Ads

Dr Fauziah Mohd Hasan, Pakar Obstetrik & Ginekologi Ini Nekad Sertai Misi Kemanusiaan & Bergelar Aktivis

Dr Fauziah Hasan, Penerima Nona Superwoman Award 2026
Dr Fauziah Hasan, Penerima Nona Superwoman Award 2026

Keberanian Dr Fauziah Mohd Hasan menyertai misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) ke Gaza meletakkan beliau antara figura kemanusiaan Malaysia yang lantang membawa suara solidariti ke pentas dunia. Anak jati Terengganu ini merupakan antara lapan anggota delegasi Malaysia yang terdiri daripada doktor perubatan, pakar undang-undang dan pengamal media, mewakili Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) dalam menjayakan misi berkenaan. 

Bersandarkan pengalaman dalam bidang perubatan sejak berdekad lalu, Dr Fauziah memilih untuk menggunakan kepakarannya melangkaui sempadan dengan mendekati masyarakat dunia yang berdepan konflik dan krisis kemanusiaan. 

Lebih mengagumkan, perjalanan penuh risiko itu bukanlah pengalaman pertama Dr Fauziah dalam misi kemanusiaan ke Gaza. Penglibatan berterusan itu memperlihatkan sisi figura berjiwa besar ini yang bukan sahaja seorang doktor perubatan, malah aktivis kemanusiaan yang teguh memperjuangkan nilai kemanusiaan, kecekalan dan kasih sayang terhadap masyarakat dunia tanpa mengira warna kulit mahupun kedudukan. 

Bercerita mengenai penyertaannya dalam misi kemanusiaan ke Gaza pada Oktober 2025, Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE dan Jawatankuasa Pemandu FFC ini membuka bicara.

Dr Fauziah Mohd Hasan, Pakar Obstetrik & Ginekologi Ini Nekad Sertai Misi Kemanusiaan & Bergelar Aktivis

“Freedom Flotilla bukan sekadar membawa bantuan ke Gaza. Misi paling penting ialah usaha memecahkan kepungan terhadap Gaza. Objektifnya adalah untuk mencabar kepungan tersebut dan membuka laluan laut supaya bantuan seperti makanan dan keperluan lain boleh dibawa masuk. 

Saya mula terlibat dengan FFC ketika mereka memerlukan seorang doktor untuk misi Women’s Boat to Gaza pada 2016. Apabila ditawarkan, saya memang sangat mahu menyertai misi antarabangsa seperti itu. Tetapi saya juga takut kerana tak pandai berenang. Jadi saya belajar berenang. 

Banyak perkara berkaitan teknologi pun saya terpaksa belajar. Kami generasi baby boomers, bukan semua tahu menggunakan gajet seperti GoPro atau menghantar gambar dari kapal. Semua itu saya belajar dalam masa kira-kira sebulan setengah. 

Penglibatan saya dalam FFC bukanlah usaha saya seorang. Tanpa pertolongan, kerja berpasukan, sokongan dan doa rakyat Malaysia, misi itu juga tidak akan berlaku. Walau kami tidak berjaya sampai ke Gaza dan akhirnya ditahan serta dipenjarakan oleh Israel, usaha itu tetap membawa mesej yang mahu kami sampaikan,” luahnya. 

PERSIAPAN DIRI 

Dr Fauziah Mohd Hasan, Pakar Obstetrik & Ginekologi Ini Nekad Sertai Misi Kemanusiaan & Bergelar Aktivis

Ads

Meniti usia 69 tahun, Dr Fauziah turut mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal untuk berdepan detik sukar. “Kita perlu memastikan badan fit dan bersenam secara berkala. Kami menjalani latihan non-violence, diajar bagaimana menjawab soalan, berhadapan dengan tentera Israel dan pelbagai kemungkinan lain. 

Maknanya kami tidak dihantar sekadar redah saja. Kami dipersiapkan, tahu apa yang mungkin dilakukan dan apa yang mungkin dilalui. Dari segi mental, saya mempersiapkan diri dengan mengingatkan bahawa apa sahaja kesukaran yang berlaku hanyalah sementara. 

Sebagai seorang Muslim, kita percaya kehidupan dunia adalah sementara dan yang kita harapkan ialah kehidupan akhirat. Jadi sekiranya dipenjarakan atau diseksa, saya mempersiapkan fikiran bahawa semua itu sementara. Kita bertawakal kepada Allah SWT. 

Kalau sesuatu berlaku kepada kita sekalipun, kita tahu kita berada di sana untuk satu tujuan yang kita percaya baik, bukan untuk bermain-main. Setiap hari di atas kapal juga ada tazkirah untuk mengingatkan para aktivis supaya sentiasa mengikhlaskan diri terhadap tujuan misi,” ujarnya yang dilantik sebagai Presiden Asia Pacific Women Coalition for Al Quds and Palestine pada Jun 2025. 

Kagum dengan semangat dan perjuangan murni insan hebat ini. Sumbangan Dr Fauziah dalam misi kemanusiaan perubatan bermula pada tahun 1999 menerusi misi ke Kosovo, diikuti Kepulauan Maluku, Aceh selepas tragedi tsunami, Afghanistan, Syria dan Bangladesh, khususnya Cox’s Bazar. 

