Sekalung tahniah buat Farah Ahmad dan keluarga atas kejayaan anak tersayang yang menamatkan pengajian di menara gading baru-baru ini. Berkat kesabaran dan disiplin yang tinggi dalam mendidik anak-anak selama ini akhirnya Dhia Farhana Mohd Firdaus yang merupakan cahaya mata sulung Farah Ahmad dan Allahyarham Mohd Firdaus Mohamad Hanif melakar pencapaian membanggakan.
Khabar gembira ini bukan hanya membahagiakan Farah tetapi yang lebih utama menunjukkan betapa cekalnya hati aktres berbakat besar ini membesarkan tiga orang cahaya mata dengan sebaiknya selepas kematian suami tercinta kira-kira enam tahun lalu.
Anak Farah Ahmad Genggam Diploma
Menerusi perkongsian Farah di media sosial, jelas terpancar wajah ceria ibu ini saat menyaksikan anak perempuan yang juga cucu kepada seniwati tanah air, Datuk Fauziah Nawi tersebut menerima skrol diploma ketika Istiadat Konvokesyen ke-101 Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 25 Mei lepas.
Farah atau nama penuhnya Nur Farahaizah Ahmad Zaharuddin meluahkan rasa syukur dan menyifatkan puteri sulungnya ini seorang anak yang bijak, sering memberi contoh terbaik kepada adik-beradik yang lain dan kesayangan arwah bapanya.
Ads
Titip Farah buat anak tersayang, Dhia, “Anak, terima kasih atas kesungguhan mencari ilmu dalam hidup. Ingat setiap detik adalah permulaan detik. Detik permulaan di mana setiap kejayaan akan tercapai dengan dugaan di awalnya dan kebahagiaan di akhirnya.
Anak, terima kasih menjadi anak kepada Ayah dan Mama. Ayah lil girlfriend melepasi lagi satu fasa bersama semangat awak. Terima kasih menjadi kakak kepada adik-adik. Kami sangat menghargai.
Teruskan mencari ilmu dan terus berkongsi ilmu. Dari mama, ingat dahulu ADAB dalam berilmu. Jaga hati jaga diri. Tahniah my Mini Me.”
Pada majlis konvokesyen tersebut, Farah kelihatan anggun dalam persalinan tradisi kurung rona hitam lengkap berselendang coklat cair bersama dua lagi anak perempuan tersayang iaitu Mhia Farhana dan Thia Farhana.
Turut meraikan hari bersejarah Dhia itu ialah nenda kesayangan, Datuk Fauziah Nawi.
Ads
Anak lelaki Datuk Fauziah Nawi iaitu Allahyarham Pitt Hanif ditemukan meninggal dunia pada 26 Oktober 2019 selepas bot yang dinaiki untuk pergi memancing terbalik di Sungai Mela, Kuala Lipis, Pahang.
Farah Ahmad mendirikan rumah tangga bersama Allahyarham Pitt Hanif pada 22 Februari 2000. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata perempuan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Puteri Annisa Amalin Amir atau mesra digelar sebagai Puteri merupakan anak jati Kota Bharu, Kelantan. Manis dan ayu sungguh gadis kelahiran Cik Siti Wan Kembang ini. Memiliki darah campuran Melayu, Cina dan Uzbekistan memberi kelebihan buat personaliti kerabat Diraja Kelantan ini.
Dalam usia 25 tahun Puteri dilihat sebagai seorang gadis yang sangat bijak, matang dan pandai berdikari. Selain bertugas sebagai penasihat pemasaran perniagaan, Puteri juga kini aktif sebagai model sambilan.
Walau dilahirkan di zaman moden namun Puteri membesar dengan amalan-amalan tradisi turun temurun dari keluarganya. Maka sebab itulah, selain moden Puteri juga menjadi pencinta elemen-elemen klasik antaranya pakaian, barangan perhiasan, makanan serta petua kecantikan.
Pasti ramai yang nak tahu bagaimana Puteri menjaga kecantikan dan kesihatannya dengan amalan petua tradisional. Umum mengetahui gadis mahupun wanita Kelantan cantik-cantik belaka. Rupanya mudah saja petua yang Puteri amalkan asalkan rajin dan konsisten.
KULIT RAMBAI & ASAM JAWA RAHSIA CANTIK
Saya amalkan tiga jenis petua kecantikan yang diwarisi sejak turun temurun dari keluarga iaitu melumurkan bedak sejuk bersama kulit rambai dan asam jawa pada badan dan wajah bagi melembutkan kulit serta mencerahkannya secara semula jadi.
