Seperti kata pepatah Melayu, ‘tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu’. Memang benar tuah manusia tiada siapa yang mengetahuinya kerana nasib yang baik dan rezeki yang murah semuanya bergantung kepada usaha kita sendiri, sebelum ikhtiar itu kita serahkan kepada yang Maha Esa.
Bagi Irah Sukri, penglibatannya dalam alam perniagaan bermula di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu, Kelantan, dengan menjual kain pasang. Wanita dari negeri yang digelar Negeri Cik Siti Wan Kembang ini hanyalah peniaga biasa yang pernah merasai kehidupan ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.
Saban hari kehidupannya hanya tertumpu di pasar tersebut, menantikan dengan penuh harapan pelanggan akan mengunjungi kedainya untuk membeli-belah. Namun, Rokiah sedar, beliau juga perlu berdepan dengan peniaga-peniaga lain yang menjadi saingannya, yang turut mencari rezeki untuk sesuap nasi buat keluarga mereka.
Menurut Irah, hasil jualannya di Pasar Siti Khadijah tidak menentu dan ada pasang surutnya. Apa yang lebih menyesakkan hatinya ialah ramai peniaga yang turut menjual produk yang sama sepertinya.
Ekoran itu, Irah terpaksa melipat gandakan usaha bagi menarik pengunjung masuk ke dalam kedainya, atau barang-barangnya tidak akan dapat dijual, yang akhirnya menyebabkan beliau menanggung kerugian.
“Kami peniaga di Pasar Siti Khadijah ini rata-ratanya menjual barangan yang hampir serupa. Di pasar ini ada beratus peniaga. Jadi hasilnya sudah tentulah tidak seberapa,” katanya mengimbas kisah hidupnya berjualan di pasar itu.
“Saat yang paling dinanti-nantikan oleh setiap peniaga ialah semasa cuti sekolah. Kehadiran pelancong khususnya dari luar Kelantan biasanya membawa limpahan rezeki berbanding hari-hari biasa.”
“Saya dah berniaga kat pasar itu selama 10 tahun. Banyak yang sudah saya lakukan untuk tingkatkan jualan tapi tiada kemajuan yang boleh dibanggakan. Hidup saya ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” katanya.
Menyedari keadaan perniagaan yang tidak begitu memberangsangkan, beliau nekad mahu melakukan sesuatu kerana jika tidak, nasib perniagaannya tidak akan berubah dan dia sendiri tidak tahu berapa lama ia akan kekal begitu.
Ads
Suatu hari pada tahun 2017, beliau menonton sesi Live seorang usahawan wanita yang tidak berpendidikan serta tidak tahu membaca atau menulis, tetapi mampu mencapai hasil jualan berjuta-juta ringgit.
Kejayaan usahawan itu, Halimah Muda, pengasas Nur Idaman Eksklusif, dicapai setelah beliau menyertai program-program RichWorks, kendalian Mentor Usahawan, Datuk Wira Dr. Azizan Osman.
“Sesi Live itu membuka mata saya kerana kalau Puan Halimah boleh berjaya, kenapa saya tidak? Saya kemudiannya, mendaftar dan menyertai program Intensif Magnet Kekayaan dan Kejayaan (IMKK) anjuran RichWorks,” katanya.
Sejak menyertai program tersebut, beliau mula sedar dengan potensi perniagaan yang diusahakannya. Beliau juga percaya, dengan teknik perniagaan dan pemasaran yang betul, perniagaannya masih boleh dikembangkan.
Tidak cukup menyertai IMKK, Irah menyertai pula program Millionaire Marketing Master (MMM) dan dalam program itu, beliau diajar dengan lebih mendalam tentang pemasaran luar talian (offline) dan atas talian (online).
“Selepas mempraktikkan ilmu yang diajar, perniagaan saya nampaknya semakin maju dan pelanggan juga semakin ramai. Saya juga mengguna pakai teknik pemasaran online untuk perniagaan saya.”
“Di peringkat awal, saya guna media sosial untuk membina follower. Saya perkenalkan juga jenama sendiri iaitu IrahSukri kepada rakyat Malaysia dan hasilnya, perniagaan saya semakin dikenali,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Irah Sukri Global Sdn Bhd itu.
Ads
Ditanya maksud di sebalik nama Irah Sukri yang dipilih, beliau memberitahu, Irah adalah nama panggilannya semasa kecil manakala Sukri adalah nama suaminya. Beliau bersyukur gabungan nama Irah Sukri yang dipilihnya benar-benar membawa tuah.
