Manis dan ayu sungguh gadis kelahiran Cik Siti Wan Kembang ini. Tak berkedip mata memandang. Puteri Annisa Amalin Amir atau mesra digelar sebagai Puteri merupakan anak jati Kota Bharu, Kelantan. Memiliki darah campuran Melayu, Cina dan Uzbekistan memberi kelebihan buat personaliti kerabat Diraja Kelantan ini.
Dalam usia 24 tahun Puteri dilihat sebagai seorang gadis yang sangat bijak, matang dan pandai berdikari. Ternyata Puteri bukan calang-calang anak muda. Selain bertugas sebagai penasihat pemasaran perniagaan, Puteri juga kini aktif sebagai model sambilan.
Puteri Annisa Amalin sebagai personaliti Tetamu Diraja edisi NONA MAC 2020.Puteri Annisa Amalin sebagai personaliti Tetamu Diraja edisi NONA MAC 2020.
“Sejak kecil Bonda dan Ayahanda mendidik saya sentiasa merendah diri, bersederhana dan saling menghormati. Tiada had untuk saya bergaul dengan sesiapa pun. Saya turut dididik sentiasa berdisiplin dan menepati masa. Sebab itulah saya sangat teliti dalam segala hal.
Saya bersama Pertubuhan Kerabat Diraja Kelantan aktif melaksanakan aktiviti kebajikan antaranya pengurniaan zakat kepada anak-anak yatim serta tahfiz. Tidak ketinggalan kami turut melakukan pengurniaan zakat kepada golongan asnaf dan lawatan ke rumah orang-orang asli sekitar negeri Kelantan.
Antara barangan keperluan harian sumbangan Pertubuhan Kerabat Diraja Kelantan.
Selalunya, setiap kali bulan Ramadan kami akan berbuka puasa bersama anak-anak yatim negeri Kelantan. Namun tahun ini memandangkan kita dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kami turut menyalurkan sumbangan berupa barangan keperluan harian kepada mana-mana ahli yang terkesan dengan situasi wabak COVID-19 seperti yang bergaji harian, ibu dan bapa tunggal. Sumbangan diberikan pada 15 April 2020 yang lalu. Selepas ini ada lebih banyak lagi agihan yang akan diberikan buat mereka yang memerlukan.”
PANDAI MEMASAK
Sejak usia 6 tahun Puteri sudah pun menunjukkan minatnya terhadap dunia masakan apabila gemar membelek buku-buku masakan milik nendanya, YM Tengku Anisah@Zainab Binti YM Tengku Muhammad. Menu pertama yang dipelajari oleh Puteri ialah rendang ayam bersama pulut kuning, serta makaroni bakar.
Koleksi resipi warisan keluarga Puteri Annisa Amalin.Puteri Annisa Amalin sewaktu kecil.
“Ketika kecil saya memang suka memerhatikan Bonda dan Nenda memasak termasuklah ketika mereka menyediakan bahan-bahan masakan. Bonda saya bernama Nik Safuanah Binti Mohd Hashim.
Saya juga merindui suasana ketika belajar memasak bersama sepupu-sepupu ketika zaman kanak-kanak. Kami sama-sama menyediakan hidangan untuk keluarga sambil dipantau oleh Nenda. Momen ini sangat seronok dan meninggalkan banyak kenangan manis.
Ads
Detik bersama keluarga adalah masa berkualiti kami kerana ketika inilah dapat berkumpul sambil melakukan aktiviti seperti jamuan makan. Kami akan memasak bersama-sama Bonda dan Nenda untuk menyediakan sajian istana Kelantan seperti Itik Serati Solor, Ayam Percik, Kerutuk Daging, Mas Sejemput, Pauh Dilayang, Jalur Emas, Cekmek dan Bunga Tanjung.
Manis berbaju kurung moden dan bertudung.
Menu lain yang turut menjadi kegemaran kami sekeluarga ialah Ros Lidah, Kerabu Sayuran Campur, Kerabu Daging, Solok Ikan Goreng, Kerabu Bekol Sri Kelantan dan Pulut Kuning Bersama Rendang Daging. Manisan pula kami menggemari Nasi Manis, Tepung Manis, Puding Jala Emas, Nasi Kaya, Cucur Betawi dan Martabak Diraja.