Saya juga mengamalkan susu santan yang dicampur bersama asam jawa dan limau purut bagi melebatkan rambut dan mencuci kulit kepala agar lebih segar. Petua ketiga untuk kesihatan dalaman. Saya amalkan makan ulam ulaman bersama nasi seperti pucuk gajus, pucuk paku, pegaga dan ulam raja. Bagi saya ulam umpama suplemen semula jadi yang bagus untuk kesihatan luaran dan dalaman.”
PANDAI MEMASAK
Sejak usia 6 tahun Puteri sudah pun menunjukkan minatnya terhadap dunia masakan apabila gemar membelek buku-buku masakan milik nendanya, YM Tengku Anisah@Zainab Binti YM Tengku Muhammad. Menu pertama yang dipelajari oleh Puteri ialah rendang ayam bersama pulut kuning, serta makaroni bakar.
“Ketika kecil saya memang suka memerhatikan Bonda dan Nenda memasak termasuklah ketika mereka menyediakan bahan-bahan masakan. Bonda saya bernama Nik Safuanah Binti Mohd Hashim.
Saya juga merindui suasana ketika belajar memasak bersama sepupu-sepupu ketika zaman kanak-kanak. Kami sama-sama menyediakan hidangan untuk keluarga sambil dipantau oleh Nenda. Momen ini sangat seronok dan meninggalkan banyak kenangan manis.
Detik bersama keluarga adalah masa berkualiti kami kerana ketika inilah dapat berkumpul sambil melakukan aktiviti seperti jamuan makan. Kami akan memasak bersama-sama Bonda dan Nenda untuk menyediakan sajian istana Kelantan seperti Itik Serati Solor, Ayam Percik, Kerutuk Daging, Mas Sejemput, Pauh Dilayang, Jalur Emas, Cekmek dan Bunga Tanjung.
Menu lain yang turut menjadi kegemaran kami sekeluarga ialah Ros Lidah, Kerabu Sayuran Campur, Kerabu Daging, Solok Ikan Goreng, Kerabu Bekol Sri Kelantan dan Pulut Kuning Bersama Rendang Daging. Manisan pula kami menggemari Nasi Manis, Tepung Manis, Puding Jala Emas, Nasi Kaya, Cucur Betawi dan Martabak Diraja.
Antara hidangan yang sering saya masak ialah Ros Lidah. Ros Lidah ini merupakan menu turun temurun daripada Nenda saya. Ia merupakan lidah lembu yang direbus empuk kemudian dibersihkan dan dihiris nipis. Seterusnya ia diperap, digoreng dan akhir sekali dilengkapkan dengan kuah yang sangat mudah dihasilkan.
Secara peribadi, sajian istana yang paling saya suka ialah Itik Serati Solor yang juga resipi turun temurun keluarga saya. Ia mempunyai pelbagai rempah ratus yang dikisar secara tradisional sama ada digiling atau ditumbuk menggunakan batu gilingan.
Itik serati dibakar menggunakan bara arang. Memasak menu ini memerlukan kesabaran kerana ia mengambil masa. Itik Serati Solor sangat sedap dihidangkan bersama nasi putih dan ulam ulaman.
Bagi saya sajian istana Kelantan cukup istimewa kerana masih mengekalkan resipi asli serta mengekalkan kaedah tradisional seperti menggunakan bara arang, kuali tembaga, dulang tembaga, periuk atau belanga tanah dan batu gilingan. Selain itu, ia turut menggunakan bahan-bahan masakan semula jadi.
PENCINTA GAYA KLASIK
Minat saya terhadap fesyen bermula daripada Bonda di mana beliau sering memberi idea kepada saya tentang gaya yang sesuai terutama ketika menghadiri majlis-majlis Diraja. Selain gaya moden saya turut menyukai fesyen yang ada sentuhan klasik. Saya sebenarnya pencinta songket dan batik Kelantan kerana ia melambangkan tradisi keluarga Diraja Kelantan.
Aksesori pula ‘item wajib’ pelengkap gaya. Saya gemar mengumpul barangan antik seperti barang kemas yang diwarisi daripada Nenda contohnya anting-anting, gelang kaki dan tangan, serta rantai. Tidak ketinggalan pakaian Nenda yang dipakainya ketika berada di dalam istana Kelantan.
BONDA SUMBER INSPIRASI
Selain memiliki sikap keibuan yang tinggi, Bonda juga sangat lemah lembut, penyayang dan mementingkan disiplin. Bonda juga seorang yang mengambil berat dan penyabar. Saya bersyukur kerana dikurniakan seorang ibu yang menjaga saya umpama menatang minyak yang penuh. Saya berdoa agar Bonda dipanjangkan usia dan sihat selalu.
