Mendekati figura pemilik NR Cosmetics, Muhammad Khairul Anwar bin Rosli  atau lebih dikenali sebagai Nuex Rosli memberi inspirasi buat penulis untuk mengetahui kisah di sebalik kejayaannya membina empayar perniagaan kosmetik premium. Ternyata pengalaman lebih sembilan tahun sebagai jurusolek professional menjadi kelebihan buat pemegang Ijazah Sarjana Sains dalam bidang Biologi ini melahirkan jenama sendiri kosmetik mengikut acuan dari sudut pandangan professional yang mementingkan kualiti dalam setiap produk yang dihasilkan.

EMPAT TAHUN DALAM BISNES KOSMETIK, NUEX ROSLI MAHU BANTU WANITA PERKASA EKONOMI

Minatnya dalam bidang solekan bermula ketika menyertai kumpulan teater universiti di mana dia terpaksa menyolek rakan-rakan teater. Seterusnya, berbekalkan minat yang ada dan sokongan daripada orang sekeliling, Nuex memberanikan diri untuk meneroka lebih luas lagi peluang dalam bisnes.

“Pada awalnya saya tidak mempunyai minat dan pengetahuan langsung tentang dunia solekan. Namun, semuanya bermula ketika saya bergiat aktif menyertai kumpulan teater di universiti. Melalui pembabitan teater tersebut lah saya belajar cara mekap dan mula mendapat permintaan dan upah untuk menyolek rakan-rakan di kampus dengan harga bermula dari RM30”, kongsi Nuex yang merupakan anak ketiga daripada lapan adik-beradik ini.

“Saya berasal daripada keluarga yang sederhana. Jadi apabila mendapat peluang untuk menjana pendapatan saya gunakan sebaik-baiknya. Sejurus itu, saya mula belajar dengan lebih mendalam lagi tentang dunia solekan dengan menonton video-video tutorial mekap di Youtube”, jelas lelaki yang mempunyai semangat kental dan tidak mudah berputus asa ini.

EMPAT TAHUN DALAM BISNES KOSMETIK, NUEX ROSLI MAHU BANTU WANITA PERKASA EKONOMI

NR Cosmetics yang ditubuhkan sejak 2017 ini kini boleh berbangga dengan barisan produk kosmetik wanita  premium yang dihasilkan melalui penyelidikan yang teliti dalam bidang kosmetik. Sejak di awal penubuhan NRC sudah bersedia dengan visi dan misi utama iaitu untuk menjadi jenama pilihan tempatan dan antarabangsa.  Sehingga kini, NRC sudah diterima baik di Brunei dan Singapura. Malah, jenama ini  sedang berusaha untuk menembusi pasaran antarabangsa pula seperti ke Turki, London dan Dubai. Tahun 2020 ini NR Cosmetics bakal memperbanyakkan program-progam berbentuk kebajikan khusus bagi membantu golongan wanita mempertingkatkan pendapatan mereka melalui penganjuran kelas-kelas solekan secara percuma. Tambah Nuex Rosli lagi, jika kebiasaannya kelas-kelas solekannya atau Grand Master Class yang dianjurkannya dikenakan bayaran, namun tahun ini dia berhasrat menganjurkan kelas-kelas solekan pada skala kecil untuk memberi peluang khusunya golongan wanita mempelajari kemahiran solekan dan perniagaan untuk membolehkan mereka memperkasakan kewangan.

“Sesiapa saja yang mempunyai duit boleh memulakan perniagaan walaupun tidak mempunyai latar belakang dalam sesuatu bidang tersebut. Namun, untuk memulakan perniagaan dalam bidang kosmetik, anda dinasihatkan untuk mendapatkan konsultasi daripada pakar terlebih dahulu seperti mekap artis profesional.

EMPAT TAHUN DALAM BISNES KOSMETIK, NUEX ROSLI MAHU BANTU WANITA PERKASA EKONOMI

Ini kerana, merekalah individu yang telah mencuba pelbagai jenis jenama dan produk mekap tidak kira dari dalam mahupun luar negara. Menjadi kelebihan mereka untuk menilai apa yang terbaik dari segi tekstur, warna dan bahan sesuai untuk menghasilkan satu produk kosmetik yang berkualiti”, kongsi Nuex yang merupakan anak ketiga daripada lapan adik-beradik ini.

