Berderai air mata syukur Norzie Pak Wan Chek dan Aidid Marcello atas kejayaan anak sulung lelaki, Muhammad Iman menghafal 30 juzuk Al-Quran baru-baru ini. Tiada apa yang lebih membahagiakan apabila anak berjaya menguasai ilmu akademik dan Al-Quran. Apatah lagi anak inilah yang menjadi harapan utama kedua-dua ibu bapa.
Berkongsi momen indah dan Aidid Marcello menjadi saksi anak sulung lelaki iaitu Muhammad Iman menghafal Al-Quran di media sosial, video yang dimuat naik bekas personaliti televisyen berkenaan meraih lebih 300 ribu tontonan.
Rata-rata mereka turut berbangga dengan kejayaan anak muda berkenaan.
Ujar Aidid, “Alhamdulillah. Terima kasih Allah. Bagi kami ayah dan ibu, tak ada apa lagi dah hadiah yang lebih berharga jika nak dibandingkan dengan apa yang Iman Marcello berikan kepada kami. Terima kasih Iman kerana menjadi anak yang taat dan berjaya mengharungi pelbagai ujian dan cabaran sepanjang proses hafazan ni.
Ads
Semoga Iman terus berjaya dan jadikan Al-Quran sebagai sahabat terbaik sehingga ke penghujung usia. Jangan lupa daddy dan mummy ya bila kami dah tak ada nanti. Ingat, Iman anak sulung lelaki kami.”
Muhammad Iman merupakan salah seorang daripada sembilan Al-Hafiz dan Al-Hafizah yang dianugerahkan New Legend Al-Hafiz atas kejayaan menghafal 30 juzuk Al-Quran. Dia berkemampuan menghafal kandungan kitab suci itu dalam tempoh 350 hari bersamaan 11 bulan 20 hari di Akademi Al-Quran Amalillah pada 30 Mei lalu.
Dalam pada itu, Aidid berkata tujuan dia berkongsi video tersebut sekadar mahu meluahkan rasa gembira. Jauh sekali ingin menunjuk-nunjuk.
“Bacaan Quran dan doa anak yang soleh sahaja yang mampu membantu kami kelak. Daddy dan mummy tulis di sini bukan untuk riak tetapi sebagai tempat untuk Iman baca kembali dan insyaAllah menjadi peringatan untuk anak cucu Iman nanti, insyaAllah.
Ads
Saya doakan juga kepada mak ayah lain yang sedang berhempas-pulas dengan anak yang sedang habiskan Al-Quran, untuk terus sabar dan semoga anak kita semua sayang Al-Quran sampai mereka dijemput Ilahi, insyaAllah.
Aidid dan Norzie mendirikan rumah tangga pada 5 Mei 2005 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat cahaya matai aitu Alyea Nai Lina, Muhammad Iman, Muhammad Yusuf dan Muhammad Ibrahim.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Masih ingat lagi dengan jenama kecantikan DE’WAJAH yang pernah menjadi fenomena suatu ketika dulu? Inilah wajah terkini pengasasnya, Datuk Junaidah Kitting. Beliau merupakan pioneer syarikat kosmetik Bumiputera terawal di Malaysia. Walau kini berusia 63 tahun, ibu anak 4 ini masih meletakkan komitmen yang tinggi terhadap empayar bisnesnya agar terus relevan dengan situasi semasa.
“Bisnes De’Wajah sudah bertahan lebih 33 tahun. Kami mempunyai pelanggan setia sejak dulu sampai kini. Dari muda sampailah sekarang saya masih bekerja. Orang berniaga ni memang tiada pencennya. Sebagai pengasas saya sudah melalui pelbagai cabaran jatuh bangun dalam perniagaan.
Bezanya dahulu cabarannya tidak terlalu terasa, tiada saingan yang banyak dalam bidang kecantikan. Ketika itu saya rasa boleh dikira dengan jari usahawan-usahawan wanita yang terbabit dalam spa, salun rambut dan pembuatan produk. Saya antara wanita Melayu terawal yang menceburkan diri dalam bidang kecantikan di Malaysia.
Kalau dulu kita beriklan melalui suratkhabar dan majalah contohnya Karangkraf. Selama lebih 20 tahun saya bekerjasama dengan syarikat tersebut dan boleh dikatakan hampir semua majalah di Karangkraf saya beli iklannya. Jatuh bangun bersama Karangkraf, dalam masa yang sama ia telah banyak menaikkan nama saya sebagai usahawan.
