Senang hati melihat senyuman Tun Dr Siti Hasmah saat pertemuannya dengan isteri Presiden Turkiye, Emine Erdogan. Dua wanita pemimpin Islam yang disegani ramai itu terjalin semula selepas empat tahun tidak berjumpa, tapi kali ini pasangan bekas Perdana Menteri kita sendiri berkunjung ke Ankara.
Kali terakhir mereka bertentang mata adalah sewaktu Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ke-7 mengadakan lawatan ke Turkiye pada bulan Julai 2019 dan Erdogan membalas lawatan tersebut pada Disember tahun yang sama.
Berusia 68 tahun, pesona Emine Erdogan selaku First Lady Turkiye dan ibu kepada empat cahaya mata ini sering menjadi bualan. Meskipun kerap bertemu pemimpin-pemimpin dunia dan menjalani kehidupan mewah namun Emine tetap mempamerkan sisi seorang Muslimah yang hebat.
Memiliki darah keturunan Arab, Emine Erdogan sentiasa membuka mata masyarakat khususnya dalam kalangan isteri pemimpin dunia dengan penampilannya yang sopan dan menutup aurat. Malah, beliau juga gemar mengenakan persalinan labuh, longgar serta bertudung litup.
Facebook Dr Mahathir Mohamad
Perkongsian gambar tersebut di Facebook Tun Dr Mahathir Mohamad sempena pertemuan beliau dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mencuit perhatian.
Ads
Antaranya momen pelukan rindu di antara Tun Dr Siti Hasmah dan Emine Erdogan ini. Tersentuh melihat tubuh Tun yang berusia 96 tahun dirangkul erat oleh sahabatnya kerana sudah empat tahun tak berjumpa!
Tumpuan lawatan pastinya sebagai tanda tahniah kepada Erdogan atas kejayaannya mengekalkan jawatan presiden dalam pilihan raya Turki baru-baru ini.
Ads
Tun juga turut merakamkan ucapan takziah kepada mangsa gempa bumi yang meranapkan beberapa wilayah serta mengorbankan ribuan jiwa di republik itu.
“Terdapat juga banyak perbincangan mengenai nasib umat Islam dan keperluan untuk membantu umat Islam dan negara mereka yang menghadapi kesukaran dan peperangan.”
Dr Mahathir juga mengakui, Turki boleh menjadi negara contoh kepada negara Islam lain berikutan perkembangan pesat dan kemajuan negara itu dalam pelbagai bidang.
Bertempat di Kompleks Presiden di Ankara, Turki, kedua-dua pemimpin Islam itu bertemu selama sejam dengan membincangkan perkara yang dijalankan selepas Sidang Kemuncak KL pada 2019.
Tambahnya, Presiden Turkiye turut mencadangkan penganjuran Sidang Kemuncak Istanbul diadakan sama ada pada September atau Oktober tahun ini dengan kerjasama Tun Dr Mahathir. Sebelum ini Sidang Kemuncak KL pada 2019 telah diterajui sendiri oleh Tun sebagai pengerusi.
**********
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang (link)
**********
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Figura bapa disifatkan sebagai seorang hero kepada anak-anaknya. Lelaki yang menjadi pelindung dan membuatkan si anak rasa selamat di sisinya. Sempena sambutan Hari Bapa dan Hari Raya Aidiladha pada Jun ini, Nona bertandang ke kediaman Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid atau Datuk Nurul, yang ditemani bapanya secara eksklusif, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Tiada kasih sayang yang lebih besar daripada kasih sayang ibu bapa terhadap permata sulungnya. Anak pertama yang mendidik kita erti keluarga bahagia dan menjadi harapan menjaga adik-beradik yang lain. Selain ibu dan isteri, anak perempuan sulung juga cinta hati sebenar seorang insan bergelar bapa.
Sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia, bukan mudah untuk mengatur temu janji apatah lagi dengan kepadatan jadual beliau dalam pelbagai urusan pentadbiran negara.
Namun demi memenuhi permintaan Nona yang ingin mendekati keperibadian Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai seorang bapa, segalanya bagai dipermudahkan. Keluar daripada limelight sebagai ahli politik, NONA menyelami kasih sayang seorang bapa dalam diri pemimpin nombor dua negara ini.
KEPADATAN JADUAL
Pada usia menjangkau 70 tahun, Dato’ Seri Ahmad Zahid jujur mengakui sukar membahagikan masa untuk keluarga terutama sekali sebagai bapa untuk anak-anak tersayang.
“Sejak 1 Oktober 1987, saya akui berlaku ketidakadilan untuk anak-anak sepanjang saya bergiat aktif dalam politik secara sepenuh masa. Ketika itu saya dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Belia dan Sukan.
