
Tunku Zain Al-‘Abidin, atau Y.A.M. Tunku Panglima Besar Tunku Dato’ Seri Zain Al-’Abidin ibni Tuanku Muhriz, merupakan putera diraja Negeri Sembilan yang menjunjung warisan diraja dengan ilmu, empati dan jiwa yang dekat dengan rakyat. Bagi baginda, setiap amanah bukan sekadar tanggungjawab yang perlu dilaksanakan, sebaliknya peluang untuk terus menyumbang kepada masyarakat. Melalui penglibatan aktif dalam bidang pendidikan, korporat dan pembangunan komuniti, Tunku Zain membuktikan bahawa kedudukan dan keistimewaan yang dimiliki membawa makna lebih besar apabila dimanfaatkan demi kesejahteraan rakyat.
Jiwa yang dekat dengan rakyat menjadikan setiap amanah lebih daripada sekadar tanggungjawab. Bagi Y.A.M. Tunku Panglima Besar Tunku Dato’ Seri Zain Al-’Abidin ibni Tuanku Muhriz, ruang dan kesempatan yang dimiliki menjadi jalan untuk terus menyumbang kepada masyarakat serta mewujudkan impak yang bermakna melalui inisiatif pendidikan, korporat dan pembangunan komuniti.
Diputerakan pada 6 Julai 1982 di Petaling Jaya, Tunku Zain merupakan putera kedua daripada tiga bersaudara kepada D.Y.M.M. Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan D.Y.M.M. Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud.

Didikan Ayahanda & Bonda Bentuk Keperibadian Tunku Zain Al-‘Abidin
Baginda berdua turut dikurniakan putera sulung, Y.A.M. Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin ibni Tuanku Muhriz serta putera bongsu, Almarhum Tunku Alif Hussein Saifuddin Al-Amin ibni Tuanku Muhriz. Tiga bersaudara yang dibesarkan dalam lingkungan adat dan tradisi Diraja Negeri Sembilan ini berkongsi ikatan kekeluargaan yang cukup erat, sesuatu yang jelas terpancar setiap kali Tunku Zain berbicara tentang Ayahanda, Bonda dan saudara-saudaranya.
Pada 11 Jun 2026, satu lagi lembaran penting tercatat dalam perjalanan Tunku Zain apabila D.Y.M.M. Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan berkenan memasyhurkan baginda sebagai Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan, salah satu Gelaran Pusaka Putera Yang Empat. Pemasyhuran tersebut sekali gus menggalas amanah besar untuk terus menjunjung kedaulatan Institusi Diraja Negeri Sembilan serta memelihara kepentingan rakyat dan negeri.
Namun apabila diajak berbicara tentang perkara yang membentuk keperibadiannya, Tunku Zain tidak bermula dengan kedudukan atau pencapaian. Sebaliknya, baginda kembali kepada didikan Ayahanda.
“Sejak kecil, semestinya ada banyak prinsip yang saya peroleh daripada Ayahanda. Antaranya adalah untuk sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku. Namun, pada masa yang sama, kita perlu berusaha gigih dan bertawakal kepada Tuhan. Kita juga harus sentiasa bersyukur dengan setiap perkara baik yang diterima. Sejujurnya, saya berasa amat bertuah kerana berpeluang untuk aktif dalam pelbagai bidang dan berharap agar dapat memberikan sumbangan yang bermakna kepada masyarakat,” ujar Tunku Zain.
Daripada Bonda pula hadir kenangan yang lebih lembut dan peribadi. Tunku Zain mengingati saat mereka bermain board games dan word games bersama-sama. Sesuatu yang sederhana, namun mungkin tanpa disedari turut menumbuhkan kecintaan baginda terhadap bahasa dan penulisan.

Muzik juga menjadi sebahagian daripada kenangan keluarga. Ada waktunya keluarga Diraja ini berkumpul di piano, bermain muzik bersama sepupu dan rakan-rakan. Kini apabila tuntutan tugas semakin memenuhi jadual, masa bersama keluarga menjadi sesuatu yang lebih dihargai.
“Sekarang agak sukar untuk mendapatkan quality time, jadi saya cuba pulang ke Seremban setiap hari Jumaat supaya dapat meluangkan masa bersama Ayahanda dan Bonda.”
Begitu juga ketika berbicara mengenai adinda baginda, Almarhum Tunku Alif Hussein Saifuddin Al-Amin. Tidak banyak kata yang digunakan, tetapi jelas kasih seorang kakanda terhadap adindanya kekal utuh. “Alif adalah sumber kasih sayang dan kekuatan untuk kami. Kami tidak akan pernah melupakan masa yang diluangkan bersama Almarhum di rumah, begitu juga kenangan ketika bercuti bersama-sama,” ujar Tunku Zain yang melihat kehilangan adinda tercinta sebagai satu ujian yang sarat hikmah.