Pada tahun 2018, perniagaan Irah semakin maju dan pencapaian jualannya pada tahun itu adalah sebanyak RM969 ribu. Tahun berikutnya pula iaitu 2019, hasil jualan IrahSukri terus melonjak naik ke RM2.4 juta, peningkatan sebanyak 149.52%.
Pada 2019 itu juga, perniagaannya mula 100% dijalankan secara atas talian dan beliau turut mendapat pelanggan dan tempahan dari Singapura dan Brunei. Beliau juga sudah mampu memiliki sebuah unit rumah kedai dan pejabat pengurusan, dengan 20 kakitangan.
Namun demikian, tahun 2020 memberi cabaran yang lebih besar kepada Irah apabila pandemik Covid-19 menjejaskan jualan kain pasang syarikatnya. Tetapi, beliau terus memanfaatkan teknologi untuk tujuan pemasaran dan membentuk pasukan jualan serta melantik key leaders.
“Kami masih kekal konsisten melaksanakan perniagaan di atas talian pada tahun lalu. Fokus kami masih dengan bisnes dan produk yang sama. Pasukan kami semakin berkembang dan ramai,” kata Irah.
Pada tahun 2020 itu, syarikatnya berjaya mencatat keuntungan jualan sebanyak RM3.46 juta manakala di antara Januari sehingga September 2021, syarikat itu telah pun mencecah jualan sehingga RM5.32 juta.
Kini, Irah mula menyimpan impian yang lebih besar. Beliau mahu berkongsi rezekinya bersama golongan suri rumah yang berminat untuk memiliki pendapatan sendiri.
Ads
“Saya bercita-cita untuk membantu suri rumah menjana pendapatan yang stabil. Kalau boleh saya mahu membantu mereka daripada zero iaitu tidak memiliki apa-apa hinggalah menjadi seorang hero,” jelas Irah.
Setelah tiga tahun berlalu, Irah kini sudah mampu mengukir senyuman bangga menyaksikan perniagaan yang diusahakannya itu memberi pulangan yang cukup lumayan.
Beliau bukan sahaja berjaya mengubah kehidupannya yang susah sebelum ini, malah mampu membeli kediaman dan kereta sendiri. Beliau juga membuka banyak peluang pekerjaan menerusi program dropship yang dijalankan oleh syarikatnya.
Beliau mengingatkan usahawan atau bakal usahawan di luar sana agar tidak mengalah dengan cabaran yang terpaksa ditempuh, dan mesti sentiasa berusaha melengkapkan diri dengan ilmu dan mentor yang boleh memajukan perniagaan yang dijalankan.
Jika Irah boleh berjaya dan menjadi jutawan walaupun terpaksa melalui pengalaman pahit semasa mula-mula menjalankan perniagaan, bagaimana pula dengan anda?
Artikel ini juga diharap dapat memberi manfaat kepada golongan wanita yang ngin membuktikan bahawa mereka juga boleh menjana pendapatan sendiri.
Kejayaan Irah sehingga mampu menjana pendapatan jutaan ringgit, mungkin boleh menjadi contoh dan pendorong kepada masyarakat untuk mengikut jejak langkahnya bergelar usahawan berjaya.
Sumber: Buku 100 Usahawan Jutawan (Satu Misi Bantu The Nation) Terbitan Richworks
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kadang-kadang ‘mood’ nak menghias rumah tu datang secara tiba-tiba. Tak perlu beli barang atau perabot baru, cukup sekadar ubah suai kedudukan atau tukar langsir dan sebagainya.
Gunakan apa yang ada tetap dapat membahagiakan kita. Lebih memberi kepuasan bila kita dapat menata gaya dengan idea sendiri. Seperti yang dikongsi oleh wanita dikenali sebagai Fazilah ini. Idea yang ringkas tapi hasilnya memukau.
Nuansa natural seperti putih dan krim mendominasi ruang. Setiap perabot disusun kemas di tempatnya lalu menciptakan satu suasana yang begitu mendamaikan. Ruang yang terhad kelihatan lebih luas bukan hanya dengan penggunaan warna malah brass mirror yang digunakan turut menghasilkan refleksi khususnya di bahagian dapur untuk kesan ruang yang lebih luas.
ELEGAN
“Konsep dekorasi kediaman ini ialah moden dan kontemporari. Saya memilih konsep ini kerana ia mempunyai ciri yang hampir sama dengan konsep ringkas, tidak sarat dan tampil dengan gaya eksklusif dan elegan. Faktor kewangan yang membuatkan saya memilih untuk mendekorasi sendiri berbanding mengupah pereka hiasan dalaman.
“Idea dan konsep daripada saya sendiri. Saya juga membuat lakaran bagi setiap sudut sebelum membeli sebarang perabot. Malah, saya turut membuat senarai barang yang diperlukan bagi setiap sudut rumah beserta harga agar selari dengan bajet kami.