Tapi Alhamdulillah isteri, anak-anak dan cucu-cucu faham. Yang penting, sebagai seorang bapa dan datuk, saya perlu bijak bahagikan masa untuk mereka. Mungkin masa tidak panjang, tapi saya manfaatkan masa tersebut sebaik mungkin bersama-sama,” ujar Dato’ Seri Ahmad Zahid memulakan bicara.
Kata bapa kepada 5 cahaya mata itu lagi, keperibadian dirinya banyak dipengaruhi oleh bapa tersayang, Raden Hamidi Abdul Fatah yang menjadi role model kehidupannya.
“Tak seperti anak-anak lain yang dapat selalu berjumpa bapa setiap hari, saya pula kurang bernasib baik. Sebaik menamatkan persekolahan darjah enam, saya ‘melangkah keluar rumah’ untuk menyambung pelajaran di peringkat menengah dan seterusnya sehingga menamatkan pengajian di universiti. Tetapi arwah bapa merupakan seorang guru agama yang tegas dalam mendidik anak-anak. Dalam ketegasan itu, penuh sifat kasih sayang.
Saya masih ingat kenangan ketika ‘mengubah suai’ motor yang beliau gunakan untuk pergi mengajar. Tanpa background mekanikal, saya dan adik overhaul motor tersebut.
Bila arwah tahu, kami kena marah tapi itulah momen yang tak boleh saya lupakan,” imbau beliau sambil tersenyum mengingati momen bersama bapanya yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 91 tahun, 9 tahun yang lalu.
PANGLIMA KELUARGA
Sering dilabel sebagai individu lantang di media sosial, sosok Datuk Nurul Zahid sememangnya menjadi sebutan apabila timbul isu berkait dengan bapanya. Melihat keakraban dua beranak ini sepanjang sesi fotografi berlangsung, tidak hairanlah mengapa kedua-duanya mempunyai bonding yang kuat dan menyokong antara satu sama lain.
Melihat kesibukan jadual tugas sang bapa, Datuk Nurul Zahid mempunyai pandangannya tersendiri. Beliau menyifatkan sudah menjadi lumrah seorang bapa untuk mencari rezeki untuk keluarga. Justeru, wanita hebat ini cukup mengagumi pengorbanan lelaki bergelar bapa di mana-mana sahaja.
“Sebenarnya Abah selalu berlaku adil pada kami. Kalau bukan ahli politik pun, Abah tetap akan sibuk dengan kerjaya. Jadi sebagai ‘panglima’ keluarga, saya akan ke depan untuk menjaga air muka dan maruah keluarga kami. Saya ambil pendekatan saya sendiri yang lebih mengetahui tentang keluarga serta tak endah dengan kata-kata orang,” akui Datuk Nurul Zahid tanpa berselindung.
Ketika ditanya tentang penglibatan anak perempuan sendiri dalam dunia politik, sebagai seorang bapa, Dato’ Seri Ahmad Zahid mempunyai pandangan yang tersendiri.
“Saya tak galakkan Nurul masuk politik, tapi tak juga melarang. Malah saya juga selalu melarang dia daripada bersusah-payah mempertahankan diri saya. Biarkan masyarakat melihat realiti sebenar. Bagi saya, yang penting realiti politik yang sangat dinamik dan tiada batas sempadan. Kebebasan media perlu ada etika,” tutur si bapa sambil melirik anak kesayangan yang mesra disapa Kak Long dalam keluarga itu.
Tambah Dato’ Seri lagi, sempena Aidilfitri lalu, ramai yang datang memohon maaf pada beliau secara terbuka, mungkin kerana terlajak mengatanya secara terang-terangan tanpa perasaan.
“Maka sempena sambutan Aidiladha ini, saya maafkan semua. Asalkan tak buat lagi,” pinta Dato’ Seri Ahmad Zahid yang turut mengambil pendekatan memaafkan lebih besar ertinya dalam kehidupan.
Ketika ditanya mengenai perangai mereka yang saling mempengaruhi satu sama lain, dua beranak ini rupa-rupanya mempunyai persepsi yang tulus mengenai perwatakan yang banyak mempengaruhi keperibadian keluarga ini.
“Minda dan sikap saya on & off… Saya tak suka bawa masalah politik balik ke rumah dan sebaliknya. Alhamdulillah saya dapat tidur dengan lena. Saya tak fikirkan masalah,” ujar Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid.
“Pada pandangan saya pula, Abah merupakan seorang yang pandai reset perasaan. Dia sangat profesional terutamanya dari segi emosi. Saya juga banyak mengikut cara Abah dari segi priority hidup. Utamakan apa yang penting dalam kehidupan iaitu mak, abah, suami dan keluarga,” balas Datuk Nurul Zahid.
Generasi berganti, harapan Datuk Nurul Zahid sebagai seorang anak ini mencuit perasaan.
