Sofistikated, versatil dan berani adalah ungkapan yang selayaknya menggambarkan wanita kelahiran Taiping, Perak ini. Ungkapan ini bukan sahaja terpamer melalui penampilannya malah turut mengiringi perjalanan bisnes yang dibangunkan.
Tatkala duduk bersebelahan dengan pemilik Caramel Fashion Scarves ini sudah terasa aura luar biasa yang dimilikinya. Dalam keramahan dan gelak tawa, pasti terselit fokusnya ke arah pemerkasaan wanita. Datin Azila Caramella lambang Nona Superwoman yang tidak betah duduk ‘goyang kaki’ walau mampu bersenang-lenang dengan segala-galanya.
Menyingkap tentang bisnes skarf yang diusahakan, Datin Azila benar-benar telah bersedia sebelum menceburi bidang perniagaan fesyen ini. “Sebelum ini, saya aktif berkecimpung dalam perniagaan suami. Hinggalah suatu hari, tergerak hati ini mahu memiliki bisnes sendiri.
Jadi saya mulakan research, bertahun-tahun juga meneliti prospek, kaji market dan cita rasa pelanggan. Akhirnya selepas yakin dengan potensi dan permintaan skarf yang tinggi, lahirlah Caramel Fashion Scarves yang tidak khusus untuk hijabi semata-mata, tapi untuk semua lapisan peminat fesyen umumnya,” cerita Datin Azila.
Ads
Melihat sendiri keindahan deretan skarf yang tergantung di rak Caramel Fashion Scarves di Mytown, Cheras, jelas menggambarkan keperibadian Datin Azila yang tersendiri. Patutlah rekaan yang dipertaruhkan bercita rasa tinggi kerana Datin Azila pernah mendalami bidang couture di Paris selepas tamat pengajian dalam bidang Rekaan Fesyen di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Apabila diajukan kenapa skarf, jawabnya jujur, “Negara ini bertuah dihuni penduduk pelbagai agama dan bangsa. Jadi saya kira, skarf Caramel sesuai digayakan tidak kira kaum Melayu, Cina dan India.
Ads
Saya tidak meletakkan skarf khusus untuk golongan Muslim sahaja, tapi sebagai item fesyen yang universal. Ibu mertua saya juga peminat skarf walaupun dia bukan orang tempatan. Sebab itu misi saya di Caramel, saya mahu menghasilkan skarf yang sesuai dipakai oleh sesiapa saja,” bicara Datin Azila penuh semangat.
Melihat penampilan Datin Azila yang penuh gaya walau sudah memiliki tiga orang cahaya mata terdetik di hati penulis untuk mencungkil rahsia kelangsingannya. Selain daripada pengambilan vitamin sebagai penambah tenaga, penulis tertarik dengan kenyataan isteri kepada usahawan berjaya, Datuk Marco Caramella yang mengamalkan pengambilan jamu sejak usia remaja.
Ads
“Saya dah mula amalkan jamu sejak usia 15 tahun lagi. Dari dulu saya suka dengar nasihat orang tua-tua agar menjaga kecantikan dalaman dengan makan jamu. Ketika itu saya masih ingat lagi saya mula makan jamu untuk remaja keluaran Mustika Ratu. Sehingga kini saya masih mengamalkan jamu tetapi selaras dengan peningkatan usia.
Walaupun saya berkahwin dengan lelaki berbangsa asing tapi saya patuh dengan amalan berpantang tradisional selepas melahirkan ketiga-tiga anak kami. Pada saya amalan berpantang sangat penting untuk mengekalkan kecantikan dalaman seorang wanita,” terang Datin Azila yang mengamalkan pengambilan vitamin Berocca bersama secawan lemon panas semasa perut kosong setiap pagi sebaik bangun daripada tidur.
Selaras dengan Kempen Bulan Kesedaran Kanser Payudara, penulis sempat bertanyakan beliau tentang isu kesihatan wanita tersebut. “Saya bersyukur kerana dalam lingkungan keluarga saya belum ada lagi sejarah yang menghidap kanser. Tapi, saya terpanggil untuk membantu mereka yang memerlukan melalui Majlis Kanser Negara (MAKNA). Walaupun sumbangan saya tak seberapa tetapi saya berharap sedikit sebanyak mampu menceriakan hidup pesakit kanser payudara agar terus positif meneruskan hari yang mendatang.