Maka, sangat berlainan dengan sekarang lebih-lebih lagi dengan berlakunya pandemik COVID-19. Oleh itu, kita perlu bertukar contohnya bertukar dari segi cara kerja, periklanan, cara mengendalikan perniagaan dan sebagainya. Sekarang ini kita tidak boleh lagi bergantung kepada perniagaan sedia ada.
Saya ada spa tetapi dulu setahun tidak boleh buka termasuklah salun rambut. Jadi income langsung tiada tetapi saya ada pekerja dan kedai yang perlu dibayar sewa. Maka kita perlu berfikir apa lagi yang boleh kita buat untuk survive dan supaya bisnes tidak tutup sementara pandemik ini tamat.
Fokus saya sekarang lebih kepada produk sebab saya tahu kebanyakan wanita tetap nak nampak cantik, nak pakai skincare, haircare dan kosmetik maka kita kuatkan periklanan melalui online dan apa saja platform mengikut trend sekarang. Alhamdulillah sambutan di luar jangkaan walaupun pada mulanya agak keluh kesah juga. Tetapi apabila kita sudah melaluinya kita tahu apa yang kita nak buat. Kalau tak lalui, kita tidak akan tahu apa tindakan yang boleh kita buat. Bila dah lalui kita akan berfikir lebih cergas tentang apa yang kita akan lakukan ke depan.
Bergelar usahawan ini sentiasa ada cabarannya. Macam-macam kena lalui. Jiwa orang berniaga ni kena kuat, kental dan tak boleh lemah semangat walau apa pun yang kita lalui. Kita kena berfikir dan kuat untuk menangani permasalahan itu.
Seterusnya, kita jangan cepat menganggap bahawa perniagaan kitalah yang paling hebat dan berjaya, manakala perniagaan orang lain pula gagal. Sudah menjadi lumrah kadang-kadang bila kita lihat orang itu ada rumah besar, kereta mewah, kerap makan angin ke luar negara, beli barang-barang berjenama kita sudah anggap dia sangat berjaya.
Kemudian bila lihat usahawan yang nampak ‘biasa-biasa’ itu gagal atau kurang berjaya. Apa yang boleh saya katakan ialah bagi yang berniaga dan berjaya dia sememangnya mampu memiliki apa yang diinginkan. Hak masing-masing, tetapi kita tidak boleh melihat usahawan-usahawan yang tidak seperti itu dianggap gagal. Dalam perniagaan tidak ada yang gagal sebenarnya.
Bagi saya, gagal itu totally tiada apa-apa. Kadang-kadang mereka berjimat. Tiada kereta mewah, tinggal di rumah biasa, pergi makan tempat-tempat biasa. Kita tidak seharusnya ada persepsi seperti itu. Mungkin dia sudah ada simpanan dan mahu berjimat cermat demi masa hadapan termasuklah tidak mahu menunjuk-nunjuk kemewahan.
Kesimpulannya, pada pendapat saya tiada usahawan yang dianggap gagal melainkan usahawan itu mengalami bankruptcy. Setiap usahawan ada cara masing-masing, ada yang low profile dan hidup dalam bersederhana.”
Kredit Foto: Facebook Junaidah Kiting Dewajah
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Hampir sedekad penyampai berita terkenal ntv7, Norazlina Awang Had meninggalkan dunia penyiaran setelah mengambil keputusan untuk memberi tumpuan sepenuhnya terhadap keluarga dan bisnes. Malah, bisnes restorannya kini makin berkembang.
Suaminya, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menjadi pendorong utama untuk beliau meneruskan minat dalam dunia perniagaan. Datin Seri Norazlina merupakan ibu kepada 3 orang anak berusia 21, 17 dan 11 tahun. Walau usianya kini mencecah 46 tahun, Datin Seri Norazlina masih kelihatan menawan!
“Setelah meninggalkan industri penyiaran, saya banyak menghabiskan masa dengan membesarkan anak-anak. Ketika mereka di bangku sekolah, inilah masa yang begitu kritikal untuk memastikan mereka melengkapkan diri dalam aspek asas pendidikan, sahsiah dan rohaniah. Pada masa yang sama salah satu sebab saya meninggalkan dunia penyiaran adalah untuk memberi komitmen sepenuhnya sebagai isteri kepada seorang ahli politik yang kadang kala memerlukan sentuhan peribadi oleh si isteri buat rakyat.
Selain itu, inilah juga pengorbanan yang saya lakukan sebagai seorang ibu dan isteri untuk memberi sepenuh tumpuan buat anak-anak bila suami yang ketika itu bergelar ahli politik dan Menteri amatlah sibuk dan sukar memberikan masa yang penuh untuk keluarga serta anak-anak.
Setelah anak-anak meningkat remaja dan dewasa, saya mengambil peluang untuk melibatkan diri dalam perniagaan e-dagang. Pengkhususan yang diberikan adalah bagi mengketengahkan barangan buatan tangan dari Malaysia, terutamanya seni hasil tangan seperti anyaman, batik, tenunan dan sebagainya untuk kegunaan hiasan rumah hinggalah ke fesyen. Maka lahirkan portal ROOMAKU, untuk membantu pengusaha-pengusaha kraftangan untuk memasarkan hasil kerja tangan mereka.
Pendek cerita lepas meninggalkan bidang penyiaran, fokus saya adalah terhadap keluarga dan komitmen politik. Anak dah besar lahirlah LAWABANA SDN BHD yang menguruskan ROOMAKU dan seterusnya THE TEPEN CAFE. Saya adalah pemilik dan COO The Tepen Cafe yang dimiliki penuh oleh syarikat LAWABANA SDN BHD yang mula beroperasi di Cyberjaya sejak Oktober 2019. Ini merupakan langkah pertama kami untuk melibatkan diri dalam F&B. Alhamdulillah kemunculan The Tepen Cafe di Tamarind Square, Cyberjaya mendapat sambutan menggalakkan. Boleh dikatakan full house setiap hari terutamanya ketika lunch time.
Satu benda saya belajar. Kita tidak akan ada masa kalau kita tak buat masa. Kalau lihat pada rutin harian saya sekarang memang tiada henti. Tak mudah untuk menjadi seorang wanita, isteri, ibu, anak dan usahawan. Dari menguruskan sarapan dan hal-hal berkaitan sekolah, tambahan pula dengan online class, terus ke pejabat dan cafe (bila keadaan memerlukan), juga komitmen di dapur untuk membuat tempahan customer.
Jadi pengurusan masa amatlah mustahak. Selain itu minat pada sesuatu yang kita buat juga dapat memastikan momentum dan “drive” kita sentiasa ada. Insha-Allah saya juga ada perancangan untuk mengembangkan bisnes modul serta melahirkan The Tepen 2, The Tepen 3 dan seterusnya.
PENGALAMAN BERGELAR ISTERI MENTERI Tidak dapat dinafikan apabila bergelar isteri kepada kenamaan, layanan yang diberikan adalah berbeza. Secara peribadi saya tidak memilih untuk meminta layanan sebegini tetapi ia dilihat sebagai “privilege” maka kita bersyukur dengan keistimewaan yang diberikan ini.
Antara pengalaman paling manis adalah ketika setiap kali saya turun padang melawat kawasan iaitu di Kota Belud, Sabah. Tidak pernah saya kembali dari lawatan dengan penuh rasa insaf dan betapa kerdilnya saya setelah berjumpa dan meluangkan masa bersama rakyat tempatan.
Peluang untuk mendekati mereka dan secara tidak langsung memahami permasalahan yang mereka alami, terutamanya golongan wanita, ibu dan anak-anak. Mungkin inilah juga peluang bagi saya untuk tampilkan keperibadian yang sebenarnya supaya mereka dapat melihat siapa sebenarnya diri saya. Dan pengalaman manis ini amat saya rindui sehinggalah sekarang.
RUTIN KECANTIKAN Sudah menjadi kebiasaan dari zaman penyiaran dulu dengan memastikan muka sentiasa bersih sebeum tidur. Bila saban hari perlu pakai make up tebal, automatik menjadi rutin untuk saya memastikannya benar-benar bersih sebelum tidur. Wajib untuk saya amalkan minimum 3 steps. Rasa bersalah pula bila tak cuci muka sebelum tidur.
Saya juga penggemar barangan natural dan organik. Mungkin hasilnya tidak nampak secara pantas tetapi penggunaan jangka lama adalah lebih selamat. Selain itu, saya cuba amalkan pengambilan ulam-ulaman dalam menu pemakanan dan minuman seperti pegaga, moringa, kunyit dan lain-lain. Selain itu, tiada perisa tiruan atau MSG dalam masakan tidak kiralah di rumah atau kafe saya.”
