Anak kepada bekas perdana menteri Malaysia yang ke-8, Najwa Mahiaddin yang melebarkan sayap sebagai penyanyi, mendedahkan bahawa dia tidak mempunyai hasrat mengikuti jejak langkah bapanya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menceburi arena politik negara.
Menurut Najwa, dia akan tetap memberikan sepenuh tumpuanya terhadap kerjaya seni yang dimiliki dan belum bersedia untuk menceburi bidang lain.
Tak Reti Nak Berpolitik! Najwa Punyai ‘Jiwa’ Anak Seni
“Saya tak reti nak berpolitik. Secara peribadi, jiwa saya memang lebih tertumpu kepada bidang seni,” katanya.
Dalam pada itu, penyanyi lagu ‘Got To Go’ ini turut menjelaskan, meskipun lahir dalam keluarga ahli politik, namun, Najwa tidak pernah rasa tertekan untuk melakukan perkara yang disukainya.
“Saya tak rasa sebegitu kerana keluarga saya memang sangat faham yang saya memang tidak mempunyai minat ke arah politik. Mereka memang menyokong kerjaya seni saya sejak awal lagi.
“Mereka tahu saya sukakan bidang seni. Bila saya masuk ke universiti pun saya belajar mengenai muzik.
Ads
“Jadi, saya tidak pernah rasa tertekan dan keluarga pun tak pernah memaksa saya untuk menceburi sesuatu bidang itu kerana mereka tahu saya sudah ada pilihan sendiri,” ujarnya lagi.
Najwa berkata demikian ketika ditemui pada di majlis tayangan perdana filem Rahsia yang berlangsung di GSC Cinema, Mid Valley, Kuala Lumpur pada 1 Ogos lalu.
Ads
Masih Mencari Keseimbangan Anatara Keluarga Dan Kerjaya
Menjawab kepada karier seni yang dilihat agak perlahan berbanding rakan artis lain, Najwa memaklumkan bahawa status ibu sedikit sebanyak membataskan dirinya bergiat aktif dalam bidang seni
“Buat masa sekarang, saya masih lagi mencari keseimbangan diantara kerja dan keluarga. Kalau saya terpaksa keluar bekerja, ibu saya yang akan menjaga anak saya kerana saya tiada pembantu dan segalanya saya buat sendiri.
“Adik-beradik lain pun ada membantu juga. Jadi sementara anak masih kecil ini, saya mahu gunakan kesempatan itu untuk lebih dekat dengan anak saya. Sekarang pun dia sudah faham bila saya harus keluar bekerja,” kongsinya lagi.
Ads
Dalam pada itu, Najwa turut berharap agar single terbaharunya yang berjudul Alunan Lara yang menjadi lagu runut bunyi bagi filem Rahsia dapat membuka peluang-peluang baharu untuk mengatur semula kerjaya seninya.
“Ketika fasa pandemik, saya pula mengandung. Memang waktu rehat itu agak lama. Namun, saya tetap mempunyai kerja seni di belakang tabir yang tidak memerlukan saya untuk ke hadapan.
“Mungkin baru sekarang pihak media dan peminat dapat melihat saya kembali. Saya juga banyak melakukan kerja-kerja di studio yang bakal keluar tidak lama lagi
“Disebabkan fokus untuk membersar anak, saya kini masih merancang untuk menghasilkan lagu baru. Jadi, saya harap lagu Alunan Lara yang menjadi OST untuk filem Rahsia dapat membuka peluang-peluang baharu untuk saya,” akhirinya.
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari Media Hiburan
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Syurga itu mahal, dihuni oleh orang-orang mahal. Hanya orang-orang high class dalam beriman dan bertakwa kepada-Nya saja yang layak menjadi ahli syurga. Allahu, betapa agungnya hidayah Allah SWT apabila menerima berita penghijrahan dua selebriti muda, Aishah Azman dan Ratu Balqis yang mula menutup aurat baru-baru ini.
Kedua-dua pendatang baru itu masih muda. Cantik jelita, punya pakej lengkap sebagai penghibur dan banyak peminat. Aishah Azman seorang pelakon berbakat besar, antara dramanya adalah Bukan Cinta Aku manakala Ratu Balqis pula seorang penyanyi dan bekas peserta Mentor Milenia 2017.
Dalam tempoh seminggu, mereka telah mengejutkan peminat dengan penampilan sopan, malah keputusan menutup aurat sepenuhnya turut diiringi tindakan memadam foto-foto ‘kurang manis’ di media sosial.