Saya sendiri mengambil langkah berjaga-jaga dengan berusaha menjalani gaya hidup sihat demi kesihatan diri. Saya mengawal pemakanan yang diambil, sentiasa bersenam dan kerap lakukan medical check-up untuk memeriksa tahap kesihatan dari semasa ke semasa. Sebagai seorang wanita, kita harus titik beratkan soal kesihatan kerana prevention is better than cure,” jawab Datin Azila mengakhiri perbualan kami.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Hari ini bergema nama kakak di bumi Malaysia. Nama kakak banyak naik ke langit sebab orang tidak henti-henti menyebut nama kakak dan doakan kakak. Kakak, keep fighting! Ramai yang nak tengok kakak bangun dan berlari sayang!”
Itu antara cebisan kata-kata menyentuh jiwa yang dikongsi di Facebook Ahmad Safiuddin Ahmad Razak bapa kepada Ainul Mardhiah, bayi perempuan penghidap kanser mulut ‘Germ Cell Tumor’ yang kisahnya tular sekitar April 2019 dan ramai yang prihatin dengan penderitaan anak kecil ini.
Dilahirkan sebagai bayi pramatang pada 13 Ogos 2018, Ainul merupakan anak kepada pasangan muda yang sangat tabah iaitu Nurul Erwani Zaidi dan Ahmad Safiuddin Ahmad Razak. Kedua-duanya kini berusia 25 tahun. Bapanya seorang peniaga manakala ibunya suri rumahtangga dan pelajar di salah sebuah universiti swasta tempatan.
Diam tak diam kini Ainul sudah pun berusia dua tahun. Seronok melihat perkembangan Ainul yang kini bukan saja semakin sihat bahkan comel serta bijak! Keletahnya sering mencuit hati. Baca perkongsian ekslusif ibunya bersama Nona tentang perkembangan terkini Ainul.
SYUKUR DIBERI UJIAN
“Saya sangat bersyukur kepada Allah SWT dengan ujian yang telah diberikan kepada kami sekeluarga. Saya juga gembira serta terharu atas keperihatinan rakyat Malaysia yang tidak pernah jemu memberikan sokongan dan titipan doa buat Ainul.
Sejak Ainul dilahirkan sampailah sekarang saya dan suami tak pernah putus mengucapkan syukur kepada Allah SWT atas ujian yang diberi. Ujian ini mungkin ‘sangat sedikit’ kalau hendak dibandingkan dengan ujian lebih berat yang terpaksa ditanggung oleh orang lain. Maka kami sentiasa bersyukur walau diberikan ujian berat ini kerana percaya dengan hikmah yang ada di sebaliknya.
Ainul menjadi sumber kekuatan kami berdua. Kerana Ainul jugalah kami menjadi lebih matang dalam membuat keputusan. Banyak sangat hikmah yang Allah SWT tunjuk kepada kami melalui ujian ini.
Kami pun tak minta untuk dikenali namun apa yang berlaku semuanya telah ditentukan oleh Allah SWT kepada kami. “Siapa yang bersabar dan solat, Allah SWT pasti akan bantu orang itu”. Ayat Al-Quran ini sentiasa menjadi amalan saya dan suami dalam mencari ketenangan jiwa.
Pastinya yang paling kuat menghadapi ujian ini ialah suami. Saya pula yang paling tidak kuat. Ketika Ainul lahir ke dunia sayalah yang tak henti-henti menangis dan sering menyalahkan diri sendiri kerana menyebabkan Ainul jadi begitu. Saya hampir putus harap. Suamilah yang sering memberi kata-kata semangat dan sentiasa berada di sisi saya. Suami seorang yang sangat positif walaupun saya tahu dia sebenarnya juga sedang menangis, cuma tak pernah tunjuk kepada saya.
TANGISAN
Detik atau perkara yang paling menyentuh hati saya sepanjang bergelar ibu ialah ketika Ainul mula dikenali ramai orang. Waktu itu saya berasa sangat malu kerana takut orang akan memandang serong atau rasa tak selesa tatkala melihat Ainul dalam keadaan begitu. Namun ternyata saya salah.