“Abah sudah menjangkau usia 70 tahun. Kalau boleh saya nak Abah hidup tenang dan habiskan sisa hidupnya di samping anak-anak. Kami adik-beradik boleh berbakti untuk Mak dan Abah.
Seandainya Allah bagi ujian Mak atau Abah sakit, saya sendiri akan berkorban menjaga mereka hingga ke akhir hayat. Sebab bagi saya, tak guna jika kita ada harta di dunia tapi tak boleh berbakti dan beri kasih sayang pada ibu bapa.
Saya tahu dari segi harta, Abah boleh cari sendiri. Apa sahaja Abah dan Mak boleh cari sendiri. Tapi kasih sayang anak memang Abah dan Mak tak boleh cari di mana-mana. Dan saya juga tak boleh dapat Abah atau Mak seperti itu kerana mereka tiada galang gantinya,” akhiri Datuk Nurul Zahid seraya mengakhiri perbualan.
Kelibatnya sering kelihatan di acara fesyen utama luar negara. Bagi yang lali dengan perkembangan fesyen semasa, pasti kenal susuk tubuh wanita muda ini. Terkenal dengan nama jolokan Heidi Nazarudin, figura cantik berusia 36 tahun ini berjaya menempa nama di kota besar seperti New York, London, Los Angeles dan Tokyo semuanya gara-gara perspektif unggulnya tentang fesyen.
Pernah berkhidmat sebagai pegawai pelaburan bank di Tokyo selama tiga tahun, Heidi rela melepaskan kerjaya korporat tersebut kerana kecintaannya terhadap dunia fesyen dan kecantikan sepanjang berada di Jepun kian menebal. Disebabkan tak mampu menahan ‘desakan’ fesyen di sana, dia nekad menceburi persada glamor dengan menjadi penulis di laman blogspot miliknya, The Ambitionista.
Sejak melibatkan diri dalam arena penulisan fesyen sekitar tahun 2010, nama Heidi bukan hanya masyhur di Malaysia. Bahkan turut tersenarai sebagai salah seorang perunding dan penulis blog fesyen paling berpengaruh di New York, London, Los Angeles, Hong Kong dan Tokyo.
Tidak sekadar meraih pendapatan lima angka, bakat dan cita rasa fesyen Heidi turut diiktiraf syarikat pemasaran berskala besar dan beberapa selebriti ternama termasuk Kimora Lee Simmons.
“Saya mula menulis di blog sejak tujuh tahun lalu selepas tertarik dengan fenomena dan budaya fesyen masyarakat Jepun ketika menetap di sana. Sebenarnya sejak kecil lagi saya jadi seorang yang sangat sensitif terhadap benda-benda berkaitan visual termasuk warna.
Setiap barang mainan saya akan disusun teliti dan saya boleh tahu kalau barang saya diusik atau sebagainya. Malah, ketika baru berumur tiga tahun pun saya dah boleh kenal perbezaan warna dengan ketara. Pendek kata, tidak kira dalam situasi macam mana sekalipun saya mahu segala-galanya nampak cantik.
Kalau ikutkan, cita-cita saya dulu hendak jadi photographer. Tapi hasrat itu terpaksa dilupakan sebab mahu penuhi kehendak ibu bapa yang ingin melihat anak mereka ada masa depan kerjaya yang terjamin.
Selepas tamat pengajian, saya ditawarkan bekerja dalam industri perbankan di Jepun. Alhamdulillah saya dapat lakukan tugas yang diberi dengan baik namun minat fesyen waktu itu terlalu menebal sampai saya ambil keputusan untuk menceburi bidang ini secara serius.
Pada mulanya memang ayah saya mempersoalkan keputusan tersebut. Namun selepas tengok kesungguhan dan action plan yang saya dah aturkan, dia akur dan sokong apa jua kehendak saya. Asalkan kekal fokus dan sentiasa buat sesuatu kerja dengan sempurna serta berusaha menjadi yang terbaik. Bila dah letak jawatan pegawai pelaburan bank, saya berhijrah pula ke Los Angeles untuk jadi fashion blogger.
Mujur, pengetahuan dan pengalaman yang saya dapat semasa bekerja di Tokyo memudahkan kerja saya hari ini. Selain telah dilatih untuk berfikiran kritis dan pantas, saya juga telah didedahkan dengan teknologi komputer seperti yang dipelajari ketika menjadi pelajar universiti suatu masa dulu,” jelas Heidi yang merupakan pelajar Anugerah Dekan kelas pertama berkelulusan Ijazah Sains Komputer dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Setelah sekian lama berkecimpung dalam penulisan secara atas talian dan menyedari realiti dunia blog yang mampu menjana pendapatan lumayan, duta jenama pakaian intim wanita Triumph dan produk penjagaan kulit wajah SKII ini memasang impian untuk memiliki laman blog sendiri.
Meskipun ia keputusan yang sukar untuk dibuat kerana bakal berdepan pendapatan tidak menentu, Heidi optimis menyahut cabaran sehingga tertubuhnya The Ambitionista. Sebuah medan rujukan para wanita yang merangkumi perkembangan fesyen semasa, informasi kecantikan, lokasi percutian menarik dan hab membeli-belah yang digabungkan dalam satu laman web.
Biarpun kerap berulang alik ke Malaysia, Los Angeles dan New York, ia bukan satu kesulitan bagi Heidi kerana dia sememangnya obses terhadap pekerjaan ini.
“Buat masa sekarang, jadual harian saya banyak melibatkan penerbangan ke luar negara kerana saya perlu bertemu klien dari Eropah dan US. Dalam setahun, boleh dikatakan 20 kali jugalah saya akan naik turun ke sana atas urusan perniagaan juga sebagai duta Revlon di US.
Untuk perancangan tahun 2017, saya akan lebih selektif dengan tawaran yang diberikan kerana tidak mahu fokus kepada keuntungan semata-mata. Sebaliknya lebih mementingkan jenama yang menyerlahkan personaliti diri saya dan produk yang pernah saya gunakan.
Selain itu, 2017 juga menjadi tahun terpenting kerana dua buah buku tulisan saya bakal diterbitkan tidak lama lagi. Ia berkonsepkan seni fotografi, penataan gaya, fesyen dan media sosial.”
Amat mengalu-alukan penyertaan wanita dalam bidang fesyen dan apa jua bidang yang diceburi, Heidi sempat menitipkan pesanan ini. “Tidak kira dalam soal kehidupan atau pun kerjaya, kedua-duanya kena ada matlamat dan rancangan teratur. Walau macam mana besarnya minat anda dalam kerjaya yang dipilih sekali pun kena ada action plan dan be realistic.
Semat dalam diri bahawa kejayaan itu tak akan sukses dalam tempoh singkat. Bahkan saya juga ambil masa kira-kira tujuh tahun untuk sampai ke tahap sekarang. Perancangan masa depan itu paling utama dan harus diberi perhatian. Insyaallah, anda akan dapat apa yang dihajati.” Suziana Abu Daud
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Cantiknya tema bunga-bungaan ni. Nampak elegan dan mewah! Menghadirkan tema bunga-bungaan atau floral pada interior rumah dapat mencetuskan suasana sejuk, segar dan feminin. Untuk menerapkannya tak semestinya perlu memasukkan tumbuhan hidup mahupun palsu tetapi juga boleh diadunkan dengan motif mahupun aksen bunga-bungaan segar.
Berikut bagaimana untuk mengaplikasikan tema bunga-bungaan dalam beberapa trik mudah. Ia pasti menyenangkan jiwa saat anda berada di rumah.
WARNA NEUTRAL
Sebaiknya pilih warna-warna neutral sama ada yang gelap atau terang. Tak semestinya perlu memilih warna-warna bunga yang cerah. Anda boleh menerapkan pola bunga dengan warna monokrom yang lebih memberi kesan santai serta tidak terlalu feminin.
PILIH WARNA SENADA
Pilih warna senada dengan perabot sedia ada. Atau, boleh juga memadankan dengan tema warna yang sudah diterapkan pada ruang tersebut. Ia akan membuatkan dekorasi rumah akan lebih seimbang.
UKURAN POLA
Pola bunga bungaan mempunyai banyak pilihan dari segi ukuran bermula dari yang kecil sehinggalah yang besar. Pola bunga berukuran kecil memberi kesan lebih feminin berbanding pola bunga berukuran besar.
MEMBERI KESAN SENI
Tak salah untuk memberi kesan atau sentuhan seni pada interior bertemakan bunga bungaan. Dengan sentuhan seni itu, interior ruang akan lebih kelihatan artistik. Contohnya, pola floral dalam bentuk lukisan atau aksen dekorasi tertentu.
KESAN MASKULIN
Agar tak terlalu kelihatan feminin, pola bunga bungaan boleh dipadankan dengan perabot yang mempunyai rekaan yang lebih maskulin. Contohnya dengan meja kopi yang berwarna neutral atau berunsurkan kayu.
RUANGAN PENUH BUNGA
Hadirkan seluruh ruangan dengan pola bunga bungaan melalui pemasangan wallpaper di sekeliling dinding. Ruangan akan menjadi semakin segar dan sejuk. Tema bunga bungaan yang diterapkan pada sekeliling ruangan juga dapat memberi efek yang menenangkan jiwa.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sofea Shra curi perhatian apabila memakaikan Huda Kattan Baju Kebaya dalam acara eksklusif Huda Beauty sehingga busana tradisional Malaysia dipuji elegan dan eksklusif.