“Saya lebih suka rona pastel yang mampu memberi ketenangan pada kami sekeluarga. Walaupun mempunyai anak-anak yang masih kecil namun ia tetap tidak mematahkan semangat saya untuk cuba menata rias kediaman dengan warna pastel.
“Saya sentiasa memastikan anak-anak mengemas kembali barang-barang mainan mereka atau apa saja barang yang bersepah setelah selesai bermain,” kongsi Fazilah Ali yang merupakan seorang suri rumah tangga sepenuh masa.
Fazilah sekeluarga sudah pun mendiami kediaman yang berkeluasan 21×76 kaki ini hampir empat tahun dan merupakan kediaman kedua mereka.
RUANG LEBIH LUAS
“Saya memilih jenis kediaman ini kerana keutamaan kepada anak-anak yang suka dengan keadaan yang luas dan lapang untuk bermain. Tambahan pula, saya suka bercucuk tanam. Dengan adanya sedikit ruang membolehkan saya untuk bercucuk tanam dengan pokok-pokok bunga serta tanaman buah-buahan dan sayuran.
“Kekerapan menukar dekorasi bergantung kepada keadaan. Jika barang atau perabot telah rosak terlebih dahulu saya akan pastikan ia masih boleh digunakan ataupun tidak. Jika masih elok saya akan membaikinya. Sebulan sekali saya akan menukar kedudukan perabot atau warna hiasan seperti kain alas dan langsir.
“Hanya dengan sedikit sentuhan warna mampu merubah keadaan rumah. Sekali sekala juga saya akan menambah item baru jika dirasakan sesuai,” ungkap Fazilah yang memilih ruang tamu kedua sebagai sudut paling digemari.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tahniah Dato’ Rizalman! Dalam diam Dato’ Rizalman ada kejutan yang disampaikan beliau selain dari perniagaannya. Hari ini beliau mengumumkan berita perlantikkannya sebagai Ahli Lembaga Pengarah UiTM. Selepas mengumumkan persaraannya dari dunia fesyen Februari lalu, rezeki beliau tidak pernah putus. Alhamdulillah!
Dato’ Rizalman Ibrahim yang juga merupakan alumni UiTM, graduan fakulti Seni Lukis dan Seni Reka dalam jurusan fesyen pada tahun 1989-1993 pernah menyandang gelaran Pelajar Terbaik Kajian (Jurusan dan Fakulti) serta Pelajar Terbaik Diploma Seni Lukis dan Seni Reka (Seni Reka Fesyen).
Rupa-rupanya posting Dato’ Rizalman di Instagram awal hari ini adalah untuk penerimaan pengiktirafan yang diberikan pusat pengajian tinggi Universiti Teknologi Mara.
Lebih mengharukan apabila sebuah video dimuatnaik pada laman IG dengan nama akaun @rizalman71 merungkaikan wajah-wajah Dato’ Rizalman dengan ucapan tahniah. Tak kurang juga peminat-peminat yang meluahkan rasa gembira dengan pengumuman ini. Bersaranya beliau sebagai pereka fesyen membuka lebih banyak lembaran baru buat beliau.
https://www.instagram.com/p/CGZfNpDJQ7K/
Rezeki Dato’ Rizalman tidak pernah putus-putus. Pada awalnya dia takut untuk berhenti mereka busana kerana tidak tahu bagaimana periuk nasinya dan kakitangannya nanti.
“Dulu saya takut untuk berhenti menjadi pereka fesyen. Macam mana saya nak bayar pekerja, apa yang saya nak makan nanti? Persoalan dan ketakutan itu bagai selimut dalam diri tetapi sedikit demi sedikit Allah buka jalan untuk saya pilih. Allah kurniakan ilmu seni pada saya tanpa saya minta. Saya pandai menjahit, menilai kain, mereka busana.
Itu semua bukan satu dosa tetapi ia menjadi berdosa apabila saya tidak menjuruskan ilmu itu kepada sesuatu kebaikan,”katanya dalam sesi temubual yang dipaparkan dalam majalah Nona edisi Mac baru-baru ini.
Dalam sesi temubual itu, sempat juga DRI berkongsi amalan yang dilakukan agar hidupnya sentiasa murah rezeki.
“Semua atas kehendakNya. Saya lalui hidup ini dengan percaturan yang telah ditulis secantik-cantiknya. Orang kata, nak murah rezeki kena banyak amalan. Tetapi untuk saya, memang banyak doa yang diamalkan. Tak tahu yang mana satu berkesan. Tetapi saya sentiasa displinkan diri untuk menunaikan solat sunat Subuh setiap hari dan jadikan solat sunat Dhuha sebagai amalan wajib.