Rupa-rupanya ramai yang mula prihatin dan sanggup menjual barang-barang kesayangan mereka semata-mata untuk membantu dalam memberi sumbangan kepada Ainul. Orang ramai tak kira bangsa dan agama turut menghubungi saya dan suami sambil diiringi dengan tangisan mereka. Ini benar-benar menyentuh jiwa kami.
Saya seorang yang suka tersenyum dan sebolehnya tidak akan menangis di hadapan orang. Bohonglah kalau kata tak sedih namun bagi saya menangis bukanlah jalan penyelesaiannya. Seingat saya, tangisan paling teruk yang pernah saya alami ialah setelah Ainul selamat menjalani pembedahan di London. Tangisan saya waktu itu sebenarnya tangisan kegembiraan. Ianya berlaku secara spontan dan tanpa diduga.
HAMIL ANAK KEDUA
Rezeki anak adalah rezeki yang tak terhitung nilainya. Anak adalah anugerah Allah SWT untuk kita menyambung dan meramaikan lagi umat Nabi Muhammad SAW. Alhamdulillah, sejak Ainul bertambah sihat dan cerdik saya dan suami mengambil keputusan untuk ‘menghadiahkan’ Ainul adik. Adalah kawan untuk bermain nanti.
Alhamdulillah kandungan saya sekarang sudah masuk 7 bulan. Ketika mengetahui saya hamil kali kedua kami bersyukur sangat. Nak kata merancang tak sebenarnya. Kami juga tak rancang berapa orang anak yang kami mahu. Kalau dapat ramai alhamdulillah rezeki kami. Allah lagi Maha Mengetahui.
Mungkin sekarang waktu yang sesuai untuk Dia beri rezeki. Lagi pun Ainul ramai yang jaga di rumah. Tak salah rasanya kalau tambah lagi anak. Tak sabar rasanya nak lihat Ainul main dengan adik nanti!
Alhamdulillah sepanjang kehamilan ini dipermudahkan. Cuma kali ini penat sedikit berbanding hamilkan Ainul dulu. Alahan teruk tiada. Mengidam pun makanan yang mudah dicari. Kalau diberi rezeki oleh Allah SWT, anak kedua ini InshaAllah lelaki. Saya dah buat scan empat kali, memang semuanya nampak lelaki.
Mungkin saya akan terimbas kembali momen-momen sewaktu melahirkan Ainul. Akan tetapi ianya akan menjadi salah satu penguat semangat saya dalam kehidupan ini. Allah SWT memberi ujian tanda Dia sayangkan kita.
AINUL MAKIN CERDIK
Alhamdulillah, Ainul juga sama seperti kanak-kanak lain. Walaupun perkembangan Ainul lambat sedikit berbanding umurnya sekarang tetapi setiap momen atau keletah Ainul sama seperti bayi normal yang lain antaranya celik mata sahaja terus hendak bermain. Antara rancangan kartun kegemaran Ainul ialah Omar & Hana.
Selain itu, Ainul sekarang sangat cepat belajar. Macam-macam perangai yang Ainul sedang belajar sekarang. Tetapi yang paling mencuit hati saya dan suami ialah Ainul sedang berusaha untuk belajar bercakap. Kadang-kadang dah pandai mengamuk sebab tak bawa dia pergi berjalan-jalan.
TERUJA SAMBUT SYAWAL
Tahun lalu (2019) kami menyambut Hari Raya Aidilfitri di perantauan. First time jugalah saya dan suami berjauhan beribu-ribu kilometer dari keluarga. Alhamdulillah walaupun jauh daripada keluarga, kami dapat berkenalan dengan keluarga baru di London. Semuanya baik-baik dan sangat ramah.
Tahun ini sambutan Syawal lebih bermakna kerana kami dapat menyambutnya bersama Ainul yang semakin cerdik dan banyak ‘akal’. Ia memberi satu kelegaan buat saya dan suami kerana Allah SWT sentiasa memberi peluang dan mengkabulkan doa-doa yang pernah kami pohon sebelum-sebelum ini.