Atas khidmat dan bakti itu, Dr Fauziah menerima International Activist of the Year Award pada 2014 daripada International Coalition for Palestine and Jerusalem, meraih pengiktirafan ‘Khaulah Al Azwar’ daripada Kerajaan Negeri Terengganu pada 2016 serta Anugerah Pemimpin NGO Islam 2017 bagi Kategori Wanita. 

Ads

DUNIA PERUBATAN 

Dr Fauziah Mohd Hasan, Pakar Obstetrik & Ginekologi Ini Nekad Sertai Misi Kemanusiaan & Bergelar Aktivis

Kredibiliti Dr Fauziah Mohd Hasan bukan hanya terserlah sebagai aktivis kemanusiaan. Di sebalik sosok wanita yang sanggup merentas sempadan demi membantu mereka yang terkesan akibat konflik, beliau sebenarnya seorang doktor bertauliah yang berpengalaman luas dalam bidang Obstetrik dan Ginekologi. 

Graduan University of Tasmania, Australia ini menerima penganugerahan status Fellow of the Royal College of Obstetricians and Gynaecologists, United Kingdom (FRCOG, UK) pada tahun 2003. Namun di sebalik kejayaan itu, tersimpan sebuah kisah keluarga yang cukup dekat di hati dan menjadi titik awal beliau memilih dunia perubatan. 

Menurut Dr Fauziah, keputusan menceburi bidang perbidanan dan sakit puan tercetus daripada pesan bapanya, Haji Hasan Haji Ali, susulan pengalaman getir yang pernah dilalui ibunya, Saliha Daud, ketika bersalin. 

“Ketika melahirkan saya, keadaan ibu sebenarnya sangat kritikal. Saya anak ke-12 dan ibu mengalami tumpah darah sewaktu bersalin. Bapa saya terpaksa memanggil seorang doktor untuk merawat dan menyelamatkan nyawanya. Pada zaman itu doktor wanita hampir tiada. Doktor yang merawat ibu ialah lelaki dan bukan beragama Islam. 

Ads

Orang kampung ketika itu mencemuh bapa saya kerana membenarkan seorang lelaki bukan Islam merawat bahagian yang dianggap sangat peribadi bagi seorang wanita. Disebabkan pengalaman itulah bapa berkata kalau saya berpeluang belajar perubatan, ambil bidang berkaitan wanita, kelahiran, perbidanan dan sakit puan. Saya mengambil nasihat itu dan akhirnya menjadi Pakar Obstetrik dan Ginekologi,” cerita anak bongsu daripada 12 beradik ini. 

Dr Fauziah Mohd Hasan, Pakar Obstetrik & Ginekologi Ini Nekad Sertai Misi Kemanusiaan & Bergelar Aktivis

Tambah Dr Fauziah, beliau mendapat pendedahan mengenai perubatan sejak kecil memandangkan datuknya seorang sensei. 

“Kami berasal daripada keluarga biasa yang berniaga di Terengganu. Datuk saya mempunyai sebuah kedai perkakasan dan pada masa sama, turut merawat pesakit di situ. Sejak kecil, saya sering melihat pesakit datang mendapatkan rawatan. Datuk akan memeriksa nadi mereka, menyediakan ramuan herba dan memberikan ubat mengikut keperluan. 

Apabila bapa melihat saya mendapat peluang memasuki Sekolah Tun Fatimah, sebuah sekolah berasrama penuh, beliau melihat potensi saya dan mendorong saya untuk menjadi doktor. Kami bukan keluarga yang kaya. Jadi kami merasakan pendidikan boleh membawa seseorang pergi jauh dan mengeluarkan kita daripada suasana kesusahan. 

Ibu saya pula seorang yang buta huruf. Dia tak tahu membaca atau mengira walaupun sebenarnya seorang wanita yang sangat cerdik. Misalnya apabila mengambil upah membasuh pakaian dan melakukan kerja-kerja tertentu, ibu mempunyai sistemnya sendiri untuk mengetahui berapa bayaran yang perlu diberikan.” 

Tatkala ditanya mengenai legasi yang ingin ditinggalkan kepada masyarakat, sambil tersenyum Dr Fauziah menuturkan kata-kata yang cukup mendalam. 

“Ada satu doa Nabi Ibrahim yang selalu kita baca, ‘Waj’al li lisana sidqin fil akhirin’. Maksudnya, jadikanlah bagiku sebutan yang baik dalam kalangan orang yang datang kemudian. Itulah legasi yang kita minta. Berharap apa yang dilakukan menjadi sesuatu yang baik dan terus disebut dengan kebaikan oleh generasi selepas kita. 

Saya juga berpegang kepada hadis tentang tiga perkara yang terus memberi manfaat selepas seseorang meninggal dunia iaitu anak yang soleh, ilmu yang bermanfaat dan sedekah atau amal jariah berterusan. Itulah antara persediaan kita untuk meninggalkan dunia kerana kehidupan dunia ini sementara,” akhiri Dr Fauziah.

Artikel https://www.nona.my/33-penerima-nona-gala-awards-2026/

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download sekarang!

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads

Inspirasi Lain

Syamsul Debat

Syamsul Debat, Inspirasi Dari Dunia Perundangan Ke Pentas Dakwah, Kini Penerima...

Di sebalik jenaka dan loghat Negeri Sembilan yang mencuit hati, Syamsul Debat menyimpan kisah perjalanan luar biasa daripada bidang perundangan ke dunia dakwah sehingga menerima Nona Motivator Award.