Laungan ‘Terbang Latif, Terbang’ umpama suntikan semangat buat atlet para ini setiap kali menyertai kejohanan dunia. Mula mencipta nama sejak memenangi pingat emas di Sukan Paralimpik Rio 2016, Abdul Latif Romly sekali lagi mengharumkan nama negara selepas berjaya mengulangi kejayaan sama di pentas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 lalu dalam acara Lompat Jauh T20 (masalah pembelajaran).
Kejayaan Latif dalam arena sukan bukan hanya menceriakan seluruh rakyat Malaysia bahkan turut menarik perhatian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Memiliki ketinggian 1.77 meter, Latif yang tiba tepat di studio penggambaran berseluar jeans biru dan T-shirt hitam serta beg silang Gucci mesra menyambut salam penulis. Nona sebelum ini pernah mengadakan sesi fotografi bersama Latif pada tahun 2016 selepas berjaya merangkul emas di Sukan Paralimpik Rio. Kini setelah empat tahun berlalu, Latif tidak hanya kelihatan berbeza dari segi penampilan. Malah semakin matang dalam berbicara.
Tatkala ditanya bagaimana dia boleh menceburkan diri dalam bidang sukan, Latif sambil tertawa membuka rahsia. “Saya mula serius ceburi sukan lompat jauh ini ketika di Tingkatan 3, umur 15 tahun. Banyak sukan yang saya masuk sebelum ini dan saya pilih lompat jauh atas saranan cikgu. Mungkin cikgu nampak fizikal saya yang tinggi, sesuai dengan kategori sukan ini. Jadi, cikgulah yang nampak bakat saya di situ.
Ikutkan dulu semua sukan saya main. Bola sepak, bola baling, bola tampar dan untuk olahraga pula saya pernah turut serta larian 100 meter, lompat kijang dan lompat tinggi. Lepas jurulatih nampak potensi saya, mereka bawa pergi buat ujian kecergasan sama ada layak masuk Majlis Sukan Negara (MSN) atau tidak.
Alhamdulillah saya diterima masuk MSN pada bulan Julai 2014. Dua tahun lepas tu, nama saya tersenarai sebagai atlet untuk Sukan Paralimpik Rio,” katanya yang menjadikan jaguh lompat jauh dunia, Aleksandr Menkov dan Datuk Wira Lee Chong Wei sebagai sumber inspirasi.
CABARAN COVID-19
Tambahnya lagi, sepanjang bergelar atlet dia turut berdepan pelbagai cabaran. Salah satu daripadanya ialah soal disiplin. “Ya, cabaran paling susah untuk menjaga disiplin. Pada awalnya memang susah hendak sesuaikan diri terutamanya apabila melibatkan waktu tidur, makan, senaman dan latihan intensiti tinggi. Saya akui nak jaga disiplin dalam semua ini bukan mudah. Selain sokongan jurulatih, atlet itu sendiri perlu ada ketahanan mental dan fizikal.”
Lebih memberi kesan kepada Latif apabila dia terpaksa ‘bertarung’ dengan diri sendiri sepanjang musim pandemik Covid-19 sejak hampir dua tahun lepas. Bukan dirinya sahaja tetapi semua atlet menjalani latihan dan kuarantin di MSN dalam persediaan menghadapi Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
“Lapan bulan saya tak jumpa keluarga sebab berlatih waktu Covid-19. Setiap hari kami hanya training dan tak boleh keluar ke mana-mana langsung. Memang susah dan mental kena kuat sebab hari-hari hadap benda sama. Terkurung dan kuarantin sesama kami saja. Sebelum ini kalau waktu cuti rehat bolehlah juga keluar untuk release tension dan jalan-jalan.
Ini 100 peratus fokus kepada latihan ditambah pula dengan tak berjumpa keluarga berbulan-bulan. Jadi waktu itu, saya cuma main game atau tengok orang main bola di padang saja untuk lepaskan stres. First time jadi situasi macam ini sebab penularan wabak Covid-19. Apa-apa pun saya bersyukur pengorbanan selama lapan bulan ini ada hasil dan berbaloi,” ujar anak bongsu kepada Romly Mat dan Salmah Yatim ini.
Mengulas lanjut mengenai amalan diet sebagai atlet para lompat jauh, Latif mendedahkan tiga bulan sebelum menyertai kejohanan dia perlu mengikuti gaya pemakanan yang disarankan pakar nutrisi. “Memang saya jaga diet harian. Gula saya tak ambil langsung kecuali cheat day atau hari Ahad. Tiga bulan sebelum kejohanan biasanya saya elak makan daging untuk elak lemak.
Tambahan pula daging nak proses dalam badan lambat. Saya lebihkan pengambilan protein seperti ikan. Buat jus buah-buahan pun tanpa gula dan pergi ke gim seminggu dua kali iaitu pada pagi hari Selasa dan Khamis selama kira-kira satu setengah jam.”
Diaju soalan mengenai dirinya jika tidak menjadi ahli sukan, ini jawapan jujur Latif. “Saya pun tak terfikir. Mungkin saya kerja di kedai makan atau tolong mak mengusahakan bisnes kerisik. Mak berniaga kerisik di kampung secara kecil-kecilan dan buat jika ada tempahan. Dulu saya bercita-cita nak jadi polis tapi tak kesampaian.
Impian dalam bidang sukan saya berhasrat nak buat lompatan sejauh 8.03 meter dan memecahkan rekod milik Andre Anura Anuar selain berjaya masuk Sukan Olimipik. Buat masa ini sepenuh tumpuan saya hanya kepada karier sukan. Saya target untuk terus aktif dalam kerjaya sukan dalam tempoh 10 tahun lagi.
Apa-apa pun saya amat berharap agar akan ada pelapis sukan lompat jauh ini yang boleh meneruskan kesinambungan legasi yang pernah saya sertai ini. Bukan hanya bakal atlet para yang berbakat dalam sukan ini tetapi juga dalam sukan lontar peluru menggantikan Muhammad Ziyad Zolkefli, jaguh lari pecut Mohammad Ridzuan Puzi dan lain-lain,” tegas Latif yang turut merancang mengakhiri zaman bujang pada hujung tahun 2022.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Selama 30 tahun dalam industri muzik Indonesia dan antarabangsa, penyanyi Agnez Mo berjaya meraih 194 anugerah. Wow, banyak tu!
Anugerah yang diterima oleh Agnez Mo bermula daripadas anugerah muzik sehinggalah kepada filem dan sinetron.
Memetik perkongsian penyanyi berusia 36 tahun ini kepada kapanlagi.com, anugerah-anugerah tersebut bukan sekadar koleksi sebaliknya menjadi pencetus semangat serta motivasi buat dirinya untuk terus memberikan yang terbaik buat industri.
“Saya berterima kasih atas semua anugerah dan ianya menjadi motivasi.”
Bukan itu sahaja, menurut Agnez Mo semua anugerah itu merupakan pencapaian terbaik yang pernah diraihnya dengan usaha gigih.
Kerana itu, impiannya untuk ke peringkat antarabangsa kini menjadi kenyataan.
“Sehingga kini saya masih belajar, kerana mahu memberikan yang terbaik untuk keluarga dan peminat,” katanya.
Anugerah terakhir yang diterima Agnez Mo diterima pada 2019 apabila memenangi Anugerah Muzik iHeartRadio 2019 dalam kategori Anugerah Bintang Sosial.
Kemudian pada 2020, Agnez Mo berada di tempat kedua sebagai calon Best Fan Army iaitu kategori artis dengan peminat terbaik dalam Anugerah Muzik iHeartRadio 2020.
3 SIKAP INSPIRASI AGNEZ MO
1. Pantang Menyerah Kalah
Dia percaya, semua impian boleh menjadi kenyataan selagi bersedia untuk mencuba dan berusaha untuk merealisasikannya.
Salah satu prinsip hidup Agnez yang sangat memotivasikan ialah “Dream, believe, and make it happen“. Agnez Mo bukan sahaja bercakap tentang impian, tetapi dia juga menjadikan impian itu satu realiti.
2. Tak Tunjuk Kemewahan
Sebagai public fugure yang dinobatkan sebagai salah seorang pemuzik terkaya di Asia oleh laman web celebritynetworth.com.
Dengan kekayaan 406 bilion pada 2017, Agnez tidak pernah menunjukkan barangan berjenama, barangn kemas, koleksi kereta atau percutian mewah di media sosial.
Sikap ini menunjukkan Agnez Mo seorang yang sangat down to earth.
3. Miliki Yayasan Bencana Alam Sendiri
Tidak ramai yang tahu, Agnez Mo sebenarnya mempunyai yayasan sosial yang terlibat dalam misi bantuan kepada mangsa bencana alam.
Yayasan yang diasaskan oleh Agnez Mo ini dikenali sebagai Yayasan Anak Muda.
Kredit Foto: Instagram Agnes Mo
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Berstatus ibu tunggal bukan halangan buat wanita jelita ini untuk melangkah maju dalam kerjaya. Satu persatu bidang diceburi dan setiap apa yang dilakukan Dr. Siti Khadijah Awang Amat ini pasti membuahkan hasil.