Banyak sebenarnya plan nak buat dengan Ainul sepanjang Syawal nanti. Salah satunya ialah mahu membawa Ainul ke rumah saudara mara. Namum atas faktor-faktor yang sedang berlaku pada negara Malaysia ketika ini kami terpaksa patuh dengan arahan dan menyambutnya di rumah sahaja. Tahun lalu tema raya kami bertiga adalah warna ungu, tahun ini kami akan memakai warna biru pula pada Hari Raya pertama.
RINDU DR AMALINA BAKRI
InshaAllah kalau ada rezeki suatu hari nanti kami sekeluarga pasti akan ke London semula untuk berjumpa dengan keluarga baru dan para doktor yang pernah merawat serta menjaga Ainul di sana. Paling kami rindu semestinya Dr Amalina Bakri yang gigih berusaha memastikan Ainul selamat tiba di London dahulu.
Dr Amalina sangat prihatin terhadap Ainul. Kami ingin mengucapkan terima kasih yang tak terhingga kepada beliau kerana sanggup membantu kami demi memberikan yang terbaik buat Ainul. Dr Amalina adalah insan yang berhati mulia. Saya dan suami tidak mampu membalas jasanya. Pun begitu, beliau sentiasa ada dalam doa kami.
HARAPAN
Terima kasih juga untuk setiap bait-bait doa yang telah diselitkan buat kami sekeluarga. Saya dan suami tidak mampu membalas segala pertolongan dari segi wang ringgit, pengorbanan, dan tenaga. Kami hanya mampu mendoakan buat seluruh rakyat Malaysia. Semoga doa-doa yang diselitkan buat kami akan dikembalikan kepada kalian semula.
Setiap manusia pasti akan diuji, cuma ujian kita mungkin berbeza-beza mengikut tahap kemampuan. Yang penting lalui ujian dengan banyak bersabar dan solat, pasti akan datang sinarnya kelak. Mungkin saat ini doa-doa belum dimakbulkan oleh Allah SWT. Namun yakinlah bahawa doa itu pasti akan dimakbulkan tepat pada waktunya.
Kekuatan saya semuanya datang daripada Allah SWT. Sejak Ainul lahir sampailah sekarang keluarga kami sentiasa memberi kata-kata semangat. Di samping itu, saya juga banyak mendengar kuliah-kuliah agama agar dapat mengubah diri menjadi seorang isteri dan ibu yang lebih baik serta sentiasa positif.
Menyentuh tentang masa depan Ainul, saya dan suami akan sentiasa membimbing dan memberi didikan terbaik buat dirinya. Dari segi kerjaya, minat dan lain-lain saya serahkan kepada Ainul untuk tentukan hala tuju kehidupannya sendiri namun atas nasihat serta dorongan kami sebagai ibu bapa.
Seterusnya, saya mengharapkan agar Ainul sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang Allah SWT berikan kepadanya dan sentiasa bersikap baik kepada semua orang. Hakikatnya, jalan hidup yang Ainul lalui ini bukan mudah.
Buat Ainul, Mama tak pernah anggap anak Mama satu beban atau halangan untuk Mama teruskan kehidupan. Ainul Mardhiah penguat semangat Mama. Dari Ainul lahir sampailah sekarang rezeki yang tak disangka-sangka dari Allah SWT sentiasa mengalir. Alhamdulillah..
Seterusnya nasihat daripada ibu kandung dan ibu mertua yang masih segar dalam ingatan ialah mereka sering mengingatkan saya agar tidak meninggalkan solat, mengaji dan taat kepada suami. Mereka juga sentiasa berada di sisi saya dalam keadaan susah mahupun senang.”
Semoga Nurul Erwani dan suami terus kuat demi Ainul yang menjadi permata kesayangan seluruh rakyat Malaysia. Buat bidadari syurga, Ainul Mardhiah semoga menjadi anak yang solehah buat ibu dan ayah. Jadilah sekuat Sumayyah r.a, secantik Aisyah r.a, dan semulia Siti Khadijah r.a
Kredit Foto: Instagram Nurul Erwani Zaidi, Intagram Dr Amalina Bakri & Facebook Ahmad Safiuddin
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tak dinafikan atlet beregu badminton wanita negara, M. Thinaah ini kian meningkat naik dan menunjukkan prestasi membanggakan dalam sukan berkenaan. Selepas kejayaan memenangi Terbuka Perancis 2022, nama Thinaah dan rakan beregunya iaitu Pearly Tan semakin meniti di bibir peminat sukan badminton tanah air.
