekarang. Dia selalu menekankan tentang penjagaan kecantikan dalaman terutama daripada segi pengambilan suplemen dahulu dan sekarang.
Rahsia Datin Raha, kekal cantik di usia 45 tahun, “Petua kecantikan saya sangat ringkas, tidur mesti cukup dan amalkan pemakanan seimbang. Paling penting saya mesti minum jus setiap hari. Sayur-sayuran atau daun ulam dan buah-buahan saya masukkan semuanya dijadikan jus, amalan ini saya lakukan sejak daripada dahulu lagi. Sesekali kelapangan saya menghabiskan masa di gim,” terangnya ringkas.
Kata terakhir, “Manusia sekarang terlalu mengejar kehidupan sendiri dan selalu lepas tangan dalam banyak perkara. Perkara utama yang selalu kita perlu ingat, sejauh mana kehidupan yang kita kejar, di akhirnya kita perlu kembali kepada Nya yang Satu. Kadang-kadang kita perlu bertanya pada diri sendiri, apakah yang kita mahukan dalam hidup ini? Dan bagi saya cukuplah dengan kehadiran keluarga tersayang itu, sudah membuatkan saya wanita yang paling bahagia.
Saya juga percaya dalam senario perkembangan teknologi yang semakin maju, wanita hari ini mempunyai kekuatan mental dan fizikal yang tinggi untuk mencorakkan kehidupan dunia lebih baik dan sempurna. Saya bangga dengan wanita alaf baru ini, ” ujar Datin Raha mengakhiri bicara.
Salah Pilih Lampu Boleh Jejaskan Dekorasi Kediaman. Begini Caranya Memilih Yang Sesuai

Selain kabinet, dinding, lantai dan perabot, pencahayaan lampu juga antara unsur utama dalam tata hias kediaman. Penggunaan lampu adalah minimum pada waktu siang kerana kita lebih banyak menggunakan cahaya natural.
Waktu malamlah kita bergantung sepenuhnya terhadap cahaya lampu khususnya dalam rumah. Maka, pentingnya untuk tahu cara menggunakan peralatan lampu. Selain sebagai perhiasan, elemen pencahayaan lampu juga membentuk gaya hidup pemilik.
TIP MEMILIH LAMPU
Jika anda sedang mengubah suai rumah namun mempunyai bajet yang terhad, mulakan pemilihan lampu di ruang makan atau ruang tamu.
Pilih lampu meja dan lampu berdiri sekurang-kurangnya 2-4 biji bagi memudahkan anda untuk melakukan quick makeover di ruang rumah. Mudah juga untuk anda mengalihkannya mengikut kehendak.
Jika anda mahukan tarikan pada dinding, gunakan sebiji lampu dinding yang cantik agar dapat memberikan pancaran cahaya lampu yang kreatif dan unik pada dinding.
Jika almari pakaian anda kelihatan gelap atau suram, lekatkan sahaja bal LED tap-on agar mudah untuk anda melihat barang-barang di dalamnya. Ia mudah dipasang dengan menggunakan pelekat sahaja tanpa aliran elektrik. Maka, anda boleh menjimatkan kos pemasangan lampu di almari.
Kini, semakin kurang pemilik rumah yang menggunakan siling plaster dan lampu sorot ke bawah atau downlights kerana lampu tetap di siling lebih nampak hebat. Jika anda mahukan pencahayaan lampu yang lebih cerah, tambahkan sahaja lampu meja atau lampu berdiri.
Dalam Diam, MILA JIRIN Kini Bergelar Pemilik Majlis Kahwin & Berstatus JUTAWAN!

Sejak tahun lalu, khabar angin tentang selebriti Mila Jirin sudah bergelar jutawan makin kuat bertiup kencang. Memulakan kerjaya sebagai penyanyi selepas menjuarai Akademi Fantasia musim kelima, kelibat Mila sangat jarang kelihatan di majlis-majlis hiburan. Malah sejak mendirikan rumah tangga dengan suami yang juga bekas pengurusnya, Ahmad Ailis Mohamed Mustapha pada November 2015, Mila seakan memperlahankan perjalanan seninya.