“Rugi Beribadah Kalau Tak Tutup Aurat” – Aishah
Aishah Azman
Aishah sudah lama memendam hasrat mahu bertudung
Aishah atau nama sebenarnya Nor Aishah Afika Azman Shah, 25 tahun, juga merupakan adik kepada aktor Afiq Muiz mula berhijrah sepenuhnya sejak Jumaat lalu, namun niat untuk bertudung ini telah lama dipendam sejak sekian lama.
“Semoga penghijrahan ini mendapat keberkatan. Doa yang baik-baik.”
Memetik perkongsian Aishah, meskipun banyak perkara yang perlu dikorbankan untuk mendekatkan diri kepada Allah, namun dia bersyukur kerana seisi keluarga sentiasa menyokong keputusannya.
“Alhamdulilah for all the beautiful dua’a. May Allah bless all of us with the right choices, aaminn YRA,” tulis Aishah yang dilihat telah memadamkan semua foto tidak bertudungnya di Instagram.
Foto: IG @aishahazman8
Suka dengar kata-kata Aishah bahawa seperti rugi pula jika beribadah kalau tidak menutup aurat dengan sempurna.
Dengan imej barunya ini, Aishah juga mengakui akan lebih memilih tawaran berlakon yang bersesuaian dengan imej Muslimah.
“Saya Didatangi Mimpi Yang Sama” – Ratu Balqis
Ratu Balqis
Cantiknya Ratu Balqis sejak berhijab
Terdahulu sebelum itu, penyanyi muda Ratu Balqis, 22, juga mula mengubah penampilannya selepas mengalami mimpi aneh.
“Selepas tiga hari didatangi mimpi yang sama, saya cuba berubah menjadi wanita yang lebih baik. Bahkan ibu juga menasihati supaya saya dekatkan diri dengan Tuhan, jadi saya cuba perlahan-lahan dengan menutup aurat dulu,” katanya.
Foto: IG @r4tubalqis
Seperti Aishah, Ratu Balqis juga telah memadamkan semua foto tidak bertudung dari media sosial. Keputusan penyanyi lagu Buaya ini turut mengundang pujian dan komen positif dari peminat yang menyukai persembahan penyanyi lagu rancak itu.
Ratu Balqis turut memohon doa peminat agar dia terus istiqamah dan kekal dengan imej tersebut.
Semoga cita-cita mereka dan kita semua ingin menjadi Muslimah High Class dipermudahkan. Bukan material yang dikejar tapi tingginya class itu kerana rasa takut kita kepada Allah dan Rasul-Nya.
Rendahkan harapan kita pada manusia, tapi tinggikan harapan kita pada Tuhan Yang Esa. Jadikan Dia keutamaan dalam segala pekerjaan yang kita lakukan. InsyaAllah kita boleh menjadi seorang Muslimah High Class yang sebenar!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tubuh kecil molek yang dimiliki oleh Mariana Mohammad sememangnya menjadi kelebihan untuk dirinya bergiat secara aktif dalam sukan berbasikal. Mana tidaknya, wanita yang telah menjengah usia 39 tahun ini dahulunya pernah mewakili negara dalam sukan berbasikal sejak berusia 19 tahun sehingga mengambil keputusan untuk bersara dari sukan tersebut pada tahun 2014.
Walaupun tidak lagi mewakili pasukan berbasikal negara, minat yang mendalam dalam sukan berbasikal tidak pernah padam dalam diri Mariana. Malah, kini lebih selesa menyertai pelbagai acara berbasikal peringkat kebangsaan mahupun peringkat antarabangsa bagi memenuhi minatnya yang mendalam dalam aktiviti sukan yang begitu dekat di hatinya. Keputusan untuk bersara dan mendirikan rumahtangga serta memperolehi cahayamata yang kini sudah meningkat remaja tidak pernah memadamkan semangat Mariana meneruskan aktiviti berbasikal.
Ketika ditanya mengenai penglibatan awalnya dalam sukan tersebut, jelas Mariana ketika berusia 19 tahun, dia berminat untuk menceburi sukan triathlon yang mengkehendaki gabungan acara berbasikal dan berenang di dalam masa yang sama.
“Ketika di usia remaja, saya amat meminati sukan-sukan ekstrem seperti acara triathlon. Untuk memasuki acara seperti itu, kemahiran berenang dan berbasikal amat diperlukan. Jadi, saya tekad untuk mempelajari teknik berbasikal dan selepas beberapa bulan memahami teknik berbasikal yang betul, barulah saya mencuba sukan ini dan terus jatuh cinta,. Berbasikal memang sentiasa dekat di hati saya, malah saya mula berbasikal sejak dari bangku sekolah lagi,” ujar wanita kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini yang menyertai beberapa pertangdingan peringkat antarabangsa dan mewakili negara di bawah kelolaan Majlis Sukan Negara.