Atlet berusia 26 tahun ini dijangka bakal berangkat ke Paris bagi menyertai temasya Sukan Olimpik Paris 2024 yang mewakili Malaysia dalam kategori beregu wanita.
Menelusuri latar belakang Thinaah, dia merupakan anak kepada pasangan Muralitharan dan Dr. Parimala Devi.
Adik-beradik jaguh badminton ini juga bukan calang-calang. Selinaah Muralitharan misalnya yang merupakan penuntut universiti MAHSA dan jurulatih tersenarai dalam Malaysia Book of Records dan Asia Book of Records sebagai penulis puisi terpanjang negara dan Asia.
Jun tahun lalu, M. Thinaah dipilih sebagai Olahragawati bagi Anugerah Sukan Negeri Selangor 2021-2022. Sekaligus membawa pulang wang tunai RM10,000.
Dia juga bergelar Naib Juara Malaysia Masters 2023 selepas tewas di tangan pemain beregu wanita dari China.
Atas pencapaian membanggakan tersebut, Thinaah menerima pengurniaan Bintang Kecemerlangan Sukan Selangor (BKS) pada Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor Darul Ehsan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-78 Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di Istana Alam Shah, Klang pada 11 Disember 2023.
Kongsi Thinaah, “Saya berbesar hati menerima anugerah ini daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj sempena hari keputeraan Baginda. Ia ibarat mimpi menjadi kenyataan dan saya sangat menghargainya. Daulat Tuanku.”
Lebih bermakna, dia turut mendedahkan ibu tersayang juga pernah menerima anugerah daripada Sultan Selangor.
“Saya juga sangat gembira dapat bersama ibu tercinta pada majlis istimewa ini yang turut menerima anugerah daripada Sultan Selangor pada awal tahun 2022. Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.”
Difahamkan dia mula mempelajari Bahasa Mandarin selepas berdepan masalah komunikasi untuk berinteraksi dengan rakan sepasukan ketika menjalani latihan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Di sebalik kejayaan seorang lelaki, berdiri seorang wanita di belakangnya. Itulah ungkapan paling tepat buat Datin Diyana Halik iaitu isteri kepada aktor terkenal yang berasal dari Singapura, Datuk Aaron Aziz. Kejayaan yang dimiliki oleh hero filem terkenal Ombak Rindu hingga hari ini adalah hasil berkat usaha dan doa isteri beliau yang juga merupakan pengurus peribadinya. Bijak dalam mengurus perjalanan karier Datuk Aaron, pelbagai anugerah diraih termasuklah Bintang Paling Popular pada tahun 2013. Kejayaan demi kejayaan yang ditempa membawa satu lembaran baharu dalam kehidupan suami isteri sekaligus menjadikan bahtera rumahtangga pasangan bahagia ini terus menjadi perhatian umum.
“Saya menguruskan karier Aaron lebih 15 tahun semenjak saya berkahwin dengan beliau. Sebelum berkahwin, saya bekerja didalam industri yang sama sebagai ‘assitant producer’ dan dalam pada masa yang sama saya juga pernah buat mekap dan jaga bahagian wardrobe. Pekerjaan saya ketika itu lebih kepada bahagian disebalik tabir. Kemudian dari situ saya bertemu dengan Aaron. Selepas dua tahun kami mengenali antara satu sama lain, kami membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga dan selepas itu saya menjadi pengurus beliau sepenuh masa hingga ke hari ini,” terang Datin Diyana memulakan bicara.
BISNES
Dalam sibuk menguruskan karier suami tercinta, Datin Diyana juga giat mengusahakan perniagaan tudung jenamanya. Menurut beliau, perniagaan yang diusahakan sejak 4 tahun lalu mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan. Walaupun menguruskan dua bidang yang berbeza dalam pada masa yang sama, ternyata Datin Diyana bijak dalam menyusun jadual harian dengan cekap dan teliti.
“Saya memulakan perniagaan tudung saya secara tidak langsung dimana saya berkolaborasi dengan seorang aktres dari Indonesia dengan menjual tudung beliau. Saya membawa masuk tudung beliau ke Malaysia serta Singapura dan tudung tersebut terjual dalam beberapa hari sahaja. Dari situ, saya rasa inilah perniagaan yang saya cari dan ingin usahakan selain menguruskan karier Aaron. Lebih kurang setahun lebih usaha sama saya dengan jenama tersebut. Selepas itu, saya membuat keputusan untuk menghasilkan tudung jenama saya sendiri.