Mahu dikenali dengan panggilan Dr. Katalina, ibu kepada dua cahaya mata ini juga sudah mula melebarkan sayap dalam bidang lakonan tatkala membawa watak kaunselor penjara dalam drama bersiri Lara Aishah bersama gandingan pelakon hebat seperti Jasmin Hamid dan Dato’ Eizlan Yusof. Setahun lalu juga, Dr. Katalina telah melancarkan single pertamanya ‘Macam Faham’ di bawah naungan Warner Music.
Pernah menyertai program nyanyian bersama RTM Sabah ketika berusia 15 tahun, Dr. Katalina cukup optimis mendepani masa depan bersama dua anaknya, Sofea Adrianna dan Muhd Syafeeq Iskandar.
“Tak ada apa yang hendak saya sembunyikan tentang status ini. I’m alright with that. Lagipun, memang niat utama saya mahu bagi semangat kepada para wanita yang senasib supaya tidak takut menghadapi realiti hidup dan kejar impian. Itu yang harus ditekankan,” pintanya.
Keterbukaan Dr. Katalina mencerminkan keperibadiannya yang luhur dan tulus. Enggan mengingati kisah silam, anak kelahiran Sandakan, Sabah ini cekal mengharungi liku hidup bersandarkan semangat juang yang tinggi.
Dia yang akur dengan takdir Ilahi turut tidak menafikan kenangan lalu telah banyak mematangkan diri. Saat diminta mengulas tentang profesionnya, doktor berusia 34 tahun ini lantas membuka bicara.
“Masuk tahun ini sudah hampir tujuh tahun saya berkhidmat sebagai doktor perubatan. Awal perkhidmatan dulu saya telah ditugaskan ke Hospital Selayang selama tiga tahun.
Cukup tempoh itu, saya dipindahkan pula ke Klinik Kesihatan Bandar Mentakab untuk beberapa tahun sebelum dilantik sebagai salah seorang doktor peribadi kepada keluarga diraja.
Syukur ke hadrat Ilahi kerana kurniakan saya kesihatan yang baik untuk meneruskan kelangsungan hidup dan berbakti di bumi Allah. Masa yang terluang itu saya isi dengan aktiviti seni dan memenuhi pelawaan sebagai duta produk.
Demi tanggungjawab sebagai doktor, saya sering turun padang untuk memberi ceramah berbentuk kesihatan dan kesedaran seperti pencegahan penyakit denggi, kebaikan susu ibu, pemakanan bayi dan sebagainya kepada masyarakat.
Kalau ada masa senggang, saya turut mengadakan home visit bagi membantu pesakit mendapatkan rawatan khusus selain aktif menyertai program bantuan makanan dan keperluan kebajikan bagi golongan gelandangan di sekitar ibu kota.”
Bukan mudah bagi seseorang yang tidak mempunyai pengetahuan dalam bidang lakonan untuk membawakan sesuatu watak dengan baik dan berkesan namun bagi Duta Kelab Lotus ini, penghayatan yang jelas tentang jalan cerita memudahkan dirinya untuk beraksi di depan lensa kamera.
“Saya tidak pernah ikut mana-mana kelas lakonan. Mungkin bakat berlakon memang sudah ada dalam diri. Ajaibnya, bila sudah berada di set penggambaran dan mendengar suara pengarah yang cuba menyampaikan mood scene terbabit, perasaan itu akan datang dengan sendiri. Hinggakan selepas habis scene pun saya masih menangis kerana terlalu mendalami watak yang diberikan.”
Biarpun sibuk dengan tugas doktor dan penggiat seni, masa bersama anak-anak tidak pernah dilupakan. Malah, dia turut sempat memanfaatkan masa terluang dengan aktiviti lasak yang digemari.
“Menjadi wanita berkerjaya dan juga ibu tunggal, saya sememangnya amat menitikberatkan kepentingan kedua-dua tanggungjawab ini. Untuk mengelak masa berkualiti dengan keluarga tidak terganggu, saya akan buat jadual kerja dan mengatur temu janji seawal mungkin.
Biasanya, bila ada waktu terluang saya akan pergi bersukan atau beriadah di Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk sertai aktiviti lasak seperti jet ski dan go kart. Kalau dapat cuti panjang saya akan melancong bersama keluarga tidak kira di dalam mahupun luar negara,” luah peminat setia Tun Dr Siti Hasmah yang menyifatkan doktor wanita pertama negara ini sebagai seorang wanita dan isteri kepada mantan Perdana Menteri yang berjiwa besar. Suziana Abu Daud
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!