Tambah Nuex lagi, seorang usahawan juga perlu tahu untuk mengembangkan lagi perniagaan yang dijalankan, perlu tahu mewujudkan persaingan dan bukan hanya selesa berada di tahap yang sama.

“Untuk seseorang itu terus kekal dan berkembang dalam menjalankan sesebuah perniagaan anda juga harus pastikan kualiti produk terjaga dan sentiasa melahirkan produk-produk baharu supaya kekal relevan sepanjang masa”, jelas Nuex yang menjadikan produk kosmetik jenama antarabangsa seperti Charlotte Tilbury, Tom Ford dan Dolce & Gabbana sebagai penanda aras kejayaan untuk NRC.

Bercerita tentang elemen istimewa yang disuntik dalam setiap produknya, menurut Nuex untuk menghasilkan produk jenama tempatan berkualiti premium,  NR Cosmetics sentiasa memastikan bahan-bahan yang digunakan bukan sahaja mampu memberi hasil solekan yang sempurna, tetapi juga mampu memberi kebaikan kepada kulit wajah pengguna dan sudah diuji terlebih dahulu pada kulit sensitif.

“Sebagai pengasas produk, saya amat cerewet dalam menghasilkan produk kerana pelbagai aspek perlu diambil kira. Produk yang dihasilkan bukan sahaja untuk Nampak cantik, malah ia perlu mengambil kira aspek penjagaan kulit secara dalaman.Sebelum sesuatu produk dihasilkan, saya akan bekerjasama dengan chemist dan gabungan teknologi untuk menghasilkan produk yang bermutu tinggi.

EMPAT TAHUN DALAM BISNES KOSMETIK, NUEX ROSLI MAHU BANTU WANITA PERKASA EKONOMI

Jika dilihat aliran semasa, 60 peratus wanita bergantung terhadap penggunaan teknologi seperti skrin telefon pintar dan komputer. Jadi kulit wajah terdedah terhadap kerosakan kulit secara tidak langsung. Insyaallah saya dalam perancangan untuk menghasilkan produk kecantikan yang turut diformulasi dengan Blue light filter technology untuk membantu wanita kekal cantik dengan solekan bebas dari ancaman radiasi blue light yang terhasil dari skrin komputer dan telefon bimbit.

Cabaran dan rintangan merupakan asam garam dalam dunia perniagaan. Faham dengan resam  tersebut, Nuex tetap berpegang teguh dengan prinsipnya untuk terus melangkah tanpa menoleh belakang.

“Pada awalnya, agak sukar untuk kami memperjuangkan NRC yang merupakan produk keluaran tempatan dan dijual dengan kadar harga premium. Kami ditolak oleh peminat-peminat mekap tanah air disebabkan harga yang ditetapkan. Namun, apabila kualiti produk mula ‘bercakap’ untuk produk itu sendiri, sedikit demi sedikit NRC mula diterima. Malah, ada beberapa selebriti yang menghubungi saya untuk mencuba sendiri produk NRC dan berkongsi tentang kebaikkannya,” bicara Nuex yang menjadikan keluarganya sebagai pendorong utama dalam berusaha lebih keras untuk membawa NRC di mercu kejayaan.

Nuex turut berbangga dipilih sebagai salah seorang penerima NONA TOP BEAUTY ENTERPRENUER anjuran majalah NONA baru-baru ini. Nuex menganggap ia sebagai dorongan untuk dirinya lebih melipat ganda usaha dalam bidang perniagaan. Dalam masa yang sama anak muda yang mempunyai misi dan visi besar ini juga bakal melanjutkan pelajaran ke luar negara dalam bidang berkaitan kosmetik tidak lama lagi bagi mempersiapkan dirinya dengan ilmu kosmetik dan teknologi terkini.

EMPAT TAHUN DALAM BISNES KOSMETIK, NUEX ROSLI MAHU BANTU WANITA PERKASA EKONOMI

“Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada Majalah Nona kerana memberi pengiktirafan kepada NRC sebagai penerima Anugerah Nona Top Beauty Entrepreneur.  Sejujurnya, saya sangat berbangga dan berbesar hati kerana penghargaan ini diberikan sendiri oleh Majalah Nona yang sudah berada di industri lebih 30 tahun dan masih menjaga kualitinya sehingga kini”, ucap Nuex sebelum mengakhiri sesi temubual.

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI