Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak 18 Mac sehingga hari ini bagi mengekang penularan wabak Coronavirus atau COVID-19 ramai yang terkesan terutamanya dari segi sumber pendapatan.
Ada yang menerima nasib cuti tanpa gaji, dipotong gaji dan lebih menyedihkana ada yang diberhentikan kerja. Bagaimana dengan mereka yang hanya bergantung kepada sumber pendapatan harian untuk menyara anak-anak?
Ada yang terpaksa mencatu makanan kerana bimbang bekalan makanan tidak mencukupi. Walaupun kerajaan memberi jaminan bekalan makanan dan keperluan adalah mencukupi namun jika masih ada golongan yang bersikap pentingkan diri dengan cara panic buying sudah pasti ia memberi kesan terhadap mereka yang memerlukan.
URUS KEWANGAN KELUARGA
Wang adakalanya menjadi kawan, adakalanya menjadi lawan. Wang juga mampu mengeratkan hubungan namun ada juga sebaliknya. Sedar atau tidak, kewangan menjadi salah satu punca perceraian masa kini.
Jika masalah ini dibiarkan berlarutan tanpa penyelesaian kemungkinan akan menyusutkan rasa cinta dan hormat terhadap pasangan. Sebagai suami isteri yang hidup sebumbung dan saling memerlukan, amalkan komunikasi efektif secara dua hala.
Selain kewangan, faktor lain yang menjurus kepada pertengkaran ialah tidak sependapat, kurang kepercayaan dan enggan berkompromi. Amalkan 5 langkah ini sebagai panduan bagaimana untuk mengendalikan kewangan rumah tangga dengan baik.
MATLAMAT KEWANGAN YANG SAMA
Hidup perlu ada tujuan. Jika permulaannya tiada tujuan yang jelas ia umpama perjalanan tanpa arah. Begitulah juga dalam pengurusan kewangan. Tetapkan target. Berbincang dengan pasangan apa yang anda dan keluarga capai demi masa depan. Rancang untuk tempoh 3, 5, 10, 15 tahun bahkan seterusnya demi memenuhi tujuan itu.
KENALI KARAKTER MASING-MASING
Antara masalah yang sering dihadapi ketika berbincang tentang kewangan ialah salah faham. Kenali karakter masing-masing dalam pengurusan wang bagi memudahkan anda menganalisis kekuatan dan kelemahan diri mahupun pasangan dalam mengenal pasti punca dan penyelesaian masalah.
KETELUSAN
Ini menjadi perkara paling ‘berat’ bagi kebanyakan pasangan. Berapa ramai yang bersedia untuk berkongsi secara terbuka dengan pasangannya bagaimana mereka menggunakan wang atau berapa banyak harta yang dimiliki.
Contoh, tidak salah seorang isteri mengetahui jumlah bonus yang diterima suaminya. Atau, seorang isteri mengaku yang dia gemar berbelanja sehingga adakalanya boros. Kejujuran mampu meruntuhkan tembok keegoan. Lakukannya demi kebaikan bersama.
KEPUTUSAN BERSAMA
Menabung dan penggunaan kad kredit boleh menjadi pilihan. Bagi keperluan peribadi, anda boleh menetapkan sejumlah wang saku bagi setiap minggu yang menjadi privasi masing-masing. Gunakan secara tunai sehingga anda jelas berapa jumlah yang diperoleh dan berbaki pada setiap hujung minggu.
NASIHAT
Pengurusan kewangan lebih komprehensif terutama dari segi pelaburan. Lantik perancang kewangan yang bertauliah. Selain itu, anda boleh juga mendapatkan khidmat rundingan pakar psikologi atau perunding perkahwinan bagi memperbaiki komunikasi anda dan pasangan. Masalah komunikasi mempengaruhi banyak aspek dalam rumah tangga.