Rupa-rupanya Mila bukan menyepi begitu saja. Ibu kepada Mohd Arif Zikri ini sebenarnya ligat merencana hala tuju hidup dengan menceburkan diri dalam bidang keusahawanan lebih 10 tahun lalu. Menerusi posting yang dikongsikan Mila di laman Instagramnya hari ini, kejayaan yang diraih sekarang bermula dengan angan-angan.
https://www.instagram.com/p/BdSxxOUlIKp/?taken-by=mila_jirin
“Dulu saya sering ditanya ‘Meniaga sebab dah TAK ADA SHOW ke?’ Saya hanya mampu tersenyum dengan sapaan pedas itu.
2008, saya mula berjinak-jinak dengan perniagaan pertama produk kecantikan LUVMILA. Waktu tu modal tak banyak dan kami tersadai akibat tak cukup rolling capital to run. Saya pun waktu tu masih hijau malar dalam berniaga dan masih main-main, nasib baik suami saya a.k.a MENTOR saya penyabar orangnya TRAIN saya dengan penuh dedikasi dan percuma.
Lepas tutup buku LUVMILA, banyaklah kata-kata nakal cakap ‘business dah tutup dah lingkup’ dan sewaktu dengannya tapi kami tetap nak berniaga dan terus POSITIVE. Disebabkan terlebih aura positive waktu tu, apa saja peluang untuk berniaga saya GRAB.
Dari mengelola acara kecil hinggalah berskala besar sampailah buat talent supply to corporate company semuanya kami terima. Keuntungan tidak diambil kira semata-mata tetapi PENGALAMAN dan dapat kami SURVIVE serta buat simpanan untuk kami BANGKIT dalam dunia perniagaan.
Tahun 2010, adalah turning point saya dan suami. Waktu tu saya pergi makan di restoran Embun Urai. Owner terdahulu beritahu nak jual restoran Embun Urai, saya dan suami terus berbincang dan kami ambil keputusan untuk beli restoran tersebut walaupun kami berdua TAK PANDAI MASAK masakan ala Thai! Oh, sebenarnya ada 1 kejadian juga sewaktu nak beli restoran tu. Disebabkan dana tak berapa mencukupi, saya dan suami ke sebuah bank untuk apply business loan dan yang PALING saya ingat hingga hari ini.
Officer bank tu bukan nak cerita mengenai produk / bank facility tetapi CONDEMN saya dengan mengatakan ‘berniaga restoran ini boleh untung ke? Not a good business! ’Waktu tu saya tekad, saya akan buktikan kata-kata dia SALAH dan saya tak perlukan capital injection from that bank!
Saya dan suami minta tempoh lagi dengan owner restoran Embun Urai dan both of us cari pelbagai peluang perniagaan sampingan untuk simpan modal dan the FACT we did part of payment to the previous owner dan alhamdulillah tahun yang sama 2010 akhirnya restoran Embun Urai jadi milik kami. Disebabkan Embun Urai, saya dan suami berada di dalam F&B Business dan ENHANCE into catering business dan tertubuhlah BIZMILLA CATERING.
Alhamdulillah kalau dulu angan-angan tapi sekarang kenyataan. Ia bukan MUDAH tetapi TIDAK MUSTAHIL! Moral of the story? Jangan pernah PUTUS ASA, sentiasa fikir POSITIVE dan perlu segera AMBIL TINDAKAN untuk mengubah dan berubah.”
Selain berkongsi tentang pengalaman sebagai usahawan, Mila berkata salah satu rahsia yang dilakukan agar terus kekal bertahan dalam perniagaan adalah disiplin yang tinggi selain banyakkan bersedekah. Jelasnya, setiap hari restoran Embun Urai akan sedekahkan Makan Malam Percuma buat Rumah Tahfiz berdekatan.