Antara hidangan yang sering saya masak ialah Ros Lidah. Ros Lidah ini merupakan menu turun temurun daripada Nenda saya. Ia merupakan lidah lembu yang direbus empuk kemudian dibersihkan dan dihiris nipis. Seterusnya ia diperap, digoreng dan akhir sekali dilengkapkan dengan kuah yang sangat mudah dihasilkan.
Secara peribadi, sajian istana yang paling saya suka ialah Itik Serati Solor yang juga resipi turun temurun keluarga saya. Ia mempunyai pelbagai rempah ratus yang dikisar secara tradisional sama ada digiling atau ditumbuk menggunakan batu gilingan.
Antara sajian istana Kelantan, Itik Serati Solor.
Itik serati dibakar menggunakan bara arang. Memasak menu ini memerlukan kesabaran kerana ia mengambil masa. Itik Serati Solor sangat sedap dihidangkan bersama nasi putih dan ulam ulaman.
Bagi saya sajian istana Kelantan cukup istimewa kerana masih mengekalkan resipi asli serta mengekalkan kaedah tradisional seperti menggunakan bara arang, kuali tembaga, dulang tembaga, periuk atau belanga tanah dan batu gilingan. Selain itu, ia turut menggunakan bahan-bahan masakan semula jadi.
Ads
AMAL 3 PETUA UNTUK KEKAL CANTIK
Saya amalkan tiga jenis petua kecantikan yang diwarisi sejak turun temurun dari keluarga iaitu melumurkan bedak sejuk bersama kulit rambai dan asam jawa pada badan dan wajah bagi melembutkan kulit serta mencerahkannya secara semula jadi.
Beauty with brain.
Saya juga mengamalkan susu santan yang dicampur bersama asam jawa dan limau purut bagi melebatkan rambut dan mencuci kulit kepala agar lebih segar. Petua ketiga untuk kesihatan dalaman. Saya amalkan makan ulam ulaman bersama nasi seperti pucuk gajus, pucuk paku, pegaga dan ulam raja. Bagi saya ulam umpama suplemen semula jadi yang bagus untuk kesihatan luaran dan dalaman.
PENCINTA GAYA KLASIK
Minat saya terhadap fesyen bermula daripada Bonda di mana beliau sering memberi idea kepada saya tentang gaya yang sesuai terutama ketika menghadiri majlis-majlis Diraja. Selain gaya moden saya turut menyukai fesyen yang ada sentuhan klasik. Saya sebenarnya pencinta songket dan batik Kelantan kerana ia melambangkan tradisi keluarga Diraja Kelantan.
Ads
Aksesori pula ‘item wajib’ pelengkap gaya. Saya gemar mengumpul barangan antik seperti barang kemas yang diwarisi daripada Nenda contohnya anting-anting, gelang kaki dan tangan, serta rantai. Tidak ketinggalan pakaian Nenda yang dipakainya ketika berada di dalam istana Kelantan.
Saya dan rakan-rakan baik memang suka berfesyen. Sometime shopping with your best friend is all the therapy you need. Kebanyakan rakan-rakan sangat mengenali cita rasa saya. Adakalanya kami gemar menyarungkan outfit yang sama tema ketika keluar. Sekiranya ada masa kami juga gemar bercuti bersama walaupun jarang berjumpa. Apa yang paling penting ialah our bond sisterhood unbreakable.”
BONDA SUMBER INSPIRASI
“Selain memiliki sikap keibuan yang tinggi, Bonda juga sangat lemah lembut, penyayang dan mementingkan disiplin. Bonda juga seorang yang mengambil berat dan penyabar. Saya bersyukur kerana dikurniakan seorang ibu yang menjaga saya umpama menatang minyak yang penuh. Saya berdoa agar Bonda dipanjangkan usia dan sihat selalu.”
Puteri turut berkongsi foto kenangan ketika Bondanya aktif sebagai penari istana yang turut disertai oleh sepupu-sepupu dan anak-anak kerabat Diraja Kelantan.
Ketika muda, Bonda Puteri aktif sebagai penari istana bersama anak-anak kerabat Diraja Kelantan.