Selalulah bersedekah dan membayar zakat. Kedua-dua ini memberi kesan yang sangat hebat. Pastikan sedekah itu konsisten, kalau tidak rezeki pun tak datang dengan konsisten. Mungkin saya tidak mampu bersedekah kudrat tetapi saya gunakan kelebihan yang saya ada untuk mencari idea-idea dan peluang rezeki yang lumayan. Bila ada duit, lebih mudah untuk kita bersedekah. Itu pemikiran saya.
Cuma, apa yang boleh saya kongsikan adalah sedekah yang orang tidak tahu. Rezeki Allah beri ini saya gunakan untuk bawa orang susah mengerjakan umrah. Pada saya, untuk apa kita sibuk menjejak kaki ke Mekah untuk mengerjakan umrah berkali-kali sedangkan ramai lagi umat Islam yang teringin untuk melihat Kaabah di hadapan mata. Teringin bersujud di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi namun tidak mampu.
Satu kebahagiaan untuk saya apabila saya diberi rezeki unutk membayar pakej umrah buat seorang tukang sapu yang begitu pandai mengaji Al-Quran. Bayangkan bagaimana dia berdoa unutk kita dihadapan Kaabah dan itulah doa yang paling mulia sekali. Istiqamahlah saat bersedekah,”pesan Dato Rizalman.
Kredit foto: Instagram Dato’ Rizalman Ibrahim
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Masih tetap menukar lampin dan menghabiskan masa dengan si kecil, kehidupan dua lelaki terkaya di dunia ini realitinya sama dengan bapa-bapa lain di seluruh dunia. Gaya hidup family man – Elon Musk dan Mark Zuckerberg jelas menginspirasikan meskipun mereka diiktiraf sebagai lelaki terkaya di dunia 2022.
Kemelesetan ekonomi dan pandemik COVID-19 juga nampaknya sedikit pun tidak menjejaskan nilai kekayaan barisan lelaki terkaya di dunia, malah dilihat meningkat hingga AS$402 bilion lagi pada tahun ini, menurut Bloomberg.
Merupakan bapa kepada enam cahaya mata, Pengasas TESLA iaitu Elon Musk baru saja menimang cahaya mata bongsu bernama X Æ A-Xii Musk, pada Mei 2020. Baru berusia sekitar 20 bulan, si kecil yang dipanggil X-Ash-A-Twelve tersebut kini dibesarkan sepenuhnya oleh Musk dan ibunya, Grimes di Los Angeles.
Getty Images
Kekal sebagai individu terkaya di dunia, Elon Musk memulakan tahun 2021 dengan untung bersih AS$156 bilion (sekitar RM650.67 bilion) dan mengakhirinya dengan nilai AS$277 bilion (sekitar RM1.15 trilion), menurut Indeks Bloomberg.
Walaupun keuntungan Musk dilihat lebih kecil berbanding yang diperolehnya pada 2020, tapi ia lebih daripada cukup untuk menjadikan lelaki ini sebagai orang terkaya dalam jangka masa panjang.
Lelaki berusia 50 tahun itu menghabiskan sebahagian daripada kekayaan yang dimiliki untuk hobinya terhadap roket. Menerusi syarikat roket persendirian SpaceX, Musk telah melancarkan lebih dari 1,600 satelit termasuk satu pelancaran terbaharu pada 18 Disember lalu.
South China Morning Post
Di tempat kedua, pesaing terdekat Elon Musk iaitu Jeff Bezos memasuki tahun baru 2022 ini dengan nilai kekayaan AS$190 bilion (sekitar RM792.49 bilion). Jeff Bezos melepaskan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Amazon pada Julai.
Mengekori rapat, Pengasas Facebook iaitu Mark Zuckerberg dengan pendapatan keseluruhan bernilai AS$128 bilion (sekitar RM533.88 bilion). Lelaki ini baru saja menukar nama syarikat induk Facebook kepada Meta pada tahun 2021.
Merupakan bapa kepada dua cahaya mata, Maxima (6 tahun) dan August (4 tahun), kehidupan Mark Zuckerberg kelihatan sama seperti bapa-bapa penyayang yang lain. Dalam kesibukannya, beliau tidak keberatan menukar lampin dan menghabiskan masa berkualiti dengan anak-anak kesayangan di rumah.
People
Selain tiga nama ini, turut tersenarai sebagai individu terkaya di dunia adalah Pengasas Microsoft Bill Gates; Pengasas bersama Google, Larry Page; dan tokoh barangan mewah Perancis Bernard Arnault.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Buat pertama kalinya Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz hadir ke majlis ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.