Jelas Mariana, sepanjang melibatkan diri dalam sukan berbasikal, banyak perkara positif yang dipelajarinya dalam membentuk keperibadian serta memperbaiki postur tubuh dan tahap kesihatan yang baik. Pada pandangannya, berbasikal bukan sahaja dapat memberi kecergasan, malah dapat mengurangkan tekanan serta membolehkan dirinya berfikiran positif dalam pelbagai perkara.
“Bagi saya berbasikal adalah salah satu gaya hidup sihat yang dapat membentuk kecergasan fizikal dan menjadi satu latihan yang akan mengurangkan ketegangan fikiran. Di samping dapat menguatkan otot dan membakar kalori, aktiviti berbasikal juga menyumbang ke arah kesihatan secara efektif. Ia sesuai untuk semua peringkat umur malah dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan aktiviti luar bersama keluarga,” ujar Mariana lagi.
Tambah Mariana lagi, berbasikal memberi satu kepuasan kepadanya kerana ia melibatkan pengembaraan dari suatu tempat ke suatu tempat yang lain. Dari segi kecergasan pula, berbasikal meningkatkan tahap metabolisme dan stamina tubuh.
“Aktiviti yang mengeluarkan peluh ini menunjukkan bahawa organ dan tubuh saya berfungsi dengan baik dan ini memberi suatu kepuasan. Di samping itu, berbasikal dapat menambah kenalan dan meningkatkan tahap komunikasi dengan semua ahli berbasikal yang lain. Bak kata orang jauh perjalanan luas pemandangan,” katanya yang mengakui jarang jatuh sakit kerana tubuhnya berada dalam keadaan sihat dan bertenaga.
Kebaikan berbasikal dari aspek kesihatan
Mariana amat mengesyorkan aktiviti berbasikal untuk kaum wanita kerana berbasikal mampu menguatkan otot dan membina stamina. Tambahnya lagi, melalui aktiviti berbasikal bukan anggota kaki sahaja yang terlibat apabila basikal malah keseluruhan tubuh terlibat apabila berbasikal.
“Dengan berbasikal juga risiko terseliuh dikurangkan malah mempertingkatkan proses penguatan otot. Berbasikal paling baik untuk membina kekuatan paha dan sendi lutut. Apabila seseorang berbasikal secara rutin anda akan dapati bentuk otot di bahagian kaki anda akan lebih kemas. Jadi, untuk wanita jika mahu postur dan tubuh badan yang lebih menarik, aktiviti ini amat disyorkan,” ujarnya.
Berbasikal memang satu cara yang terbaik juga untuk membina stamina, ini kerana ia boleh dijalankan dalam masa yang lama tanpa membosankan dan begitu memenatkan. Siapa pun tidak akan sedar sejauh mana mereka telah berbasikal dan telah mendapat manfaatnya juga.
“Denyutan jantung seseorang yang berbasikal juga akan menjadi lebih baik dan sekali gus mempertingkatkan kesihatan sistem kardiovaskular. Kajian menunjukkan bahawa kesihatan kardiovaskular seseorang akan meningkat sebanyak tiga hingga tujuh peratus dengan berbasikal,” ujarnya.
Berbasikal juga boleh membakar kalori dan dengan berbasikal selama sejam setiap hari anda boleh membakar kira-kira 300 kalori. Berbasikal memperbaiki koordinasi anggota kiri dan kanan dan yang lebih utama, apa-apa senaman boleh mengurangkan tekanan dan kemurungan dan meningkatkan kesejahteraan dan harga diri.
Berbasikal di luar rumah juga merupakan cara yang baik untuk menjadi satu dengan alam dan untuk merasakan nafas bumi. Ia mengambil minda seseorang daripada tekanan setiap hari kehidupan dan meremajakan jiwa,” ujarnya yang kelihatan begitu bertenaga dalam menjalani kehidupan sehariannya.
Sukan ini bukan sahaja memberi fokus terhadap basikal tersebut, tetapi apa yang lebih penting adalah cara kita mengawal mental untuk menerima tekanan ketika mengayuh, mempunyai hati yang cekal untuk sentiasa kekal positif dan tidak mudah putus asa serta melatih fizikal menjadi lebih sihat dan cergas,” katanya yang menyimpan banyak piala kemenangannya di kedai basikal sebagai tanda penghargaan di atas tajaan basikal dan peralatannya.
Ketika ditanya mengenai aspek keselamatan, tambah Mariana, sukan ini menggalakkan seseorang mencabar kemampuan diri tetapi dalam masa yang sama, ikut kemampuan diri agar tidak terlalu memaksa untuk melakukan sesuatu teknik di luar jangkaan sendiri.