Impian Puteri ialah mahu menjadi usahawan berjaya kelak serta ‘membangun’ bersama-sama wanita Malaysia dalam bidang perniagaan. Baginya menjadi seorang wanita sebenarnya sangat menakjubkan kerana mampu berdikari dan melakukan pelbagai perkara pada zaman kini. #syukurbersama
Kredit Foto: Instagram Puteri Annisa Amalin
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pasti ramai wanita berkongsi rasa kagum dan bangga dengan kejayaan yang diraih Ayu Damit hari ini. Iyalah, selain sibuk menjalani rutin harian sebagai seorang isteri, ibu kepada tiga orang anak dan juga penyanyi… juara program nyanyian One In A Million ini dalam diam sudah bergelar usahawan pertanian berjaya. Daripada tanaman secara kecil-kecilan, kini Ayu dan suami mampu mengembangkan tanaman di ladang seluas 4 ekar.
Pernah ditemu bual Nona tidak lama dulu, Ayu berharap perkongsian ini boleh dijadikan pembakar semangat buat mana-mana individu khususnya kaum wanita yang menyimpan hasrat bergelar ahli pertanian berjaya kelak.
Dikenali sebagai selebriti yang merendah diri, ujarnya, “Alhamdulillah, Ayu dan suami mengusahakan cili padi sistem fetigrasi selama tiga tahun. Tapi sebenarnya, kami sudah terlibat dalam bidang pertanian hampir tujuh tahun. Pada mulanya, kami mengusahakan penanaman kelapa mataq dan nanas.
Pun begitu, kami lebih fokus kepada penanaman cili padi. Sebab utama pilih cili padi adalah kerana pasaran yang agak tinggi selain Malaysia kekurangan pengeluar cili dan kebanyakan pembekal cili berasal dari negara lain. Sebenarnya suami yang menggalakkan Ayu ceburi bidang ini sebab dia sangat berminat dengan pertanian. Memang dia di kampung pun dia suka bercucuk tanam.”
Terang isteri Syed Fauzi Syed Baharuddin ini lagi, “Setakat ini kami menyewa tanah Orang Asli yang terletak di Pangsoon, Hulu Langat seluas 4 ekar dan di ladang tersebutlah kami usahakan tiga jenis tanaman iaitu cili padi, timun dan terung.
Namun sekarang alhamdulillah kami dapat menambah satu lagi tanaman iaitu kacang panjang. Selain tanaman sayur-sayuran berkenaan, Ayu turut mengeluarkan produk keluarannya sendiri seperti cili padi jeruk, cookies dan sate.
Soal pengurusan tanaman dan bisnes pertanian ini dikendalikan sepenuhnya oleh suami. Tugas Ayu lebih kepada membantu dari segi promosi dan penjualan saja. InshaAllah, dalam masa lima tahun akan datang Ayu ingin meluaskan ladang yang ada sekarang ini untuk dieksport ke luar negara. Selain masih aktif bernyanyi, Ayu dan suami juga buat consultant untuk petani-petani baru.”
Pada 12 Julai lepas genap 32 tahun usia Ayu Damit. Bersempena ulang tahun kelahiran tersebut juga genap setahun usahawan berdaya saing ini membuka Restoran Ayu Damit X Tok Mak Citarasa Antarabangsa yang terletak di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur.
Sebagai ibu bekerjaya, bukan mudah bagi Ayu untuk membahagikan masa di antara keluarga, perniagaan dan karier seni. Pun begitu, baik Ayu mahupun suami kedua-duanya memilih untuk tidak lagi menggunakan khidmat pembantu rumah selepas berdepan dengan pelbagai dugaan.
“Dulu Ayu memang menggunakan khidmat pembantu rumah tapi banyak kali lalui macam-macam ragam pembantu ni. Jadi, buat masa sekarang Ayu dan suami yang menjaga anak-anak. Kalau Ayu ada kerja, suami yang akan jaga dan begitu juga sebaliknya.”
12 tahun melayari bahtera perkahwinan, pasangan ini dikurniakan tiga orang anak iaitu Syed Nasrul Haikal (11 tahun), Sharifah Alya Adriana (9 tahun) dan Syed Aqif Najmi yang kini berumur 5 tahun.
Kredit: Instagram Ayu Damit
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pengalaman indah yang dilalui Ahmad Najhan Hassim, ibarat menggambarkan bahawa rezeki itu tidak pernah salah alamat. Biarpun dalam situasi pandemik COVID-19, dia tetap dijemput ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah umrah norma baharu.
Selepas lebih enam bulan sekatan ibadah umrah dikuatkuasakan berikutan penularan COVID-19, Masjidil Hram kembali dibuka dengan ketibaan kumpulan jemaah pertamanya pada 4 Oktober lalu.
Ketibaan kumpulan jemaah pertama ini disambut dengan pelbagai kemudahan kesihatan termasuk mesin pengimbas haba yang ditempatkan di semua pintu masuk dan di dalam Masjidil Haram.
Benarlah manusia tidak pernah tahu dimana dia harus menjemput rezekinya, tapi rezekinya pasti tahu dimana pemiliknya.
Seperti perkongsian seorang rakyat Malaysia yang menetap di Jeddah, Ahmad Najhan Hassim, dia sendiri pun tidak menyangka menjadi antara individu terawal menunaikan ibadah umrah norma baharu.
Najhan yang bekerja sebagai jururawat di salah sebuah hospital di Jeddah berkata, dia amat teruja dengan rezeki yang diperolehnya itu dan memaklumkan Prosedur Operasi Standard (SOP) umrah yang dibuat Arab Saudi teratur dan tidak mengganggu pelaksanaan ibadah.
“Bila dah selesai semalam agak teruja apa yang dilakukan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
Sangat teratur sangat mengikut SOP penjarakan sosial ketika kita melakukan tawaf dan alhamdulillah jemaah sangat mematuhi SOP ditetapkan.”
Pun begitu Najhan memaklumkan, tempoh maksimum tiga jam yang ditetapkan Arab Saudi untuk jemaah menyelesaikan ibadah umrah menyebabkan tempoh masa di dalam Masjidil Haram singkat.
“Untuk norma baharu kita tidak berapa puas berada lama dalam Masjidil Haram” Ahmad Najhan
Setiap jemaah yang dipilih kita mempunyai tiga jam sahaja masa untuk sempurnakan ibadah umrah setelah habis tempoh semua jemaah dikehendaki keluar dari Masjidil Haram untuk memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan untuk kumpulan lain selepas kita,” katanya.
Najhan yang hampir tiga tahun menetap di Jeddah memaklumkan sebelum pandemik COVID-19 hampir setiap bulan beliau berpeluang untuk menunaikan umrah.
Sekatan lebih enam bulan ke atas pelaksanaan ibadah umrah menyebabkan dia amat merindui untuk melakukan ibadah berkenaan.
Najhan turut memanjatkan doa agar semua umat Islam terutama di Malaysia akan turut berpeluang untuk kembali ke menunaikan ibadah umrah.
Inilah cabaran bergelar usahawan, isteri dan ibu. Kagum betul dengan pencapaian CEO muda ini. Dato’ Razi’ie Mahmod atau lebih dikenali sebagai Dato’ Gee baru berusia 38 tahun namun punya rekod kejayaan membanggakan sebagai seorang wanita.
Dato’ Gee atau nama sebenarnya Dato’ Razi’ie Mahmod, CEO muda berusia 38 tahun.
Pemilik syarikat Richwealth Empire (M) Sdn Bhd yang berasal dari Jengka, Pahang ini merupakan lulusan Sarjana Pengurusan Perniagaan Kejuruteraan serta ibu anak tiga berusia 9, 8 dan 2 tahun.
JUALAN MENINGKAT
“Buat masa ini perniagaan masih berjalan seperti biasa, hanya ada sedikit perubahan dari segi operasi dan pemasaran. Semua staf bekerja dari rumah. Dari segi aktiviti pemasaran lebih tertumpu melalui online. Jika sebelum ini saya giat mengadakan program-program bertemu pelanggan seluruh Malaysia tetapi akibat pandemik ia ditangguhkan seketika sehingga keadaan kembali pulih.
Saya bersyukur kerana 3 bulan sebelum pandemik saya telah mengambil inisiatif dengan menubuhkan in-house sale and marketing bagi menjalankan pemasaran online secara agresif melalui platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan Tik tok. Permintaan produk seperti SF Tea (Solusi Gula Tinggi) dan rangkaian produk yang lain mendapat permintaan yang tinggi atas kesedaran orang ramai untuk lebih menjaga kesihatan di kala pandemik. Jumlah jualan bulanan sebelum dan selepas pandemik mencatatkan angka yang sama dan meningkat. Malah, kami berjaya mengekalkan pekerja yang ada.
Produk kesihatan SF Tea keluaran syarikat Dato’ Gee, Richwealth Empire (M) Sdn Bhd.