Di samping itu, sejak kecil Bonda dan Ayahanda mendidik saya sentiasa merendah diri, bersederhana dan saling menghormati. Tiada had untuk saya bergaul dengan sesiapa pun. Saya turut dididik sentiasa berdisiplin dan menepati masa. Sebab itulah saya sangat teliti dalam segala hal.
Saya bersama Pertubuhan Kerabat Diraja Kelantan aktif melaksanakan aktiviti kebajikan antaranya pengurniaan zakat kepada anak-anak yatim serta tahfiz. Tidak ketinggalan kami turut melakukan pengurniaan zakat kepada golongan asnaf dan lawatan ke rumah orang-orang asli sekitar negeri Kelantan.”
Impian Puteri ialah mahu menjadi usahawan berjaya kelak serta ‘membangun’ bersama-sama wanita Malaysia dalam bidang perniagaan. Baginya menjadi seorang wanita sebenarnya sangat menakjubkan kerana mampu berdikari dan melakukan pelbagai perkara pada zaman kini.
Kredit Foto: Instagram Puteri Annisa Amalin
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Menjahit sudah, memasak sudah, berniaga menjadi-jadi! Memang sudah tertulis rezeki pereka fesyen terkenal Malaysia ini begitu mudah mendekati rezeki. Mungkin kerana amal jariahnya yang dilakukan tanpa sedar, perkongsian ilmu dan celotehnya yang ‘menjadi’ membuatkan Dato’ Rizalman berjaya dalam setiap yang dilakukan.
Terbaharu, mushaf keduanya bakal dikeluarkan dengan ‘penampilan’ lebih eksklusif. Sebagaimana beliau menghasilkan busana cantik dan ‘terletak’ suatu Ketika dahulu, kini sentuhan seninya beralih pada sebuah kalam suci.
‘Mencuri’ info daripada Insta Story Dato’ Rizalman, mushaf edisi kedua ini diinspirasi dari Kiswah Kaabah.
“Inilah rupa paras Mushaf edisi kedua yang aku hadiahkan dari sudut ilham yang Allah kurniakan pada aku, diinspirasi dari Kiswah Kaabah yang sepatutnya berada di pasaran pada bulan ini (Ramadan) berkolaborasi bersama Karangkraf bagi mendidik umat Islam membaca al-Quran serta terjemahan menjelang Ramadan ini. Namun Allah lebih mengetahui sebaik-baik perkara yang berlaku…”Akhirnya mushaf istimewa ini bakal berada di pasaran pada 24 Julai 2020.
Hampir lima bulan meninggalkan dunia fesyen, kehidupan Dato Rizalman kini terisi dengan penjualan supplemen T’Neeq yang begitu mendapat tempat di hati peminat. Ramai yang memberikan maklum balas positif mengenai kebaikan T’Neeq.
“Sudah lama saya pendamkan niat mengundur diri tetapi saya takut. Setiap kali membuat pertunjukan fesyen, saya sering terfikir kalaulah aku mati saat ini, apa yang aku akan jawab pada Allah nanti. Doa saya terjawab apabila Allah perkenalkan saya dengan orang yang betul dalam penghasilan supplemen T’Neeq.
T’Neeq lahir untuk membantu orang ramai di luar sana yang hidup dalam kesusahan. Saya hidupkan konsep ejen supaya lebih ramai usahawan dapat dilahirkan. Bayangkan, saya pernah menerima banyak DM dari Instagram luahan perasaan dan kedaifan hidup mereka. Orang-orang media yang diberhentikan kerja ramai yang mengharapkan bantuan saya. Dah macam Menteri Kebajikan pula!
Saya murung membaca kisah-kisah mereka. Saya tidak senang duduk bila mereka mula meletakkan harapan pada saya. Bayangkan, kita duduk rumah dengan selesa, makna minum lebih dari cukup tiba-tiba kita tahu, ada orang yang terpaksa ikat perut untuk makan, meminjam duit untuk membeli susu malah hidup dalam rumah yang gelap dek kerana bil elektrik yang tak mampu dibayar. Inilah semangat saya untuk membantu lebih ramai orang, bercuti dari memikirkan tentang dunia fesyen!”tegas Dato Rizalman.
Dari T’Neeq, skop perniagaan Dato Rizalman semakin melebar. RILOYANG, RIBAG, RIFANNY dan banyak lagi jenama RI yang diketengahkan. Seperti direncanakan dalam perjalanan hidup Dato Rizalman, Allah mengurniakannya ilmu agar dapat digunakan dan dikongsi bersama masyarakat.