Tunku Zain Al-‘Abidin, Mengangkat Martabat Ilmu & Pendidikan
Latar pendidikan Tunku Zain Al-‘Abidin banyak menjelaskan mengapa wacana masyarakat, pendidikan dan pembangunan negara begitu dekat dengan baginda. Baginda mendapat pendidikan di London School of Economics and Political Science (LSE) dalam bidang Kerajaan dan Sosiologi, sebelum memperoleh Ijazah Sarjana dalam Politik Perbandingan dan Sejarah Imperial.
Baginda kemudiannya mengasaskan Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) dan berkhidmat sebagai Presidennya. Dalam bidang pendidikan tinggi, Tunku Zain merupakan Canselor Universiti UCSI dan Pro-Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Dunia penulisan juga tidak pernah jauh daripada Tunku Zain. Selain menjadi penulis kolum akhbar The Star, Sinar Harian dan Sin Chew Daily, baginda menghasilkan beberapa karya termasuk Payung Berdaulat Warisan Beradat (2009), Abiding Times (2011), Abiding Times 2 (2012) dan Roaming Beyond the Fence (2014).
Namun bagi Tunku Zain, ilmu sewajarnya diterjemahkan menjadi manfaat kepada masyarakat. Salah satu pengalaman yang meninggalkan kesan besar ialah ketika IDEAS menjalankan projek penyelidikan Giving Voice to the Poor pada 2012. Di lapangan, Tunku Zain bersama pasukan IDEAS berdepan realiti keluarga berpendapatan rendah yang mempunyai anak autisme tetapi tidak mampu mendapatkan terapi intervensi awal.
“Apabila turun ke lapangan, kami melihat satu realiti yang menyedihkan, iaitu anak-anak autisme daripada golongan berpendapatan rendah langsung tidak mempunyai akses kepada terapi intervensi awal kerana kos rawatan swasta yang terlalu mahal. Ada juga ibu bapa yang kehilangan pendapatan kerana terpaksa berhenti kerja untuk menjaga anak mereka. Jadi, IDEAS Autism Centre ditubuhkan bagi menyediakan terapi mampu milik supaya anak-anak autisme mempunyai peluang untuk berdikari,” terang Tunku Zain tentang IDEAS Autism Centre yang kini diperluaskan ke Rawang, Nilai dan Port Dickson.
Tunku Zain juga amat lantang dalam mengubah naratif tempatan berhubung ribuan warga Myanmar yang mencari perlindungan di Malaysia. Beliau secara terbuka mengecam tindakan tidak berperikemanusiaan terhadap individu tanpa kewarganegaraan, selain mendesak kesedaran awam untuk melihat pelarian melalui lensa hak asasi manusia dan bukannya sebagai ancaman kepada risiko keselamatan negara.
Bagi merealisasikan usaha ini, beliau bekerjasama rapat dengan organisasi seperti UNHCR Malaysia demi memperjuangkan penyelesaian dasar jangka panjang yang bersifat kemanusiaan, berbanding langkah penguatkuasaan yang semata-mata berbentuk hukuman. Keprihatinan beliau turut diterjemahkan menerusi lawatan rasmi ke Cox’s Bazar, Bangladesh iaitu penempatan pelarian Rohingya terbesar di dunia pada tahun 2024.
Dari aspek pendidikan pula, sumbangan besar Tunku Zain Al-‘Abidin adalah menerusi penubuhan Akademi IDEAS (Ideas International Secondary School). Pusat pembelajaran menengah khas ini ditubuhkan untuk menyediakan akses Pendidikan penting kepada pemegang kad pelarian UNHCR yang sebelum ini dinafikan hak mereka daripada sistem sekolah awam di Malaysia. Sebahagian besar penuntut di akademi ini terdiri daripada belia rentan dari Myanmar, termasuk etnik minoriti Rohingya dan Chin.
Terbaharu, Tunku Zain turut memperjuangkan pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara Universiti UCSI dengan Liberty to Learn Berhad. Perjanjian bersejarah ini mewujudkan satu rangka kerja rasmi yang holistik untuk menyokong pelajar pelarian yang berkelayakan, sekali gus membuka akses langsung bagi mereka melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi di Malaysia.
Komitmen Tunku Zain terhadap masyarakat turut diterjemahkan melalui peranan baginda sebagai penaung Yayasan Chow Kit dan Yayasan Munarah, selain penglibatan dalam pelbagai kegiatan sosial. Antara penglibatan terkini termasuk Festival Seni Sembilan atau Nine Arts Festival, bengkel caklempong di sekolah-sekolah Negeri Sembilan serta menyantuni hari sukan anak-anak istimewa di negeri tersebut.
Seni & Muzik, Sisi Peribadi Tunku Zain Yang Dekat Di Hati
Dalam kesibukan itu, ada satu pengalaman yang cukup dekat di hati Tunku Zain, iaitu kembali ke piano dalam Konsert Diraja UKM 2026 bertemakan Simfoni Diraja: Legasi Irama Sepanjang Zaman. “Saya kembali membuat persembahan piano, lagu Getaran Jiwa, untuk UKM setelah sekian lama. Kali terakhir pada 2019. Ia adalah pengalaman mendebarkan tetapi sangat memuaskan.