“Alhamdulillah, kini perniagaan saya sudah berusia empat tahun dan saya masih menguruskan karier Aaron, cuma saya tidak turun ke lokasi penggambaran. Namun bisnes utama saya buat masa ini ialah perniagaan tudung saya. Saya juga mempunyai butik yang terletak di Kota Damansara dan ada beberapa agen dibawah saya. Selain itu, saya juga ada perniagaan pakaian baju kurung RTW yang diberi nama Adore Avenue yang saya usahakan tiga tahun lalu bersama salah seorang rakan baik saya. Terbaru, saya dan Aaron ada keluarkan sampin instant untuk raya tahun ini. Kami juga ada mengeluarkan madu segar gred 1 yang diimport dari Yaman,” bicara Datin Diyana yang kini mempunyai lima orang staf.
Bercakap mengenai tudung jenamanya, pasti setiap helaian mempunyai inspirasi tersendiri. Idea yang diperolehi oleh Datin Diyana tercetus ketika beliau pergi bercuti bersama keluarga. Bermula dengan percutian yang digelar ‘travel series’, setiap lokasi percutian beliau memberi ilham untuk menghasilkan koleksi tudung beliau. Antara negara yang telah dilawati Datin Diyana termasuklah Perancis, Korea dan Jepun.
KELUARGA
Rutin harian Datin Diyana cukup sibuk dengan jadual kerja yang perlu dilaksanakan. Mempunyai tiga cahaya mata hasil perkahwinan beliau dengan Datuk Aaron membuatkan beliau perlu menyusun tugasan harian dengan lebih sistematik. Melayari bahtera perkahwinan lebih 15 tahun tentunya mengukir momen indah bersama keluarga tercinta. Menyentuh soal anak-anak dan resepi kebahagiaan rumah tangga, beliau juga seorang yang sentiasa komited dalam menguruskan hal keluarga.
“Sejujurnya saya tidak berani untuk kongsikan tip rumahtangga kerana saya baru sahaja berkahwin selama 15 tahun (ketawa). Namun apa yang saya boleh kongsikan disini ialah komunikasi antara suami dan isteri. Tidak kiralah dalam perhubungan mahupun perniagaan, bagi saya komunikasi amat penting. Selain itu memahami antara satu sama lain juga penting dalam hubungan rumah tangga. Seperti saya, saya perlu faham dengan profesion Aaron dan dia juga perlu faham dengan profesion saya.
“Saya bersyukur anak-anak saya cukup memahami dan sentiasa menyokong bisnes yang saya usahakan. Dalam pada masa yang sama, saya akan pastikan saya ada untuk ‘big day’ mereka. Contohnya seperti pertandingan dan projek yang mereka sertai. Tambahan pula, anak saya yang nombor dua seorang yang cukup aktif dalam sukan. Walau sibuk bagaimana sekalipun, saya akan ambil masa untuk meluangkan masa untuk anak-anak saya kerana saya yakin anak-anak ini akan ingat hari dimana mereka raih sesuatu pencapaian dalam hidup mereka. Selain itu, saya dan suami akan membawa anak-anak kami untuk pergi bercuti ditempat yang tiada gangguan dan orang tidak kenal. Ini untuk mengelak sebarang gangguan dan membolehkan kami meluangkan masa sepenuhnya bersama anak-anak.
Datin Diyana juga seorang ibu yang cukup penyayang. Beliau membesarkan ketiga-tiga anak dengan cara tersendiri. Menjadikan anak-anak sebagai ‘best friend’ bukanlah sesuatu perkara yang mudah kerana perlu meletakkan satu batasan antara ibu dan anak. Walaubagaimanapun, cara itu memudahkan beliau untuk berkomunikasi sekaligus menjadikan anak-anak lebih rapat dengan beliau.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Penyakit buah pinggang kronik semakin meningkat dalam kalangan wanita muda di Malaysia. Ketahui simptom awal, faktor risiko dan kepentingan ujian awal sebelum terlambat.