Datin Seri Norazlina merupakan anak kelahiran Kuala Lumpur manakala keluarganya berasal dari Kedah dan Pulau Pinang. Beliau menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing untuk Diploma Reka Bentuk Grafik. Kemudian beiau melanjutkan pula pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di Auckland University of Technology di New Zealand jurusan Reka Bentuk Grafik.
Sebelum terlibat dalam dunia penyiaran, Datin Seri Norazlina memulakan kariernya sebagai pereka grafik bebas dan pengarah seni di pelbagai agensi reka bentuk serta pengiklanan.
Kredit Foto: Instagram Datin Seri Norazlina Awang Had
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Siapa kata kalau anak ramai tak boleh kekal langsing macam anak dara. Datin Jaja Che Wan ini adalah wanita yang menyangkal pendapat tersebut. Baharu sahaja melahirkan anak yang ke-6, Muhammad Al Fateh, September lalu tetapi Datin Jaja kekal langsing dan cantik bergaya.
“Jika diizinkan Allah SWT saya mahu mendapat seorang anak lagi dan kalau boleh kali ini saya mahu anak lelaki untuk menjadi kawan kepada Fareez,” kata-kata Datin Jaja ketika ditemu bual dahulu. Nyata doa wanita cantik ini dikabulkan oleh Allah SWT.
Memiliki anugerah bertubuh tinggi membuatkan penampilan Datin Jaja pasti mencuri tumpuan di setiap majlis yang dihadirinya. Sudah lah berwajah cantik sikap ramah-tamahnya menambat hati sesiapa sahaja yang mendampinginya malah tidak lokek berkongsi rahsia kecantikannya. Pasti ramai wanita yang mencemburui adik kepada selebriti Rozita Che Wan ini.
Datin Jaja atau nama sebenarnya Rohaiza Che Wan pasti menjadi idola setiap wanita berkongsi, “Sebenarnya saya tidak mempunyai rahsia kecantikan yang khusus. Namun, apa yang boleh saya kongsi adalah amalan ketika berpantang selepas melahirkan anak.
Saya jenis seorang yang kuat berpantang selepas melahirkan anak. Lebih-lebih lagi apabila jarak umur anak-anak saya sangat rapat. Oleh itu penjagaan amalan berpantang sangat penting.
Saya mahu kelihatan cantik dan bertenaga seperti mak. Saya patuh semua pantang larang yang mak ajar ketika berpantang. Pemakanan sangat penting ketika berpantang, saya cuma amalkan makan nasi panas dan halba serta ulam.
Di samping itu saya juga banyak makan pegaga untuk memperbanyakkan aliran susu sebab saya menyusukan anak secara eksklusif selama dua tahun. Mungkin menyusukan anak ini merupakan ‘perancang keluarga’ saya sementelah saya tidak mengamalkan apa-apa jenis perancang keluarga.
Jika ada yang bertanya bagaimana saya menguruskan masa dengan mempunyai anak-anak yang masih kecil, bagi saya tiada sebarang cabaran. Ini kerana apabila umur mereka rapat rutin harian saya tidak berubah. Sejak melahirkan anak pertama sehingga anak kelima saya sudah terbiasa untuk bangun malam menyusukan anak atau menukar lampin mereka.
Bagi saya cabaran datang apabila kita sudah lama tidak mempunyai anak kecil dan sudah terbiasa tidak bangun malam untuk menyusukan anak tetapi tiba-tiba mempunyai anak baru lahir. Ketika itu rutin harian sudah lari dan pasti menimbulkan masalah,” tutur ibu kepada Nur Fa’iqah Faiza Muhammad Faizal, 9 tahun, Nur Fa’izah Faiza Muhammad Faizal, 7 tahun, Muhammad Fareez Faiza Muhammad Faizal, 5 tahun, Nur Fareeqah Faiza Muhammad Faizal, 4 tahun, Nur Fareeda Faiza Muhammad Faizal 2 tahun, Muhammad Al Fateh Muhammad Faizal ini.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Siti Nordiana akui berat hati melepaskan anak tunggalnya, Muhammad Rayyan Nakhaie ke asrama. Kisah menyentuh hati seorang ibu sempena semangat Awal Muharram dan penghijrahan ke fasa baharu.