““Kita perlu mempunyai kelengkapan basikal dan pakaian yang sesuai untuk berbasikal terutamanya di jalan raya atau lebuhraya. Yang penting kita perlu berani mencabar diri sendiri barulah diri serasi untuk melakukan sukan berbasikal seperti ini,” katanya seraya mengakhiri perbualan.
Solekan: Ann Karim
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Diam tak diam, dah lapan tahun rupanya jenama Diyana Halik berada di pasaran. Sebagai Pengasas label muslimah ini, pastinya kejayaan Datin Diyana Halik yang tidak lelah mengangkat martabat wanita muslim patut jadi inspirasi.
Mana tidaknya, walau berstatus isteri dan ibu kepada tiga anak, dia tetap mampu mengusahakan perniagaan dengan baik. Buktinya, produk keluaran empayar muslimah Diyana Halik sudah bertapak di pasaran sejak lapan tahun lalu. Tahniah!
Bermula dengan hanya menjual tudung jenis selendang, square dan instant, jenama yang diasaskan pada tahun 2014 ini nyata memberi pulangan menguntungkan buat isteri Dato’ Aaron Aziz. Biarpun sibuk mengurus kerjaya seni suami dan anak-anak, Datin Diyana tetap komited mahu bergelar usahawan berjaya.
Kegigihan wanita kelahiran Singapura ini jelas menunjukkan sifatnya yang berdaya saing. Walau kerjaya suami mampu menyara mereka sekeluarga namun Datin Diyana selesa berdikari.
Lapan tahun mengemudi perniagaan, Datin Diyana mampu tersenyum bangga apabila satu persatu produk jualannya mendapat sambutan memberangsangkan daripada pelanggan.
Mesra ditemu bual Nona, Datin Diyana Halik mendedahkan pencapaian bisnes miliknya. “Sehingga sekarang, jenama Diyana Halik sudah pun mempunyai lebih daripada 40 koleksi sejak ia dilancarkan pada tahun 2014. Our collections now termasuk telekung dress, reusable face mask dan juga aksesori pakaian yang bersesuaian dengan para hijabi serta muslim women.”
Lebih membanggakan, koleksi label Diyana Halik turut merangkumi busana seperti khimar dan kaftan. Sesuai buat wanita untuk menyarung busana tersebut ketika menunaikan ibadah umrah dan haji atau menyertai majlis-majlis ilmu.
Turut terkesan dengan situasi pandemik Covid-19, figura ini terpaksa mengubah strategi pemasaran yang lebih tertumpu secara atas talian. “Waktu Covid-19 kita full fledge online. Segalanya di buat in-house. Zoom meetings, photo shoots and video shoots dan sebagainya. Literally di rumah. LIVE sale di FB dan juga IG.
Bila berlakunya situasi macam ni antara hikmah yang saya dapat ialah kita mula menjadi creative to survive and sustain. Malah, dapat fokus lebih untuk ibadah dan meluangkan lebih masa dengan keluarga. More game nights and girls talk!”
Tidak pernah lelah ‘berkejar’ masa menunaikan tanggungjawab sebagai isteri, ibu dan majikan, wanita cantik yang bakal meniti usia 40 tahun ini juga seorang yang aktif menyertai aktiviti kebajikan. Naluri keibuan dan jiwa prihatinnya mudah tersentuh lebih-lebih lagi apabila melibatkan soal kehidupan anak kecil.
“Saya sering mendapat DM (direct message) untuk pertolongan. Dan kita perlu bersyukur kepada Allah SWT atas setiap nikmat yang diberikanNya. Bagi saya, salah satu cara untuk bersyukur adalah dengan membuat kebajikan. Walaupun kita tak dapat menolong semua orang dengan wang ringgit tapi kita boleh menggunakan media sosial kita untuk ke arah kebaikan.
Alhamdulillah, melalui Pertubuhan Journey to Insyirah kita dapat menghulurkan bantuan berupa food pack kepada orang-orang yang memerlukan. Selain itu, saya pun terlibat dalam charity drive to Cambodia iaitu wakaf telaga dan rumah yang dilakukan bersama kawan baik saya, Mila di Singapura.
Saya selalu ingat apa yang Ustaz saya pesan, “Kalau di dunia nak hidup senang bawa Mercedes ke, BMW ke, akhirat tak nak senang ke? Kalau di akhirat dah tak boleh usaha dah. Kalau kerja dapat gaji alangkah best dapat bonus.” So kita cuba mendapatkan bonus di akhirat kelak. Semoga Allah SWT menerima segala amalan kami. Ameen.”
Hasil perkongsian hidup Datin Diyana dan Dato’ Aaron Aziz, mereka dikurniakan seorang anak lelaki dan dua anak perempuan iaitu Danish Anaqi, Dwi Ariana dan Dahlia Arissa.
Kredit foto: Instagram Datin Diyana Halik
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!