Selain itu, konsert ini adalah pencapaian bersejarah apabila UKM menjadi universiti awam pertama yang berjaya menganjurkan konsert diraja di Dewan Filharmonik PETRONAS. Ia juga menyatukan artis senior seperti Datuk Zainal Abidin dan Dayang Nurfaizah dengan bakat muda pelajar ARTISUKMA UKM. Bagi saya, konsert ini membuktikan gabungan seni, pendidikan dan sokongan masyarakat mampu membuka peluang besar untuk masa depan generasi muda.”

Muzik sememangnya sisi Tunku Zain yang sukar dipisahkan daripada kehidupan baginda. Bach, Chopin dan Rachmaninoff antara komposer yang diminati, namun muzik Melayu tetap mempunyai tempat tersendiri. “Sejak dahulu saya meminati Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan sering memainkan muzik beliau. Saya melihat seniman ini sebagai satu inspirasi dalam menghidupkan bidang muzik di Malaysia sehingga sekarang.”
Bagi baginda, muzik mengajar disiplin, membantu manusia mengurus emosi dan berupaya menyatukan masyarakat melampaui perbezaan latar belakang. Pengalaman itu turut menemukan Tunku Zain dengan ramai penggiat seni terkemuka antaranya Datuk Jamal Abdillah, Datuk Zainal Abidin, Yusuf Islam, Waris, Suki, Datuk Aishah dan Ito.
Institusi Diraja Sebagai Payung Perpaduan & Pembela Kebajikan Rakyat
Bagi Tunku Zain, masyarakat yang baik juga perlu memberi ruang kepada kepelbagaian suara dan kepimpinan. Dalam hal ini, baginda melihat wanita memainkan peranan besar. Pengalaman bekerja bersama pemimpin wanita dalam IDEAS, Yayasan Chow Kit serta lembaga korporat memberi peluang kepada baginda untuk melihat sendiri kekuatan yang dibawa wanita dalam sesebuah organisasi.
“Saya selesa bekerja dengan kepimpinan wanita dan dapat melihat manfaatnya, termasuk dari segi emotional intelligence serta conflict resolution yang mungkin lebih lembut tetapi efektif. Saya rasa amat penting bagi setiap lembaga, sama ada korporat, filantropik mahupun yayasan, mempunyai diversiti. Peranan wanita dalam hal ini sangat penting.”
Pandangan itu juga dekat dengan akar Negeri Sembilan yang terkenal dengan Adat Perpatih. Dalam sejarah keluarga Diraja Negeri Sembilan, Tunku Zain turut menjadikan tokoh-tokoh wanita terdahulu sebagai suri teladan antaranya Y.M. Tunku Puan Intan binti Tunku Alang Husain yang pernah memangku pemerintahan Negeri Sembilan, Y.M.M. Tunku Puan Besar Hajah Kurshiah binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin, Raja Permaisuri Agong pertama Persekutuan Tanah Melayu serta Almarhumah Tunku Ampuan Najihah binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin, Raja Permaisuri Agong ke-10 yang dikenang atas sumbangan besar dalam bidang kebajikan, pendidikan dan sukan wanita.
Barangkali kerana dibesarkan dengan kesedaran terhadap adat, sejarah dan tanggungjawab itulah baginda melihat Institusi Diraja bukan sebagai sesuatu yang terpisah daripada masyarakat.
“Pada pandangan saya, institusi diraja hari ini adalah payung perpaduan, pengimbang kestabilan dan pembela kebajikan rakyat. Istana kini bukan sekadar simbol tradisi, tetapi institusi yang hidup bersama-sama rakyat.
Peranan utama kami adalah mendengar suara rakyat melalui kehadiran di majlis-majlis serta pemantauan media, sebagai perantara yang adil dalam landskap politik yang dinamik, memastikan kestabilan negara, menjaga kebajikan dan pembangunan sosial serta menjadi ejen penyatuan masyarakat berbilang kaum.”
Dalam perbualan yang lebih luas, Tunku Zain turut melihat Institusi Diraja sebagai entiti berkecuali dan berperlembagaan yang perlu kekal dinamik mengikut perubahan zaman. Pendidikan khas, kelestarian alam, kesihatan mental, seni budaya, sukan dan filantropi antara ruang yang boleh terus mendekatkan Institusi Diraja dengan generasi baharu.
Kata-kata itu seperti merangkum sosok Y.A.M. Tunku Panglima Besar Tunku Dato’ Seri Zain Al-’Abidin ibni Tuanku Muhriz sendiri. Seorang intelektual yang percaya kepada kekuatan ilmu, tetapi tetap meletakkan empati sebagai nilai yang tidak boleh hilang. Dan seorang putera diraja yang memahami bahawa kedudukan hadir bersama amanah untuk mendengar, mendekati serta memberi manfaat kepada rakyat dan negeri.
Penulis & Penyelaras: Norzalina Mohd Alias
Konsep & Arahan Seni: Azniza Aziz
Foto: The Loft Studio
Solekan: Ayang Kamell
Artikel berkaitan: Datuk Wira Ameer Mydin, Di Sebalik Empayar Mydin Ada Jiwa Yang Tidak Pernah Lupa Asal Usul

sekarang!