Kini saya masih lagi mencari pekerja-pekerja baru kerana telah menambah beberapa division lain dalam syarikat. Selain itu, saya juga telah mengembangkan 3 rangkaian perniagaan baru sebagai persediaan masa depan iaitu rangkaian tudung bawal di bawah jenama lilisdahlia.com, produk untuk mereka yang aktif bersukan, Neomag serta rangkaian makanan asas yang lebih sihat berkolaborasi bersama Dr. Norman Norawi di bawah jenama iaafiyah.com
Dalam perniagaan saya juga melalui detik-detik sukar. Menangis tu biasalah, lagi-lagi kita ini wanita. Emosi mudah rapuh. Tetapi, saya takkan biarkan emosi dan perasaan terus hanyut lama. Saya cepat-cepat cari kekuatan bagi meneruskan perniagaan biarpun terpaksa bermula dari bawah. Saya akan bangkit semula dengan mengenang kembali kenapa saya buat perniagaan ini dan untuk siapa segala hasil dan titik peluh saya dalam perniagaan ini. Saya akan ingat wajah anak-anak, ibu dan keluarga yang nak lihat saya berjaya, termasuk orang sekeliling yang sentiasa ada bersama saya di kala susah dan senang.
Perkara paling sukar bagi seorang usahawan adalah mengekalkan perniagaan apabila berada di puncak. Maka, perlunya semangat juang yang tinggi. Anda ibarat pokok di mana ramai yang ingin berteduh. Jika pokok itu mati bagaimana anda boleh terus memberikan manfaat kepada komuniti? Untuk menjadi sepohon pokok yang kuat anda harus sentiasa positif, bertindak cepat dan agresif, berimpian besar, berpenampilan kemas dan menarik, serta punya aura tersendiri.
PENGORBANAN SUAMI Kejayaan saya hari ini tidak datang dengan hanya usaha sendiri. Jika tanpa doa, redha dan usaha bersama suami, Nik Azrai Nik Ariff tak mungkin saya berada di tahap ini. Untuk berjaya dalam perniagaan, pentingnya usaha dan kegigihan bersama pasangan. Ramai di luar sana yang berjaya dalam perniagaan hasil usaha bersama suami dan isteri.
Bersama suami tercinta, Nik Azrai Nik Ariff.
Saya akui di waktu pandemik ini, cabaran dan tanggungjawab paling besar tergalas kepada wanita dan ibu. Anak-anak mengikuti kelas pembelajaran PDPR dan para ibu sibuk memberikan fokus kepada anak-anak, pada masa sama perlu memasak, bekerja dan berniaga. Saya sangat kagum semangat ibu-ibu zaman kini. Pun begitu, jika tidak diuruskan sebaiknya ia akan membuatkan wanita mudah tertekan dari segi fizikal dan mental.
Nasihat saya, cari satu masa untuk bercakap dengan suami. Terangkan pada mereka secara berhemah tanggungjawab yang harus anda pikul di rumah dan tanggungjawab dalam perniagaan. Jelaskan juga niat anda berniaga bagi meringankan beban ekonomi, keluarga dan anak-anak. Anda boleh minta suami membantu dari segi pembahagian tugas di rumah bagi meringankan beban. Insha Allah dengan kerjasama dan komunikasi yang baik, semua urusan berjalan lancar. Anda boleh merangka jadual aktiviti harian dan terangkan pada suami dan anak-anak agar mereka juga memberi kerjasama. Maka, pentingnya komunikasi bersama pasangan dan anak-anak.
IMPIAN & PERANCANGAN Impian terbesar saya ialah untuk membina legasi perniagaan yang dapat diwariskan kepada anak-anak kelak. Saya membuka peluang kepada wanita-wanita yang mahu mengubah dan meningkatkan taraf hidup melalui perniagaan terutama secara online kerana lebih fleksibel dan boleh dilakukan di mana saja. Saya mempunyai pasukan pemasaran (online) yang boleh membimbing anda, maka saya telah membuka kelas pembinaan website dan pemasaran di media sosial untuk membawa anda kepada perniagaan digital yang relevan kini. Kelas-kelas ini ditawarkan secara percuma. Yang perlu anda bayar hanyalah usaha, fokus dan minat.
Kredit Foto: Instagram Dato’ Razi’ie Mahmod
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!