“Hidup saya diatur dengan strategi dan formula. Asalnya saya tak pandai menggunakan media sosial lebih-lebih lagi Instagram. Lepas ‘terbongkar’ fungsi ‘kapal terbang’ di Instagram, baru saya tahu ramai rupanya yang berkomunikasi dengan saya secara private. Di post biasa, saya akan baca setiap komen, dan berusaha juga membalasnya.
https://www.instagram.com/p/CBWmiodDlcn/
Dari DM di Instagramlah saya mula mengetahui keikhlasan peminat saya. Setiap maklumbalas dikumpul sebagai input, dan inilah formula rahsia saya. Banyak sungguh kisah mereka tak kurang juga yang mendoakan saya. Menitik air mata apabila orang yang tidak kita kenali, mendoakan kesejahteraan dan kebaikan untuk kita. Saya terharu dan happy sangat. Rasa begitu dekat dengan followers, walaupun mulut saya ni boleh tahan pedasnya!
Saya sentiasa percaya pada rezeki Allah. Saya bukan Raja Midas, yang mengubah setiap benda menjadi emas. Saya hanyalah hamba yang cuba memperbaiki diri dari hari ke hari dan mensyukuri setiap nikmat yang Allah beri. Jangan bongkak dan percaya ia adalah Kun Faya Kun dari Allah,”katanya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bahagia dengan anak ramai pada usia 65 tahun, Raja Pop Datuk Jamal Abdillah yakin dengan rezeki-Nya meskipun lelaki seusia beliau sudah ‘bersara’ menjaga anak kecil.
Segak seperti selalu, penampilan Datuk Jamal Abdillah yang turut merupakan penerima anugerah Nona Superhero ketika ditemui selepas sidang media Majlis Makan Malam Amal Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tengku Mahmud Besut Terengganu (TMESA), Night of Love And Compassion baru-baru ini meraih tumpuan.
Memetik Sinarplus, penyanyi legenda ini memikirkan bahawa ketika ini adalah masa untuk beliau dan isteri, Datin Zai Izzati melihat anak membesar.
Pelantun lagu Gadis Melayu itu memaklumkan sebelum itu, beliau dan isteri merancang untuk tidak memiliki anak selepas kelahiran cahaya mata yang keempat.
Bagaimanapun, siapa sangka Raja Pop itu diberikan peluang sekali lagi untuk menimang cahaya mata kelima ketika beliau mencecah usia 65 tahun.
“Kalau nak ikutkan kehidupan saya pada usia ini, saya balik rumah dari kerja dan berehat.
Namun, kalau sudah rezeki (anak), takkan nak tolak,” ujar Datuk Jamal Abdillah.
Bahagia dengan anak ramai pada usia 65 tahun, Datuk Jamal Abdillah yakin dengan rezeki-Nya meskipun lelaki seusia beliau sudah ‘bersara’ menjaga anak kecil.
Walaupun ada yang mengecam penyanyi lagu ‘Kekasih Awal dan Akhir’ itu susulan berita kehamilan isteri enam bulan yang lalu, beliau mengambil pendekatan untuk tidak menghiraukan kata-kata itu.
Sebaliknya, ayah kepada penyanyi remaja Zaki Yamani dan Osama itu melahirkan rasa syukur dengan kurniaan Yang Maha Esa kerana masih diberikan peluang untuk menjaga amanah dari Tuhan.
“Sekarang ini generasi muda tak mahukan anak ramai, cukup sekadar dua cahaya mata. Namun bagi saya, anak adalah anugerah dan setiap zuriat yang lahir ada rezeki sendiri,” ujarnya.
Pun begitu, Jamal tidak menafikan cabaran menguruskan anak-anak kecil dalam usia emas, namun beliau percaya dirinya dan isteri hanyalah sebagai perantara bagi rezeki anak-anak.
MAJLIS AMAL
Sinarplus
Dalam perkembangan tersebut, Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Hattan bakal digandingkan dalam satu pentas pada Majlis Makan Malam Amal Persatuan TMESA, Night of Love And Compassion yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada 14 Disember ini.
Penampilan duo selebriti tanah air itu disifatkan sebagai satu pilihan ‘evergreen’ dan diyakini mampu menarik jumlah pengunjung yang ramai tanpa mengira usia.
Dengan sasaran kutipan RM1 juta, hasilnya akan digunakan bagi tujuan pelaksanaan kegiatan kebajikan dan tajaan kepada pelajar yang memerlukan.
TMESA juga mahu meneruskan program ‘Sponsor A Student’ (SAS) yang kini telah membantu lebih 1000 pelajar yang rata-ratanya daripada kalangan keluarga daif.
Orang ramai boleh membeli tiket bagi majlis tersebut pada harga RM15,000, RM10,000, RM8,000, RM6,000 dan RM4,000 bagi satu meja.
Untuk maklumat lanjut berhubung pembelian tiket boleh menghubungi Hatta, di talian 018-2239934 atau Nik Ahmad, 019-4524567.