
Syamsul Debat cukup dikenali dengan gaya ceramah bersahaja, loghat Negeri Sembilan yang pekat dan jenaka yang sering mencuit hati. Namun di sebalik senyuman yang mengundang gelak tawa, setiap bait kata yang disampaikan Syamsul Amri Ismail ini sarat dengan ilmu, nilai kehidupan dan mesej yang menyentuh hati. Daripada dunia perundangan ke pentas dakwah, perjalanan inspirasi beliau kini menerima pengiktirafan sebagai penerima Nona Motivator Award.
Di pentas ceramah, beliau sering mencuit hati dengan loghat Negeri Sembilan yang pekat dan jenaka bersahaja. Namun di sebalik senyuman yang mengundang gelak tawa, setiap bait kata yang disampaikan Syamsul Amri Ismail atau lebih dikenali sebagai Syamsul Debat sarat dengan ilmu, nilai kehidupan dan mesej yang menyentuh hati.
Keistimewaan beliau bukan sekadar pada kepetahan berbicara, tetapi kebijaksanaan menyampaikan dakwah dalam bahasa yang dekat dengan masyarakat. Isu yang berat diterjemahkan dengan pendekatan santai, nasihat yang tegas disampaikan penuh hikmah, manakala jenaka pula sekadar jambatan untuk membuka hati pendengar menerima mesej yang ingin disampaikan. Itulah pendekatan yang menjadikan beliau antara penceramah motivasi paling berpengaruh di Malaysia.
Di sebalik pengaruh yang dimiliki hari ini, perjalanan penerima Nona Motivator Award ini sebenarnya bermula jauh daripada pentas ceramah. Beliau tidak pernah bercita-cita menjadi ustaz mahupun personaliti televisyen. Sebaliknya, kehidupan awalnya dibina sebagai seorang anak kampung yang mengejar pendidikan, kemudian membina kerjaya profesional dalam bidang perundangan sebelum takdir membawa beliau ke dunia dakwah.
Dilahirkan pada 3 Ogos 1977 di Kampung Ayer Dedali, Negeri Sembilan, Syamsul Debat kini berusia 49 tahun. Membesar dalam keluarga sederhana, beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Paroi sebelum menyambung persekolahan di Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Hj Mohd Ali. Persekitaran yang sederhana itulah menjadi asas pembentukan disiplin dan jati dirinya sejak kecil.

Syamsul Debat, Bakat Pidato Yang Membentuk Keyakinan Diri
Syamsul Debat melanjutkan pengajian Diploma Pentadbiran Awam di UiTM Lendu, Melaka sebelum memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di UiTM Shah Alam. Ketika berada di kampus, beliau aktif dalam dunia pidato dan debat sehingga namanya mula dikenali dalam kalangan pendebat universiti.
Satu demi satu kejayaan diraih termasuk Johan Pidato UiTM Melaka, Johan Debat Piala Provos UiTM Melaka, Johan Pidato Kenegaraan Peringkat Kebangsaan, selain muncul Pendebat Terbaik Malaysia dalam pertandingan Debat Diraja. Bagi beliau, pentas debat bukan sekadar medan pertandingan, tetapi sekolah kehidupan yang mengajar seni berhujah, keyakinan diri dan disiplin berfikir.
Pengalaman itulah yang akhirnya membentuk gaya komunikasi beliau hari ini. Tenang, tersusun dan tidak pernah memaksa orang menerima pandangannya. Sebaliknya, beliau memilih untuk mengajak masyarakat berfikir melalui cerita, pengalaman dan contoh yang dekat dengan kehidupan seharian.
Ramai menyangka Syamsul Debat terus bergelar penceramah sebaik menamatkan pengajian. Hakikatnya, beliau terlebih dahulu membina kerjaya yang cukup cemerlang dalam bidang perundangan.
Sebelum dikenali sebagai personaliti televisyen menerusi program Syamsul Debat di TV AlHijrah, beliau pernah menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Undang-Undang & Penguatkuasaan di Majlis Perbandaran Seremban dan seterusnya menjadi Pengarah Undang-Undang merangkap Penasihat Undang-Undang di Majlis Perbandaran Nilai, Negeri Sembilan.
Dengan jawatan yang disandang, kelayakan akademik dan masa depan yang cerah, beliau sebenarnya sudah berada di landasan kerjaya yang menjadi impian ramai. Namun dalam kesibukan menjalankan tugas hakiki, beliau tetap aktif mengendalikan program motivasi di sekolah, jabatan kerajaan, syarikat swasta dan kem bina insan.

“Memang karakter saya begini, bukan hanya di depan kamera. Di luar pun saya suka bergurau, tetapi kita kena tahu meletakkan diri mengikut keadaan. Dengan keluarga dan anak-anak, ada masa untuk bergurau senda dan ada masa kita perlu berbincang secara serius. Dalam hidup, ada perkara yang boleh kita santai dan ada perkara yang memerlukan ketegasan. Yang penting jangan berlebihan. Saya sendiri sentiasa berpesan kepada diri, jangan ‘over’.”
Dunia motivasi menjadi ruang untuk beliau mendekati masyarakat daripada pelbagai latar belakang. Setiap program mempertemukan beliau dengan pelajar, guru, penjawat awam, golongan korporat dan keluarga yang berdepan pelbagai cabaran kehidupan. Tanpa disedari, pengalaman itu bukan sahaja mengasah kemahiran komunikasinya, malah membuka ruang untuk beliau memahami denyut nadi masyarakat.
Syamsul Debat Beralih Dari Dunia Motivasi Ke Pentas Dakwah
Tahun 2005 menjadi titik perubahan paling besar dalam hidup Syamsul Debat. Pada ketika itu, beliau hanya melakukan kerja sambilan sebagai pembimbing motivasi, berkongsi pengalaman dan memberi suntikan semangat kepada pelajar, penjawat awam serta peserta program pembangunan insan.
Dalam setiap sesi motivasi, beliau gemar menyelitkan hadis serta ayat al-Quran sebagai pengukuh mesej yang ingin disampaikan. Tanpa disangka, pendekatan itu mula menarik perhatian ramai sehingga beliau semakin kerap menerima jemputan untuk mengendalikan ceramah agama.
Satu peristiwa yang tidak pernah dilupakan berlaku apabila beliau diminta menggantikan seorang penceramah yang tidak dapat hadir ke sebuah seminar kekeluargaan. Walaupun ketika itu beliau belum bergelar penceramah agama sepenuh masa, penyampaiannya mendapat sambutan luar biasa. Dari situlah jemputan demi jemputan mula hadir, sekali gus membuka lembaran baharu dalam perjalanan hidupnya.
Peluang yang lebih besar hadir secara kebetulan apabila beliau dijemput menyampaikan ceramah kepada kakitangan TV AlHijrah. Gaya penyampaian yang santai, bersahaja dan dekat dengan kehidupan masyarakat menarik perhatian pihak pengurusan sehingga lahirlah program Syamsul Debat. Tanpa dirancang, petikan-petikan ceramah beliau mula tular di media sosial dan namanya semakin dikenali di seluruh negara.

Menurut beliau, tidak semua orang mempunyai latar belakang ilmu yang sama. Ada yang baru ingin mengenali agama, ada yang sedang mencari jawapan kepada masalah kehidupan. Justeru, pendekatan yang mudah difahami dan dekat dengan realiti masyarakat lebih berkesan berbanding penyampaian yang terlalu berat. Atas sebab itu, beliau banyak memilih topik berkaitan kekeluargaan, hubungan suami isteri, pendidikan anak-anak dan pembangunan diri.
Walaupun pernah menerima kritikan kerana gaya penyampaiannya yang dianggap terlalu santai, beliau tidak melihatnya sebagai halangan. Sebaliknya, beliau percaya setiap pendakwah mempunyai pendekatan tersendiri, asalkan mesej yang disampaikan tepat, berlandaskan ilmu dan memberi manfaat kepada masyarakat.
Selain dunia dakwah, Syamsul Debat turut mengembangkan langkah dalam bidang keusahawanan dengan mengendalikan syarikat konsultansi latihan dan motivasi, Intellectual Orator Consultant (M) Sdn Bhd. Beliau menjadikan kepakaran dan pengalaman yang dimiliki sebagai ruang untuk membantu masyarakat.

Anak Negeri Sembilan ini turut berkecimpung dalam dunia perniagaan dengan menghasilkan produk sendiri, antaranya susu kambing Al-Amr, madu kelulut, sambal, daging kambing perap dan kurta.
“Memang susah sebenarnya hendak membahagikan masa kerana jadual ceramah saya sangat padat. Boleh dikatakan setiap hari ada tiga slot, pagi, petang dan malam. Kalau ada kuliah Subuh, jadi empat slot, malah pada bulan Ramadan boleh mencecah empat hingga enam ceramah sehari.
Sebab itu saya perlu mencari orang yang benar-benar dipercayai untuk menguruskan pejabat dan perniagaan. Walaupun berada jauh, saya tetap pantau perkembangan dan pastikan semuanya berjalan dengan baik,” ujar bapa penyayang tersebut.
Semangat itulah yang menjadikan Syamsul Debat lebih daripada sekadar seorang penceramah. Beliau ialah seorang pendidik yang menggunakan kekuatan komunikasi untuk membimbing masyarakat, seorang motivator yang meniupkan harapan melalui kata-kata, dan seorang pendakwah yang membuktikan bahawa dakwah yang disampaikan dengan hikmah mampu menyentuh hati tanpa perlu menghukum.
Atas dedikasi, pengorbanan dan sumbangannya memperkasakan masyarakat melalui ilmu, beliau selayaknya diangkat sebagai penerima Nona Motivator Award. Perjalanan Syamsul Debat membuktikan bahawa pengaruh sebenar bukan lahir daripada populariti, tetapi daripada keikhlasan untuk terus memberi manfaat kepada orang lain.
Penulis & Penyelaras: Norzalina Mohd Alias
Arahan Seni: Kiffy Razak
Konsep: Azniza Aziz
Foto: The Loft Studio
Solekan: Norezz Idris
Artikel berkaitan: Tunku Zain Al-‘Abidin, Inspirasi Luar Biasa Di Sebalik Warisan Diraja, Ilmu & Jiwa Rakyat

sekarang!

